Thursday, June 12, 2008

Anwar telah cuba bertemu saya beberapa kali - Dr Mahathir

Kiriman malaysiakita.net
Terjemahan dari tulisan Raja Petra Kamarudin "Mahathir breaks his silence" oleh Marhaintua - Mandat 2020

"Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendedahkan pelakon-pelakon penting yang terlibat dengan mengabui perhatian Gaboner Bank Negara ketika itu – almarhum Tan Sri Jaffar Hussein - untuk melakukan kerja-kerja spekulasi tukaran matawang asing (forex) menyebabkan kerugian besar sehingga RM30 bilion antara 1992 – 1994," demikian laporan Malaysiakini pada 19 Julai 2006.

Malaysiakini seterusnya melaporkan: Sambil menyatakan bahawa keseluruhan episod itu adalah "pengalaman yang paling dahsyat" ketika berada dalam kerajaan, Anwar mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad turut terlibat dengan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hingga menyebabkan kerugian besar yang masih belum dapat dipulihkan kembali oleh Bank Negara hingga hari ini.

"Itulah kerja Nor Mohamad dan Dr Mahathir serta Daim. Ketika itu saya baru sahaja memegang jawatan Menteri Kewangan. Tetapi saya percaya Jaffar yang tidak tahu-menahu mengenainya bila saya bertanya beliau. Memang dia betul-betul memikirkan bahawa jumlahnya seditkit sahaja," jelas Anwar dalam temubual selama dua jam di pejabat Malaysikini di Bangsar Lama.

"Ketika tiba masa saya memahami segala-galanya, masalah sudah membengkak. Kita bercakap mengeenai kerugian yang menghampiri US$10 bilion."

Anwar mendakwa dia tidak mendapat gambaran yang jelas mengenai spekulasi forex hinggalah lawatan beliau ke luar negara di mana beberapa orang kawan menghubunginya dan menyatakan bahawa Bank Negara adalah antara tiga pelakon teratas dan sudah dianggap secara merata sebagai sebuah bank penyangak.

"Saya mendapat tahu daripada seorang kawan di Switzerland yang memberitahu: "Anwar, spekulasi ringgit Bank Negara adalah besar," Saya memberitahu beliau, perkara itu tidak mungkin benar kerana kami perlu melindungi simpanan kami. Tetapi beliau berkata bahawa kamu (Bank Negara) adalah antara tiga bank teratas. Salah satu yang teratas! Saya berkata adalah tidak masuk akal kita boleh menjadi salah satu negara itu yang melibatkan diri dalam berbilion dollar spekulasi forex."

Pada 12 April, 1994, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang membangkitkan perkara tersebut di Parlimen.

"Apabila Laporan Bank Negara bagi tahun 1992 diumumkan tahun lepas (1993), Tan Sri Jaffar Hussein yang disokong oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan (Anwar Ibrahim) telah menafikan bahawa terdapat apa-apa lubang atau hole, dengan izin, di dalam Bank Negara. Dan beliau menegaskan bahawa kerugian sebanyak RM9.3 bilion dalam urusniaga matawang asing yang ia bersedia mengakui merupakan hanya 'paper losses' dan bahawa kerugian Bank Negara itu adalah keuntungan buat negara atau pun "Bank Negara's loss is the nation's gain." Kita semua ingat lagi."

"Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengatakan bahawa kerugian sebanyak RM5.7 bilion dalam urusniaga matawang asing pada tahun lepas datangnya daripada keuntungan yang diperolehi dalam urusniaga matawang asing dalam tahun-tahun yang sebelumnya.""Dalam usul khas saya atas kerugian tukaran asing Bank Negara di Parlimen pada April tahun lepas, Yang Berhormat Menteri Kewangan dengan sungguh-sungguh telah menafikan bahawa Bank Negara telah menjalankan spekulasi atau berjudi dalam tukaran matawang asing."."Lim Kit Siang telah menjawab kenyataan Anwar Ibrahim kepada Parlimen sepuluh hari sebelum itu, pada 2 April 1994, di mana dia telah berkata:

"Dari tahun 1981 sehingga 1984, kerugian yang dialami oleh Bank Negara kerana mempertahankan ringgit, dasar yang didukung oleh Menteri Kewangan pada masa itu, ialah RM9.5 bilion

"Prinsip pertanggungjawaban diterima oleh Tan Sri Jaffar Hussein. Saya akui beliau merupakan salah seorang Gabenor Bank Pusat yang berjaya, dihormati di rantau kita dan juga di dunia antarabangsa. Kesilapan diakui kerana beliau tahu maklumat terperinci telah tidak pernah dikemukakan kepada saya atau kepada Perdana Menteri. Beliau tahu dan saya tahu. Kita diberitahu maklumat itu hanya sebelum akaun 1992 hendak dibentangkan. Pada masa itu baru kita tahu."

Pelbagai laporan yang bercanggah di atas boleh di rumuskan sebagai berikut:

Selama beberapa tahun sehingga 1992, Bank Negara telah mengalami kerugian wang yang begitu besar jumlahnya akibat kerugian ketika terlibat dalam pertukaran matawang asing.

Pada 1993, laporan Tahunan Bank Negara 1992, telah dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan ketika itu, Anwar, menafikan bahawa Bank Negara mengalami kerugian dan apa yang berlaku hanyalah kerugian 'atas kertas' bererti secara fizikalnya Bank Negara tidak mengalami apa-apa kerugian.

Pada 1994, Anwar telah mengakui bahawa Bank Negara telah mengalami kerugian kira-kira RM9.5 bilion tetapi berkata bahawa dia dan juga Perdana Menteri tidak tahu-menahu bahawa Bank Negara telah mendedahkan dirinya kepada risiko pertukaran matawang asing. Anwar menyalahkan Gaboner Bank Negara sepenuhnya atas kerugian itu kerana bertindak sendirian tanpa kelulusan ataupun berunding dengan Perdana Menteri ataupun Menteri Kewangan.

Pada 2006, Anwar telah menyalahkan Dr Mahathir dan Daim berikutan kerugian Bank Negara dan mengisytiharkan bahawa kerugian itu sebenarnya mencecah RM30 bilion ataupun lebih (US$ 10 bilion). Wang yang kerugian itu, kata Anwar langsung tidak dapat diperolehi kembali sehingga hari ini.

Malaysia Today telah meminta penjelasan Dr. Mahathir berhubung dakwaan itu. Jika Dr Mahathir tidak lagi mengingati peristiwa tersebut, Malaysia Today mengingatkan beliau bahawa perkara tersebut telahpun dibangkitkan di Parlimen pada April 1993, dan sekali lagi pada April 1994. Pada mualanya Anwar telah menafikan bahawa Bank Negara telah mengalami sebarang kerugian. Setahun kemudiannya, beliau mengaku pula bahawa negara memang pernah mengalami kerugian, tetapi menafikan bahawa beliau tahu mengenai perkara itu dan turut mengumumkan bahawa Perdana Menteri juga tidak tahu-menahu. Namun demikian, sekarang (2006) Anwar telah menyalahkan Dr. Mahathir dan Daim atas kegagalan itu dan berkata dia (Anwar) hanya mengetahuinya ketika dia bertemu seorang kawan di Switzerland.

