Saturday, July 19, 2008

MB: Kes MP Kelana Jaya ditumbuk selesai

MalaysiaKini
Jul 19, 08 3:43pm

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kejadian Ahli Parlimen Kelana Jaya ditumbuk oleh seorang pembantu setiausaha sulit beliau semalam, sudah selesai.

loh gwo burneKejadian tersebut, Loh Gwo Burne ditumbuk oleh oleh pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika cuba memberi pandangan masing-masing yang mewakili penduduk setempat.

Ia berlaku selepas Loh mempersoalkan pembinaan surau Al- Istiqamah semasa upacara pecah tanah pembinaan surau itu di Fasa Kedua Desa Mentari di Kelana Jaya.

Sebelum Loh ditumbuk telah berlaku kekecohan di mana sekumpulan penduduk membantah pembinaan surau itu yang didakwa tidak mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya, Petaling Jaya.

Abdul Khalid berkata, kedua-dua pihak telah bermaafan sesamanya akibat kejadian yang berpunca daripada salah faham.

Menteri besar menyifatkan kejadian itu sebagai 'hal anak-anak muda PKR', demikian menurut laporan Bernama.

"Ia lebih kepada isu dalaman, biasalah anak-anak muda ghairah untuk bawa pendapat masyarakat cuma mungkin cara itu yang tidak kena," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2008 anjuran Jabatan Mufti Selangor di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata kes itu juga akan dirujuk kepada Ketua Bahagian PKR terbabit iaitu, Syed Shahir Syed Mohamud bagi membincangkan tindakan selanjutnya kerana ia hanya membabitkan isu di bahagian berkenaan.

Perbezaan pendapat itu, katanya, perkara biasa dan berlaku di mana-mana, cuma cara untuk menyatakan perbezaan pendapat itu perlu mengikut saluran yang betul agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

Komen Muhd Taib

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata kejadian itu mencerminkan bahawa PKR tidak bijaksana dalam menangani isu yang menyentuh agama.

"Kita (Barisan Nasional) biasanya konsensus berunding antara sesama kita tentang hak masing-masing di mana masjid di mana surau di mana gereja kita benarkan semua.

"Nampak sesama dia sudah wujud pertelingkahan sebegitu sampai (ke tahap) fizikal ahli parlimennya ditumbuk ini menunjukkan mereka tidak berjaya mengawal keadaan," katanya ketika

diminta mengulas mengenai kejadian itu selepas merasmikan Seminar Sehari "Islam Hadhari atau Hadharah Islamiah ?" anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata nampaknya Pakatan Rakyat retak kerana beberapa peristiwa yang memperlihatkan keretakan itu seperti ada yang tidak diajak berunding, ada yang terasa terpinggir dan ada yang cuba menguasai.

Gwo Burne: Saya tidak marah...

Petikan: Malaysia Kini
Soon Li Tsin | Jul 19, 08 4:58pm

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne berkata beliau tidak menyimpan sebarang perasaan marah terhadap pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Ahmad yang menumbuknya semalam.

Wakil rakyat PKR itu, yang ditumbuk oleh Mior Azam Shah Mior Yahya di bahagian atas matanya, juga kedengaran tenang sahaja ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"(Cuma) saya masih tidak faham sepenuhnya mengapa dia menumbuk saya, tetapi saya tidak marah padanya.

"Bila melihat saya di balai polis, beliau memohon maaf. Beliau sudah tersilap," katanya.

loh gwo burne interview 270308 02Semalam, Loh telah membuat laporan polis terhadap Azam selepas kejadian tersebut, yang berlaku pada kira-kira jam 3 petang, sewaktu majlis pecah tanah pembinaan sebuah surau di Desa Mentarri di Selangor.

Ahli Parlimen Kelana Jaya pergi ke majlis tersebut selepas mendapat tahu yang penduduk membantah pembinaan surau di situ.

Katanya, masalah tersebut timbul dua minggu lalu apabila penduduk mengadu mengenai pembinaan surau tersebut, tetapi beliau tidak dapat memastikan siapa yang bertanggungjawab membinanya.

Mahu padang permainan

Loh berkata, struktur surau tersebut tidak mendapat kelulusan majlis perbandaran dan penduduk juga tidak bersetuju dengan pembinaannya.

Penduduk mahu kawasan itu dijadikan padang permainan untuk kanak-kanak, bukannya tapak surau," katanya.

Sehubungan itu, Loh berkata, beliau tidak menentang apa sahaja yang dikehendaki oleh penduduk, asalnya ianya dibuat melalui perundingan dan mendapat persetujuan bersama.

Selepas bercakap dengan penduduk yang membantah itu, Loh pergi menemui pihak penganjur majlis pecah tanah tersebut, untuk berbincangkan mengenai perkara itu.

"Saya berulangkali bertanya (kepada Azam), 'Siapa yang bertanggungjawab? Selepas kira-kira 10 kali dan menunjukkan ke arahnya sambil berkata ‘Awak PA tentu tahu'. Ketika itulah dia menumbuk saya di bahagian atas mata saya," katanya.

Sejurus selepas kejadian itu, polis bertindak mengawal orang ramai dan cuba menahan Azam.

Berunding dengan penduduk

Loh kemudian berkata, mereka yang terbabit dengan pembinaan surau itu, telah memutuskan untuk menghentikan projek berkenaan untuk berunding dengan kira-kira 6,000 penduduk di situ.

Azam akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Usaha untuk menghubungi Azam tidak berjaya.

Bosnya, Nik Nazmi kini sedang berada di luar negara dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur malam ini.

Istana T'ganu tidak anugerah darjah kebesaran

Petikan Malaysia Kini
Jul 19, 08 6:56pm

Istana Terengganu, buat pertama kalinya, tidak menganugerahkan sebarang darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-46 Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin, esok.

sultan mizan zainal abidinSetiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong mengesahkan perkara itu melalui surat yang diterimanya dari istana berkenaan tetapi beliau tidak mengetahui sebab-sebab upacara itu tidak diadakan seperti sebelum ini.

"Sama ada selepas ini (esok) ada majlis penganugerahan darjah dan pingat kebesaran atau tidak, saya tidak pasti," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Jet Ski Asean Watercross Super Cup 2008 di Pantai Batu Burok di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut Bernama, penyampaian hadiah itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Mengulas lanjut, Mokhtar berkata majlis tahlil dan doa selamat tetap diadakan di masjid-masjid di seluruh negeri itu, mulai malam ini serta di Istana Maziah tengah hari esok.

Beliau berkata sambutan Hari Keputeraan Sultan Terengganu tahun ini diadakan dalam keadaan sederhana.

DINOSOR, DNA, NORDIN KARDI DAN ALTANTUYA

Petikan: Laman Marhaen

Itu sudah lama. Kena minta sample barulah. Apa salahnya. Kalau dia betul-betul kata tidak terlibat, bagi sampel. Buat sekarang. Saya hendak tengok.” – Utusan Online.

Petikan kata-kata Perdana Menteri Abdullah Badawi yang dilapor dalam akhbar merujuk kepada sampel DNA Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Kata-kata PakLah itu tidak ada beza langsung dengan soalan Nordin Kardi dan bahas Menteri Kabinetnya, Datuk Shabery Chik dalam debat baru-baru ini. Serupa juga tarafnya dengan kenyataan Syed Hamid Albar juga menteri dalam kabinet PakLah.

Persoalan sekarang, keputusan DNA DSAI telah direkod masa kes 1998 dulu. REKOD DNA itu adalah asasnya bukanya sampel DNA. Bukan persoalan sampel lama atau baru, tetapi rekodnya hendaklah kekal dan unik.

Kalau Negara ini mempunyai sistem pentadbiran yang baik, sepertimana sistem yang Najib yakin itu, kenapa tidak dirujuk kepada REKOD yang telah dibuat dulu.?

Kenyataan Perdana Menteri yang mengatakan sampel DNA itu sudah lama dan memerlukan sample baru adalah amat memalukan Negara.

