Friday, May 22, 2009

MP wanita PAS dakwa menteri kurang sopan - MalaysiaKini

Muda Mohd Noor | May 22, 09 11:28am

Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin didakwa mengeluarkan kata-kata kurang sopan yang bersifat "gangguan seksual" terhadap ahli parlimen wanita PAS semalam.

Menurut Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali - ahli parlimen Titiwangsa - pemimpin Umno itu berkata kepadanya:

"Saya turun setiap tempat, takkan nak beritahu awak semua. Ini saya nak pergi tandas, takkan nak beritahu awak, awak nak ikut ke?"

dr loloMenulis dalam blognya hari ini, ahli jawatankuasa pusat PAS itu mendakwa kata-kata tersebut diucapkan oleh Raja Nong Chik sewaktu lawatan mengejut menteri baru itu ke sebuah pasar baru di Kampung Datuk Keramat petang semalam.

"Sebagai seorang wanita yang terhormat, seorang Wanita Islam yang menjaga sahsiah diri, saya merasa terhina dan tidak dapat menerima kata-kata tersebut keluar dari mulut seorang menteri, lebih-lebih lagi saya seorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat," kata Dr Lo' Lo' lagi.

"Ada ramai rakan-rakan yang berpendapat ini satu bentuk gangguan seksual walau pun tidak berapa jelas tujuan dan maksud kata-kata tersebut dikeluarkan."

Dalam sidang media pagi ini, Dr Lo' Lo' menjelaskan bahawa Raja Nong Chik telah memohon maaf kepadanya secara peribadi semalam.

Bagaimanapun beliau mahu menteri berkenaan berbuat demikian secara terbuka kerana ramai orang mendengar kata-kata tersebut.

Ahli parlimen Titiwangsa juga mempertikaikan program semalam sebagai "lawatan mengejut" kerana terdapat aturcara lengkap bersama pegawai kanan kementerian, datuk bandar Kuala Lumpur dan pegawai-pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Persatuan peniaga Wilayah Persekutuan cawangan Pasar Datuk Keramat juga diwakili oleh semua ahli jawatankuasa, dan yang paling menonjol adalah kehadiran ketua bahagian Umno Titiwangsa bersama timbalannya, ahli jawatankuasa, Wanita dan Pemuda Umno," kata Dr Lo' Lo' lagi.

"Ketua bahagian Umno Titiwangsa diberi tempat istimewa sebelah menteri sepanjang majlis tersebut."

Selain mempertikai Raja Nong Chik, wakil rakyat PAS itu memuji bekas menteri berkenaan Datuk Seri Zulhasnan Rafique yang disifatkannya "jauh lebih matang, berhemah dan sering bersikap prpfesional" terhadap beliau dan ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat di Wilayah Persekutuan.

Di Kuala Lumpur, pembangkang menguasai 10 kerusi parlimen daripada 11 kawasan. BN hanya menang di Setiawangsa yang disandang oleh Zulhasnan.

Shaari: Mengapa saya keluar Umno - MalaysiaKini

Abdul Rahim Sabri | May 22, 09 5:47pm

Bekas ahli jawatankuasa bahagian Kangar, Shaari Ludin berkata beliau meninggal Umno untuk menyertai PKR dua bulan lalu, kerana mahu menyedarkan kepimpinan Umno tentang kelemahan parti itu sekarang.

Beliau juga turut menyalahkan kepimpinan tertinggi Umno yang didakwanya 'lari dari matlamat perjuangan asal Umno" sehingga mendorong beliau beralih kepada pembangkang.

"Saya nak beri 'getaran' kepada Umno, bahawa saya dapat menarik ramai ahli parti itu untuk turut serta masuk PKR, supaya mereka sedar kelemahan diri.

"Saya sudah lama dalam Umno, saya masuk PKR, sebab kepimpinan Umno sudah jauh menyimpang.

"Kepimpinan tertinggi Umno telah lari dari matlamat perjuangan asal Umno sendiri," kata Shaari ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam Pengerusi Perhubungan PKR Perlis, Johari Shafie dilapor mengesahkan terdapat ahli Umno di negeri itu yang memohon borang keahlian untuk menyertai parti itu sejak bulan lalu.

Menurut Shaari lagi, beliau menyertai PKR atas kerelaan beliau sendiri dan diikuti oleh ahli-ahli Umno yang lain, yang juga tidak puashati dengan parti itu sekarang.