"Sudan tentulah kita semua tahu hal itu," kata Dr. Mahathir. "Malah kita telah buka satu pejabat di London untuk tujuan itu dan saya telah merasmikan pembukaan pejabat tersebut."

Tujuan kita berdagang dengan matawang ialah untuk menyokong Ringgit berbanding dollar Amerika, jelas Dr Mahathir. Semua orang melakukannya, kata Dr Mahathir. "Dan pada awalnya kita memang mendapat banyak keuntungan," katanya lagi.

"Memanglah selepas itu kita rugi sedikit tetapi kerugian kita adalah lebih kecil dari keuntungan yang kita perolehi. Kerugiannya tidaklah sampai RM20 bilion seperti yang disebut oleh Anwar. Jumlahnya lebih kecil dari itu, tetapi saya tidak ingat berapa jumlahnya yang sebenar. Tapi memang tidak tidak sampai RM30 bilion".

Kenyataan Dr Mahathir itu memberi andaian bukan sahaja menjelaskan bahawa segala kerugian telah ditebus kembali, bertentangan dengan dakwaan Anwar, malah kerugian itu adalah sedikit sahaja dan hanya sebahagian daripada keuntungan yang diperolehi sebelumnya. Dengan itu, kerugian Bank Negara sebenarnya adalah sebahagian dari keuntungan yang diperolehinya pada peringkat awal.

"Apapun," hujah Dr. Mahathir, "Pada waktu yang sama pasaran saham naik sehingga ke tahap 840 mata daripada 262 mata. Ini merupakan permodalan pasaran sekitar RM300 bilion. Jadi, ketika kita rugi sedikit di pasaran matawang asing, kita telah untung berlipat kali ganda melalui keuntungan pasaran saham. Ini bermakna memberi sokongan kepada Ringgit dan menentukan satu matawang yang stabil membantu pasaran saham. Inilah yang memberi keyakinan kepada pasaran dan membolehkan rakyat Malaysia meraih keuntungan."

Dengan itu Dr Mahathir berpendapat, bahawa pada peringkat pertama operasi Bank Negara adalah satu kegiatan rasmi dan sah untuk menyokong Ringgit. Kedua, ia adalah sesuatu yang dimulakan oleh kerajaan dan bukan oleh operasi Bank Negara, yang dikatakan bank penyangak, tanpa kebenaran dan pengetahuan kerajaan, termasuklah Anwar sebagai Menteri Kewangan.

Malahan, satu pejabat baru dibuka di London untuk tujuan itu untuk memberi sokongan kepada Ringgit dan mengelakkannya daripada merudum. Akhirnya ringgit yang stabil menghasilkan keyakinan pelabur yang kemudiannya menghasilkan kerancakan Bursa Saham Kuala Lumpur yang naik tiga kali ganda dan mencetuskan permodalan sekitar RM300 bilion.

{catatan penterjemah: heheheh ...... pandai Mahathir kelentong ..'market capitalisation' di pasaran saham adalah berbentuk nilai kertas -saham sahaja, kebanyakannya. Apabila melibatkan matawang negara untuk spekulasi forex kita melibatkan wang secara fizikal, dan membabitkan prinsip 'fudiciary' !!!!!}

"Adakah awak tahu bahawa Anwar telah cuba bertemu saya beberapa kali?" tanya Dr. Mahathir.

Saya tahu ini adalah berbentuk satu soalan, tetapi ada ketikanya kenyataan dikemukakan dalam bentuk persoalan, jadi saya anggap ini sebagai satu kes semacam itu.

Saya termangu sebentar kerana tidak tahu apa yang perlu dijawab. Apakah yang patut saya jawabkan? Kalau ada sesiapa yang bertanya apakah anda fikir dia bodoh, jelas dia tidak mengharap anda berkata "ya!" kerana apa yang dimaksudkannya ialah dia bukannya bodoh. Bagaimana pun kerana tidak mahu menjadi seseorang yang mahukan orang lain menguasai keadaan, saya pun menjawab, "Ya, saya pernah mendengarnya."

Memang benar perkara ini dan saya bukannya berbohong. Saya memang pernah mendengar perkara itu daripada seseorang yang mendakwa Anwar bercakap dengannya dan bertanya apakah dia mahu menjadi orang perantara untuk mengatur satu pertemuan dengan Dr Mahathir.

"Anwar telah bercakap dengan beberapa orang dan meminta mereka menemui saya. Dia mahu berjumpa walaupun saya tidak tahu kenapa. Pada pendapat awak, kenapa dia mahu bertemu saya?"

Jelas dia memang mahukan jawapan kepada soalan itu. Kenapa dia bertanya saya dari begitu ramai orang lain? Saya tidak faham langsung. Mungkin juga dia berfikir saya memang rapat dengan Anwar jadi saya mungkin mengetahui jawapannya?

Saya memang pernah menjadi Pengarah Kempen Bebaskan Anwar, tetapi itu adalah pada hari-hari ketika Anwar merengkok dalam penjara. Sejak 2 September 2004, hari dia dibebaskan, saya telah memberikan tumpuan kepada Malaysia Today yang kini tugas sepenuh masa saya dan saya juga tidak banyak berinteraksi dengan Anwar

Saya tidak mahu kelihatan kebingungan. Mungkin Dr Mahathir menguji saya untuk mengetahui apakah saya benar-benar mengetahui apa yang sedang berlaku ataupun apakah saya ini kononnya seorang penganalisis politik yang hebat yang saya lagakkan. Dia telah bertanya kenapa Anwar mahu bertemu beliau. Jadi dia mencari pendapat saya dan mahu menilai apakah pandangan itu betul ataupun mungkin juga salah. Jadi saya berlakon dengan Dr Mahathir dalam lakonan dua puluh persoalan dan mahu lihat betapakah dia menilainya pula.

"Saya fikir Anwar mahu berjumpa mendapatkan restu."

"Untuk apa?"

Begini, kalau dia mahu menganggotai UMNO semula dia perlukan satu rekod yang bersih. Dia perlu menunjukkan sudah berdamai dengan Tun. Ini sahaja satu-satunya 'stigma' (penghalang) yang melecehkan beliau masuk UMNO semula. Kalau dia dapat buktikan sudah bermaaf-maafan dan melupakan perkara yang silam makanya dia dapat sokongan Tun dan sokongan penyokong Tun dalam UMNO. Tun masih memilikki sekurang-kurangnya 60% sokongan dalam UMNO. Kalau digabungkan ini dengan para penyokongna sendiri yang masih kekal dalam UMNO sudah tentu ini memberikan satu kekuatan padanya.

"Apakah saya masih mempunyai 60% sokongan dalam UMNO?"

"Aha, ini satu soalan yang ada trick ataupun muslihatnya. Saya tahu dia sendiri tahu akan jawapannya tetapi dia mungkin mahu mengusik apakah saya tahu perkara yang saya tuturkan.