Seolah-olah sampel itu masih ada tetapi tidak boleh diguna untuk dianalisis kerana lama. Betapa bodohnya kenyataan tersebut, kerana anggota badan Dinosor binatang zaman purbakala pun masih boleh diguna untuk analisis DNA.

Tak adakah think-thank dari Biro TataNegara dan Institut Pemikiran Mahathir yang diterajui Nordin Kardi nasihat kepada perdana menteri dan tokoh-tokohnya supaya bercakap cerdik sedikit sesuai dengan jawatan dan kuasa yang ada, walaupun tak lebih dari mempertahankan kedurjanaan saja.?

Kalau REKOD DNA itu sudah hilang, ia jelas menunjukkan betapa pentadbiran undang-undang dan keselamatan Negara sudah tidak boleh diharap lagi kepada pemimpin yang mentadbir Negara sekarang ini.

Tambahan pula, REKOD kemasukan Altantuya juga dilaporkan hilang yang mana tidak boleh membantu siasatan kes kematiannya yang diletup oleh bom C4 dari Kementerian Pertahanan yang dijaga Najib.

Adalah amat dibimbangi kerana Najib (bakal Perdana Menteri ) berkata bahawa dia yakin dengan sistem!. Sebaliknya keadaan yang berlaku adalah amat tidak menyakinkan!.

muramatsu
United Kingdom

Siapakah Rakan Bertanding Ong Tee Keat

19 Julai, 2008 21:40 PM

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Tidak sampai tiga jam selepas tiba dari London menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang malam tadi, Naib Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan tertinggi parti pada pemilihan Oktober ini.

Seperti yang telah dijangkakan oleh kebanyakan pemerhati politik dan anggota parti, "Lone Ranger MCA" ini berkemungkinan akan bertanding jawatan tertinggi parti selepas presiden parti Datuk Seri Ong Ka Ting mengumumkan keputusannya bulan lepas untuk tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan kali ini.

Namun yang mengejutkan ramai pihak, ialah masa pengumuman yang dibuat oleh Tee Keat.

Beliau dijangkakan mengumumkan keputusannya itu selepas pemilihan bahagian hujung minggu ini, tetapi sebaliknya beliau mengumumkannya selepas menghadiri satu majlis di Serdang malam tadi.

"Selepas majlis tersebut berakhir, Tee Keat memberitahu saya beliau akan mengadakan sidang akhbar. Saya kemudiannya menyediakan sebuah bilik untuk sidang akhbar tersebut. Kemudian beliau memberitahu saya, beliau mahu membuat pengumuman untuk bertanding jawatan presiden parti.

"Saya terkejut dan memberitahunya bahawa sekiranya beliau mengumumkannya di sini malam ini, hanya terdapat empat orang wartawan dari akhbar berbahasa Cina, kesemuanya pula adalah pemberita junior," kata bekas naib presiden MCA, Datuk Yap Pian Hon.

Namun Tee Keat berkata ia tiada menjadi masalah dan hampir tengah malam, kebanyakan media termasuk dari stesen televisyen dan radio telah menghantar berita segera mereka mengenai cerita tersebut, kata Yap.

Seorang pemimpin veteran MCA, Datuk Wong Mook Leong berkata keputusan Tee Keat untuk mengumumkan lebih awal untuk bertanding adalah ekoran gesaan dari akar umbi untuk beliau membuat pendirian.

"Akar umbi telah meminta beliau membuat pendirian. Mereka berkata beliau tidak membuat sebarang pendirian selepas Ka Ting membuat pengumuman. Itulah yang membuatkan beliau membuat pengumuman sekembalinya dari London.

"Tambahan pula wujud khabar angin bahawa beliau tidak akan bertanding," katanya.

Kini timbul pula persoalan siapa rakan Tee Keat untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden nanti.

Mengenai perkara ini, Wong berkata beliau telah memberitahu Tee Keat betapa perlunya beliau membentuk pasukan untuk berkempen dan mendapat sokongan daripada golongan akar umbi kerana beliau tidak boleh hanya "duduk dan bergerak secara perseorangan".

Tee Keat memang dikenali gemar bergerak seorang diri kerana tidak mahu dilihat mempunyai pakatan dengan mana-mana pemimpin.

"Namun kali ini saya memberitahunya beliau tidak boleh mendiamkan diri. (Barrack) Obama (calon presiden Amerika Syarikat) juga tidak berbuat demikian. Tee Keat perlu membentuk pakatan untuk bertanding jawatan tertinggi parti kali ini," kata Wong.

Bagaimanapun Tee Keat yang ditanya hari ini, enggan menyatakan siapa rakannya untuk bertanding, tetapi sekadar berkata beliau akan mengeluarkan manifestonya tidak lama lagi.

Beliau berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk berbincang dengan sesiapa tetapi menafikan langkah itu sebagai berpakat dengan orang yang dibincangkannya itu.

Namun wujud spekulasi bahawa setiausaha agung parti Datuk Ong Ka Chuan, adik kepada Ka Ting akan menjadi rakan bertanding di samping Tee Keat.

Ka Chuan yang ditanya hari ini bagaimanapun enggan mengulas sama ada beliau akan bertanding jawatan nombor dua parti.

"Saya belum lagi mendapat inspirasi," katanya ringkas.

Juga timbul spekulasi bahawa ketua pemuda dan Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai akan menjadi rakan Tee Keat, namun setakat ini beliau tidak membuat sebarang kenyataan mengenainya.

Malah sumber dalaman parti berkata naib presiden Datuk Donald Lim Siang Chai dan ketua wanita Datuk Dr Ng Yen Yen juga berpotensi menjadi calon bagi jawatan nombor dua itu.

Namun seperti Liow, kedua-duanya belum menyatakan sebarang pendirian.

Apapun perkembangannya, seorang pemimpin kanan parti yakin Tee Keat akan mengumumkan rakan bertandingnya selepas selesai pemilihan bahagian parti nanti.

-- BERNAMA

Musa Dan Abdul Gani Tidak Akan Terlibat Siasatan Kes Liwat Terbaru Anwar Ibrahim

19 Julai, 2008 19:39 PM

KEPALA BATAS, 19 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi jaminan bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak akan terlibat dalam siasatan berhubung tuduhan liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata berikutan laporan oleh Anwar kepada Badan Pencegah Rasuah berhubung tuduhan pemalsuan fakta melibatkan Musa dan Abdul Gani, maka adalah wajar bagi kedua-dua mereka dikecualikan daripada siasatan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

"Ketua Polis Negara dan Peguam Negara tidak akan mengambil apa jua peranan berkaitan kes Anwar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan tawaran melanjutkan pengajian dan pembiayaan pelajaran kepada 350 pelajar MARA ke Island College of Technology (ICT) di Dewan Millenium Kepala Batas, di sini, Sabtu.

Rabu lepas Anwar memberikan keterangan kepada BPR di Putrajaya, yang meliputi tiga aspek utama iaitu pemalsuan fakta, penghilangan fakta dan pemalsuan laporan perubatan dari Jabatan Forensik, yang membabitkan Musa dan Abdul Gani.

Sebelum itu pada 1 Julai lepas, Anwar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, mendakwa Musa dan Abdul Gani terlibat memalsukan keterangan dalam siasatan kes beliau dipukul pada tahun 1998, oleh Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Abdul Gani ketika itu merupakan Timbalan Pendakwa Raya manakala Musa ialah pegawai penyiasat kes.

Anwar ditahan oleh sepasukan polis berhampiran rumahnya pada hari Rabu lepas dan dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokkan harinya, bagi membantu siasatan berhubung laporan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, kepada polis pada 28 Jun lepas, mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ketika ditanya sama ada Musa dan Abdul Gani akan digantung tugas berikutan laporan polis yang dibuat oleh Anwar terhadap mereka, Abdullah berkata beliau tidak nampak keperluan untuk menggantung perkhidmatan mereka.

Abdullah berkata pegawai yang membuat siasatan ketika ini tidak akan merujuk hasil siasatan kes itu kepada mereka.

