Sunday, June 21, 2009

Umno Terengganu Dirombak, Tiga Muka Baru Dilantik

KUALA TERENGGANU, 21 Jun (Bernama) -- Tiga jawatan utama Badan Perhubungan Umno Terengganu menyaksikan perubahan apabila Setiausaha, Ketua Penerangan dan Bendahari badan itu digugurkan daripada jawatan masing-masing hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan rombakan itu berkata Ketua Umno Hulu Terengganu yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang dilantik sebagai Setiausaha menggantikan Datuk Rosli Mat Hassan.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Anggota Parlimen Kemaman dilantik sebagai Ketua Penerangan menggantikan Datuk Zuber Embong manakala timbalan ketua Umno Bahagian Kuala Nerus Datuk Rahin Mohd Said dilantik sebagai Bendahari menggantikan Datuk Roslan Awang Chik.

Ahmad Shabery sebelum ini pernah menjawat jawatan yang sama sebelum Zuber dilantik memegang jawatan itu.

Terdahulu, Hishammuddin mempengerusikan mesyuarat pertama parti itu setelah beliau dilantik Ketua Badan Perhubungan Umno Terengganu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada akhir April lepas.

Hishammuddin berkata rombakan itu adalah antara usaha untuk memulihkan kembali Umno negeri yang sebelum ini berpuak-puak dan beliau berharap dengan perubahan itu nanti semua pihak kembali bersatu demi kebaikan parti.

"Ini cara saya akan pimpin Umno Terengganu dengan bantuan Menteri Besar Datuk Ahmad Said," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat hampir satu setengah jam itu.

Ditanya sama ada rombakan itu dilakukan berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua Datuk dalam Umno negeri, beliau berkata: "Bagi saya yang paling penting ialah untuk pikul tanggungjawab. Mereka yang lepaskan jawatan tak semestinya tugas dan tangungjawab mereka lebih mudah kerana mereka ada tanggungjawab yang harus dipikul".

Hishammuddin turut menafikan pelantikan itu menampakkan beliau seolah-olah cenderung kepada satu pihak sahaja, sebaliknya beliau menyifatkannya sebagai pelantikan yang adil dan mendapat 'restu' daripada semua pemimpin Umno bahagian.

"Apabila kita memihak dan kita dilihat sebagai pemimpin mirip pada puak-puak tertentu sahaja, akhirnya apa yang diharapkan tidak akan jadi satu kenyataan dan saya akan gagal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

"Akhirnya saya akan hampakan ramai di luar sana khususnya rakyat Terengganu yang mahukan kita lihat ke depan, mahukan Umno perkukuh dan pertahan parti kita di Terengganu. Saya mahukan semua pihak ketepikan sikap berpuak-puak dan saya percaya hanya dapat lakukan dengan tindakan bersama," katanya.

Hishammuddin berkata antara perkara yang turut dibincangkan dalam mesyuarat yang dihadiri semua pemimpin sayap parti dan semua Ketua Umno bahagian kecuali Ketua Umno Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh yang kini melanjutkan pelajaran di luar negara, adalah mengenai hala tuju program untuk perkukuhkan parti.

Semua Ketua Umno Bahagian dan pemimpin sayap parti akan diberi tanggungjawab untuk merapatkan kembali perpaduan dalam parti dan mendekatkan pengundi muda, katanya.

Beliau berkata satu Perhimpunan Perpaduan Umno Melayu Terengganu akan diadakan bagi merapat dan mengukuhkan kembali ikatan dalam Umno negeri.

-- BERNAMA

Manek Urai: 3 nama diteliti sebagai calon BN

BACHOK: Sekurang-kurangnya tiga nama tersenarai untuk dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang akan diadakan 14 Julai ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, nama-nama berkenaan kini sedang diteliti pucuk pimpinan parti dan akan diumumkan pada bila-bila masa. "Senarai nama yang diserahkan Umno Kelantan itu kini di peringkat akhir penelitian, saya rasa keputusan mengenainya akan diumumkan pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Peserta Perlumbaan EkoBudaya Kelantan 2009 di Pantai Irama di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan, Sulaiman Ismail.

PAS yang memutuskan akan meletak calon bagi mempertahan kerusi DUN berkenaan yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, akan mengumumkan calon mereka pada Jumaat depan.

Penasihat jentera operasi pilihan raya Manek Urai PAS, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata pengumuman itu akan dibuat bersama pemimpin pakatan pembangkang berdekatan dengan rumah penyandang kerusi tersebut, Allahyarham Ismail Yaakob, di Manek Urai.