"Kalau ikutkan pendapat ibupejabat UMNO, memang anda mempunyai sokongan sebanyak itu. Itu sebabnya Pak Lah mengeluarkan RM600 juta kepada semua Ketua Bahgian pada petang menjelang Persidangan Agong UMNO . Dia mahu menumpulkan bisa para penyokong Tun yang mahu mencetuskan bantahan. Pada dasarnya dia mahu membeli semua penyokong Tun."

Dr Mahathir tidak berkata apa-apa selain mengangguk kepala, jadi saya tidak tahu apakah dia bersetuju dengan anadaian saya itu ataupun tidak.

"Tetapi apa pasal dia mahu balik semula kepada UMNO?"

"Saya fikir kalau dia mahu menjadi Perdana Menteri. Dia sedar bahawa dia tidak boleh menjadi seorang Perdana Menteri kalau tidak masuk UMNO semula. Hanya Presiden UMNO yang boleh menjadi Perdana Menteri dan dia sedar akan perkara ini."

"Tetapi bagaimana dia boleh balik menganggoi UMNO. Apakah UMNO akan terima?"

"Sebenarnya dia tidak perlu rujuk balik kepada UMNO seolah-olah dia memohon menjadi anggota UMNO semula. Kalau dia berbuat demikian ramai yang akan menentang, lagipun dia perlu memulakan segala-galanya dari bawah. Dia bukannya muda lagi untuk sabar memulakannya daripada bawah. Dia perlu masuk semula di peringkat atasan, semacam menyambung semula apa yang ditinggalkannya."

"Bagaimana dia boleh berbuat begini?"

"Wau…. Memang inilah sesungguhnya soalan besar."

"Kalau UMNO membuat pengumuman bahawa pemecatan beliau dulu adalah tidak sah dan melanggar perlembagaan parti, bererti dia akan diambil masuk semula. Anwar bukannya diadili oleh Lembaga Disiplin UMNO.

"Dia telah dipecat oleh Majlis Tertinggi UMNO tanpa mewujudkan satu perbicaraan yang adil. Semua pemecatan yang lain-lain adalah berdasarkn keputusan Lembaga Disiplin UMNO. Tetapi tidak dalam kes Anwar.

"Sebab musabab dia dipecat ialah kerana dakwaan adanya salahlaku seksual. Tetapi mahkamah telah membebaskan beliau dari segala tuduhan salahlaku seksual. Ini bermakna pemecatan beliau daripada UMNO dikira tidak sah. Ini bererti pemecatan belaiu daripada UMNO mesti diterbalikkan.

Dr Mahathir hanya melopong merenung saya tanpa berkata apa-apa. Opocot…!!!! Apakah saya telah berlagak keterlaluan dalam hal ini. Akan tetapi keadaan sudah terlambat untuk balik ke pangkal jalan. Jadi saya perlu teruskan dan nyatakan pendapat saya.

"Kalau ada segelintir Bahagian UMNO meluluskan satu resolusi meminta Majlis Tertinggi mengkaji semula pemecatan Anwar berasaskan pemecatan yang dibuat bertentangan dengan Perlembagaan parti, beserta asas pemecatannya itu tidak lagi dikira sah, makanya Majlis Tertinggi UMNO tidak punyai pilihan lain lagi.

"Mereka bolehlah berkata bahawa pada 1998, Majlis Tertinggi bersetuju dengan cadangan Presiden untuk memecat Anwar kerana beliau (Presiden UMNO) pernah berkata dia mempunyai bukti yang cukup bahawa Anwar telah melakukan salahlaku seksual. Oleh kerana mahkamah sudahpun tidak berseutju dengan fitnah itu kerana tidak ada buktinya, makanya pemecatan itu harus diterbalikkan dan Anwar mesti diambil semula.

"Tetapi Najib sudahpun menjadi Timbalan (Presiden)".

"Najib telah dilantik sebagai seorang Timbalan. Dia tidak pernah bertanding jawatan itu. Sebaliknya Anwar bertanding dan menang. Jadi, Anwar telah dipilih oleh anggota patri sedangkan Najib tidak begitu. Najib hanya dilantik. Kalau pemecatan Anwar dianggap tidak sah, bererti dia sesungguhnya merupakan Timbalan Presiden Parti. Bukannya Najib".

"Adakah awak seorang peguam?"

"Tidak…saya hanya seorang penulis."

"Tetapi awak temberang macam peguam?"

"Ini hanya teori saya sahaja. Apakah Pak Lah menyokong langkah untuk membawa masuk Anwar kembali menganggotai UMNO mungkin bergantung kepada berapa besarkah ancaman yang dihadapinya Kalau dia merasakan bahawa kedudukannya terancam dan dia memerlukan Anwar untuk membantu mempertahankan kedudukannya, tentulah masuk akal untuk beliau mengusahakan Anwar diambil semula oleh UMNO".

"Apakah dia boleh percayakan Anwar? Anwar pernah cuba menyingkirkan saya. Dia mungkin lakukan perkara yang sama kepada Pak Lah."

"Tentu, tetapi ini adalah masalah sekonder, Dia memerlukan Anwar untuk menyokong beliau menghadapi Tun dan Najib dan selepas dia mengenepikan segala ancaman itu barulah dia boleh menangani Anwar".

"Apakah kamu tahu kalau Anwar tidak cuba menyingkirkan saya dia sudahpun menjadi Perdanaa Menteri sekarang? Saya sudah merancang mahu bersara pada 1998 tetapi disebabkan krisis 1997, dan apa yang Anwar lakukan saya tidak ada pilihan selain mengekalkan kedudukan. Malahan rumah kediaman baru Perdana Menteri di Putrajaya telah dibuat untuk Anwar dan bukannya untuk saya. Terdapat enam bilik tidur. Kenapa saya perlukan enam bilik tidur? Saya bukannya ada ramai anak seperti itu, Anwar yang mempunyai anak seramai itu. Kediaman itu adalah untuk dia dan bukan untuk saya. Tetapi kerana perbuatan Anwar saya tidak ada pilihan walapun saya sudah merancang mahu bersara".

"Ya, saya memang tahu akan perkara itu".

Kita akan sambung di lain waktu. Jika saya rasa mahu mendedahkan apa yang saya bincangkan dengan Mahathir….."

Anak temui mayat ibu

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

DENGKIL: “Bila buka pintu, saya nampak mak terlentang depan TV dengan kepalanya berdarah. Saya terkejut sebab takut sangat dan terus keluar panggil mak cik sebelah rumah,” kata Mohd Fikri Baharin, 10, anak sulung seorang wanita yang dipercayai dibunuh di rumahnya di Jalan Cempaka, Kampung Datuk Haji Ahmad Ghazali di sini, petang semalam.

Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Dengkil itu berkata, dia dihantar ayahnya, Baharin Khatin, 44, pulang ke rumah selepas bermalam di rumah ibu tirinya di Kampung Sungai Buaya, Banting, Selangor.

“Ayah tak singgah rumah, cuma hantar saya tepi jalan. Bila sampai, pintu depan berkunci, jadi saya guna pintu belakang untuk masuk.