"Pegawai itu tidak membuat sebarang rujukan kepada mereka dan (saya) tidak nampak (mengapa) mereka perlu digantung perkhidmatan," katanya.

Mengenai cadangan kerajaan Pulau Pinang supaya kerajaan Persekutuan menggantikan kos pembinaan projek Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) dan monorel yang ditangguhkan sebanyak RM4.7 billion dalam bentuk pemberian wang tunai, Abdullah berkata kerajaan persekutuan tidak berhasrat untuk melaksanakan permintaan itu.

"Tak ada cita-cita pun. Tidak ada cadangan untuk laksanakan permintaan seperti itu," katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebelum ini meminta supaya kerajaan persekutuan memberikan wang tunai RM4.7 bilion sebagai ganti projek yang ditangguhkan pelaksanaannya semasa kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) baru-baru ini.

Mengenai laporan kononnya UEM Berhad tidak lagi menjadi kontraktor bagi pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, Abdullah meminta supaya perkara itu tidak dibincangkan secara terperinci, kerana kerajaan tetap akan melaksanakan pembinaannya.

"Jangan pergi terlalu terperinci, walau apapun kerajaan akan tetap membina jambatan itu, itu sahaja yang ingin diketahui orang ramai," katanya.

Sementara itu merujuk kepada hasrat Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat untuk bertanding ke jawatan presiden parti itu berikutan penyandangnya, Datuk Seri Ong Ka Ting tidak mempertahankan jawatan itu, Abdullah berkata terpulang kepada anggota parti berkenaan untuk menentukan pemimpin mereka.

-- BERNAMA

Pertembungan Umno Di Hulu Terengganu sangat sengit

Petikan: http://penawarrinduku.blogspot.com/

Suasana Umno Hulu Terengganu nampak semacam tenang, namum hakikat gelora yang melanda bukan lagi menjadi rahsia.Dari Ajk Bahagian hingglah ke Ajk cawangan amat maklum dengan situasi Umno Hulu Terenganu.


Walaupun ada seorang Adun Bekas Exco yang baru-baru ini menafikan bahawa umno Hulu berkocak.Beliau telah memberi alasan selalu minum bersama-sama selepas mesyuarat."Selalu? berapa kali mesyuarat AJK Bahagian?" tanya seorang veteran umno dari DUN Manir, Salleh Abdullah apabila diajukan perkara ini kepada beliau.

Sebenarnya Adun bekas Exco di hulu Terengganu sangat tertekan selepas pelan beliau sudah hancur.Kedudukan beliau sendiri sebagai orang no.2 belum tentu selamat.Sebab itulah beliau menggunakan istilah mempertahan jawatan,bukan bertanding jawatan no.2 itu.Agaknya adun bekas exco ini merasakan jawatan no.2 tu sebagai hak milik kekal beliau.



Kalau tak ada angin pokok tak bergoyang, tapi ingat pokok juga boleh bergoyang tanpa angin kalau ramai-ramai goyangkan pokok tersebut.Adun bekas exco ini telah cuba mempetaruhkan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Cikgu Mohd Nor @ Alias Othman untuk berdepan dengan Tengku Putera Awang bagi merebut kerusi ketua Bahagian Hulu Terengganu.

Sementara penyokong Tengku Putera di Hulu Terengganu pula difahamkan sedang mengatur strategi untuk mencalonkan YB Rozi Mamat bagi merebut jawatan no.2 dari Adun bekas Exco.


Menurut Cikgu Roslan ( AJK Pemuda Hulu) keputusan tersebut hampir 80% menjadi kenyataan, usaha sekarang ialah memastikan 3 DUN ( tidak termasuk Ajil) membuat percalonan YB Rozi dalam mesyuarat Agong cawangan yang bermula malam ini.

Namum begitu sekiranya pelan tersebut tidak menjadi, dijangkakan naib ketua Bahagian, Yusof Awang Hitam (Dari DUN Manir) sekarang akan dicalonkan untuk merebut jawatan no.2. Beliau dijangka turun gelanggang sekiranya keputusan disaat akhir masih memerlukan agar YB Rozi kekal sebagai ketua Pemuda Bahagian.

Apa pun keadaan, apapun suasana semacam ada satu fenomena baru dikalangan 2 kem di Hulu Terengganu ini.Kedua-dua kem ini telah menggunakan akhbar Sinar Harian sebagai pentas untuk meluahkan pandangan dan sekaligus mengharap simpati perwakilan.

Samaada Sinar Harian memperalatkan mereka ,atau mereka memperaltkan Sinar Harian, sama-samalah kita tunggu dan lihat perkembangan ini.

Sesungguhnya Umno retak menunggu belah.
Ingat-ingatlah.

Umno Cawangan Kampung Ubai calon Najib tanding Presiden

PEKAN: Umno Cawangan Kampung Ubai, Bahagian Pekan meluluskan usul tergemapr mencadangkan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti Disember depan.

Usul sebulat suara itu diumumkan ketua cawangan itu, Mohammad Hanapi Salleh pada mesyuarat yang berakhir lewat malam tadi dan dihadiri 42 daripada 123 anggota cawangan berkenaan.

Umno cawangan Kampung Ubai adalah cawangan pertama yang bermesyuarat di Pahang dan mencadangkan Najib, yang juga Ketua Bahagian Umno dan Ahli Parlimen Pekan, untuk bertanding jawatan Presiden.

Terdapat 139 cawangan Umno di bahagian Pekan dan bahagian itu adalah bahagian yang paling ramai keanggotaannya di Pahang itu 32,087 ahli.

Mohammad Hanapi ketika dihubungi berkata, semua anggota yang hadir termasuk wakil daripada sayap Pemuda, Wanita dan Puteri sebulat bersuara mengambil keputusan itu.

Sambil menyatakan pihaknya mengambil pendekatan mengemukakan usul tergempar itu berdasarkan beberapa faktor, beliau berkata:

“Antaranya, tempoh peralihan kuasa yang dipersetujui antara Perdana Menteri yang juga Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya iaitu dua tahun adalah terlalu panjang.”

Selain itu, kata beliau pihaknya juga mengambil kira faktor kekalahan Umno dan Barisan Nasional (BN) di bawah kepemimpinan Abdullah di lima negeri dalam pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

“Faktor lain ialah kegagalan pimpinan sedia ada untuk menyelesaikan isu harga minyak dan makanan yang semakin membimbangkan,” katanya.

Mesyuarat cawangan, yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis Khairuddin Mahmud, bagaimanapun tidak menamakan calon untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Disember itu nanti. - Bernama

Anwar intai p'raya kecil Kulim

Petikan Malaysia Kini
Jul 18, 08 4:35pm

Selepas terlepas peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar apabila mahkamah menolak petisyen PAS untuk membatalkan keputusannya, kini ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mensasarkan untuk bertanding di kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Mahkamah Tinggi Alor Star akan mendengar Ahad ini, petisyen calon BN, memohon supaya dibatalkan keputusan pilihanraya bagi kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu, di selatan Kedah.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, calon PKR, Zulkifli Noordin menang dengan majoriti 5,583 undi.

Zulkifli mendapatkan 22,255 undi untuk menewaskan calon BN, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang memperolehi 16,672 undi.

anwar ibrahimSelepas menjalani hukuman penjara selepas disabitkan atas kesalahan salahguna kuasa, Anwar dilarang aktif dalam politik selama lima tahun sehingga 14 April lalu.

Hakim Balia Yusoff Wahi telah menetapkan kes itu dengar mulai Ahad hingga Khamis depan, selepas menolak bantahan yang dibangkitkan oleh Zulkifli untuk membatalkan petisyen tersebut.

Petisyen tersebut difailkan oleh Aziz atas alasan Zulkifli telah gagal mengemukakan kenyataan perbelanjaannya sewaktu kempen pilihanraya umum 2004.

Mengikut akta pilihanraya, setiap calon yang tidak mengemukakan kenyataan perbelanjaan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), tidak dibenarkan bertanding dalam pilihanraya seterusnya.

