Sunday, January 23, 2011

Terbuka Malaysia 2011: Chong Wei Juara

KUALA LUMPUR 23 Jan. - 

Perseorangan badminton No 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei berjaya menjuarai kejohanan Terbuka Proton Malaysia Siri Super 2011 buat kali ketujuh selepas memenangi perlawanan menentang pemain Indonesia, Taufik Hidayat.

Chong Wei berjaya menundukkan Taufik 21-8, 21-17 dalam tempoh 36 minit di Stadium Putra, Bukit Jalil untuk merangkul hadiah kemenangan AS$30,000 (RM91,800) yang disampaikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. - Utusan

Kalau nak debat soal peribadi saya sedia, Anwar cabar Najib

Datuk Seri Anwar Ibrahim turun membantu kempen PAS-Pakatan Rakyat di Tenang malam tadi dengan mencabar Datuk Seri Najib Razak berdebat mengenai soal peribadi jika perdana menteri terus menyerang soal peribadinya dan tidak sanggup sentuh dasar ekonomi kedua-dua perikatan.

Dua minggu lalu Anwar mencabar Najib agar berdebat berhubung dasar ekonomi kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat termasuk mengenai Buku Jingga.

“Saya cabar debat soal ekonomi tapi beliau (Najib) cakap peribadi, tapi kalau nak debat peribadi saya terima.

“Saya beri ingatan kepada beliau, kalau sebut lagi soal peribadi, saya cabar beliau debat soal peribadi.

“Tapi sekarang adalah soal ekonomi sebab itu saya cabar debat soal ekonomi,” kata Anwar ketika memberikan ceramah di Taman Gunung Emas di sini malam tadi.

Ketika berada di sini awal minggu lalu, Najib berkata Anwar sewajarnya jangan terlalu mendesak untuk berdebat kerana beliau mempunyai pelbagai maklumat yang boleh menyebabkan ketua pembangkang itu “demam” kelak jika dibongkarkan ketika berdebat.

Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau sebenarnya tidak gentar untuk berdebat dengan Anwar tetapi menyifatkan tindakan berdebat itu hanya akan membuang masa kerana pembohongan ketua pembangkang itu dan kegagalannya menunaikan janji.

“Dah cukuplah pembohongan, janji banyak tak boleh buat, ini nak debat dengan saya pula, buang masa. Saya boleh debat dengan dia, saya tak takut, saya dengan menteri saya tahu segala maklumat.

“Jangan cuba nak cabar saya, kalau saya dedahkan segala-galanya, ada orang yang demam nanti,” katanya.

Gelanggang kempen kerusi DUN Tenang dibuka secara rasmi semalam dengan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon BN dan Pakatan Rakyat.

BN menurunkan Mohd Azahar Ibrahim, 39, iaitu bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS yang mewakili Pakatan Rakyat mencalonkan Ketua Dewan Muslimat Labis Normala Sudirman, 38.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.

Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi pada pilihan raya umum 2008.

Anwar, yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Najib berdebat soal ekonomi mengenai Program 100 Hari Pakatan Rakyat, namun ditolak pengerusi BN itu.

Najib berkata Anwar tidak perlu bersusah payah memikirkan soal debat kononnya demi kebajikan rakyat kerana BN akan bertanggungjawab dalam memastikan soal kebajikan rakyat dipelihara.

Selasa lalu, Anwar sekali lagi mencabar Najib agar berdebat dengan beliau berhubung kedudukan ekonomi negara dan juga mengenai Buku Jingga Pakatan Rakyat dengan menulis surat secara formal.

Pada 19 Disember lalu, Pakatan Rakyat menawarkan Program 100 Hari yang terdiri daripada 10 inisiatif jika pihaknya mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.

Dalam ceramahnya malam tadi, Anwar mempertahankan Program 100 Hari Pakatan Rakyat sambil menyifatkan gabungan tiga parti komponen termasuk PAS dan DAP mampu memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat sekiranya berjaya merampas Putrajaya daripada BN.

“Ini program (100 Hari Pakatan Rakyat) kita buat bukan untuk lima tahun, tapi 100 hari kalau kita perintah (Putrajaya) kita akan laksanakan.

“Perdana Menteri kata kalau Pakatan Rakyat perintah Malaysia akan bankrap, saya tak cabar beliau debat tapi beliau kata kita tidak bertanggungjawab.

“Kalau kita perintah ini yang akan kita lakukan, mana negara akan bankrap... negara bankrap kerana pemimpin curi duit rakyat dan rasuah,” katanya.

Tambah Anwar, sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Putrajaya barisan kepimpinan parti itu akan memastikan pentadbiran negara akan berjalan dengan baik tanpa amalan-amalan yang tidak baik.

“Jadi pemimpin bagi wang kepada kroni, bila tanya kata jaga rakyat... sebab itu saya ajak Perdana Menteri berdebat tapi beliau mengelak.

“Saya tahu beliau tidak boleh jawab... maknanya kalau kita memerintah kita tidak akan bertolak ansur, kita akan hukum siapa yang terlibat baik orang Melayu, Cina atau India.

