Saturday, January 17, 2009

Pas rampas Parlimen Kuala Terengganu -Berita Harian Online

KUALA TERENGGANU: Pas merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) apabila calonnya, Mohd Abdul Wahid Endut, menang dengan majoriti 2,631 undi.

Abdul Wahid yang juga Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu memperoleh 32,883 undi menewaskan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, mendapat 30,252 undi manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam, hanya menerima 193 undi, sekali gus hilang deposit.

Undi rosak pula sebanyak 665 undi manakala peratusan keluar mengundi ialah 79.9 peratus atau 63,993 pengundi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan, di Stadium Negeri jam 9.30 malam tadi.

Sebanyak 144 saluran di 36 pusat pembuangan undi dibuka mulai jam 8 pagi dan ditutup jam 5 petang bagi membolehkan 80,229 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminudin Baki (IAB), Genting Highlands, 28 November lalu.

Pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, Allahyarham Razali menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

BN kini tinggal 137 kerusi Parlimen - MalaysiaKini

Jan 17, 09 10:00pm

Barisan Nasional (BN) kehilangan satu lagi kerusi Parlimen apabila calonnya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh gagal mempertahankan kerusi Kuala Terengganu dalam pilihanraya kecil yang diadakan hari ini.

Sebelum ini, BN kehilangan dua kerusi Parlimen apabila Parti Maju Sabah (SAPP) mengambil tindakan keluar dari gabungan tersebut.

Dengan itu, BN kini mempunyai 137 kerusi di Parlimen. Ekoran kemenangan hari ini, PAS pula kini mempunyai 23 kerusi Parlimen.

Dalam pilihanraya kecil hari ini, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut menang dengan majoriti 2,631 undi.

Beliau mendapat 32,883 undi manakala Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Seramai 79.3 peratus pemilih keluar mengundi hari ini.

Pengundian di 144 saluran di 36 pusat pengundian bermula pada jam 8 pagi dan ditutup tepat jam 5 petang.

Pengumuman rasmi keputusan pilihanraya tersebut diumumkan oleh pegawai pengurus pilihanraya, Wan Mustapha Wan Hassan pada jam 9.29 malam.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail di Institut Aminudin Baki, Genting Highlands pada 28 November lalu.

Dalam pilihanraya umum lalu, Allahyarham Razali menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Dengan itu, pembangkang pula kini mempunyai 82 kerusi Parlimen dan tiga calon bebas - Datuk Ibrahim Ali dan dua ahli Parlimen SAPP.

Selepas pilihanraya umum lalu, BN memenangi 140 kerusi Parlimen, PKR (31 termasuk kerusi PSM), DAP (28) dan PAS (22).

Najib: BN terima keputusan rakyat - MalaysiaKini

Muda Mohd Noor | Jan 17, 09 10:16pm

Barisan Nasional (BN) menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi Parlimen Kuala Terengganu yang memilih calon PAS dalam pilihanraya kecil hari ini, kata Timbalan Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"BN menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi. Dalam sistem demokrasi, suara rakyat adalah suara keramat," kata beliau yang juga pengarah pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

"Kita mesti percaya kepada demokrasi dan kita harus akur dengan keputusan rakyat. Kita akan ambil iktibar dan akan terus berkhidmat kerada rakyat," katanya dalam satu sidang akhbar di kediaman rasmi menteri besar Terengganu malam ini.

Menurutnya, BN akan melakukan apa-apa yang perlu untuk mengembalikan imej parti supaya dapat memberi keyakinan kepada rakyat.

"Saya yakin kesudahannya rakyat akan yakin kepada BN.

"Saya nyatakan dari mula-mula lagi, ini pilihanraya kecil, (maka) banyak faktor yang menentukan keputusannya, termasuk soal perkhidmatan," katanya sambil menambah kini sukar untuk dibaca politik tanahair.

"Kita ambil keputusan ini untuk menentukan hala tuju Umno dan BN.

"Adalah terlalu awal untuk menentukan faktor-faktor kekalahan ini. Sampai masanya, kita akan akan tahu faktornya," tambah Najib.

Bagaimanapun, katanya, keputusan tersebut tidak akan dibawa untuk dibincangkan dalam konvensyen BN bulan depan.

