Friday, February 18, 2011

PRK DUN Kerdau dan Merlimau diadakan serentak 6 Mac ini

Kuching 18 Feb. - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Pahang akan diadakan serentak dengan PRK DUN Merlimau, Melaka pada 6 Mac ini.

Hari penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu pula ditetapkan pada 26 Februari.
Kedua-dua tarikh tersebut diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof pada satu sidang akhbar di sini, sebentar tadi. - utusan

Raja Ahmad tak putus-putus minta FAM kaji ‘Awang Import’

IPOH 18 Feb. - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diminta menimbangkan semula cadangan membenarkan setiap pasukan dalam Liga Super mendapatkan khidmat pemain import.

Anggota Jawatankuasa FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, langkah itu adalah lebih berkesan dalam membangunkan mutu bola sepak negara kerana ia melibatkan keseluruhan pasukan.

"Adalah lebih baik memberikan kebenaran kepada pasukan Liga Super mendapatkan khidmat pemain import kerana ia dapat memberi pendedahan kepada pemain muda dalam pasukan untuk terus maju,” katanya.

Beliau berkata, ia lebih sesuai dalam keadaan sekarang di mana banyak pasukan Liga Super mempunyai pemain muda yang berbakat dan mereka memerlukan pendedahan dalam sukan itu.

Katanya, sekiranya pemain muda mendapat pendedahan yang cukup maka mereka akan lebih berani untuk mencuba nasib mereka di liga Eropah seperti pemain dari benua Afrika. - Bernama

Mahkamah isytihar kerusi DUN Pelabuhan Klang tidak kosong

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan tiada kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang dan Badrul Hisham Abdullah kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri. - BERNAMA

23 pramugari tuntut gaji tertunggak RM92,000

Seramai 23 pramugari Malaysia di sebuah syarikat penerbangan yang berpengkalan di Jeddah, Arab Saudi hari ini menuntut pembayaran gaji dan elaun mereka yang tertunggak sejak empat bulan lalu.

Menurut wakil mereka, sejak November lalu, syarikat penerbangan swasta itu tidak membayar gaji mereka sebanyak SAR$5,000 (RM4,000) sebulan serta pelbagai elaun yang dijanjikan dalam kontrak pekerjaan.

NONE"Kami sudah ambil tindakan awal, termasuk mendesak. Kami menerima respons (daripada majikan), tetapi bukan respons yang baik," kata gadis 30 tahun itu yang enggan identitinya didedahkan.

"Bila bekerja, sudah tentu kami mahu dibayar."

Bercakap dalam sidang media di pejabat biro aduan komuniti Pemuda Umno di ibu negara, beliau berkata akibat kegagalan syarikat itu (nama tidak didedahkan) membuat bayaran itu, seramai 32 daripada mereka menghadapi masalah kewangan.

"Kalau sebulan gaji tidak dibayar sudah menjadi masalah. Bila jadi, bayaran kredit kad contohnya, bila tidak dibayar, bunganya meningkat bertimbun-timbun," katanya.

Turut hadir beberapa anggota keluarga mangsa dan pengerusi biro aduan pergerakan itu Datuk Muhd Khairun Aseh.

Bincang di Jeddah
Daripada kesemua pramugari Malaysia di syarikat penerbangan tersebut, 29 daripada mereka meminta bantuan Pemuda Umno bagi menyelesaikan masalah itu.

Kecuali seorang, semua pramugari tersebut masih berada di Jeddah dan tidak lagi diberikan sebarang tugas.

NONESementara itu, Muhd Khairun(tengah, berkemeja putih) pula berkata, setelah mendapat aduan tersebut, pihaknya pergi ke Jeddah dan berbincang sendiri dengan kesemua pramugari terbabit pada 11 Februari lalu.

Hasil perbincangan dua jam, tambahnya, biro itu bersedia menawarkan bantuan menjadi orang tengah menuntut pembayaran itu dan membawa pulang pramugari berkenaan ke Malaysia sekiranya perlu.

"Kita beri masa tujuh hari, mulai hari ini, supaya bayaran tersebut dilunaskan. 

"Jika tidak, memandangkan kontrak dicabuli, kita akan berusaha membawa mereka pulang ke pangkuan keluarga," katanya sambil memberitahu akan meneruskan dengan tindakan undang-undang.

Muhd Khairun juga berkata, janji kosong syarikat itu bermula sejak April tahun lepas apabila gaji mula lewat dibayar.

SPR umum tarikh p'raya kecil Kerdau Ahad ini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh bagi pilihan raya kecil DUN Kerdau Ahad ini di Kuching semasa ia mengadakan perjumpaan dengan parti-parti politik di Sarawak sebagai persediaan untuk pilihan raya negeri.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata anggota SPR akan berhimpun di Kuching Sabtu ini untuk mengadakan siri perjumpaan dengan pemimpin parti-parti politik atau wakil mereka, khususnya untuk memberikan taklimat mengenai peraturan pilihan raya.

"Ini akan diikuti dengan mesyuarat khas SPR mengenai PRK Kerdau pada keesokan harinya untuk memutuskan tarikh pilihan raya kecil bagi (DUN) Kerdau, Pahang," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Wan Ahmad berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof. Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim dari BN Sabtu lepas.

"Selain daripada mesyuarat parti-parti politik dan mesyuarat khas SPR mengenai PRK Kerdau, SPR juga akan mengadakan siri mesyuarat lain di Sarawak pada minggu depan, yang termasuk mesyuarat bulanannya. Alasan bagi kami mengadakan mesyuarat di Kuching kerana kami tidak mahu membazir masa," katanya.

Selain itu, Wan Ahmad turut mengesahkan semua pegawai SPR di Sarawak akan menjalani kursus latihan selama dua minggu pada Mac sebagai persiapan menghadapi pilihan raya negeri selepas selesainya pilihan raya kecil DUN Merlimau, Melaka pada 6 Mac.

Kursus itu akan diadakan di semua 71 kawasan di negeri itu bagi pegawai pilihan raya, timbalan pegawai pilihan raya dan kerani pilihan raya.

Walaupun terdapat spekulasi yang pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan dalam waktu terdekat kerana penggalnya sekarang tamat pada 24 Julai, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud masih belum memberikan isyarat nyata bila Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan.

Dua hari lepas, Taib, yang akan genap 30 tahun memegang jawatan Ketua Menteri pada 26 Mac ini, menyangkal desas-desus yang beliau akan membubarkan Dewan Undangan Negeri pada minggu ini. SPR disyaratkan mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Suruhanjaya itu dilaporkan telah memperuntukkan RM45 juta bagi pilihan raya negeri akan datang.

Parti-parti politik dan pemimpin dari negeri itu dan pusat sudahpun mula berkampung Sarawak untuk membuat persediaan bagi pilihan raya negeri dengan BN akan mengadakan konvensyennya pada 6 Mac di Kuching.

BN Sarawak menguasai 63 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 71 kerusi, dengan 35 kerusi dipegang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), 12 oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan masing-masing lapan kerusi oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).

Bagi baki lapan lagi kerusi, DAP menguasai enam, Parti Keadilan Rakyat satu, dan satu lagi oleh wakil rakyat Bebas.

BN dijangka mengekalkan kuasa dengan majoriti selesa walaupun parti-parti pembangkang, terutamanya DAP cuba menawan lebih banyak kerusi di kawasan bandar.

Pada 2006, Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 24 April dengan penamaan calon diadakan pada 9 Mei dan pengundian 20 Mei.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...