Monday, June 1, 2009

T'ganu: Undi tak percaya jika kemelut tak selesai... - MalaysiaKini

Muda Mohd Noor | Jun 1, 09 11:57am

Politik Terengganu bakal bergolak lagi setelah bertiup khabar angin bahawa kumpulan 18 ADUN BN Terengganu akan mengemukakan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dalam sidang DUN Ogos ini jika kemelut politik di negeri masih gagal diselesaikan.

Bagaimanapun, menurut sumber yang rapat dengan mereka, undi tidak percaya itu merupakan jalan terakhir bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negeri itu sejak lebih setahun lalu.

"Mungkin satu usul tidak percaya terhadap Datuk Ahmad akan dibuat dalam sidang dewan yang dijadualkan Ogos ini.

"Kumpulan 18 ADUN masih percaya krisis politik Terengganu akan selesai jika Ahmad meletakkan jawatan sebagai menteri besar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Namun, sumber itu berkata, ADUN BN berkenaan berharap pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein boleh menyelesaikan kemelut tersebut sebelum sidang DUN bermula.

Katanya, kemelut tersebut dianggap selesai oleh pihaknya jika menteri besar diganti.

Menurutnya, kumpulan 18 ADUN berkenaan mahu isu tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

"Sebab itu dalam pertemuan dengan Datuk Seri Hishammuddin di Putrajaya, kita bercakap semua yang menjadi punca kemelut politik Terengganu," katanya.

Pertemuan tersebut turut membabitkan lapan ketua Umno bahagian Terengganu yang diadakan untuk mencari jalan untuk menyelesasikan kemelut tersebut.

SMS ugutan

Selain Ahmad, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh turut hadir dalam pertemuan di pejabat Hishammuddin di kementerian dalam negeri di Putrajaya itu pada 20 Mei lalu.

Pada 14 April lalu, 10 ADUN BN memulaukan DUN Terengganu pada hari kedua persidangan hari ini selepas beberapa orang daripada mereka menerima SMS ugutan "YB tak sayang nyawa?".

Sebelum itu, sebahagian ADUN BN Terengganu mahu Ahmad digantikan atas alasan tidak berkeupayaan mentadbir negeri itu.

Manakala 10 daripada mereka tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu baru-baru ini apabila tiga daripada mereka menerima SMS ugutan.

Bagaimanapun mereka menghadiri hari terakhir sidang DUN tersebut atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, sebuah blog melaporkan ada kemungkinan beberapa ADUN kumpulan berkenaan dijangka mengumumkan menjadi ADUN bebas dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun, bekas setiausaha badan perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid - salah seorang ADUN yang paling lantang mahu menteri besar digantikan - menafikan laporan blog itu.

"Itu cerita mengarut, kalau saya nak masuk bebas, kita tidak buat senyap-senyap. Kita akan buat sidang akhbar (kalau menjadi ahli bebas)," katanya.

Manohara dakwa didera putera K'tan - MalaysiaKini

Jun 1, 09 12:23am

Istana Kelantan bergegar lagi dengan dakwaan bahawa seorang puteranya Tengku Muhammad Fakhry Petra mendera isterinya, bekas model muda Indonesia, Manohara Odelia Pinot.

manohara odlia pinot kelantan 260509Kali ini, wanita itu sendiri mendakwa beliau - yang digelar Cik Puan Temenggong Kelantan - dianiaya setelah didedahkan ibunya Daisy Fajarina 20 April lalu.

Manohara Odelia (foto terbaru, kanan) melarikan diri ke Jakarta dari Singapura semalam apabila berada di republik pulau itu untuk menziarahi bapa mertuanya Sultan Kelantan yang sedang mendapatkan rawatan kesihatan.

Akhbar dalam talian Detik.com tengah malam ini melaporkan, ibu Manohara Odelia mendakwa ada kesan seterika di dahi anaknya, selain kesan luka di bahagian dada.

Bekas model itu dilaporkan akan mengadakan pemeriksaan kesihatan pagi ini, selain pemeriksaan psikiatri.

Hasil pemeriksaan perubatan itu akan diserahkan kepada peguam mereka, lapor akhbar berpengaruh itu.