"Ini piliharaya kecil, walaupun kita kalah dahulu, tetapi akhirnya kita akan berjaya.

"Saya tak fikir ini akan beri kesan kepada BN dalam menghadapi pilihanraya akan datang," tegasnya.

Najib berkata, beliau juga berkata tidak fikir bahawa pengundi tidak yakin kepadanya untuk mengambil alih pemerintahan dari perdana menteri sekarang.

Suasana suram

Hadir sama di sidang akhbar selama 10 minit itu ialah Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz; Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussien, dan Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Riak wajah mereka kelihatan muram. Turut hadir ialah beberapa pemimpin Umno Terengganu, antaranya Setiausaha Umno Negeri, Datuk Rosli Mat Hassan dan ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri.

Sebelum ketibaan Najib, sudah tersebar berita di kalangan wartawan yang menunggu di situ sejak sebelum jam 8 malam lagi bahawa calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas di tangan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut.

Mereka masing-masing menunjukkan SMS yang mereka terima mengenai keputusan pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu itu.

Manakala para penyokong PAS berarak menyambut kemenangan calon mereka selepas pengumuman dibuat di Stadium Negeri yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah menteri besar.

Mereka berarak di Jalan Sultan Mahmud yang melalui di bahagian depan kediman menteri besar itu.

Mereka berarak sambil membunyikan hon kenderaan dan kebanyakannya mengibarkan bendera PAS. Tiada sebarang kekecohan dilaporkan berlaku.

PAS rampas kerusi Parlimen KT - MalaysiaKini

Jan 17, 09 9:59am

9.29 malam Pengumuman rasmi dibuat oleh pegawai pengurus pilihanraya, Wan Mustapha Wan Hassan.

9.25 malam Calon PAS memenangi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu menang dengan majoriti 2,631 undi. Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut mendapat 32,883 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

9.12 malam Pegawai pengurus pilihanraya akan mengumumkan keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada bila-bila sekarang. Tiada pemimpin Umno kelihatan di Stadium negeri. Dan hanya calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut berada di situ.

kuala terengganu by election results 2009 170109 bm version9.10 malam Tidak rasmi - PAS mendapat 32,393 undi manakala BN mendapat 29,969 undi. PAS mendahului dengan 2,424 undi. Calon bebas mendapat 191 undi. Dua lagi kotak undi akan dikira. Pegawai pengurus pilihanraya telah memanggil semua calon naik ke pentas.

9.08 malam Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin tinggi yang lain dalam perjalanan ke Stadium Negeri untuk pengumuman keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Sehingga ini, calon PAS masih mendahului pengiraan undi.

8.55 malam Ribuan penyokong PAS mula membanjiri Stadium Negeri untuk menunggu pengumuman keputusan pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu. Dengan tinggal kurang daripada 10,000 undi lagi yang dibelum dikira, calon PAS sedang mendahului dengan kira-kira 1,700 undi.

8.50 malam Seorang pemimpin kanan PAS memberitahu bahawa calonnya memenangi pengundian di kesemua empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Menurutnya, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang akan mengadakan sidang akhbar sebentar lagi.

8.45 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 28,249 undi, BN mendapat 26,498 undi. PAS mendahului dengan 1,751 undi. Calon bebas mendapat 160 undi.

8.35 malam Dengan kira-kira baki 10,000 undi lagi yang belum dikira, PAS semakin jelas akan memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

8.30 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 26,976 undi manakala BN mendapat 24,839 undi. PAS mendahului dengan majoriti 2,132 undi.

8.25 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 26,971undi manakala BN mendapat 23,839 undi. PAS mendahului dengan majoriti 2,182 undi.

8.20 malam Keputusan tidak rasmi - Sumber-sumber BN percaya PAS akan berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Ini memandangkan hanya tinggal baki 15,125 undi lagi yang belum dikira. Sehingga ini, PAS dipercayai menang di semua empat DUN.

8.16 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 24,604 undi dan BN mendapat 22,380 undi. PAS mendahului dengan majoriti 2,224 undi. Sejumlah 48,842 undi telah dikira sehingga ini.