Sedia beri laluan

Pada 2004, Zulkifli bertanding kerusi parlimen Kuala Langat di Selangor tetapi kalah kepada calon BN dari Umno, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh.

bm version bandar kulim bharu kedah parliament seat results 180708Dalam petisyennya, Abdul Aziz juga mendakwa bahawa pegawai pengurus pilihanraya telah gagal bertindak terhadap Zulkifli walaupun mempunyai dokumen yang mengesahkan kegagalannya mengemukakan kenyataan perbelanjaannya.

Sekiranya pilihanraya kecil diadakan bagi kerusi tersebut, dalam tempoh 60 hari, Zulkifli dijangka memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di situ.

Bagaimanapun, terlalu awal untuk dipastikan sama ada Abdul Aziz akan dicalonkan semula bertanding di kerusi tersebut.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, kerusi Parlimen tersebut mempunyai 51,995 pengundi, yang terdiri daripada 69.50 peratus Melayu, China (18.60 peratus), India (11.70 peratus), lain-lain (0.20 peratus).

Zulkifli memberitahu Malaysiakini bahawa yakin dapat memenangi kes tersebut. Menurutnya, Abdul Aziz telah memfail petisyennya di bawah Akta Pilihanraya yang silap.

Ditanya sama ada beliau bersedia memberi laluan kepada Anwar sekiranya pilihanraya kecil diadakan, Zulkifli berkata, beliau sedia berbuat demikian.

"Semua ahli Parlimen PKR sebelum ini telah berjanji sedia melepaskan kerusi mereka untuk Anwar, termasuk kerusi saya, di Permatang Pauh,
Bandar Tun Razak dan Gombak," katanya.

Anwar akan diberi salinan laporan jika dituduh - Ismail

Petikan: mStar Online
19-07-2008 10:38:42 AM

KUALA LUMPUR: Polis hanya akan menyerahkan salinan laporan yang dibuat oleh bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu hanya apabila beliau dihadapkan ke mahkamah kelak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya tidak akan memberikan Anwar satu salinan laporan memandangkan siasatan masih dikendalikan.

"Apa sahaja yang kami lakukan adalah selari dengan Seksyen 51(A) Kod Prosedur Jenayah yang menjelaskan peruntukan itu.

"Terlalu banyak tuduhan dan dakwaan dilemparkan ke atas kami dalam soal ini dan perkara lain. Kami akan terus bertindak secara profesional dalam pendekatan kami dan menjalankan tugas kami mengikut undang-undang," kata beliau kepada The Star.

Ismail berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Anwar sejak dibebaskan atas jaminan polis bahawa pihak polis masih belum memberikan salinan laporan polis yang dibuat Mohd. Saiful kepadanya.

Chelsea datang tanpa Drogba

Petikan: Utusan Online


KUALA LUMPUR - Kelab Liga Perdana England, Chelsea mengotakan janjinya apabila bakal membawa semua pemain utamanya dalam Siri Jelajah Asia-Malaysia 2008 apabila singgah di Kuala Lumpur selama tiga hari mulai 27 Julai ini, lapor SAYED HESHAM IDRIS.

Cuma yang tercicir dalam senarai yang dikeluarkan oleh penganjur ialah penyerang berbisa kelab itu, Didier Drogba.

Ketua Pegawai Eksekutif Proevents International Sdn. Bhd, iaitu promoter jelajah kelab itu, Julian Kam berkata, para pemain Chelsea termasuk jurulatih baru Felipe Scolari akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Macau pada 27 Julai ini.

Katanya, antara pemain utama kelab itu yang mengesahkan kehadiran termasuk Nicolas Anelka, Michael Ballack, Petr Cech, bekas pemain Barcelona, Deco, Frank Lampard, Andriy Shevchenko dan John Terry.

Mengenai ketiadaan Drogba dalam senarai pemain yang akan datang ke Malaysia, Julian Kam menjelaskan, senarai yang diterima oleh pihaknya ialah senarai pemain yang akan menaiki penerbangan dari Macau pada 27 Julai ini.

''Senarai yang kami terima ini adalah berdasarkan senarai pemain yang akan menaiki penerbangan dari Macau selepas perlawanan persahabatan dengan skuad negara tersebut,'' katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad dan ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan.

Naib juara Liga England musim lalu, Chelsea akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Pilihan Malaysia di Shah Alam pada 29 Julai pada pukul 8.45 malam.

Menurut Julian Kam, sebelum datang ke Malaysia, para pemain Chelsea akan mengadakan perlawanan persahabatan di Guangzhou, China (23 Julai) diikuti di Macau (26 Julai) sebelum berada di Malaysia pada keesokannya.

''Sepanjang berada di sini, pemain kelab itu akan mengadakan sesi latihan dan aktiviti bersama penaja sebelum mengadakan perlawanan dengan skuad Pilihan Malaysia.

''Para peminat di sini bertuah kerana bakal menyaksikan skuad baru musim depan Chelsea yang datang bersama pemain baru,'' katanya.

Anggota polis didakwa rogol, seks oral

PETALING JAYA 18 Julai - Seorang anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan, merogol dan memaksa seorang pelajar melakukan seks oral ke atasnya di Balai Polis Putra Heights.

Konstabel Jamil Abdul Sah , 27, didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 17 tahun antara pukul 6 hingga 7 pagi, 18 Jun lalu di dalam bilik maklumat balai tersebut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan seks oral pula, Jamil didakwa mengikut Seksyen 377B kanun yang sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Penolong Pendakwa Raya, Nor Shamsinar Mohamad membantah jaminan terhadap tertuduh. Namun sekiranya mahkamah cenderung untuk membenarkan jaminan, beliau mencadangkan jumlah jaminan yang tinggi beserta dua orang penjamin dan syarat tambahan.

Peguam Ariff Azami Hussein yang merayu agar tertuduh dibenarkan ikat jamin, mengemukakan surat makluman dan pengesahan gantung kerja bertarikh 23 Jun lalu yang menunjukkan tertuduh kini tidak mempunyai kuasa menjalankan tugas.

Malahan sejak tarikh tersebut, menurut Ariff Azami, tertuduh juga perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya setiap Isnin dan Khamis.

"Tertuduh yang berkhidmat sejak 1 Jun 2001 mempunyai dua anak berusia lima dan dua tahun sementara isterinya tidak bekerja. Tertuduh tinggal di Damansara sementara mangsa difahamkan tinggal di Kilometer 21, Puchong," kata beliau.

Gobind Singh Deo turut memohon kebenaran untuk bercakap dalam kapasitinya selaku peguam pemerhati kepada keluarga mangsa.

"Ketika kejadian, menurut mangsa, tertuduh memberitahunya supaya jangan takut kerana ramai lagi perempuan sepertinya. Sejak kejadian, mangsa mendakwa tertuduh sering menghubunginya dan mengajaknya balik ke rumahnya di Damansara," kata Gobind.

Memandangkan seluruh ahli keluarga mangsa dalam ketakutan disebabkan kes itu melibatkan pihak polis, Gobind memohon jaminan tidak diberikan kerana tertuduh sanggup melakukan perbuatan yang begitu keji.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Balqis Aini Mohd. Ali membenarkan Jamil dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga memberi amaran bahawa tertuduh secara peribadi mahupun melalui ejennya sama ada kawan atau keluarganya tidak boleh mendekati dan menghubungi mangsa serta keluarga mangsa melalui telefon.

Jamil yang berasal dari Sabah akan dibicarakan pada 22 Oktober ini.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Gobind memberitahu beliau akan memfailkan saman terhadap tertuduh dan kerajaan Malaysia dalam masa terdekat.

Menurut Gobind, kes tersebut melibatkan isu kepentingan awam dan persoalan yang timbul adakah balai polis di negara ini, selamat?

"Dalam keadaan pelajar terbabit pergi ke balai polis untuk membuat laporan tiba-tiba dia pula yang kena. Dalam kes ini, mangsa dirogol dan tertuduh memaksa mangsa membuat seks oral," kata Gobind.