“Sebab itu kita yakin kalau boleh perintah kita akan bersihkan dan kembalikan wang rakyat,” katanya. - TheMalaysianInsider

PRK Merlimau: Umno Jasin Akan Kemuka Tiga Nama Calon

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam meminta Umno Bahagian Jasin mengemukakan tiga calon yang akan dipilih bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.
Beliau berkata, senarai pendek itu akan diserahkan kepadanya selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri dan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat untuk diputuskan.
"BN Melaka telah menyusun rapi jentera pilihan raya untuk menghadapi pilihan raya kecil DUN Merlimau," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2010 Sesi Ketiga di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh di sini, Ahad.
Penganugerahan itu disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob kepada 306 penerima yang didahului oleh Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi yang menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Pengerusi Eksekutif Bersama NAZA Group of Companies, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.M.S.M.) yang membawa gelaran Datuk Wira.
Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasaan 54, akibat serangan jantung di Hospital Pakar Putra pada Khamis lepas.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Pertanian negeri serta Naib Ketua Umno Bahagian Jasin menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu sejak 2004.
Mengulas mengenai beberapa individu melobi untuk dinamakan sebagai calon, Mohd Ali berkata ia merupakan perkara biasa setiap kali berlakunya pilihan raya.
Beliau berkata kriteria calon yang dipilih bertanding mestilah yang mampu menang, rajin bekerja, mempunyai rekod bersih dan disenangi rakyat.
Mengenai rombakan Exco bagi menggantikan Allahyarham Mohamad Hidhir, Ketua Menteri itu berkata setakat ini belum diputuskan lagi.
"Sekarang ini saya belum fikir nak isi kekosongan itu, kita tunggu dulu, sekarang kita hendak uruskan pilihan raya (Merlimau)," katanya. BERNAMA

Wakil rakyat sambut syor wajib ujian kesihatan

Beberapa anggota parlimen menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan wakil rakyat menjalani ujian kesihatan setiap tahun untuk mengenal pasti tahap kesihatan mereka bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.

Bagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, anggota Parlimen bukan sahaja hanya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun malah perlu diberi latihan bagaimana untuk mengawal tekanan memandangkan tanggungjawab mereka.

Anggota parlimen Santubong itu berkata walaupun ajal dan maut di tangan Tuhan, tetapi wakil rakyat mestilah menjaga kesihatan bagi memastikan mereka sihat untuk berkhidmat.

Sebagai orang yang berpengalaman sebagai wakil rakyat, iaitu telah menjadi wakil rakyat sejak 20 tahun lepas dan mewakili dua kawasan parlimen yang berbeza iaitu di Batang Lupar selama tiga penggal (1990-2004) dan di Santubong sejak pilihan raya umum 2004 hingga kini, beliau berkata terdapat masalah yang berbeza dari satu kawasan ke satu kawasan.

"Untuk jadi wakil rakyat perlu bersedia dengan semua ini," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa pihaknya akan membawa ke mesyuarat mingguan jemaah menteri minggu ini untuk mewajibkan wakil rakyat menjalani pemerikasaan kesihatan berikutan banyak pilihan raya kecil diadakan berikutan kematian wakil rakyat disebabkan masalah kesihatan. 

Sejak pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008, sebanyak 14 pilihan raya kecil telah diadakan dengan 10 daripadanya berikutan kematian wakil rakyat kerana pelbagai masalah kesihatan.

Sementara yang terbaru ialah kematian ADUN Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada Khamis lepas kerana serangan jantung yang menjadikan jumlah pilihan raya kecil meningkat kepada 15.

Dua lagi wakil rakyat BN yang meninggal kerana serangan jantung ialah Datuk Razali Ismail anggota Parlimen Kuala Terengganu pada 28 Nov 2008 dan ADUN Batang Ai Datuk Dublin Unting Batang Ai, 55, pada 24 Februari 2009.

Selain itu tiga wakil rakyat Pas iaitu anggota parlimen Bukit Gantang Roslan Shaharom, 50, pada 9 Feb 2009, ADUN Manek Urai Ismail Yaacob, 60, (25 Mei 2009), ADUN Permatang Pasir Datuk Hamdan Abdul Rahman,63, (31 Julai 2009) juga meninggal akibat sakit jantung.

Seramai tiga wakil rakyat meninggal kerana penyakit kanser iaitu anggota parlimen Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac 2010 kerana barah otak, anggota Parlimen Sibu Datuk Robert Lau dari BN, 68, pada 9 April 2010 kerana kanser hati dan Adun Galas Chek Hashim Sulaima dari Pas, 47, kerana barah usus pada 27 Sept 2010.

Bagi anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar cadangan Liow itu adalah satu inisiatif yang baik, malah beliau sendiri sejak menjadi wakil rakyat pada 1999 sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.