8.10 malam Keputusan tidak rasmi - PAS memenangi pengiraan undi bagi Dewan Undangan Negeri Bandar dengan majoriti 190 undi.

8.00 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 23,640 undi, BN mendapat 21,614 undi. PAS mendahului dengan 2,026 undi. Calon bebas mendapat 136 undi.

7.50 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 22,030 undi, BN mendapat 20,476 undi. PAS mendahului dengan 1,554 undi. Calon bebas mendapat 134 undi. Sehingga ini 43,000 undi telah dikira.

Di pusat perjumlahan SPR pula, selepas 50 kotak undi dikira, BN mendapat 11,120 undi, PAS 10,802 undi dan bebas 69 undi. Sejumlah 64 kotak lagi dalam perjalanan.

7.40 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 19,487 undi, BN mendapat 18,480 undi. PAS mendahului dengan 1,007 undi. PAS mendahuli di semua DUN. Ini bermakna lebih 50 peratus undi telah dikira, berdasarkan 79.3 peratus pengundian hari ini atau 63,967 yang keluar mengundi.

7.30 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 18,934 undi, BN mendapat 17,907 undi. PAS mendahului dengan 1,027 undi.Calon bebas mendapat 113 undi.

7.25 malam Keputusan tidak rasmi - Daripada 38,000 undi yang dikira sehingga ini, PAS mendahului dengan majoriti 1,078 undi.

7.22 malam Keputusan tidak ramsi - PAS mendapat 17,573 undi, BN mendapat 16,795 undi. PAS mendahului dengan 778 undi.

7.20 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 17,531 undi manakala BN mendapat 16,795 undi. PAS mendahului dengan majoriti 778 undi. Bebas pula mendapat 107 undi.

7.15 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 16,475 manakala BN mendapat 16,018 undi. PAS mendahului dengan 457 undi. PAS juga mendahului dengan majoriti 758 undi di Wakaf Mempelam, 355 undi di Bandar dan 308 undi di Batu Burok. BN mendahului dengan 9 undi di Ladang.

7.10 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 16,237 undi manakala BN mendapat 15,707 undi. Calon bebas mendapat 89 undi.

7.05 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 14,802 undi manakala BN mendapat 14,644 undi. PAS menang di semua dewan undangan negeri, kecuali Ladang. PAS mendapat majoriti terbesar di Wakaf Mempelam dan Batu Burok.

7.02 malam Keputusan tidak rasmi - BN mendapat 1,039 undi manakala PAS mendapat 86 undi. Calon bebas mendapat 1 undi.

7.00 malam Pada umumnya, PAS mendahulu di Wakaf Mempelam dan Batu Buruk dengan marginyang besar. Di bandar dan Ladang pula, PAS mendahului dengan margin yang kecil.

6.55 ptg Keputusan tidak rasmi - berdasarkan pengiraan setakat ini, Barisan Nasional (BN) mendapat 13,095 undi manakala PAS mendapat 13,042. Calon bebas mendapat 72 undi.

6.50 ptg Keputusan tidak rasmi - berdasarkan pengiraan setakat ini, Barisan Nasional (BN) mendapat 11,112 undi manakala PAS mendapat 11,000. Ini bermakna BN mendahului dengan 112 undi. Calon bebas mendapat 65 undi.

6.30 ptg Keputusan tidak rasmi - daripada 14,379 undi yang telah dikira sehingga ini, Barisan Nasional (BN) mendahului dengan 259 undi. 80 peratus lagi undi dalam proses pengiraan.

MAFREL kesal tindakan provokasi penyokong Umno - HarakahDaily

Intan Abdullah, Mohd Nor Yahya, Zuharman MN | Foto Nasir Sudin
Sat | Jan 17, 09 | 12:53:19 pm MYT

KUALA TERENGGANU, 17 Jan (Hrkh) - Setakat tengahari ini nampaknya situasi menarik lebih menyebelahi PAS berdasarkan kepada beberapa faktor. Antaranya dari gerak kerja petugas parti dan kecederungan pemilih yang bersimpati kepada PAS.

Bukan sahaja ahli politik yang melihat situasi tersebut sebaliknya ahli-ahli akademik yang ditemui di sini.