“Bila buka pintu, saya nampak mak terlentang dan kepalanya berdarah,” katanya sambil menangis ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Rosmawar Yazit, 35, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, ditemui mati di ruang tamu rumahnya oleh anaknya, Mohd Fikri.

Mangsa baru bekerja sebagai tukang cuci di sebuah syarikat swasta di Cyberjaya.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah, berkata ketika kejadian mangsa berseorangan di rumah kerana suaminya, Baharin Khatin, 44, serta tiga anak mereka berusia empat hingga 10 tahun berada di Banting.

“Mangsa dipercayai baru keluar dari bilik air apabila dibunuh berdasarkan dia hanya berkemban ketika mayatnya dijumpai anaknya.

“Mangsa dipercayai dibunuh enam jam sebelum mayatnya ditemui anaknya,” katanya di sini, semalam.

Omar berkata, hasil siasatan tiada kesan pergelutan ditemui berlaku walaupun mangsa mengalami kecederaan di dahi.

“Bagaimanapun, keadaan rumah mangsa berselerak dan dipercayai suspek mencari sesuatu yang berharga berdasarkan tindakannya menyelongkar almari rumah mangsa,” katanya.

Ditanya sama ada terdapar kesan mangsa dirogol sebelum dibunuh, Omar berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai kemungkinan itu.

“Siasatan awal juga tidak menemui sebarang senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa.

“Kita juga belum mendapat maklumat mengenai bilangan suspek yang terbabit dalam kejadian,” katanya.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Hanim Khatin, 37, berkata walaupun tinggal bersebelahan rumah mangsa, mereka sekeluarga tidak mendengar sebarang bunyi bising di rumah itu sejak malam kelmarin.

“Kali terakhir, saya jumpa dia petang semalam (kelmarin) kira-kira jam 6 petang. Malam tadi (semalam) pun, adik saya tidur agak lewat, tapi saya tak dengar bunyi bising atau melihat perkara luar biasa di rumahnya,” katanya.

Hanim berkata, dia terkejut apabila anak saudaranya memberitahu ternampak ibunya dengan kepala berdarah di ruang tamu.

“Ketika tiba di rumahnya, saya nampak kakak dalam keadaan telentang dan mukanya berdarah, selain sehelai kain membaluti kepalanya.

“Bagaimanapun, televisyen, kipas dan lampu masih terpasang,” katanya yang kemudian menghubungi polis.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Harian Metro

Betulkah Razali Agus sedang sibuk menjilat ludah sendiri?

By ZainulFakar

Umno di Universiti kadang-kadang semacam soldadu UMNO/BN di luar sana. Sibuk mencari talian hayat untuk terus rakus berkuasa atas pentas masing-masing.

Namun, kehidupan politikus UMNO/BN di Universiti yang di bawah autonomi kuasa negeri Pakatan Rakyat (PR) kelihatan tidak tentu arah.

Pakai baju sejuk di tengah-tengah matahari memacak atas kepala. Pakai kepiah dan mungkin serban ketika mandi.

Deman, makan cili api. Lapar, gigit tayar. Pendek kata, kehidupan mereka ini tidak semacam ahli akademia Universiti. Macam pesakit jiwa, ada lah!!!

Inilah perasaan yang sedang menghantui Bekas Timb. Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) saya, Dato’ Prof. Dr. Mohd Razali Agus.

Sekarang Si Kangkung Razali Agus ini nazak di kerusi Naib Canselor Universiti Industri Selangor (UNiSEL).

Dahulu, jika ada mana-mana mahasiswa lantang menentang kepemimpinan zalim Si Kangkung ini di UM, mereka ini akan dilabelkan pembangkang.

Mereka ini diusir keluar kolej kediaman walaupun mereka ini aktif dalam aktiviti di peringkat kolej. Mahasiswa yang islamic juga dihalau keluar dari kolej kediaman kerana dendam beliau kepada PAS dan Pembangkang di luar sana.

Ibu bapa mereka diugut dan ditakut-takutkan secara psywar; sampai ada mahasiswa trauma dan paranoid.

Saya , Zainulfaqar Hj. Yaacob merupakan salah seorang bekas mahasiswa UM yang pernah berdepan dengan sikap bodoh Profesor Kangkung ini.

Macam-macam perasaan telah saya rasai dahulu. Namun, Alhamdulillah, saya yakin dengan janji Allah.

Saya yakin bahawa doa orang yang dizalimi akan dimakbulkan oleh Allah. Saya berdoa agar segala inzar (amaran daripada Allah) ini dapat diambil pengajaran bersama kelak; insya Allah…

Saya patut mengambil pengajaran. Aktivis-aktivis mahasiswa di luar sana pun mengambil teladan.

Dan mereka yang pernah menzalimi aktivis mahasiswa (yang belum dihina oleh Allah lagi di dunia yang fana’ ini) patut mengambil pengajaran dan bertaubat!.

Tengok! Apa sudah jadi dengan Razali Agus????!!!!!

Pasca peralihan kuasa Kerajaan Negeri Selangor pada Pakatan Rakyat menyaksikan kegelisahan Razali Agus semakin ketara.

Hari ini, Si Kangkung tersebut mula sibuk mengikut punggung Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam acara rasmi kerajaan.

Lebih dari itu, Si Kangkung ini sibuk mencium tangan MB Besar yang pernah difitnahnya dalam Pilihanraya Kecil Ijok yang lepas.

Terbaru, Prof. (Kangkung) Dr. Mohd Razali Agus ini (bekas TNC saya) telah berjanji untuk melaporkan secara langsung kegiatan mahasiswa di UNISEL demi membuktikan ketaatannya kepada MB Selangor.

Kita boleh lihat dalam beberapa tabloid alternatif di ibu negara keluaran lepas.

Meludah ke langit, kena muka sendiri. Menjilat ludah sendiri rupanya Si Kangkung itu!!!!

Bukan taat!!! Tetapi bimbang kedudukannya sebagai NC di IPT tersebut bagai telur di hujung tanduk.

Malam ini, saya akan membawa isu ini sebagai isu sampingan dalam mesyuarat SMM di ibu negara.

Menurut satu sumber, Si Kangkung Razali Agus ini juga dalam senarai pendek untuk digulingkan kerana beliau bukan mengajar mahasiswa berfikir, tetapi membongsaikan fikrah mahasiswa menurut acuan sempit UMNO.

Mari kita lihat, betulkah Si Kangkung Razali Agus ini sedang sibuk menjilat ludah sendiri?

Agak-agaknya, berapa banyak ludahnya telah dijilat sehingga saat ini??? Hanya Razali Agus dan Tuhan-nya sahaja yang tahu jawapan sahih bagi kedua-dua persoalan di atas ini…

Komen Editor :
Persoalannya disini apakah dasar Kerajaan Baharu Selangor? Kelihatannya Razali Agus akan terus jadi TNC, Rosmah Mansur terus jadi Cancellor. Dalam UMNO sendiri, Sanusi Junid dipecat sebagai Presiden UIA dengan segera bila keluar dari UMNO. Tetapi, Selangor kerajaannya berubah, tak seorangpun dipecat mahupun ditukarkan. Tunggulah sampai seratus hari nanti mungkin ada perubahan. ST

Selangor Today

Selepas Itali, Belanda sasar Perancis

BERNE, Switzerland – Selepas membenam juara dunia, Itali 3-0 pada aksi pembukaan, Belanda cukup bersemangat untuk menjadikan naib juara dunia, Perancis pula sebagai mangsa kedua dalam perlawanan kedua Kumpulan C, esok.

