Showing posts with label Liga Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Liga Malaysia. Show all posts

Friday, February 18, 2011

Raja Ahmad tak putus-putus minta FAM kaji ‘Awang Import’

IPOH 18 Feb. - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diminta menimbangkan semula cadangan membenarkan setiap pasukan dalam Liga Super mendapatkan khidmat pemain import.

Anggota Jawatankuasa FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, langkah itu adalah lebih berkesan dalam membangunkan mutu bola sepak negara kerana ia melibatkan keseluruhan pasukan.

"Adalah lebih baik memberikan kebenaran kepada pasukan Liga Super mendapatkan khidmat pemain import kerana ia dapat memberi pendedahan kepada pemain muda dalam pasukan untuk terus maju,” katanya.

Beliau berkata, ia lebih sesuai dalam keadaan sekarang di mana banyak pasukan Liga Super mempunyai pemain muda yang berbakat dan mereka memerlukan pendedahan dalam sukan itu.

Katanya, sekiranya pemain muda mendapat pendedahan yang cukup maka mereka akan lebih berani untuk mencuba nasib mereka di liga Eropah seperti pemain dari benua Afrika. - Bernama

Sunday, January 30, 2011

Liga Super 2011: Kelantan beri amaran awal

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Juara Piala Malaysia 2010, Kelantan memberikan amaran awal dengan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah 2011 setelah menumpaskan Selangor 2-0 dalam perlawanan sumbangsih dalam meneruskan saingan Liga Super musim ini.

Sepakan penalti penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha dan sepakan bebas ketua pasukan Kelantan, Badri Radzi pada setiap babak permainan, turut memastikan tiga mata sulung liga buat Wira Merah di Stadium Shah Alam.
Juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan pula mengorak langkah kanan dalam Liga Super 2011 dengan menumpaskan Harimau Muda A 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

Tiga mata turut digenggam satu lagi tuan rumah, Pahang selepas menumpaskan Perlis 3-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan hasil jaringan Saiful Nizam minit ke-14, sepakan penalti R. Surendren (42) dan Mohd. Alafi Mahmud (73).
Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, tuan rumah terlepas tiga mata apabila diikat Perak 1-1 biarpun mendahului menerusi Mohd. Badrul Hisyam Azmi pada minit ke-12 sebelum disamakan oleh Shafiq Jamal, minit ke-66.

Tiga keputusan seri tanpa jaringan pula tercatat dalam perlawanan Terengganu-Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu; Johor FC-Felda United di Stadium JCorp, Pasir Gudang dan Kedah-T-Team di Stadium Darulaman, Alor Setar. - Utusan

Keputusan
Selangor 0 Kelantan 2
Terengganu 0 SABAH 0
Kuala Lumpur 1 Perak 1
Johor FC 0 Felda United 0
Kedah 0 T-Team 0
Negeri Sembilan 1 Harimau Muda A 0
Pahang 3 Perlis 1

Friday, January 28, 2011

Karathu kembali warnai Liga Malaysia

KOTA BHARU - Selepas menyepi selama setahun daripada kancah bola sepak tempatan, bekas jurulatih Perak musim 2008-2009, Datuk M. Karathu kembali mewarnai saingan Liga Malaysia dengan melatih juara Piala Malaysia musim lalu Kelantan.

Kembalinya Karathu ke pangkuan Kelantan diibaratkan 'sirih pulang ke gagang' kerana beliau pernah melatih skuad yang terkenal dengan laungan 'gomo kelate gomo' itu pada 1993.
Menurut Karathu, kesediaannya kembali melatih Kelantan merupakan sesuatu yang cukup menggembirakan dirinya selepas hampir 18 tahun meninggalkan pasukan tersebut.
"Saya gembira dapat kembali semula melatih Kelantan, terima kasih kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terutamanya Tan Sri Annuar Musa kerana masih lagi mempercayai kemampuan saya untuk membimbing pasukan musim ini.