Biar pun masa masih lagi berbaki lima jam, ramai melihat peluang lebih cerah kepada Pakatan Rakyat.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, kedudukan sebelah pagi nampaknya lebih cenderung kepada PAS dan Pakatan Rakyat hasil kerja keras petugas sejak hari penamaan calon.

"Saya merakamkan ucapan berbanyak terima kasih di atas sokongan padu semua pihak terutamanya yang datang dari luar Terengganu bagi membantu calon kita. Image

"Hasil kesungguhan mereka mungkin dapat memberi kesedaran baru kepada pengundi di sini bagi mengembalikan semula kecemerlangan PAS seperti yang berlaku pada 1999," katanya ketika ditemui di tempat pengundian di Sekolah Kebangsaan Chabang Tiga di sini, hari ini.

Menurutnya hasil tinjauan sejak pagi lagi keadaan di seluruh tempat membuang undi berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Bagaimanapun difahamkan insiden pergaduhan berlaku di Losong Dun Bandar. Difahamkan kejadian berlaku ekoran penyokong Umno yang membawa banner yang tertulis 'PAS klu klek' (PAS bohong). Image

Pemuda PAS yang berada di situ naik marah dan cuba merampas 'banner' tersebut sehingga berlaku pertengkaran.Bagaimanapun ia berjaya diLeraikan anggota polis yang berada di situ.

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Ustaz Nasaruddin Daud berkata, perkembangan setakat sebelah pagi agak menarik kepada calon Pakatan Rakyat.

"Alhamdulillah, perkembangannya agak baik. Semua pihak menunjukkan komitmen tinggi tanpa menimbulkan kesan boleh menyakiti mana-mana pihak," katanya ketika ditemui semasa meninjau peti undi Cabang Tiga, Tok Ku dan Hiliran.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Mohd Amar Abdullah melahirkan rasa kesal di atas kempen yang Imageagak kurang sopan dilakukan Puteri Umno sehingga menyerang peribadi pemimpin PAS dan KeADILan.

Katanya, telatah kurang sopan yang dilakukan Puteri Umno dan Pemuda mencerminkan keadaan sebenar perjuangan mereka.Pada kempen itu mereka melaungkan 'PAS gila, PAS pelihara babi, Anwar Ibrahim liwat' sehingga menimbulkan kemarahan penyokong PAS dan Pakatan.

Sementara itu, pemantau Mafrel, Suhainah Daud melahirkan rasa kesal kerana pemuda Umno menggunakan 'hailer' (pembesar suara) semasa merayu undi.

Beliau berkata, pihak polis sudah melarang penggunaan alat tersebut kerana ia tidak dibolehkan ketika merayu undi. Image

"Bagaimanapun mereka tidak mengendahkan apa yang dilarang polis sehingga kami membuat bantahan kepada SPR.

"Dan akhirnya mereka patut biar pun suasana agak tegang seketika," katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu di Pusat pembuangan undi di Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain Jalan Hiliran Bandar menyaksikan satu suasana menarik apabila peraih-peraih undi dari parti Pakatan Rakyat dan Umno seperti berada dalam satu keluarga meskipun sorakan serta riuh rendah tetap berkumandang antara kedua-dua belah pihak.

Turut kelihatan peraih-peraih undi dari Pakatan Rakyat terdiri dari masyarakat India. - mj/azm _

Azeez nafi ditahan menyamar ejen tempat mengundi.. - MalaysiaKini

Muda Mohd Noor | Jan 17, 09 4:34pm

Pengerusi Biro Putera Umno Dato' Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan laporan Harakahdaily bahawa beliau 'ditahan' oleh sepasukan skuad pemantau PAS dari Kedah kerana dipercayai menyamar sebagai ejen tempat mengundi.

Harakahdaily melaporkan, kejadian itu berlaku kira-kira 10.45 pagi tadi apabila skuad pemantau PAS yang diketuai oleh Syed Fadil Husin dan Ahmad Rizal menyedari Abdul Azeez keluar daripada tempat mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Cahbang Tiga, dekat Kuala Terengganu.