Anak-anak buah Marco van Basten mempamerkan aksi menakjubkan ketika mencatat kemenangan pertama ke atas Itali dalam tempoh 30 tahun, Selasa lalu sedangkan Perancis beraksi hambar ketika seri 0-0 dengan Romania pada hari yang sama.

Pengurus Perancis, Raymond Domenech ketika ini hanya mampu berdoa penjaring terbanyak mereka, Thierry Henry yang terlepas pertemuan dengan Romania kerana kecederaan dapat kembali beraksi untuk berdepan pasukan Oranje.

Penyerang Barcelona itu dilihat berada di padang selama 45 minit dalam sesi latihan bersama kelab tempatan, Chatel-Saint-Denis semalam, begitu juga kapten Perancis, Patrick Vieira yang turut terlepas perlawanan sulung kerana kecederaan paha.

Kedua-dua pemain merupakan tonggak penting yang mampu membawa perubahan buat Perancis apabila pasukan itu turun dalam perlawanan kedua di Berne.

Perancis, juara Euro 2000 tidak punya pilihan lain, kecuali menang jika tidak mahu pulang awal kerana perlawanan terakhir mereka juga tidak mudah, berdepan Itali.

Belanda, sebaliknya turun dengan penuh keyakinan selepas melakar kemenangan terhebat hasil jaringan Ruud van Nistelrooy, Wesley Sneijder dan Giovannni van Bronckhorst.

Ia bukan saja kemenangan pertama Belanda ke atas Itali dalam tempoh 30 tahun, malah menjadi hadiah hari jadi buat pemain tengah Real Madrid, Sneijder, yang genap 24 tahun, Isnin lalu.

“Menumpaskan Itali adalah keputusan yang baik tetapi kami tiada masa untuk meraikannya kerana sasaran kami adalah layak ke perlawanan akhir. Jadi kami kena sentiasa bertenang.

“Tumpuan sekarang adalah berdepan Perancis dan kami sudah bersedia. Andai kalah pertemuan ini, kami harus kembali di mana kami bermula,’’ kata Van Basten.

Pemain pertahanan Blackburn Rovers, Andre Ooijer pula menambah, Belanda akan bermula dengan permainan pantas seperti yang dilakukan ke atas Itali apabila bertemu Perancis.

Van Nistelrooy, yang menyifatkan kemenangan ke atas Itali sebagai ‘detik terindah dalam kariernya’ menegaskan, fokusnya sudah lama beralih kepada Perancis.

Bintang penyerang Real Madrid itu bakal berdepan pertahanan kental Perancis, William Gallas dalam usaha untuk mencari gol.

“Kami harus berwaspada dengan Nistelrooy sama ada di dalam atau di luar kotak penalti kerana dia selalu berjaya melepasi perangkap ofsaid,’’ kata Gallas.

Utusan Online

Portugal ke suku akhir

GENEVA – Portugal menjadi pasukan pertama melangkah ke suku akhir Kejohanan Eropah (Euro 2008) selepas menundukkan Republik Czech 3-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan A, hari ini.

Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo menyumbangkan satu gol dan mencipta gerakan untuk dua lagi gol bagi memastikan kemenangan berharga buat pasukannya.

Meskipun Deco membuka jaringan Portugal, namun gol pada minit kelapan itu berpunca dari percubaan Ronaldo.

Rembatan Ronaldo yang menerima hantaran Nuno Gomes berjaya ditepis penjaga gol Czech, Petr Cech tetapi bola jatuh tepat ke kaki Deco yang hanya perlu menolaknya ke gawang.

Czech bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1 selepas Libor Sionko menanduk cantik sepakan sudut yang diambil oleh Jaroslav Plasil pada minit ke-17.

Gol penyamaan itu menjadikan perlawanan bertambah rancak, yang mana Portugal dan Czech saling meningkatkan serangan.

Ronaldo hampir menambah jaringan kedua Portugal pada minit ke-42, namun rembatan cantiknya berjaya ditepis oleh Cech.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebaik separuh masa kedua bermula, namun 10 minit pertama permainan bagaikan dikuasai oleh Portugal yang mencipta banyak percubaan.

Pada minit ke-53, Gomes hampir meletakkan Portugal di depan dengan melakukan rembatan dari dalam kotak penalti, namun ketangkasan Cech berjaya menyelamatkan keadaan.

Selepas diasak beberapa kali, benteng pertahanan Czech akhirnya roboh lagi pada minit ke-63, kali ini Ronaldo menyambut hantaran Deco dan melepaskan rembatan yang tidak terjawab oleh Cech.

Ketinggalan 2-1 mendorong Czech menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan dan penyerang tinggi lampai, Jan Koller dibawa masuk pada minit ke-73 bagi menambah sengat jentera serangan.

Kemasukan Koller menukar rentak permainan, Milan Barros hampir memberi gol penyamaan di minit ke-83, tetapi tandukannya ditepis keluar oleh penjaga gol Portugal, Ricardo.

Pada minit ke-83, Sionko sekali lagi menanduk sepakan sudut Plosil, namun kali ini Ricardo sudah lebih bersedia dengan menepis bola yang sedikit melepasi palang pintu gol.

Dalam keghairahan mencari gol penyamaan, Czech membuat kesilapan dengan membiarkan benteng pertahanan mereka terbuka, akibatnya Ronaldo yang langsung tidak terkawal membuat larian solo dan hanya berdepan satu sama satu dengan Cech.

Namun, bintang Manchester United nyata tidak bersikap tamak apabila menghantar bola kepada Ricardo Quaresma yang hanya perlu melakukan sedikit tolakan untuk gol ketiga Portugal, seminit memasuki masa tambahan.

Kemenangan ini membolehkan Portugal, naib juara 2004 menjadi pasukan pertama mara ke suku akhir, sekali gus menjadi antara pilihan untuk membawa pulang kejuaraan kali ini.

Bagi Czech, mereka tiada pilihan lain kecuali menang ke atas Turki dalam perlawanan terakhir, Isnin ini untuk menghidupkan peluang, sementara Portugal akan melengkapkan jadual Kumpulan A dengan bertemu tuan rumah, Switzerland.

Utusan Online

Kita bukan negara kaya - Shahrir

KUALA LUMPUR 11 Jun - Kerajaan terpaksa mengambil langkah tidak popular dengan menaikkan harga petrol sehingga 40 peratus demi memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas pada masa akan datang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, semua pihak harus sedar dalam fenomena kenaikan harga minyak dunia yang kini hampir mencecah AS$140 setong, bebanan kewangan negara turut bertambah.