"Walaupun sudah lama meninggalkan Kelantan, namun sebaik sahaja kembali semula ke sini saya masih lagi terasa bahang membimbing pasukan sewaktu tahun 1993," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma KAFA, Kampung Chicha dekat sini, semalam.
Tambah Karathu, Kelantan merupakan pasukan yang diminatinya sejak 1993 sewaktu beliau menjadi jurulatih.
"Pasukan Kelantan sama seperti pasukan Brazil yang mempunyai keghairahan yang memuncak dalam bola sepak selain turut mempunyai pemain berbakat. Walaupun saya tidak tahu banyak mengenai pemain pasukan ini dan perlu mengambil sedikit masa, namun itu bukan masalah besar bagi saya untuk mengendalikan pasukan," ujarnya yang mengikat kontrak selama setahun dengan pasukan Kelantan.

Karathu sebelum ini berjaya membimbing skuad Seladang menjulang Piala FA pada 1990, selain membawa Kelantan melangkah ke perlawanan separuh akhir Piala FA dan Malaysia pada 1993.
Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa iaitu menjadi ketua jurulatih pasukan Sri Lanka dan kelab Woodlands Wellington FC (Singapura).
Karathu memberitahu, beliau akan mendapatkan maklum balas daripada bekas jurulatih, B. Sathianathan selain dua pembantunya iaitu Hashim Mustapha dan Sideek Samsuddin bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan ini.

"Saya kena mengambil sedikit masa untuk mengenal pasti kelemahan pasukan kerana jadual perlawanan cukup padat dan termasuk juga bagaimana corak taktikal yang akan saya gunakan.
"Sasaran saya musim ini ialah memastikan Kelantan berada di tiga kelompok terbaik selain memburu dan mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lepas," ujarnya yang memulakan tugas semalam.
Mengulas mengenai perlawanan pembukaan tirai bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah Sabtu ini menentang Selangor, Karathu menanggap perlawanan tersebut merupakan ujian pertama buatnya.

"Ini ujian pertama saya. Saya belum tahu keadaan fizikal pasukan dan difahamkan Kelantan mengalami banyak kekalahan sepanjang perlawanan persahabatan, ini adalah sebahagian daripada proses membentuk sebuah pasukan baru ke arah yang lebih mantap.
"Untuk itu, Saya menuntut disiplin yang tinggi daripada semua pemain. Mereka juga perlu menunjukkan karakter serta kebolehan yang tinggi apabila bersama pasukan ini kerana kita akan bermain dalam satu liga yang kompetitif bermula Sabtu ini," katanya.

Thursday, January 27, 2011

FAM kaji bayaran penampilan pemain

PETALING JAYA - Jika mendapat kelulusan pada mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Persatuan Bola Sepak (FAM) pada 13 Februari ini, setiap pasukan yang beraksi dalam perlawanan Liga Super yang disiarkan secara langsung di televisyen, akan menerima bayaran penampilan.

Selain itu, satu lagi syor yang akan dibentangkan dalam mesyuarat yang bakal dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah nanti, iaitu kemungkinan setiap pasukan menerima imbuhan mengikut ranking terakhir masing-masing dalam tangga liga apabila berakhirnya saingan.
Ini bermakna, pasukan tercorot yang menghuni tangga ke-14 liga pun tetap akan menerima bayaran mengikut skala yang ditetapkan.

Jumlah imbuhan wang tunai yang diperuntukkan bagaimanapun tidak dinyatakan kerana ia masih di peringkat perancangan.
Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa selaku Pengerusi Malaysia Super League Sdn. Bhd. (MSL) berkata, ia merupakan syor yang difikirkan baiknya untuk memberi ganjaran berdasarkan merit sesebuah pasukan.
Tegas Annuar, meskipun FAM mendapat tajaan lumayan bernilai RM120 juta daripada Astro untuk tempoh empat tahun, pihaknya tidak bercadang untuk sewenang-wenangnya mengagihkan geran tahunan dalam jumlah besar sekaligus.
"FAM mungkin ada banyak duit sekarang, tapi ini tidak bermakna kalau tahun lepas kita berikan subsidi RM300,000, tahun ini kita bagi terus RM1juta...tidak, bukan begitu.