Menurut laporan itu, Azeez didapati memakai kad pas ejen Barisan Nasional (BN) kepunyaan Ibrahim Omar nombor kad pengenalan 660404-11-5335 dan mendakwa beliau merupakan anak tempatan sedangkan beliau adalah calon BN yang bertanding di kawasan Parlimen Baling, Kedah melawan Datuk Taib Azzamuddin daripada PAS.

Menurut Harakahdaily, satu laporan polis bakal dibuat kerana kesalahan Azeez yang didakwa menyamar sebagai ejen tempat mengundi.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Abdul Azeez berkata laporan itu merupakan satu fitnah dan pembohongan terhadap dirinya.

“Saya tidak pernah pergi ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga Kuala Terengganu seperti yang dikatakan itu.

“Sebaliknya saya berada di rumah Kedah, di Kampung Tok-Ku, Kuala Terengganu untuk menjalankan kerja-kerja membantu calon BN.

“Saya merupakan penghulu peti undi Cabang Tiga, Dun Wakaf Mempelam. Jangan percaya kepada laporan tersebut,” kata Azeez.

Reaksi Mustaffa

Sementara itu, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Mustaffa Ali, berkata beliau tidak tahu menahu tentang perkara.

“Saya belum menerima laporan dan akan menyiasat terlebih dahulu untuk menentukan kesahihannya.

“Jadi saya tidak dapat mengulas mengenai perkara tersebut," katanya ditemui di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Menurut Mustapha, sehingga jam 2 petang, kira-kira 60 peratus dari jumlah keseluruhan pengundi telah keluar mengundi.

Katanya peratusan ini agak rendah tetapi belau menjangka lebih ramai akan keluar mengundi antara jam 3 hingga jam 5 petang.

Bagaimanapun beliau menjangkakan peratusan yang keluar mengundi hari ini tidak melebihi 85 peratus.

Ketika ditanya peluang PAS setakat ini, beliau tidak mahu membuat ramalan, sebaliknya kata beliau keputusan akan diketahui selepas pusat pengundian di tutup jam lima.

“Insya-Allah Kita akan menang berdasarkan kepada pengundian yang dibuat di pusat pengundian sekarang,” katanya.

Kereta disyaki bawa pengundi hantu diserbu - MalaysiaKini

Jimadie Shah Othman | Jan 17, 09 4:04pm

Sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat telah menahan sebuah kereta daripada memasuki kawasan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman di Batas Baru, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, kerana disyaki membawa pengundi hantu.

Timbalan Ketua PKR Terengganu, Razali Alias berkata kumpulan penyokong Pakatan itu menahan kereta tersebut pada kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Beliau berkata, kereta tersebut membawa tiga orang penumpang ketika hendak memasuki kawasan sekolah berkenaan.

Razali berkata, mereka menyerbu ke arah kereta itu ketika ia berhenti di pintu pagar sekolah, kerana ia membawa tiga orang penumpang.

Ditanya mengapa mereka menyerbu kereta tersebut, Razali berkata, mereka berbuat demikian kerana mengesyaki penumpang itu mungkin pengundi hantu.

"Kami terdengar pemandunya memberitahu pengawal di situ yang dia anggota polis dan menunjukkan kad kuasa polis," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tidak dibenar mengundi

Katanya, anggota polis itu juga memberitahu pengawal tersebut dan orang ramai di situ yang polis berhak membawa pengundi masuk untuk mengundi.

Selepas itu, kata Razali, kereta tersebut dibenarkan oleh pengawal itu masuk ke kawasan sekolah.

"Kami tidak dibenarkan masuk dan terus memerhati kereta dari luar pagar sekolah," jelas Razali.

Bila sampai di dalam, katanya, ketiga-tiga penumpang kereta tersebut bertemu dengan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas.

Bagaimanapun, kata Alias, pegawai kelihatan tidak membenar masuk ke bilik pengundian.

"Selepas kira-kira 30 minit, mereka beredar dari situ dengan menaiki kereta yang sama," katanya.

Pengundian berjalan lancar di KT - MalaysiaKini

Jan 17, 09

5.00 ptg Proses pengundian bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang bermula jam 8 pagi ini, ditutupkan tepat jam 5 petang ini.

4.30 ptg Sebanyak 76 peratus pemilih telah keluar mengundi sehingga jam 4 petang tadi.