Justeru, katanya, kerajaan terpaksa menyeimbangkan antara pemberian subsidi dengan belanja pembangunan yang lain termasuk perbelanjaan jaminan makanan bagi memastikan rakyat dapat hidup dengan selesa.

''Apa yang berlaku ini, seluruh dunia turut menerima kesan termasuk Malaysia. Kita bukanlah sebuah negara yang kaya, jadi mahu tidak mahu kita perlu berhemah dalam menguruskan kewangan kita.

''Oleh itu, kerajaan terpaksa juga menaikkan harga petrol sehingga 78 sen dan harga diesel RM1. Ini bukannya satu keputusan yang popular tetapi kita terpaksa juga melakukannya kerana kita merupakan kerajaan yang bertanggungjawab,'' kata Shahrir.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Bersemuka Dengan Media terbitan RTM malam tadi membincangkan tajuk 'Penstrukturan Semula Subsidi Minyak'.

Selain Shahrir, rancangan tersebut turut menjemput Ketua Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Menurut Shahrir, wang hasil Petronas yang digunakan oleh kerajaan bukan hanya setakat memberi subsidi kepada rakyat tetapi ia turut dibelanjakan dalam sektor lain seperti pendidikan dan kebajikan.

Menurutnya, adalah tidak adil bagi kerajaan membelanjakan wang tersebut untuk subsidi semata-mata kerana masih terdapat golongan yang memerlukannya selain pengguna kenderaan.

Sementara itu, Shahrir menyelar kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa boleh menurunkan harga minyak.

Katanya, semasa menjadi Menteri Kewangan dulu Anwar sanggup menerima dasar Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) termasuk menghapuskan subsidi minyak.

''Bagaimana dia hendak menurunkan harga minyak sedangkan ketika menjadi Menteri Kewangan, dia sanggup menerima dasar IMF yang jika diterima harga minyak akan mengikut harga pasaran,'' katanya.

utusan online

Himpunan aman esok, penganjur yakin polis terima rayuan

Anis Nazri
Thu | Jun 12, 08 | 7:02:00 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Hrkh) - Pemuda Pakatan Rakyat percaya pihak polis akan membenarkan perhimpunan membantah kenaikan harga minyak selepas surat rayuan dikemukakan pihak penganjur.

Setiausaha Pemuda PAS, Ahmad Sabki Yusof, berkata surat rayuan itu akan dikemukakan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, selepas permohonan mereka hari ini ditolak Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman.

Sabki berkata, dengan surat rayuan ini, Pemuda Pakatan Rakyat percaya polis akan membenarkan perhimpunan tersebut diadakan seperti dirancang.

Perhimpunan yang dijangka disertai 20,000 orang itu akan bermula di Masjid Kampung Baru sebelum berarak ke KLCC, selepas solat Jumaat esok.

Harakahdaily difahamkan, pihak polis menolak permohonan perhimpunan itu dengan empat alasan, antaranya pihak penganjur tidak mengemukakan surat kebenaran dari pihak Masjid Jamek kampung Baru dan KLCC.

Pihak polis turut memberi alasan perhimpunan tersebut akan menyebabkan gangguan laluan lalulintas dan keselamatan terhadap pengguna jalan raya, selain dikatakan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam. - mks._


Harakah Online

Caj kereta: DBKL tarik balik, bantahan MP Pakatan Rakyat berjaya

Harakahdaily
Thu | Jun 12, 08 | 9:07:01 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Hrkh) - Keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengekalkan kadar lama bayaran letak kereta membuktikan bahawa bantahan ahli Parlimen Pakatan Rakyat adalah berkesan.

"Baguslah...tetapi kita hendak tahu lebih lanjut mengapa mereka umumkan kenaikan itu semalam," kata ahli Parlimen kawasan Batu, Tian Chua.

Menurut Malaysiakini,Ketua Penerangan KeADILan itu menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan DBKL bahawa kadar bayaran tempat letak kereta di bandaraya kekal sejak tahun 1984.

Semalam media melaporkan DBKL akan menaikkan kadar bayaran tempat letak kereta dari 60 sen kepada 80 sen sejam iaitu kenaikan sebanyak 35 peratus mulai Isnin ini.

Sementara itu,Bernama memetik Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato' Abdul Hakim Borhan sebagai berkata, kenaikan itu berkutan pelaksanaan sistem letak kereta elektronik (SLKE) di bandararaya itu.

Ekoran itu, 10 ahli Parlimen Pakatan membantah tindakan DBKL itu dan menyifatkannya umpama menangguk di air keruh dan menambahkan lagi beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat selepas kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Bantah lanjut masa Sepuluh ahli Parlimen terbabit ialah Tan Sri Khalid Ibrahim, Dr. Tan Seng Giaw, Teresa Kok, Dr. Lo'lo� Mohammad Ghazali, Fong Kui Lun, Wee Choo Keong, Tan Kok Wai, Tian Chua, Lim Lip Eng dan Nurul Izzah Anwar.

Bagaimanapun, hari ini, DBKL mengeluar kenyataan menjelaskan bahawa tiada kenaikan bagi tempat letak kereta, walaupun sistem SLKE dilaksanakan mulai 6 Jun lalu.

Sementara itu, ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai berkata, pengumuman mengekalkan kadar lama sedikit melegakan tetapi warga kota tetap membantah tempoh masa sehingga jam 10 malam dan turut dikenakan bayaran pada hari Ahad termasuk cuti am.

"Ini membebankan penduduk yang tinggal di rumah kedai kerana mereka terpaksa membayar bayaran kereta itu.

"Saya rasa bayaran hanya patut dikenakan sehingga jam 5 petang sahaja," katanya.

Katanya, ia juga boleh menggalakkan pengguna kereta mendapatkan khidmat `jaga kereta' haram kerana bayarannya cuma RM1.

Kontrak swasta

Tan berkata, peraturan baru DBKL itu menyebabkan penghuni rumah kedai merasa bimbang mengenai keselamatan kenderaan masing-masing termasuk ditarik oleh pihak berkuasa.

Sehubungan itu, beliau berharap DBKL merancang sistem meletak kereta yang lebih baik supaya tidak membebankan pengguna.

Ahli Parlimen Cheras itu juga mempersoalkan keberkesanan penswastaan sistem meletak kenderaan di Kuala Lumpur yang telah dilaksanakan sejak 20 tahun lalu.

"Saya mendapat tahu kontraktor swasta itu tidak membayar wang kutipan kepada DBKL," katanya lagi.

Dr Lo'lo' pula berkata, DBKL juga tidak pernah mengadakan rundingan dengan ahli-ahli Parlimen Pakatan untuk memanjang tempoh bayaran tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau bersama wakil rakyat Pakatan yang lain akan membawa isu tersebut kepada DBKL supaya dikaji semula. - mks._

YB Salahudin Yang Mengecewakan

YB Salahudin agak mengecewakan apabila berada dikaca TV bersama Shahrir Samad. Sudah beberapa kali ditanyakan penyelesaian pengagihan subsidi akan tetapi penyelesaian yang diberikan adalah umpama menyalahkan kerajaan tidak duduk berbincang dan tentang ketelusan PETRONAS.