Walaupun tanpa dokumen lengkap, wanita 17 tahun itu berjaya tiba ke Jakarta pagi semalam (Ahad) setelah dibantu oleh kedutaan republik itu dan juga kedutaan Amerika Syarikat di Singapura dengan kerjasama imigresen Singapura sendiri, lapor Tempo Interaktif.

manohara odelai pinot mother daisy fajarina 230409Sebuah NGO Indonesia yang dikenali Laskar Merah Putih juga dilaporkan berperanan membawa lari wanita itu dari Singapura.

Memetik wawancara Manohara Odelia yang disiarkan secara langsung dengan sebuah stesen televisyen TV One di Jakarta, akhbar itu melaporkan wanita itu menyalahkan pihak istana yang mengetahui nasib buruk yang dialaminya tetapi tidak bertindak membelanya.

Beliau malah mendakwa foto yang menunjukkan beliau dilukakan di bahagian dada telah diserahkan kepada polis Malaysia tetapi tiada tindakan diambil, lapor akhbar itu lagi.

Manohara Odelia juga menyalahkan media massa negara ini yang sering memberikan gambaran bahawa beliau sentiasa dalam keadaan baik.

"Bantuan media di Malaysia tidak ada. Mereka hanya memfoto, lalu kemudian bercerita bahwa saya baik-baik saja. Padahal saya tidak ditanya," beliau dipetik berkata.

Selain itu, beliau juga menuduh kedutaan republik itu di Kuala Lumpur gagal menjalankan tugasnya dengan baik berhubung kesnya tetapi seorang pegawai di Departemen Luar Negeri Indonesia hari ini menafikannya.

manohara odelia pinot tengku kelantan royal indonesia model controversy 210409 02Dalam laporan laman web Kompas, yang memetik wawancara Manohara Odelia dengan televisyen ANTV, beliau mendakwa diberikan suntikan hormon untuk menambah berat badannya.

"Saya memang disuntik hormon itu dan berat badan saya bertambah 15 kg dalam waktu dua bulan. Malah 10 kg pertama kenaikan berat badan saya terjadi dalam waktu empat hari," beliau dipetik berkata petang semalam.

Sewaktu diwawancara TV One, Manohara Odelia menegaskan tidak akan kembali semula kepada Tengku Muhammad Fakhry walau suaminya itu "datang dengan baik-baik dan meminta maaf", lapor Tempo Interaktif lagi.

"Siapapun yang mengalami seperti yang Mano (Odelia) alami tidak akan mahu kembali lagi," beliau dilaporkan berkata sewaktu tampil dengan diiringi Daisy (foto kiri).

Menurut Manohara Odelia lagi, penderaan yang dialaminya berlarutan walaupun pasangan diraja itu pulang daripada mengerjakan umrah di Mekah, 9 Mac lalu.

Sumber-sumber kerabat diraja Kelantan dan kenalan putera Sultan Kelantan itu bagaimanapun sering menafikan dakwaan penderaan seperti dituduh ibu Manohara Odelia.

Mohd Soberi Shafii, sewaktu bercakap kepada Tempo Interaktif malam tadi, juga menafikan tuduhan Manohara Odelia didera.

"Dia boleh cakap apa saja. Itu adalah satu kebohongan," penulis blog itu yang dekat dengan istana Kelantan dipetik berkata.

Tambahnya, Tengku Muhammad Fakhry sendiri malah meminta isterinya bertemu dengan Daisy.

Laporan itu menyebut, putera Sultan Kelantan itu mengetahui kehadiran Daisy dan seorang lagi anaknya Dewi Sari Asih di hotel tempat pasangan diraja itu menginap kira-kira jam 8 malam Sabtu lalu.

Tengku Muhammad Fakhry bagaimanapun berada di bilik ibundanya Raja Perempuan Kelantan di tingkat yang sama.

Manohara Odelia bersama anggota keluarganya itu kemudian meninggalkan bilik hotel jam 3 pagi keesokannya tanpa menemui suaminya, lapor laman akhbar tersebut.

Malaysiakini akan cuba mendapatkan reaksi istana hari ini berhubung dakwaan terbaru daripada isterinya itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...