Difahamkan, mangsa dan rakannya telah ditahan ketika mereka menaiki sebuah motosikal dan dibawa ke balai polis untuk soal siasat.

Polis buat kerja gila - Mohd Sabu

Petikan: Harakah Daily
Intan Abdullah

Fri | Jul 18, 08 | 5:28:08 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Pihak polis sengaja menimbulkan suasana ketegangan sebagai provokasi dengan mengadakan sekatan jalan raya dalam kehangatan isu liwat Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan ura-ura usaha Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menyelar tindakan pihak polis yang disifatkan mengadakan sekatan jalan raya yang tidak perlu dan tidak menitik beratkan kesan dan masalah yang terpaksa ditanggung pengguna jalan raya akibat sekatan tersebut.

"Ini semua kerja gila, dan sengaja diada-adakan atau mungkin polis sudah tiada kerja lain yang hendak dibuat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mengulas mengenai dakwaan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengenai kemungkinan suatu perhimpunan akan dianjurkan dalam masa terdekat, beliau dengan tegas menafikannya.

"Kita (PAS) tidak ada sebarang perancangan untuk mengadakan perhimpunan buat masa ini.

"Bahkan sekiranya hendak diadakan perhimpunan pun, polis buat sekatanpun perhimpunan tetap boleh dijalankan," ujarnya.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Perhimpunan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu turut menjelaskan perhimpunan 100,000 rakyat pada 10 November tahun lalu membuktikan sekatan jalan raya tidak memberikan apa-apa kesan kepada 'kekuatan suara hati dan kehendak' rakyat untuk menyampaikan hasrat mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua pula menyifatkan tindakan polis mengadakan sekatan yang masih berterusan itu sebagai tidak bertanggung jawab serta menyusahkan rakyat.

"Ini satu perkara yang tidak masuk akal dan tidak bertanggung jawab," tegasnya.

Ahli Parlimen Batu itu melahirkan kehairanan terhadap pendirian dan tindakan pihak polis yang kelihatan sudah mula tersasar daripada peranan dan tanggung jawab mereka yang sebenar.

"Kerja polis bukan buat sekatan kerana ia tidak akan membantu apa-apa malah operasi tersebut akan melibatkan anggota polis yang ramai," ujarnya.

Dalam suasana indeks jenayah negara kian meningkat khususnya di Lembah Klang, beliau juga melahirkan kekesalan dengan sekatan tersebut yang telah memberi kesan buruk kepada ekonomi rakyat.

"Apa yang berlaku menyebabkan orang ramai marah kerana ia menyusahkan.

"Mereka tidak mempertimbangkan kesan apabila para peniaga terjejas pendapatannya, selain pengguna jalan raya yang mengejar urusan kerja masing-masing," katanya lagi.

Memburukkan lagi keadaan, pihak polis katanya mengambil keputusan menjalankan sekatan jalan raya dengan menggunakan khabar angin semata-mata.

"Itulah lambang tahap profesional dan integriti polis kita," ujarnya.

Semalam, menurut Khalid, sekatan jalan raya di 22 lokasi di seluruh negeri dibuat bagi membendung kecenderungan pihak tertentu mengadakan perhimpunan tanpa permit.

Selain mencegah jenayah, beliau berkata, sekatan jalan yang sentiasa berubah lokasi itu perlu bagi memastikan tidak ada elemen tidak sihat yang mengganggu ketenteraman dan keselamatan masyarakat khususnya di Selangor.

"Saya sedar sekatan jalan ini menimbulkan ketidakselesaan tetapi saya mohon maaf. Ini membabitkan keselamatan, jadi kita perlu beri perhatian," katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Beliau ditanya mengenai sekatan jalan raya menghala ibu negara yang menyebabkan kesesakan teruk sejak Isnin lalu.

Dilaporkan lebih 1,600 pegawai dan anggota membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan, Unit Anjing Pengesan, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Berkuda dan Unit Udara dikerah mengawal semua pintu masuk ke ibu kota.

Khalid berkata, walaupun Anwar Ibrahim dibebaskan semalam, polis tidak menolak kemungkinan penyokongnya mungkin mengadakan perhimpunan dalam tempoh terdekat. - mns _

Harga minyak: Razaleigh mula ancam Abdullah

Petikan: Harakah Daily
Salmiyah Harun
Fri | Jul 18, 08 | 5:39:27 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Selepas pengakuan Ketua Umum KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau boleh menurunkan harga minyak sebanyak 50 sen kini calon Presiden Umno Tengku Razaliegh pula mendakwa dirinya juga mempunyai cara tersendiri menurunkan bahan api tersebut.

Tengku Razaliegh yakin boleh turunkan harga minyak selepas beberapa hari Menteri Penerangan Dato' Shabery Cheek mempertahankan Perdana Menteri Abdullah Badawi dalam keputusan menaikan harga minyak secara mendadak.

Menurut Dewan Pemuda PAS, kenyataan terbaru Razaleigh walaupun menafikan sebagai kempen politik tetapi mesej yang begitu jelas ditujukan kepada kegagalan Abdullah Badawi menjaga kepentingan rakyat.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, idea yang tercetus oleh Razaliegh itu sama dengan pandangan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dinyatakan oleh Anwar Ibrahim dalam debat baru-baru ini.

"Yang penting dua pencabar Abdullah Badawi telah bersepakat harga minyak boleh diturunkan jika kerajaan memikirkan beban yang ditanggung oleh rakyat," tegas Salahuddin.

Tambahnya, Razaliegh dan Anwar adalah bekas Menteri Kewangan yang kini disebut-sebut bakal menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri ekoran terpalitnnya Dato' Seri Najib Razak dengan isu Altantuya serta kejayaan Abdullah Badawi menjerat timbalannya dalam pelan peralihan kuasa pada 2010.

Salahuddin berkata, Razaliegh menyedari ada usaha-usaha untuk menghalang mana-mana ahli Umno bertanding jawatan Presiden Umno sedang giat dijalankan.

"Di satu sudut, Pak Lah menggunakan MT Umno untuk membuat arahan supaya Presiden Umno tidak ditandingi kerana peralihan kuasa akan dibuat pada 2010; sedang di sudut yang lain, usaha melobi Perhubungan Umno negeri-negeri supaya menyokong Pak Lah secara terbuka juga dibuat," katanya.

Dalam masa sama, Salahuddin berkata, peraturan berkempen diwujudkan untuk menyekat tokoh Umno tertentu daripada berkempen terutama yang tidak berjawatan menteri.

"Semua pendekatan ini adalah untuk menyelamatkan Abdullah Badawi, di samping MT terus mengekalkan peraturan 30 peratus pencalonan untuk jawatan Presiden Umno," tambah beliau.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata, Razaliegh adalah satu-satunya pemimpin Umno yang dilihat layak menentang Abdullah Badawi untuk jawatan tersebut, beliau bukan sahaja lebih berpengalaman bahkan telah terbukti kebolehannya mentadbir.

"Semenjak zaman Tun Hussein Onn nama Ku Li disebut sebagai bakal Perdana Menteri, tetapi Dr Mahathir yang dipilih oleh Tun Hussein. Pada zaman Mahathir, Ku Li telah memperlihatkan pengaruhnya sehingga Umno 'dibiarkan' haram untuk menyekat peluang Ku Li," katanya.

Kini, kata Salahuddin, Najib sudah terjerat dengan Altantuya dan hampir hilang kelayakan, dan Razaliegh mula menggunakan isu-isu yang tiada kaitan dengan Umno seperti isu harga minyak untuk memancing sokongan ahli Umno.

"Ku Li nampaknya lebih sependapat dengan pembangkang yang mewakili suara rakyat dalam hal ini, berbanding Pak Lah yang buntu dalam mengatasi kenaikan harga minyak global," katanya. - mns _

Orang yang dituduh tidak boleh terus bersumpah

Petikan: Harakah Daily
Intan Abdullah

Fri | Jul 18, 08 | 2:58:50 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Seorang yang dituduh tidak boleh terus bersumpah kerana ia tidak bertepatan dengan prosedur undang-undang.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainur Rijal Abu Bakar berkata, keadaan membolehkannya dilaksanakan setelah pihak yang mendakwa dan tertuduh memberikan keterangan.

