Sunday, August 21, 2011

KITA Letak Calon Di Selangor, Kelantan: Zaid Ibrahim


KOTA BARU: Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) bercadang meletakkan calon di Selangor dan Kelantan pada pilihan raya umum akan datang, kata Presidennya Datuk Zaid Ibrahim.
Bagaimanapun, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata beliau tidak dapat menentukan jumlah calon dan kerusi yang akan ditandingi di kedua-dua negeri itu.
"Setakat ini, kita hanya mengenal pasti dua negeri iaitu Selangor dan Kelantan untuk diletakkan calon KITA dalam pilihan raya kali ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan hari raya kepada orang kurang upaya di sini, Ahad.
Bekas Anggota Parlimen Kota Baharu itu berkata beliau sendiri belum dapat menentukan sama ada akan bertanding di kawasan Parlimen itu atau di luar Kelantan.
Menyentuh cadangan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk menambah baik sistem pilihan raya di negara ini, Zaid berkata semua pihak harus memanfaatkan penubuhan badan itu dan tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan mana-mana pihak.
Pembangkang juga tidak harus membuat tuntutan tidak munasabah dalam mengutarakan perasaan tidak puas hati dengan perjalanan proses pilihan raya di negara ini, sehingga tidak ada jalan penyelesaian, katanya lagi. - BERNAMA

Tsu Koon: 27,000 ahli baru sertai Gerakan

Gerakan menolak dakwaan bahawa parti itu sudah tidak relevan, sambil mendedahkan bahawa 27,000 ahli baru telah menyertai parti itu di seluruh negara sejak 2008.

NONEPresiden parti itu, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata di Sabah sahaja, 
terdapat kira-kira 10,000 ahli baru dan kira-kira 4,000 lagi di Pahang.

Bagaimanapun, katanya, Pulau Pinang mencatatkan bilangan ahli baru yang lebih rendah - kira-kira 1,000 orang - kerana banyak cawangannya mempunyai keahlian penuh.

Menurutnya, kini terdapat kira-kira 50,000 ahli Gerakan di Pulau Pinang.

"Ini mencerminkan bahawa kita (Gerakan) masih relevan. Benar kita daftar lebih ramai ahli di negeri-negeri lain di mana kita tidak mempunyai pengaruh kuat sebelumnya, tetapi kini kita mendapat sokongan di sana," katanya ketika berucap di hadapan 200 hadirin di majlis makan malam parti itu malam tadi.

"Kita adalah satu-satunya parti yang mencatatkan peningkatan 100 peratus dalam (bilangan) YB (ahli parlimen dan ADUN)... kami mempunyai empat orang selepas pilihan raya umum lepas, dan kini disertai empat lagi wakil rakyat bebas dari Sabah dan Pahang," katanya .

Mereka ialah tiga dari Sabah - Raymond Tan Shu Kiah (Tanjung Papat), Au Kam Wah (Elopura) dan Peter Pang En Yin (Karamunting) - dan seorang dari Pahang - Ho Yip Kap (Tanah Rata).

"Jadi, jangan kata kita tidak relevan. Bagaimana YB ini memilih kita, dan bukan yang (parti) lain?" soalnya.

Azmil Mustapha nafi menghina Agong

Pelakon yang kini menjadi pendakwah, Azmil Mustapha, menafikan beliau menyampaikan ceramah berbaur hasutan politik supaya rakyat membenci Yang di-Pertuan Agong ketika memberi tazkirah di Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang.

Mingguan Malaysia melaporkan pelakon filem Ali Setan itu sebagai berkata beliau terkejut apabila laporan polis dibuat oleh bilal masjid berkenaan pagi kelmarin, mengatakan beliau ada mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Saya tidak mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan, apatah lagi menghina Yang di-Pertuan Agong. Tuduhan itu tidak berasas kerana ai tiada kena mengena dengan politik.

"Saya bukan sahaja tidak pernah mengundi pada pilihan raya umum, malah tidak berdaftar dengan mana-mana parti politik di negara ini," katanya dalam laporan Utusan tersebut.

Sebaliknya, jelas Azmil, tazkirah yang disampaikannya di masjid tersebut adalah berasas kepada ayat-ayat al-Quran.

Menurutnya, antara perkara yang disampaikannya ialah umat Islam wajib mengutamakan Allah berbanding manusia, tidak kira siapa orang itu.

Sementara itu, ketua polis daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya sedang meneliti laporan polis yang dibuat.

Menurutnya, setakat ini, siasatan masih di peringkat awal dan beliau meminta orang ramai memberi peluang kepada pihak polis untuk menyiasat kes itu secara terperinci.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...