Cadangkan sahajalah subsidi itu diberikan kepada semua rakyat melalui subsidi makanan setiap orang bagi sebagaimana Tuntutan Subsidi Makanan Rakyat.

Jika Shahrir Samad katakan mengapa cara itu sesuai, katakan sahaja ianya adalah subsidi menyeluruh kerana yang merana adalah poket rakyat, bukannya poket kerajaan persekutuan. Poket kerajaan persekutuan akan penuh kembali apabila PETRONAS mengumumkan keuntungan tahun kewangan 2007.

Cadangan Tuntutan Subsidi Makanan Rakyat adalah lebih baik daripada subsidi berdasarkan sektor A, kemudian sektor B , Sektor C, kerana pasti akan ada lompongan insan Rakyat Malaysia akan tidak menikmati subsidi.

Sebagai contoh yang nyata ialah Keterlupaan Shahrir Samad akan subsidi yang diberikan kepada teksi yang berpetrol. Belum lagi sentuh subsidi keatas jentera pembajakan sawah yang hanya digunakan ketika musim tertentu, dimana SKDS tidak boleh digunakan dalam bentuk kuota harian kerana ia digunakan pada musim tertentu sahaja.

Banyak kenderaan yang tidak didaftarkan sebagai “bas” atau “teksi” yang dijadikan sebagai pengangkut pelajar di kawasan luar bandar sudah pasti tidak mendapat subsidi, dan ini tidak adil. Pengstrukturan subsidi hanya boleh dilakukan selepas masalah-masalah ini diatasi terlebih dahulu.

Ini senarai lama perkara yang patut dikaji sebelum pengstrukturan subsidi.

Kalau Tuntutan Subsidi Makanan Rakyat dipenuhi, maka ianya diibaratkan sebagai tampalan keatas kebocoran secara menyeluruh.

Berbanding dengan cara sedia ada Shahrir Samad, tampal sikit demi sedikit, tapi masih ada yang belum ditampal.

Shahrir Samad telah katakan kononnya subsidi ke arah pemakanan sudah ada, numun YB Salahuddin boleh balas balik. “Kalau bukan golongan petani, tapi miskin, mereka juga perlukan makanan”.

“Golongan miskin yang tiada sumber pendapatan hendak dimasukkan kedalam sektor apa?”. Sedangkan merekalah yang kita perlu kasi makan dulu.

Golongan pekerja ada MTUC boleh mintakan gaji minima, golongan miskin tanpa pekerjaan tiada persatuan khas.

Nak makan pun susah, inikan pula nak berpersatuan.

YB Salahudin juga boleh mencadangkan supaya adanya beberapa wakil daripada Pakatan Rakyat dimasukkan sekali kedapat Jawatankuasa Menangani Inflasi sedia ada, sebagai satu langkah apabila soalan dikemukakan.

Walaubagaimanapu, saya tak bolehkan menyalahkan Shahrir Samad dan YB Salahudin sahaja. Saya pun salah juga.

Saya lambat datang ke Muktamar Pemuda PAS Melaka, sehingga saya tak dapat sampaikan Tuntutan Subsidi Makanan Rakyat kepadanya supaya boleh diperdebatkan dengan Shahrir Samad.

Saya hanya sempat sampaikan secara lisan kepada Ustaz Kamaruddin Sidek, itupun setelah Muktamar habis.

Maafkan saya kerana saya gagal membawa agenda Tuntutan Subsidi Makanan Rakyat sebagai Agenda PAS.

http://www.tranungkite.net/v7

.

“Error Prone” YB Salahuddin

Sedih saya melihat kelibat YB Salahuddin kena tibai oleh Datuk Shahrir Samad dalam perdebatan isu kenaikan harga Minyak malam ini di RTM 1 yg disiarkan secara lansung. Umpama menegakkan benang yg basah, YB Salahuddin dilihat beberapa kali mengulangi perkataan “Prudent” yg semakin lama kita mendengarnya, semakin bosanlah utk kekal di depan kaca televisyen.

Secara peribadi, saya melihat keseriusan dan sikap berhati2 yg ditunjukkan oleh YB Salahuddin menampakkan sikap tidak matang beliau dlm menghadapi perdebatan secara terbuka apatah lagi disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia. Sedih betul! Tak ada langsung persediaan mental dan panduan dari segi data-data statistik, kadang-kala YB Salahuddin cuba utk menguatkan hujah beliau berpandukan sejarah dan insiden yang pernah berlaku tetapi cukup memalukan apabila fakta sejarah diubah malahan Datuk Shahrir kenampakan senyum kambing sambil memperbetulkan beberapa fakta yg didakwa oleh YB Salahuddin.

Sedih saya melihat kelibat YB Salahuddin kena tibai oleh Datuk Shahrir Samad dalam perdebatan isu kenaikan harga Minyak malam ini di RTM 1 yg disiarkan secara lansung. Umpama menegakkan benang yg basah, YB Salahuddin dilihat beberapa kali mengulangi perkataan “Prudent” yg semakin lama kita mendengarnya, semakin bosanlah utk kekal di depan kaca televisyen.

Secara peribadi, saya melihat keseriusan dan sikap berhati2 yg ditunjukkan oleh YB Salahuddin menampakkan sikap tidak matang beliau dlm menghadapi perdebatan secara terbuka apatah lagi disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia. Sedih betul! Tak ada langsung persediaan mental dan panduan dari segi data-data statistik, kadang-kala YB Salahuddin cuba utk menguatkan hujah beliau berpandukan sejarah dan insiden yang pernah berlaku tetapi cukup memalukan apabila fakta sejarah diubah malahan Datuk Shahrir kenampakan senyum kambing sambil memperbetulkan beberapa fakta yg didakwa oleh YB Salahuddin.

Tidak cukup dgn itu, YB Salahuddin sendiri terperangkap dlm data statistik yg disebut oleh beliau apabila kurang memberi perhatian terhadap perbezaan antara “Keuntungan” dgn “Pendapatan”. Andaian secara tekaan gitu2 oleh YB Salahuddin dlm menyatakan suatu fakta harga minyak USD 80 setong pada tahun 2006, telah diperbetulkan oleh Datuk Shahrir dgn nada menyindir, tahun 2007.

Di mana kepetahan dan kelantangan YB Salahuddin yg sentiasa dpt dilihat semasa memberi ucapan atau ceramah politik di mana2 shj, di mana hah? Dgn adanya peluang membahaskan suatu isu debat utk jangkamasa yg pendek sepatutnya diambil dgn sebaik-baiknya. Kita para penonton bukan mahu mendengar bunga2 bahasa yg indah belaka tetapi kurang isinya dan tidak tepat datanya. Apakah YB Salahuddin hanya bijak berkata-kata apabila tidak ada orang yg blh membalas hujah beliau?

Kelemahan spt ini yg terdapat pd barisan kepemimpinan pembangkang perlu diatasi dgn segera apatah lagi dlm isu pentadbiran, pengetahuan global dgn input yg tepat perlu ada dan dipelajari. Pembetulan kpd panel yg hadir pd mlm ini, ini adl aturcara perdebatan antara 2 pihak yg langsung tiada persamaan, makanya apakah masa yg ada ini dibuang begitu sahaja seolah-olah ini adl aturcara soal-jawab spt yg dilakukan oleh ahli panel pd ml mini.