"Pihak yang mendakwa perlu mengemukakan tuduhan terlebih dahulu, diikuti keterangan tertuduh, namun sekiranya ketika itu pihak yang dituduh mahu menafikannya beliau boleh mengemukakan sumpah itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Hal ini katanya, pihak yang membuat dakwaan tidak boleh terus bersumpah seperti mana dalam kes tuduhan liwat pembantu peribadi Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim iaitu Saiful Bukhari Azlan.

"Mengikut prosedurnya, beliau perlu mengemukakan keterangan terlebih dahulu," ujarnya.

Menyentuh mengenai sumpah pula, Zainur berkata ia mempunyai banyak kategori termasuk sumpah mubahalah.

"Dalam kes Saiful dan Anwar, ia bukan sumpah mubahalah tetapi al-yamin istizhar kerana mubahalah itu digunakan dalam kes lian yakni sumpah menuduh isteri melakukan zina," katanya lagi.

Jelasnya, berbeza dengan sumpah mubahalah kes lian yang perlu diulang sebanyak empat kali, sumpah atau yamin istizhar dilakukan hanya sekali sahaja.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan sesetengah pihak yang menggesa Dato' Seri Anwar Ibrahim supaya bersumpah dalam menghadapi tuduhan liwat oleh bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan. - mns_

PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat perjuangkan keadilan

Petikan: Harakah Daily
Wan Nordin Wan Yaacob

Thu | Jul 17, 08 | 1:31:43 pm MYT

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS akan terus berjuang bersama Pakatan Rakyat bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, bersih dan adil.

Demikian kenyataan beliau yang dibacakan Timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam sidang media di bangunan parlimen sebentar tadi.

Turut serta ialah, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli, AJK PAS Pusat antaranya, Dr Syed Azman Syed Ahmad; serta Ahli Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad.

Menurut beliau, PAS menegaskan dalam suasana politik negara yang penuh dengan fitnah dan kegawatan sosial dan ekonomi, PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat.

"Amat perlu dijelaskan di sini, bahawa isu ini jangan sesekali diseret bagi digunakan Umno demi menutup dan mengalih perhatian rakyat tentang pergolakan yang sedang parah berlaku dalam parti tersebut," kata beliau.

PAS juga berpendirian bahawa isu-isu rakyat gagal ditangani dan dipikul oleh Umno/BN seperti isu kenaikan kos sara hidup yang mendadak dan ketidakstabilan ekonomi serta masalah jenayah yang meruncing.

"Kepada seluruh penyokong PAS saya menyeru agar kita terus mempertahankan dasar perjuangan PAS yang suci dan mulia serta memanjatkan doa bermunajat kepada Allah s.w.t agar keadilan dapat ditegakkan di bumi Malaysia," ujarnya.

Sementara itu PAS juga melahirkan rasa kesalnya terhadap penahanan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim secara tergesa-gesa semalam.

PAS turut mengalu-alukan pembebasan Anwar yang telah dibenarkan diikat jamin pagi tadi, kata beliau./wann _

Anwar Cabar Siasat Najib

Petikan: Suara Keadilan


KUALA LUMPUR, 17 Julai (SK)- Anwar Ibrahim mencabar pihak polis untuk menyiasat Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdull Razak berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ketua Umum KeADILan tersebut berkata pihak polis seolah-olah menunjukkan kesungguhan yang luar biasa menjalankan siasatan terhadap dirinya berkaitan laporan polis yang dibuat bekas pembantu beliau Mohamad Saiful Bukhari Azlan tetapi tidak dalam kes Altantuya.

“Kenapa tidak tanya polis mengapa mereka tidak menyiasat Najib berkenaan pembunuhan Altantuya?

“Bukti cukup sudah ada terhadap pembunuhan tersebut dan juga penggunaan bahan letupan C4″, cabar Anwar ketika menemui media di kediaman beliau setelah dibebaskan polis Khamis lalu.

Altantuya, 28 tahun, ditemui mati di Mukim Bukit Raja, Shah Alam pada Oktober 2006 dan mayat beliau berkecai dipercayai kesan daripada bahan letupan C4.

Pada 2 Julai lalu penyiasat persendirian P. Balasubramaniam membuat akuan bersumpah yang mengaitkan Mohd Najib dengan Altantuya.

Walau bagaimanapun Mohd Najib menafikan dakwaan Bala dengan sekeras-kerasnya sambil menyifatkan ia sebagai “pembohongan yang amat dahsyat”.

Anwar juga menyoal pertemuan Mohamad Saiful Bukhari dengan isteri Timbalan Perdana Menteri, Rosmah Mansor dan pegawai Khas Mohd Najib, Khairil Anas Jusoh.

“Mengapa beliau (Saiful) berjumpa dengan Rosmah dan Khairil Anas. Apakah latar belakang dan orientasi Khairil?

“Apa keperluan dia berjumpa dengan Najib?”, tanya Anwar lagi.

Azizah: 'Saya percaya Anwar, satu lagi konspirasi politik'

Petikan: mStar Online
18-07-2008 10:31:39 PM

Oleh G. MANIMARAN

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada satu majlis di rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur malam tadi. - foto The Star oleh KAMARUL ARIFFIN

KUALA LUMPUR: Sambil menyifatkan nasib dialami Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai konspirasi politik, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak dapat menjangkakan momentum gerakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpinnya selepas ini.

"Saya kata ada dan tidak... memang pada satu sudut kita kena tumpukan perhatian kita kepada kes apabila dibawa ke mahkamah," katanya.

Bagaimanapun kata isteri bekas Timbalan Perdana Menteri itu, ramai orang melihat isu yang dihadapi Anwar sekarang bukan kes biasa sebaliknya sebagai "kes politik."

"Ini kes politik, tak akan bukan kerana politik, tindakan-tindakan ini dilakukan. Dan, ada yang mengatakan ini adalah zalim, zalim terhadap sesiapa, bukan kerana saudara Anwar, tetapi sesiapa saja," kata Ketua Pembangkang di Parlimen ini dalam temu bual dengan mStar Online di rumah mereka di Bukit Segambut hari ini.

Malah, Dr. Wan Azizah berkata, pihak pemerintah bertindak 'tegas' ke atas Anwar selepas forum debat yang disertai Anwar pada malam Selasa lalu.

Anwar ditahan hari keesokan ketika beliau dalam perjalanan ke rumahnya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah, sejam sebelum hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Kata Dr. Wan Azizah, tahap sokongan ke atas Anwar meningkat ekoran program itu yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen ke seluruh negara.

Ia merupakan kemunculan pertama Anwar selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada September 1998.

Ketika ditanya lagi sejauh mana beliau melihat ia sebagai konspirasi politik, Dr. Wan Azizah menjelaskan: "Saya bermaksud begini... sebab, cara bagaimana Anwar diperlakukan, kenapa?"

Katanya, jika Anwar berhadapan dengan tuduhan yang dimaksudkan, beliau tidak harus dikepung oleh anggota pasukan khas sehingga 20 orang dengan sesetengah mereka bertopeng, di tengah-tengah jalan ketika pulang ke rumah.

"Serbu, ditahan di tengah jalan, macam drama, macam drama Tamil pula itu," katanya dengan diringi senyuman kecil beliau.

"Tahun 98 pun macam itu, mereka datang ke rumah ketika sedang diadakan sidang akhbar. Sungguh dramatik, tiada syak ini adalah motif politik," katanya.

Di peringkat awal temu bual Dr. Wan Azizah juga menyifatkan tangkapan Anwar sebagai "ulang tayang" dengan merujuk kepada suasana tahun 1998 di rumah mereka di Bukit Damansara.