4.00 ptg Pengerusi Biro Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan beliau 'ditahan' skuad pemantau PAS kerana menyamar sebagai agen tempat mengundi. Berita mengenainya di siarkan dalam Harakahdaily.net hari ini, yang mendakwa Azeez ditahan ketika keluar dari tempat mengundi di SK Pusat Cabang Tiga. Ketika dihubungi Malaysiakini, Azeez berkata ia adalah satu fitnah kerana beliau sepanjang masa berada di pondok panas Tok Ku di DUN Bandar.Baca berita lanjut

2.45 ptg Dua jam lagi menjelang tamat tempoh mengundi pada jam 5 petang, petugas dan penyokong kedua-dua parti yang bertanding ramai semula. Pengundi mula mengundi selepas waktu makan tengahari. Bagaimanapun, jumlah mereka kurang daripada pagi tadi dan jalan-jalan juga agak lengang.

2.00 ptg Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil (Mafrel) menyifatkan jumlah 42 peratus pemilih yang telah mengundi sehingga tengahari tadi sebagai perkara biasa. Badan itu belum menerima sebarang laporan mengenai insiden tidak diingini berlaku sehingga ini, kata Pengarah Mafrel, Kol (B) Shahrudin Othman.

kuala terengganu by election 170109 polling day outside school1.30 t/hari Satu pergaduhan kecil dilaporkan berlaku antara penyokong Umno dan Pakatan Rakyat di depan Sekolah Menengah Gong Kapas tengahari tadi. Baca berita lanjut.

1.00 t/hari Kemeriahan penyokong petugas BN dan PAS yang dari Terengganu jelas kelihatan di jalan dan tempat membuang undi. Menurut penduduk, pilihanraya umum lalu tidak semeriah hari ini. Penyokong PAS bertakbir dan berselamat, manakala penyokong BN melaungkan gelombang biru.



12.40 t/hari Di DUN Batu Buruk, PKR menyediakan sukarelawan untuk membawa pengundi ke pusat pengundian di sana. Menurut ketua bahagian PKR Batu Burok, Zarawi Embong berkata, keadaan seperti pesta apabila kedua belah pihak bersorak ria antara satu sama lain.

12 t/hari Semua saluran di SK Tengku Bariah mulai lengang jam 11.30 pagi tadi. Kawasan ini mempunyai lebih 3,000 pengundi dan merupakan antara pusat pengundian terbesar di DUN Ladang.

Suruhanjaya Pilihanraya Raya (SPR)berkata kira-kira 41 peratus pemilih telah keluar mengundi dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu sehingga jam 12 tengahari.

Sehingga jam 11 pagi tadi, kira-kira 30 peratus pemilihan telah keluar mengundi.

Sebanyak 143 saluran di 36 pusat mengundi dibuka mulai pukul 8 pagi ini. Seramai 80,229 pengundi layak mengundi dalam pilihanraya kecil hari ini.

Sehingga ini cuaca dilaporkan baik di seluruh kawasan Kuala Terengganu dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan sehingga ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menjangkakan 90 peratus daripada 80,229 pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengundi berdaftar itu turut melibatkan 1,302 undi pos daripada anggota polis dan tentera.

Manakala 6,000 anggota polis dilaporkan bertugas sepanjang pilihan raya kecil ini.


11.15 pagi Kesesakan teruk dilaporkan berlaku di Jalan Pasir Panjang, membabitkan lokasi tiga buah sekolah yang menjadi pusat mengundi Bukit Besar, Pasir Panjang dan Bukit Bayas.

11 pagi Kesesakan lalulintas dilaporkan berlaku kesesakan di sebelas pusat pembuangan undi di DUN Batu Burok, apabila orang ramai berkumpul untuk mengundi.Pengundian berjalan lancar.

10.30 pagi Proses pengundian di kebanyakan pusat tempat di DUN Bandar dilaporkan perlahan. Keadaan lalulintas juga tidak sesak. Menurut pekerja PKR di situ, setakat ini semua berjalan lancar dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku.

9.50 pagi Di pusat pengundian di Dewan Tunku Abd Rahman, dalam DUN Bandar, di mana sebahagian besarnya pengundi Cina, ramai yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka pagi ini. Terdapat kira-kira 50 penyokong kedua parti di situ tetapi keadaan terkawal.