Walaubagaimana pun, misi mlm ini agak tercapai juga apabila kita penonton dapat lihat Datuk Shahrir tidak mampu memberi satu jawapan konkrit kpd isu kenaikan harga petrol dan diesel. Beliau lebih banyak bermain kata2 dan bercakap tentang teori semata-mata. Apa tidaknya, apabila YB Salahuddin mengemukakan bukti kukuh berkait statistik Bloomberg dan Bank Negara yg menyentuh tentang “keuntungan” beratus juta ringgit akibat kenaikan satu ringgit harga minyak setong, Datuk Shahrir memesong bukti saintifik tsb agar penonton dihiburkan dgn sikap error-prone YB Salahuddin yg kurang periksa akan perbezaan antara “keuntungan” dan “pendapatan”.

Sekiranya majlis spt ini dpt diatur utk tontonan rakyat jelata , maka kedua2 pihak perlulah menyediakan barisan panel yg cukup arif dlm isu yg diperbincangkan. Kita tidak mahu melihat ahli panel yg hanya mampu berkata-kata dgn bunga bahasa yg cukup canggih tetapi realistiknya, diri sendiri terperangkap dlm kata2nya.

http://www.tranungkite.net/v7

Petronas ditubuh Tun Razak untuk kekalkan harga minyak murah

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato’ Paduka Husam Musa mendedahkan bahawa Petronas ditubuhkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussien pada tahun 1974 bagi memastikan harga minyak di negara ini sentiasa berada pada tahap rendah sekalipun harga minyak dunia meningkat.

Dalam kes ini Petronas ditubuh untuk pastikan keuntungan daripada harga minyak yang Malaysia keluarkan itu untuk melindungi pengguna tempatan dengan harga yang murah, ujarnya dalam satu temubual dengan Harakah di sebuah hotel dekat sini semalam.

“Ini bermakna, harga minyak dunia boleh naik tetapi harga minyak negara perlu lebih rendah daripada harga minyak dunia, ini konsep yang menyebabkan Petronas ditubuhkan.

“Fungsi utama Petronas bukan semata untuk keuntungan, Petronas boleh bergerak mencari keuntungan tetapi keuntungan itu adalah mesti digunakan untuk rendahkan harga minyak Malaysia, bukan hanya untuk rekodkan keuntungan dan berbangga dengan keuntungan besar itu tetapi tak mahu gunakan wang itu untuk rakyat,” ujar Husam.

Menurut Husam, Petronas hanyalah pengawal kepada sumber minyak yang sebenarnya ialah milik rakyat, dan Petronas tidak boleh kata sumber minyak dan keuntungan itu milik mereka.

Ini kerana keuntungan itu sebenarnya perlu digunakan gunakan untuk melindungi harga kerana pemilik asalnya adalah negara iaitu rakyat Malaysia, ujarnya.

Menurut Husam, keuntungan Petronas kini mencapai berlipat kali ganda lebih-lebih lagi kini Petronas berkembang di luar negara dan rizab Petronas diluar negara ialah 3.2 kali lebih tinggi jumlah ‘replacement ratio dalam negara (1.8),

“Maknanya jika sekarang kita guna 1 liter, kita ada Replacement Ratio 3.2 kali ganda lagi pada kadar rizab kini,” ujarnya.

Kemudian jika dilihat kepada rekod Petronas berdasarkan laporan tahunannya, hasilnya sentiasa meningkat dari setahun ke setahun, katanya.

Pada tahun 2006, keuntungan selepas cukai ialah RM43 bilion, sedangkan harga minyak dunia ketika itu ialah USD65 (satu tong), katanya.

“Sekarang harga minyak naik lebih USD130 satu tong, tentunya Petronas akan mendapat keuntungan yang lebih lagi.

“Pada tahun 2007 pula keuntungan bersih Petronas ialah 46.4 bilion.Dalam laporan tahunanya pendapatan besarnya disumbangkan oleh minyak yang telah dijual kepada orang ramai melalui stesen-stesen minyak (domestics) iaitu RM62.7 bilion pada tahun 2007.Ini bermakna minyak yang dijual Petronas kepada orang ramai menjadi sumber pendapatan terbesar Petronas,” katanya.

Selain itu harga minyak Malaysia 30 peratus lebih tinggi berbanding minyak yang Petronas import kerana minyak yang dihasilkan di Malaysia ada kualiti yang lebih baik dan harga yang lebih tinggi, katanya.

“Bermakna di atas kualiti minyak ini, kita akan dapat lebihan pendapatan berbanding harga minyak yang kita beli pada pasaran dunia untuk kegunaan domestik tadi, katanya.

Ini semua membuktikan Malaysia mampu memberi subsidi kepada rakyat untuk mengekalkan harga pada kadar yang rendah dan dengan itu mengurangkan beban rakyat jelata dan membolehkan rakyat ada cukup wang untuk dipusingkan dalam ekonomi, katanya.

Ikuti kupasan lanjut wawancara Harakah dengan Naib Presiden PAS itu dalam Harakah versi cetak keluaran akan datang.

http://www.harakahdaily.net

Mohd Sidek ganti Sanusi selaku presiden baru UIAM

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dilantik sebagai Presiden kelima Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkuat kuasa 2 Jun lalu.Beliau menggantikan Tan Sri Sanusi Junid yang tempoh perkhidmatannya dipendekkan dua tahun. Tempoh perkhidmatan Sanusi sepatutnya berakhir pada 2010.

Pengarah Pejabat Perhubungan Awam UIAM, Abdul Rahman Ahmad, berkata pelantikan itu dibuat oleh Ketua Perlembagaan universiti itu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

“Kami menyanjungi sumbangan Tan Sri Sanusi Junid kepada universiti semasa tempoh perkhidmatannya selaku presiden universiti dan masyarakat UIAM mengalu-alukan Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai presiden baru universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata Presiden UIAM berkhidmat selaku Pengerusi Lembaga Pengelola yang bermesyuarat sekali dalam setahun dan pengerusi Majlis universiti yang bermesyuarat sekali setiap empat bulan.

Bekas Menteri Besar Kedah itu menjadi Presiden UIAM sejak Februari 2000.

Menurut Perlembagaan UIAM, pelantikan Presiden universiti itu adalah di bawah bidang kuasa Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan UIAM.

Ketua Perlembagaan boleh melantik mana-mana individu sebagai Presiden UIAM yang menjadi kuasa prerogatif baginda.

Walaupun tempoh perkhidmatan Sanusi berakhir pada tahun 2010, namun menurut Perlembagaan UIAM, kedudukan beliau selaku Presiden tidak semestinya tidak boleh diganti biarpun tempoh perkhidmatannya belum berakhir.

Sebelum ini, spekulasi timbul mengenai kedudukan Sanusi selaku Presiden UIAM berikutan tindakannya keluar Umno mengikut jejak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...