"Dan kenapa pihak polis dan juga pihak kerajaan ingin sangat peroleh sampel untuk DNA kerana kita tahu bahawa sampel DNA sudah dipegang oleh polis sejak 1998, dan kita juga telah lihat bahawa banyak bukti telah direka cipta dalam kes-kes terdahulu apabila Anwar telah dibebas, dilepaskan daripada tuduhan-tuduhan terdahulu.

"Ini kita melihat ulang tayang yang saya rasa bahawa peristiwa kali ini macam ulang tayang," katanya lagi.

Apabila ditanya sejauh mana pihaknya boleh melihat ia sebagai konspirasi politik sedangkan beliau dan Naib Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali sendiri telah menemui dua kali sepanjang tiga minggu lalu, Dr. Wan Azizah memberitahu, kedua-dua mereka menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meminta jaminan keselamatan Anwar.

"Saya apabila bertemu, bila dikatakan hendak ditangkap, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara didakwa terlibat dan sekurang-kurangnya kedua-dua mereka tidak boleh mencampuri kes Anwar kerana ada konlfik kepentingan.

"Perdana Menteri jamin Anwar tidak akan dipukul dan dikasari, jaminan itu saya peroleh sendiri, yang lain itu... saya mahu lebih lah tetapi...," kata beliau sambil menambah:

"Kini makin terserlah, ini adalah politik. Oleh kerana politik, mereka bertindak dan beginilah dilakukan apabila Anwar dilihat sebagai satu cabaran, cabaran yang kuat kepada pihak pemerintah. Lebih-lebih lagi apabila ada debat yang kuat, tidak pernah dalam sejarah Malaysia ada debat macam pemilihan presiden Amerika Syarikat.

"Kita melihat bahawa saudara Anwar memang meyakinkan bagaimana kalau dia, kita boleh memegang tampuk kerajaan.

"Itu telah melonjakkan rating Anwar, Keadilan dan Pakatan... melihat ini saya kira pihak berkuasa mengambil tindakan (menahannya)," katanya.

BERITA TERDAHULU:

DNA: Keluarga Anwar was-was syor polis benarkan Anwar pilih sendiri pakar

KUALA LUMPUR: Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap was-was untuk memberikan sampel darah meskipun pihak polis memberikan pilihan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu agar memilih sendiri pakar forensik mengendalikan pemeriksaan dan ujian DNA terhadapnya.

Dalam temu bual dengan mStar Online sebentar tadi, isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, berdasarkan pengalaman sedekad yang lalu keluarga pihaknya masih tidak percaya dengan pihak berkuasa polis.

"(Kami) masih was-was, sebab kita dah kena (pengalaman dulu)... kalau tuan-tuan, kalau saudara atau sesiapa terkena baru terasa," kata beliau dalam pertemuan yang diadakan di rumahnya di Bukti Segambut dekat sini, sehari selepas Anwar dibebaskan atas jaminan polis semalam.

Peguam Anwar minta Syed Hamid henti beri komen 'mencampuri' siasatan polis

Petikan: mStar Online
18-07-2008 06:56:22 PM

oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, R. Sivarasa meminta pegawai-pegawai tinggi kerajaan terutama menteri menghentikan komen-komen yang disifatkan mencampuri siasatan polis dan menimbulkan salah faham berhubung kes liwat Anwar.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang dilaporkan media tempatan hari ini terutama muka hadapan akhbar the New Straits Times (NST) yang tertulis "What is he afraid of? He can have his own doctor present when giving sample." (Apa yang ditakutkannya? Beliau (Anwar) boleh memberi sampel (DNA) dengan kehadiran doktornya".

Sivarasa berkata, kenyataan Syed Hamid itu seperti mencampuri siasatan yang sedang dijalankan selain menimbulkan salah faham yang seolah-olah menggambarkan Anwar enggan memberi kerjasama kepada polis.

"Datuk Seri Anwar mempunyai sebab untuk percaya kemungkinan bukti DNA itu akan dipalsukan sekali lagi oleh pihak polis seperti yang berlaku dalam kes 1998. Ini kerana pengadu (Mohd Saiful Bukhari Azlan) berada dalam penjagaan polis sejak 28 Jun lalu dan polis juga mempunyai DNA Datuk Seri Anwar bagi kes terdahulu.

"Justeru, kenyataan Datuk Seri Syed Hamid yang percaya ia boleh diselesaikan dengan memberi sampel DNA kepada doktor peribadi dan pakar forensik antarabangsa tetap tidak menyelesaikan kebimbangan anak guam kami kerana sampel itu tetap akan diberikan kepada polis," katanya ketika sidang media di rumah Anwar di Segambut, hari ini.

Beliau berkata, dalam perbicaraan kes liwat membabitkan mantan Timbalan Perdana Meneteri itu pada tahun 1998 dan 1999, bukti DNA Anwar telah dipalsukan apabila seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan telah membuang sampel DNA daripada penjagaan forensik secara tidak sah.

"Ketika sesi soal balas terhadap saksi-saksi pendakwaan, maka terdedahlah yang DNA yang diambil dari sampel darah sengaja diletakkan di atas tilam yang dikenali umum itu," kata Sivarasa.

"Apabila fakta ini dihadapkan, pihak pendakwaan meminda pertuduhan (terhadap Anwar) dan memujuk Hakim Augustine Paul, agar menghapuskan semua bukti DNA daripada rekod (keterangan mahkamah), menghalang peguam-peguam Anwar mencabarnya," katanya.

Sivarasa berkata, Anwar hanya akan mempertimbangkan untuk menjalani ujian DNA jika beliau benar-benar yakin semua pemeriksaan kesihatan dan sampel yang diambil dilakukan secara bebas dan profesional tanpa campur tangan polis.

Katanya, kebimbangan Anwar itu disebabkan pemalsuan bukti yang berlaku dalam kes terdahulu membabitkan 'pemain yang sama' pada masa ini iaitu Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan (yang pada ketika itu ketua pendakwaraya dan ketua siasatan) kini memegang jawatan yang lebih berkuasa dalam penguatkuasaan undang-undang.

"Selain itu, siasatan yang dijalankan pada tahap ini tidak memerlukan bukti DNA kerana satu kes masih belum wujud," katanya.

Beliau berkata, Anwar telah memberikan keterangan selama lima setengah jam polis Rabu lalu walaupun beliau ada hak untuk tidak berbuat demikian atas nasihat semua peguamnya.

"Beliau tetap memberi keterangan untuk membuktikan beliau mahu bekerjasama walaupun peguam-peguamnya menasihatkan beliau tidak berbuat demikian kerana kami masih belum mendapat salinan laporan polis," katanya.

Ketika ditanya sama ada Anwar akan memberi sampel DNAnya jika mendapat perintah mahkamah, Sivarasa berkata, hal itu (perintah mahkamah) tiada dalam peruntukan undang-undang.

Beliau seterusnya menyelar satu laporan akhbar NST hari ini yang menyatakan memetik satu sumber yang tidak bernama dari Hospital Kuala Lumpur yang mengatakan Anwar tidak dibogelkan ketika pemeriksaan kesihatan dilakukan terhadapnya padanya Rabu lalu di hospital tersebut.

"Laporan (beliau tidak dibogelkan) itu salah sama sekali," katanya.

Anwar semalam mendakwa, beliau telah dibogelkan semasa pemeriksaan ke atasnya dibuat oleh kakitangan HKL.

Katanya, seluruh badan termasuk alat sulitnya diperiksa bagi mendapatkan bukti untuk siasatan kes liwat yang dikaitkan dengan dirinya.

Ku Li mahu ubahsuai DEB jika dipilih sebagai Presiden Umno

18-07-2008 09:36:53 PM

GUA MUSANG: Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) hari ini berkata beliau akan mengubahsuai Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi memastikan pelaksanaannya lebih mantap sekiranya dipilih sebagai Presiden Umno.

Tengku Razaleigh yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Nombor Satu Umno pada pemilihan Disember nanti berkata dasar itu akan diperkemaskan lagi kerana ia adalah untuk kebaikan semua kaum dan bukan dikhususkan untuk kepentingan orang Melayu sahaja.