Pilihan raya kecil DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian Ismail, 60, pada 22 Mei lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab II kerana sakit jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 6 Julai ini.BERNAMA

Huan keluar Gerakan jika hukuman gantung 3 tahun tidak dibatal

Naib Presiden akan putuskan dalam dua minggu ini

PETALING JAYA: Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan yang digantung keahlian selama tiga tahun kelmarin akan keluar parti itu jika hukuman tersebut tidak ditarik balik.

"Kemungkinan keluar... jika keputusan (menggantung saya) tidak dikaji semula," kata beliau ketika dihubungi sambil menambah, beliau akan memutuskan mengenainya dalam tempoh dua minggu.

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Gerakan memberi tempoh 14 hari kepada Huan untuk membuat rayuan berhubung hukuman tersebut.

Huan, yang pernah menyatakan hasrat untuk keluar Gerakan tetapi mengubah pendiriannya untuk kekal dalam parti itu minggu lalu, telah digantung keahlian selama tiga tahun malam kelmarin.

Ketika mengulas lanjut keputusan CWC yang dimaklumkan semalam, Huan berkata, aspek yang dipertimbangkan sebagai alasan untuk menggantung keahlian beliau adalah terlalu remeh.

"Mereka kata mengambil tindakan kerana saya telah meminta penyokong-penyokong saya menggantung kain rentang mengkritik parti... sekarang budak tiga tahun pun tahu macam mana hendak menggantung kain rentang.

"Jadi, saya tidak perlu mengajar penyokong-penyokong saya menggantung kain rentang.

"Kemudian, mereka kata saya meminta 5,000 ahli Gerakan keluar parti. Mereka semua (ahli yang terbabit) ada fikiran, mereka tidak tahu berfikir sama ada nak keluar atau tidak?" katanya.

Tambah Huan, beliau juga kecewa kerana tidak diberikan peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar sebelum CWC mengambil keputusan.

"Umno pun ada Lembaga Disiplin yang dengar aduan dan berikan tertuduh peluang untuk mempertahankan diri masing-masing.

"Ini dalam Gerakan merekalah polis, merekalah pendakwa dan mereka juga hakim," katanya.

H1N1: SJKC Jalan Davidson ditutup seminggu

KUALA LUMPUR: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson di sini akan ditutup selama seminggu selepas pelajar tahun lima sekolah itu yang disahkan positif influenza A (H1N1) didapati menyebarkan virus itu kepada dua rakan sekelasnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Majlis Keselamatan Negara bersetuju menutup sekolah itu sehingga 26 Jun ini dan kira-kira 2,100 pelajar serta kakitangan sekolah dikuarantin di rumah.

Ketika mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat bersama pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sini hari ini, Liow berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Majlis Keselamatan Negara bersetuju supaya sekolah tersebut ditutup selama seminggu.

Beliau berkata, dua lagi sekolah yang mencatatkan kes tersebut iaitu di Petaling Jaya dan Shah Alam hanya akan ditutup sekiranya pihaknya mendapati berlakunya penularan tempatan bagi wabak itu.

Terdahulu ketika merasmikan kempen kesedaran influenza A (H1N1) di Batu 11, Cheras, di sini yang dianjurkan oleh MCA Bahagian Serdang, Liow berkata beliau telah mencadangkan penutupan sekolah itu selepas mendapati berlakunya penularan tempatan.

"Kami berpendapat sekolah itu patut ditutup. Selagi berlaku kes penularan tempatan walaupun satu kes, kita mesti mengambil langkah berjaga-jaga dan menutup sekolah," katanya.

Sebanyak lapan lagi kes dilaporkan hari ini menjadikan kes keseluruhan yang dicatatkan setakat ini meningkat kepada 50 kes.

Ia melibatkan lima pelajar sekolah, tiga pelajar tahun lima SJK (C) Jalan Davidson, seorang pelajar tahun lima dari Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 2 Petaling Jaya dan seorang pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Shah Alam.

Katanya, kementerian akan melihat pelbagai kemungkinan dan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan virus itu tidak merebak ke sekolah-sekolah lain.

"Kita tidak mahu timbul sebarang masalah di sekolah itu, jadi kita perlu pastikan keselamatan pelajar diutamakan," katanya.

Beliau berkata, garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan mencadangkan supaya sekolah itu ditutup jika berlaku penularan tempatan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...