Boleh cecah 1,000 orang

Seingatnya, kata Shaari, sehingga bulan April lalu, 500 hingga 600 ahli Umno sudah menyertai PKR.

"Kesemua mereka adalah penduduk di DUN Kuala Perlis yang terdiri daripada kaum Melayu dan Cina," tambahnya.

DUN Kuala Perlis terletak dalam Parlimen Kangar. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu adalah ketua Umno bahagian Kangar.

"Saya bukan tarik mereka (menyertai PKR), saya masuk atas kehendak diri sendiri.

"Mereka ramai-ramai minta borang (keahlian PKR)," katanya sambil menambah jumlah tersebut boleh mencecah 1,000 orang.

Ditanya sama ada beliau menerima sebarang ugutan atau sabotaj selepas menyertai PKR, Shaari berkata:

"Tidak ada sebarang sabotaj sebab saya orang bukan orang kuat dalam Umno. Bagi mereka (Umno) saya tak ada apa-apa. Bagi mereka saya orang kecil," katanya.

Gagal dapat hakmilik

Shaari juga mendakwa penduduk di Kuala Perlis terutama di Kampung Seberang Tok Pi yang pernah memohon hakmilik tanah daripada kerajaan negeri, kecewa kerana sehingga hari ini belum diluluskan.

Sebelum ini, katanya penduduk di kampung tersebut pernah kehilangan tempat kediaman dalam dua kebakaran sebelum ini.

"Sekarang ini penduduk kampung tinggal di rumah yang didirikan di atas tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Ia rumah kayu seperti rumah panjang yang dikenali sebagai rumah pelangi.

"Bekas tapak tanah mereka telah dibangunkan, jadi mereka tak ada harapan nak pulang (ke situ).

"Di mana mereka nak tinggal jika JPS ambil balik tanah itu?" soal Shaari.

Semalam Pengerusi Perhubungan PKR Perlis, Johari Shafie dilaporkan sebagai berkata memang terdapat ahli Umno, yang memohon borang keahlian untuk menyertai parti tersebut sejak bulan lalu.

Katanya, kebanyakan mereka dari bahagian Kangar, terutama di DUN Kuala Perlis dan setakat ini pihaknya sudah menerima hampir 200 borang keahlian.

Manakala mantan menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan berkata mereka yang menyertai PKR termasuk ketua cawangan dan bekas ketua cawangan Umno di Perlis yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri membuang mereka dari jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

Pemecatan ahli JKKK itu berlaku di Pauh, Kuala Perlis, Titi Tinggi, Santan, Mata Air dan Beseri.

Mahkamah Rayuan isytihar Zambry MB sah

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini diisytihar sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh Mahkamah Rayuan dalam satu keputusan sebulat suara.

Mahkamah mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah adalah salah, dan mengetepikan keputusan itu.

"Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan telah gagal menilai dengan betul dan secukupnya kesemua keterangan yang ada padanya sehingga membuat keputusan yang salah," kata Hakim Datuk Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop.

ADUN PAS meninggal dunia

May 22, 09 8:11am

ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob meninggal dunia kira-kira subuh hari ini di hospital Kota Bharu dan PAS memanggil satu sidang media di Kuala Lumpur berhubung perkara tersebut.

Difahamkan Ismail, 60, dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya sehingga menyebabkan kesihatannya sering kali terganggu.

Allahyarham antara ADUN yang paling lama berkhidmat di Kelantan sejak memenanginya pada pilihanraya umum 1986.

Kecuali pada 2004, allahyarham sudah lima penggal dipilih mewakili kawasan tersebut - bawah parlimen Kuala Krai yang diwakili bendahari PAS Dr Hatta Ramli.

Pengarah pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali dijadual mengadakan satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur jam 11 pagi ini.

Beliau juga dijangka mengulas pilihanraya kecil DUN Penanti yang akan bermula Sabtu ini sehingga 31 Mei.


Keputusan pilihanraya umum 2008 bagi N41 Manik Urai

Jumlah pengundi: 12,292 orang
Peratusan kaum: Melayu 99.25%, Cina 0.44%, India 26%, Lain-lain 0.02%

1. Ismail Yaacob (PAS) 5,746
2. Mohamed Zulkifli Omar (BN) 4,394

Majoriti: 1,352
Jumlah undi: 10,332
Peratus mengundi: 84.05%
Undi rosak: 192
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...