"Kita nak bagi, tapi secara berkaedah. Kaedahnya iaitu berdasarkan merit, mengambil kira ranking dalam Liga Super, berapa penampilan dalam siaran langsung dan apa-apa saja program yang dilakukan sesebuah negeri atau kelab itu menambah baik liga dan bola sepak tempatan."
Annuar memberi jaminan, geran tahunan yang bakal dinikmati semua pasukan bertanding dalam Liga Super, tidak akan mendapat kurang daripada tahun sebelumnya.

Karathu ganti Sathia latih Kelantan

KUALA LUMPUR - Kelantan kembali mendapat sentuhan bimbingan M. Karathu setelah terpaksa melupakan khidmat B. Sathianathan yang digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kerana mengkritik penjadualan perlawanan Liga Malaysia musim lalu.

Pelantikan Karathu, bekas jurulatih Perak 2008-2009 itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dalam satu program temu bual sebuah stesen televisyen swasta di sini, semalam.
"Dia akan mula melatih Kelantan bagi menghadapi Liga M, Khamis ini (hari ini)," kata Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Pengerusi Jawatankuasa Malaysia Super League (MSL).

Selain pernah melatih Kelantan pada 1993, Karathu turut mencipta kegemilangan dengan negeri kelahirannya, Perak sebagai juara Piala FA 1990, naib juara Divisyen Dua 1989 dan Piala Sultan Ahmad Shah 2001.
Karathu juga pernah melatih Negeri Sembilan, Akademi Belia Malaysia, Woodlands Wellington (Singapura) dan pasukan kebangsaan Sri Lanka.

Kini misi sulungnya ialah membawa Kelantan bertandang ke Stadium Shah Alam bagi merampas Piala Sultan Ahmad Shah daripada juara bertahan, Selangor sekali gus membuka tirai aksi Wira Merah dalam Liga M 2011, Sabtu ini.

Wednesday, January 26, 2011

FAM lantik Stuart sebagai CEO Liga Super Malaysia

PETALING JAYA 26 Jan. – Liga Super Malaysia (MSL), cabang komersial Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), telah melantik Konsultan (FIFA) Profesionalisasi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Stuart Ramalingam sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO).

Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berkata, Stuart akan bertanggungjawab dengan usaha penyusunan semula dan komersialisasi produk bola sepak Persatuan Anggota (MA).

"Stuart, yang bermula dengan jawatannya sebagai CEO November lepas, siap sedia menerajui inisiatif baru yang termasuk membangun dan menyusun semula Liga Profesional dan Kelab serta melancar dan meneruskan inisiatif bola sepak peringkat akar umbi FIFA MA,” kata Annuar selepas melancarkan logo baru MSL 2011 di Wisma FAM di sini hari ini.
Stuart telah bertugas dengan FIFA sejak 2008 dan merupakan pengasas Intergrated Marketing and Communications Agency, Kumpulan Brainchild. – Bernama

Tuesday, January 25, 2011

Kafa lantik Sathianathan sebagai CEO Kejurulatihan

KOTA BHARU 25 Jan. – B. Sathianathan, yang digantung selama enam bulan oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) berkuat kuasa semalam, tetap mendapat perhatian sewajarnya oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang mengumumkan bekas ketua jurulatih itu kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kejurulatihan Kafa.

Pelantikan yang diumumkan oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa itu membolehkan Sathianathan bertanggungjawab sepenuhnya dalam bidang teknikal kejurulatihan bagi membimbing bakat-bakat baru sebagai pelapis pada masa depan.
"Walaupun Kelantan kehilangan ketua jurulatih di saat kita menghadapi perlawanan Piala Sumbangsih dan musim baru Liga Malaysia tidak lama lagi, namun khidmat Sathianathan masih diperlukan.

"Hari ini kita melantik dia (Sathianathan) sebagai CEO dalam pasukan Kelantan dan masih bertanggungjawab dalam bidang kejurulatihan yang tidak membabitkan bidang kuasa FAM,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan insentif RM200,000 oleh kerajaan negeri Kelantan di sini, hari ini.