"DEB yang dilaksanakan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak itu bukan sahaja untuk kepentingan orang Melayu, malah untuk kebaikan semua kaum di negara ini.

"Nampaknya selepas pelaksanaannya, dasar berkenaan belum menunjukkan perubahan ketara kepada kemajuan ekonomi orang Melayu dan apa yang perlu kita buat ialah mengemaskan lagi pelaksanaannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan tahunan Cawangan-Cawangan Umno dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Nenggiri di Dewan Bukit Chekati, di sini.

Dalam perkembangan lain, Tengku Razaleigh mengecam pihak tertentu yang menuduhnya mempunyai kepentingan diri apabila menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno.

Sebaliknya, beliau menjelaskan hasratnya berbuat demikian adalah bagi memulihkan Umno kerana rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap parti itu.

"Saya bukan tamak kuasa atau gila nak jadi Perdana Menteri, tetapi apa yang saya nak perjuangkan ialah membela bangsa Melayu dan membendung kadar kemiskinan yang masih tinggi.

"Orang yang menuduh saya tamak dan gila kuasa itu sebenarnya yang ingin mengadaikan maruah bangsa Melayu," katanya semasa berucap merasmikan persidangan tahunan Cawangan-Cawangan dalam DUN Paloh di Dewan Orang Ramai Ciku Satu, dekat sini.
Ditanya mengenai sikap Umno Kelantan yang menyambut dingin hasratnya itu, Tengku Razaleigh berkata beliau tidak merasa goyah atau hilang keyakinan apabila ada pihak di negeri itu yang menyuarakan sokongan kepada Presiden dan timbalan presiden parti yang ada sekarang.

"Saya tetap dengan pendirian saya untuk bertanding dan keputusannya sama ada saya menang atau kalah ditentukan oleh anggota parti dalam perhimpunan Agung Umno nanti," katanya. BERNAMA

Ong Tee Keat Umum Keputusan Bertanding Ke Jawatan Presiden MCA

19 Julai, 2008 00:20 AM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Naib Presiden MCA Datuk Ong Tee Keat hari ini mengumumkan keputusan beliau untuk bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan parti MCA yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober ini.

Beliau berkata oleh kerana Datuk Seri Ong Ka Ting sudah memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai presiden parti MCA pada pemilihan ini, beliau menawarkan dirinya ke jawatan itu, semasa parti sedang mengharungi suatu keadaan yang belum pernah dilaluinya sebelum ini.

Menteri Pengangkutan itu yang ditemui pada majlis perlantikan jawatan Persekutuan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan di Seri Kembangan di sini malam ini berkata keputusan itu dibuat atas kehendak beliau sendiri, tanpa dipengaruhi sesiapa.

Ong Ka Ting dan timbalannya Tan Sri Chan Kong Choy bulan lepas mengumumkan bahawa mereka tidak akan mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan parti 18 Oktober ini.

Tee Keat ketika ini merupakan salah seorang daripada tiga Naib Presiden MCA. Dua lagi Naib Presiden ialah bekan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Fong Chan Onn dan bekas Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Donald Lim Siang Chai.

-- BERNAMA

Dr Sheikh Muszaphar Terima Gelaran Datuk

19 Julai, 2008 00:37 AM

KUALA PILAH, 19 Julai (Bernama) -- Angkasawan pertama negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dianugerahkan gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan ke-86 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Sabtu.

Doktor bedah ortopedik dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu menerima Darjah Dato' Setia Negeri Sembilan (DSNS).

Beliau adalah antara 90 penerima peringkat pertama yang menerima darjah kebesaran daripada Tuanku Ja'afar dalam satu istiadat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, dekat sini.

Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 36, yang berasal dari Seremban, berlepas ke angkasa pada 10 Okt tahun dengan menaiki roket Rusia, Soyuz TMA-11 untuk ke stesen Angkasa Antarabangsa. Beliau selamat kembali ke bumi pada 21 Okt.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norzam Mohd Nor, 53, mendahului senarai penerima darjah kebesaran dan pingat tersebut.

Beliau yang berasal dari Kuala Pilah juga dianugerahkan DSNS.

Enam belas yang lain yang turut menerima anugerah sama ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Ismail Taib, ADUN Juasseh, Mohammad Razi Kail, ADUN Sungai Lui Zainal Abidin Ahmad, ADUN Puteri Wangsa (Johor) Abdul Halim Suleiman, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Harta Sabah Sdn Bhd Abdul Rahman Abdul Ghani, Ketua Pegawai Semboyan Angkatan Tentera Malaysia Brig Jen Noordin Mohd Yusoff.

Yang lain ialah Naib Presiden Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Malaysia Datin Maimunah Abdul Wahab, Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Tenaga, Air dan Telekomunikasi Dr Mohd Padzil Hashim, pakar perunding pergigian Dr Philip Ting Chong Sing, Pengarah Urusan Kumpulan Brunsfield Corp Sdn Bhd Gan Thian Leong.

Ketua Pelaburan Strategik dan Perhubungan Korporat Genting Bhd Justin Leong Ming Loong, Bendahari MIC Negeri Sembilan S. Krishnan, ahli perniagaan Mohammad Caezar Musa, Timbalan Ketua Umno Bahagian Rasah Mohammed Najeeb Abdullah, Pengarah Urusan Pembrokeran Saham Affin Investment Bank Saiful Bahri Zainuddin dan Pengerusi Atlan Holdings Bhd Datuk Seri Adam Sani Abdullah.

Dua yang menerima Darjah Kebesaran Dato' Paduka Tuanku Jaafar (DPTJ) (Kehormat) yang membawa gelaran Datuk ialah Timbalan Presiden Appco Group (M) Sdn Bhd, James Iskandar Jaafar Greaves dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby China Region Lu Desheng Louis.

Seramai 20 orang pula menerima DPTJ yang membawa gelaran Datuk terdiri daripada Penasihat Undang-undang Negeri Sembilan Ishak Sahari, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Zaffarudin Sharif, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Md Basar Abdul Rahman, Pengarah Pembangunan Negeri Mat Ali Hassan.

Ketua Pengarah Jabatan Perancang Dasar dan Strategi Kementerian Luar Negeri Dr Fauziah Mohd Taib, Pegawai Perubatan Pakar Nefrologi Hospital Tuanku Jaafar Dr Wan Shariah Md Yusuf, Pengerusi Eksekutif Strong Roots Holding Gan Kim Chong, Presiden Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia Rokiah Omar, Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian MCA Negeri Sembilan Ho Yok Kee.

Turut menerima anugerah sama ialah Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan Legend Group of Companies K.K. Durai, ahli perniagaan Kamarulnizam Mohd Sharip, peguam Thomas Koh Boon Thye, bekas pemain badminton kebangsaan Ng Boon Bee, anggota Persatuan Sathya Sai Baba M.P.N. Parameswaran.

Timbalan Ketua Polis Negeri SAC II Abd Manan Mohd Hassan, anggota Majlis Agama Islam Negeri Sembilan Muhamad @ Mahmad Salleh Yasin, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Zainal Abidin Mokhtar, Pengarah Urusan Usaha Damai Gas Sdn Bhd Radin Firdaus Radin Lockman, Pengarah Urusan SP & G Insurance Brokers Zakaria Meranun dan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor SAC II Ramli Hassan.

Seramai 20 orang menerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS).

Mereka termasuk Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Mohd Saleh Jabbar, Pegawai Daerah Jempol Allahyarham Arifin Abd Latif, Pegawai Daerah Kuala Pilah Asis Ujang, Pegawai Daerah Port Dickson Johani Hassan dan Pegawai Daerah Seremban Mohd Bahrudin Mahfuz.

Seramai 19 orang menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT) dan antara mereka ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Mizan Maulud, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik Negeri Supt Junaidi Bujang, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supt V.R. Ravi Chandran dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Unit Dewan dan Protokol) Zaidi Johari.

Seramai 11 orang dilantik Jaksa Pendamai (JP).

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...