"Tetapi pemeriksaan ini bukanlah satu cara untuk mencegah kematian. Mungkin dalam tempoh enam bulan selepas melakukan pemeriksaan kita jatuh sakit, kita tidak akan tahu perkara itu dan ianya di luar kawalan doktor," kata Naib Presiden Pas itu.

Anggota parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahalan pula mencadangkan maklumat mengenai kesihatan wakil rakyat itu perlu dirahsiakan dengan hanya pemimpin parti sahaja yang mengetahui mengenainya.

Abdul Rahman juga mencadangkan supaya wakil rakyat juga perlu berhati-hati dalam menggunakan pengangkutan semasa melawat kawasan kerana ada yang terpaksa menaiki bot ataupun menaiki kenderaan berjam-jam untuk sampai ke kawasan masing-masing terutama di luar bandar.

Bagi Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw, 69, yang merupakan antara anggota Parlimen paling lama iaitu anggota Parlimen Kepong sejak pilihan raya umum 1982 dan seorang doktor berkata berkata:

"Walaupun kita tidak boleh menjamin kesihatan seseorang selepas pemeriksaan kesihatan setiap tahun (atau berkala), ia boleh memberikan peringatan kepada mereka mengenai betapa pentingnya kesihatan itu (untuknya)."

--Bernama

Orang Asli Ulu Juaseh gembira terima rumah baru

LABIS, 23 Jan. - Kegembiraan jelas terpancar di wajah Shariff Dagoh dan tiga orang anaknya ketika mengiringi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal untuk melawat rumah barunya.

Beliau merupakan salah satu daripada tujuh keluarga masyarakat Orang Asli daripada suku kaum Jakun di Kampung Ulu Juaseh di sini yang menerima rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), semalam.
"Saya macam tak percaya bila dapat tinggal rumah batu yang cantik ini. Kami sekeluarga memang amat gembira. Dulu tinggal di rumah lama, tak selesa, tetapi sekarang ini semua cantik,” katanya ketika ditemui di rumah barunya yang turut dilengkapi bekalan elektrik dan air itu, hari ini.

Shariff, 30, yang juga merupakan anak kepada Tok Batin kampung itu, Dagoh Tanda berkata, beliau telah membuat permohonan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) tahun lepas untuk mendapatkan rumah baru.
Katanya, permohonan kepada JKOA telah diproses dengan cepat dan pada penghujung tahun lepas, beliau sekeluarga telah dibenarkan menginap di rumah baru yang mempunyai tiga buah bilik itu. - Bernama

KOMEN:
NASIB BAIK ADA PILIHANRAYA KECIL, KALAU TAK SAMPAI MATI PUN TAK DAPAT RUMAH BARU.
SALAH SATU BUKTI RASUAH PILIHANRAYA.

Tidak konsisten: PAS bidas pendirian Najib

LABIS, 23 Jan: Kenyataan tidak konsisten Datuk Seri Najib Razak berhubung beberapa isu besar negara menunjukkan Perdana Menteri itu banyak dolak dalih, kata AJK PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar.
Beliau memberi contoh, Najib ketika mula memegang jawatan Perdana Menteri ada mengumumkan bahawa zaman kerajaan tahu semua perkara sudah berakhir.
Namun apa yang dihairankan katanya, dalam isu debat dengan Datuk Seri Anwar, Najib mendakwa beliau selaku perdana menteri tahu semua benda dan tidak takut dengan Anwar.
"Bila Najib jadi PM dulu, dia umum zaman kerajaan tahu semua sudah berakhir.
"Kononnya beliau merendah diri dan menghormati pihak lain yg juga berpengetahuan.
"Tapi berbeza dalam isu debat, beliau secara terbuka menjawab dengan angkuh, "saya perdana menteri saya tahu semua perkara," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat, berkata demikian ketika ditemui di pusat penamaan calon PRK Tenang semalam.
Tambahnya, Najib sekali lagi membuka pekung dirinya apabila tidak mahu merespon berhubung dakwaan penyeludupan wang secara haram ke luar negara yang dianggar bernilai lebih RM67.7 bilion.
Najib sebaliknya hanya mahu pihak Bank Negara Malaysia membuat ulasan berhubung perkara itu.
Terdapat laporan berita yang mengatakan Malaysia menduduki tempat kelima di kalangan negara-negara yang mencatatkan pengaliran keluar wang haram paling banyak.
Laporan tersebut didakwa berdasarkan laporan oleh badan pengawas kewangan yang berpangkalan di AS, Global Financial Integrity (GFI).
Menurut laporan itu pengaliran keluar wang haram dari Malaysia pada 2000 berjumlah RM67.7 bilion (US$22.2 bilion) yang, lapan tahun kemudian, melonjak kepada RM208 bilion (US$68.2 bilion).
"Beliau bukan seorang yang konsisten. Hanya bercakap untuk lepaskan diri sahaja," kata Kamaruddin.
Sehubungan itu, beliau mahu Najib sekali lagi menyatakan pendirian beliau terhadap cabaran debat yang dibuat Ketua Umum PKR itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...