Katanya, khidmat Sathianathan masih diperlukan kerana Kafa melalui Kelab Red Warriors sedang mempelopori akademi bola sepak di peringkat remaja bagi melahirkan pemain pelapis negeri yang mampu meneruskan kecemerlangan dalam bidang bola sepak di negeri ini. – Bernama

Sathia kekal digantung 6 bulan

KUALA LUMPUR - Persiapan penyandang juara Piala Malaysia, Red Warriors bagi menghadapi musim baru Liga Malaysia 2011 ditimpa musibah besar apabila mereka tidak dapat menggunakan khidmat jurulatih, B. Sathianathan sehingga 23 Julai ini.

Malah, bagai jatuh ditimpa tangga, pengurusan skuad Kelantan juga terpaksa mencari seberapa segera jurulatih baru yang mempunyai lesen kejurulatihan kelas A sebelum sepak mula perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 29 Januari ini kerana pembantu Sathia, Hashim Mustapha hanya mempunyai lesen kelas B.
Ia gara-gara keputusan Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dipengerusikan oleh K. Kanagarajah, yang mengekalkan hukuman enam bulan seperti mana diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin FAM pada 23 Oktober lalu.

Khabar menyedihkan buat peminat Kelantan itu telah disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Ahmad Fuad Daud di Wisma FAM pada sidang akhbar pengelolaan perlawanan Piala Sumbangsih 2011, semalam.

''Selepas bersidang pada pagi ini, Jawatankuasa Rayuan berpuas hati dan bersetuju dengan hukuman penggantungan enam bulan yang dikenakan pada jurulatih Kelantan, B. Sathianathan oleh Jawatankuasa Disiplin.
''Hukuman itu akan bermula berkuatkuasa pada hari ini, 24 Januari dan akan berakhir pada 23 Julai.
''Selain itu, Kelantan harus mencari seorang caretaker coach (jurulatih sementara) yang mempunyai lesen kejurulatihan kelas A sepanjang tempoh penggantungan Sathianathan kerana mengikut peraturan teknikal pertandingan FAM, mereka tidak boleh mendaftar seorang jurulatih atau pemain yang sedang mengalami penggantungan," kata Ahmad Fuad.
Sathianathan sebelum ini digantung enam bulan dan didenda RM2,000 oleh Jawatankuasa Disiplin kerana bersalah mempertikaikan keputusan keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dengan memberi kenyataan kepada media berhubung stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika saingan Liga Super.
Dia sempat menjalani hukuman tersebut dalam satu perlawanan ketika Kelantan menentang Kedah di peringkat separuh akhir kedua Piala Malaysia pada 23 Oktober lalu.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan FAM membuat keputusan dua hari selepas itu untuk menangguhkan hukuman Sathianathan dan membenarkan bekas jurulatih kebangsaan berkenaan berada di bangku simpanan pemain pada perlawanan akhir Piala Malaysia berdepan Negeri Sembilan.

Apa yang pasti, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ternyata menghadapi tugas yang cukup berat bagi mencari seorang jurulatih berkelas A dalam masa kurang seminggu sebelum menentang Selangor di Stadium Shah Alam.
Beberapa nama mula dikaitkan untuk memegang jawatan panas itu seperti bekas pengendali Kedah dan Harimau Muda, Mohd. Azraai Khor Abdullah dan M. Karathu.

Dalam masa sama, Ahmad Fuad berkata hukuman yang dijatuhkan kepada pengendali T-Team, Che Ku Marzuki akan berakhir pada 20 April selepas menjalani hukuman pada 21 Oktober tahun lalu.

Monday, January 24, 2011

Happy penaja utama Kelantan



ANNUAR (kanan) diperkenalkan kepada pemain Kelantan pada majlis menandatangani tajaan di Kota Bharu semalam.