9.00 pagi
Di SK Pusat Chabang Tiga station, kira-kira 100 penyokong PAS dan Umno berada di tepi jalan membawa sepanduk dan mengebar bendera parti masing-masing. Mereka saling melaung antara satu sama lain. Penyokong PAS melaungkan ' Allahu-akbar' dan dijawab oleh penyokong Umno dengan laungan "PAS kluk klek", "PAS bohong."

8.50 pagi
Sekumpulan besar penyokong BN yang membawa bendera parti, mula berkumpul di luar SK Bukit Besar. Kedengaran laungan Allahu-akbar dan 'Hidup BN'.

8.30 pagi
Keadaan cuaca dilaporkan baik di seluruh Kuala Tetangganu pagi ini. Anggota polis yang ramai kelihatan mengawal di luar beberapa pusat-pusat mengundi.

8.15 pagi
Selepas mengundi Wan Farid memberitahu pemberita: "Insya-Allah, pengundi akan mengundi dengan bijak dan memilih kesinambungan melalui BN".

7.50 pagi
Calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid tiba untuk mengundi SK Bukit Besar. Beliau tiba bersama isterinya, Toh Puan Intan Baizura. Mereka mengundi pada jam 8.05 pagi.

7.45 pagi
calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut tiba di pusat pengundian di SK Pusat Chabang Tiga untuk mebuang undi. Beliau ditemani isterinya dan lima daripada sembilan orang anaknya. Mohd Abdul Wahid berkata beliau datang awal untuk menjadi orang pertama mengundi di situ.

Penyokong BN didakwa agresif di Bukit Losong - MalaysiaKini

Jan 17, 09 10:20am

Beberapa penyokong PAS menyuarakan rasa kesal mereka dengan tindakan pekerja BN yang didakwa mereka bersikap agresif dengan menarik tangan pengundi yang tiba untuk mengundi di Sekolah Menengan Bukit Losong dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam.

Mereka mendakwa, sebaik sahaja pengundi keluar kereta, penyokong BN itu terus memegang tangan mereka dan menunjukkan poster calon BN ke arah muka mereka.

Seorang penyokong PAS, Hanafiah Mat memberitahu Malaysiakini kejadian berlaku sejak jam 7.45 tadi dan berlarutan hingga sekarang.

Hanafiah berkata, penyokong BN terbabit dipercayai dari Kelantan.

"Kami nampak penyokong BN Terengganu tidak berbuat demikian," tambahnya.

Menurutnya, tindak tanduk penyokong BN telah menimbul kemarahan di kalangan pengundi berkenaan, tetapi tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

"Ini kerana, ada masanya, poster calon BN yang dipegang, hampir terkena muka pengundi," katanya.

Sementara itu, calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut antara yang terawal mengundi pagi ini.

Wan Ahmad Farid merupakan pengundi pertama mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar pada jam 8.02 pagi.

Beliau ditemani isterinya, Toh Puan Intan Baizura Abdul Wahab, yang turut mengundi di pusat yang sama.

Manakala calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut pula mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga jam 8.07 pagi.

Calon bebas Azharudin Mamat atau Adam bagaimanapun tidak mengundi di kawasan Parlimen itu kerana beliau merupakan pengundi berdaftar di Parlimen Petaling Jaya Utara.

Cuaca di sekitar Kuala Terengganu adalah baik dan pengundi dilihat sudah mula keluar ke tempat mengundi masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab.

Sebanyak 143 saluran di 36 pusat mengundi dibuka mulai pukul 8 pagi ini bagi membolehkan 80,229 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

'Wang sogok pengundi' cetus kekecohan - MalaysiaKini

Andrew Ong | Jan 16, 09 7:38pm

Satu kekecohan kecil berlaku di sebuah hotel di Kuala Terengganu ekoran tersebar khabar yang mengatakan sebuah parti politik sedang mengedarkan wang tunai kepada pengundi.

kuala terengganu by election vote buying in hotel 160109 03Apabila Malaysiakini tiba di dewan bankuet hotel tersebut pada jam 5.30 petang, sekumpulan orang kelihatan sedang menulis nama dan nombor kad pengenalan mereka pada sekeping kertas.