KELANTAN melengkapkan persiapan untuk mengharungi Liga Super musim 2011 dengan mengumumkan penaja-penaja yang akan bersama pasukan itu dengan syarikat jenama prabayar Happy sebagai rakan kongsi dan penaja utama dengan tajaan bernilai jutaan ringgit.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa memberitahu, selain Happy, enam lagi penaja, Al-Hamra Group, TRW Station, Umbro, Al-Jabbar, Sinar Harian dan Yusmira Trading turut bersama-sama memberikan sumbangan dalam usaha mengukuhkan lagi dana The Red Warriors.
Menurutnya, dengan adanya penajaan ini terutama beberapa syarikat yang dipelopori anak jati Kelantan ini mampu menaikkan semangat pasukan Kelantan yang pastinya berdepan cabaran hebat untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sebelum ini.
"Saya tidak bercadang untuk mendedahkan jumlah keseluruhan penajaan ini tetapi ia cukup memberi suntikan baru kepada KAFA dan pasukan Kelantan yang pastinya berdepan cabaran hebat untuk musim baru bola sepak tempatan.
"Happy bukan sekadar penaja utama untuk pasukan Liga Super Kelantan tetapi sebagai rakan kongsi dalam program pembangunan akar umbi bola sepak Kelantan dengan penubuhan pusat, klinik dan karnival bola sepak serta liga bawah umur," katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani dokumen penajaan oleh semua penaja selain memperkenalkan jersi Kelantan untuk musim 2011 bersama logo penaja di Pusat Dagangan Kelantan, Kota Bharu semalam.

Sunday, January 23, 2011

Wakil rakyat sambut syor wajib ujian kesihatan

Beberapa anggota parlimen menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan wakil rakyat menjalani ujian kesihatan setiap tahun untuk mengenal pasti tahap kesihatan mereka bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.

Bagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, anggota Parlimen bukan sahaja hanya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun malah perlu diberi latihan bagaimana untuk mengawal tekanan memandangkan tanggungjawab mereka.

Anggota parlimen Santubong itu berkata walaupun ajal dan maut di tangan Tuhan, tetapi wakil rakyat mestilah menjaga kesihatan bagi memastikan mereka sihat untuk berkhidmat.

Sebagai orang yang berpengalaman sebagai wakil rakyat, iaitu telah menjadi wakil rakyat sejak 20 tahun lepas dan mewakili dua kawasan parlimen yang berbeza iaitu di Batang Lupar selama tiga penggal (1990-2004) dan di Santubong sejak pilihan raya umum 2004 hingga kini, beliau berkata terdapat masalah yang berbeza dari satu kawasan ke satu kawasan.

"Untuk jadi wakil rakyat perlu bersedia dengan semua ini," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa pihaknya akan membawa ke mesyuarat mingguan jemaah menteri minggu ini untuk mewajibkan wakil rakyat menjalani pemerikasaan kesihatan berikutan banyak pilihan raya kecil diadakan berikutan kematian wakil rakyat disebabkan masalah kesihatan. 

Sejak pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008, sebanyak 14 pilihan raya kecil telah diadakan dengan 10 daripadanya berikutan kematian wakil rakyat kerana pelbagai masalah kesihatan.

Sementara yang terbaru ialah kematian ADUN Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada Khamis lepas kerana serangan jantung yang menjadikan jumlah pilihan raya kecil meningkat kepada 15.

Dua lagi wakil rakyat BN yang meninggal kerana serangan jantung ialah Datuk Razali Ismail anggota Parlimen Kuala Terengganu pada 28 Nov 2008 dan ADUN Batang Ai Datuk Dublin Unting Batang Ai, 55, pada 24 Februari 2009.

Selain itu tiga wakil rakyat Pas iaitu anggota parlimen Bukit Gantang Roslan Shaharom, 50, pada 9 Feb 2009, ADUN Manek Urai Ismail Yaacob, 60, (25 Mei 2009), ADUN Permatang Pasir Datuk Hamdan Abdul Rahman,63, (31 Julai 2009) juga meninggal akibat sakit jantung.

Seramai tiga wakil rakyat meninggal kerana penyakit kanser iaitu anggota parlimen Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac 2010 kerana barah otak, anggota Parlimen Sibu Datuk Robert Lau dari BN, 68, pada 9 April 2010 kerana kanser hati dan Adun Galas Chek Hashim Sulaima dari Pas, 47, kerana barah usus pada 27 Sept 2010.

Bagi anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar cadangan Liow itu adalah satu inisiatif yang baik, malah beliau sendiri sejak menjadi wakil rakyat pada 1999 sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.

"Tetapi pemeriksaan ini bukanlah satu cara untuk mencegah kematian. Mungkin dalam tempoh enam bulan selepas melakukan pemeriksaan kita jatuh sakit, kita tidak akan tahu perkara itu dan ianya di luar kawalan doktor," kata Naib Presiden Pas itu.

Anggota parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahalan pula mencadangkan maklumat mengenai kesihatan wakil rakyat itu perlu dirahsiakan dengan hanya pemimpin parti sahaja yang mengetahui mengenainya.

Abdul Rahman juga mencadangkan supaya wakil rakyat juga perlu berhati-hati dalam menggunakan pengangkutan semasa melawat kawasan kerana ada yang terpaksa menaiki bot ataupun menaiki kenderaan berjam-jam untuk sampai ke kawasan masing-masing terutama di luar bandar.

Bagi Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw, 69, yang merupakan antara anggota Parlimen paling lama iaitu anggota Parlimen Kepong sejak pilihan raya umum 1982 dan seorang doktor berkata berkata:

"Walaupun kita tidak boleh menjamin kesihatan seseorang selepas pemeriksaan kesihatan setiap tahun (atau berkala), ia boleh memberikan peringatan kepada mereka mengenai betapa pentingnya kesihatan itu (untuknya)."

--Bernama

Saturday, January 15, 2011

Sathia dapat ilham 'skuad bayangan'

KOTA BHARU - Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sudah menemui skuad bayangan yang akan membarisi kesebelasan utama Red Warriors untuk menghadapi perlawanan pembuka tirai menentang Selangor pada 29 Januari ini.

Menurutnya, senarai tersebut bagaimanapun masih lagi peringkat awal, memandangkan ada beberapa pemainnya mengalami kecederaan dan mungkin memerlukan rombakan.

"Skuad bayangan sudah ada, namun semua ini bergantung kepada tahap kecergasan pemain dan saya harap pemain yang cedera dapat pulih secepat mungkin. Mulai esok (hari ini) kita akan beraksi dalam empat siri perlawanan.
"Bermula dengan Kedah dan harap pemain dapat menunjukkan peningkatan. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat peningkatan mendadak yang ditunjukkan oleh para pemain kerana kita ada banyak yang perlu dihadapi," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Sultan Muhammed IV di sini, semalam.
Tambahnya, beliau mahu pemainnya menunjukkan peningkatan secara berperingkat dalam setiap perlawanan yang diharungi.

Menurut Sathianathan, dia tidak akan mengambil mudah perlawanan persahabatan ini dan mahukan pemainnya memberikan tumpuan sepenuhnya.

"Perlawanan ini cukup penting buat kita dalam membentuk persefahaman yang mantap di kalangan pemain, selain memperbaiki kelemahan yang ada.

"Inilah peluang buat semua pemain untuk mendapatkan semula rentak permainan, kerana ia tidak boleh datang dalam satu atau dua perlawanan sahaja,'' katanya.

Jelasnya, pasukan-pasukan lain termasuk dari utara tanah air sudah beraksi sepuluh perlawanan, sedangkan pasukannya baru sahaja memasuki perlawanan kelima.

Sesi latihan semalam menyaksikan Red Warriors turun tanpa beberapa pemain utama seperti Khalid Jamlus dan K. Soley. Namun, ia merupakan penampilan sulung anak pengurusi Kelab Bola Sepak Cardiff City, Nicholas Can yang akan menyarung jersi pasukan itu.

"Saya beri Soley pelepasan kerana emaknya masuk hospital dan berada dalam keadaan kritikal, manakala Khalid di hantar ke Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapat rawatan bagi memulihkan kecederaan yang dihadapinya," katanya.

Sepanjang enam siri perlawanan persahabatan setakat ini, Kelantan tewas tiga, selebihnya mencatatkan keputusan seri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...