Kira-kira 100 orang yang berada di dewan tersebut kelihatan tidak selesa dengan kehadiran para wartawan yang turut mengambil gambar, lalu menggesa yang lainnya berhenti menulis butiran diri mereka.

"Mengapa kamu masih tulis. Semua pegawai telah beredar," kata seorang wanita yang sudah berusia.

Apabila semakin ramai wartawan tiba di situ, seorang lelaki yang tidak dikenali terus mengambil 10 keping kertas yang mengandungi butiran diri orang ramai dan beredar dari situ.

kuala terengganu by election vote buying in hotel 160109 02"Saya akan tanya bos saya sama ada masih ada lagi wang untuk kita," kata lelaki tesebut lalu beredar, diikuti oleh yang lain-lainnya.

Kebanyakan mereka sudah berusia itu berkata, mereka datang ke situ untuk menghadiri satu jamuan pada jam 4 petang yang turut mempunyai ucapan politik.

Tidak seperti majlis politik yang lain, tidak kelihatan sebarang logo atau kain rentang parti yang dipasang di situ. Terdapat dakwaan yang bercanggah mengenai siapakah penganjurnya.

Antara mereka yang dikatakan berucap di majlis tersebut ialah seorang bekas menteri besar dari sebuah negeri di pantai barat Semenanjung.

Wartawan diberi wang

Ketika wartawan tiba, keadaan menjadi kecoh dengan ramai yang bercakap dengan kuat bahawa mereka telah ditipu dan tiada wang yang diedarkan.

kuala terengganu by election money given to media reporters at media centre 160109Sesetengahnya turut mendakwa yang mereka yang datang lebih awal, telah memperolehi wang tersebut.

Dalam satu lagi perkembangan, wang tunai RM300 telah diedarkan kepada beberapa wartawan yang bertugas di pusat media Jabatan Penerangan di Kuala Terengganu.

Mereka terlebih dahulu diminta oleh seorang kakitangan pusat media itu, supaya menulis nama, pertubuhan media dan nombor telefon pada sekeping kertas, sebelum diberi sampul surat berwarna putih yang mengisi enam keping wang RM50.

Empat wartawan Malaysiakini turut menulis butiran diri mereka di kertas tersebut tanpa menyedari bahawa mereka akan diberi wang tersebut.

Bagaimanapun, kesemua mereka terus memulangkan wang tersebut kepada kakitangan pusat media tadi.

Kakitangan berkenaan bagaimanapun tidak dapat memberi jawapan apabila disoal dari siapa datangnya tersebut.

Sementara itu, wartawan Merdeka Review telah membuat laporan polis mengenai perakara itu di ibupejabat polis Kuala Terengganu jam 6.30 petang tadi.

Saya tiada niat bunuh Altantuya, kata Azilah - MalaysiaKini

Jan 16, 09 4:04pm

Tertuduh pertama kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Cif Inspektor Azilah Hadri, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Shah Alam bahawa beliau tidak mempunyai niat untuk membunuh dan melenyapkan wanita Mongolia itu.

Azilah, 32, berkata dia dan tertuduh kedua Sirul Azhar Umar mengunjungi Hotel Malaya, tempat penginapan Altantuya, hanya bertujuan untuk menasihati wanita itu supaya tidak terus menganggu Abdul Razak Abdullah Baginda, lapor Bernama.

Mereka pergi ke Hotel Malaya pada 18 Oktober 2006 (sehari sebelum kejadian pembunuhan) hanya bertujuan untuk menasihati Altantuya secara lembut supaya tidak mengugut Abdul Razak dan tidak membuat kecoh di rumah penganalisis politik itu, katanya.

Azilah yang memberikan keterangan membela diri tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah bahawa dia dan Sirul Azhar hanya menunggu masa dan tempat yang sesuai untuk menjalankan misi membunuh wanita itu.

Azilah dan Sirul Azhar,37, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis, diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di sini antara 10 malam 19 Okt 2006 dan 1 pagi keesokan harinya.

Abdul Razak, 48, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan itu oleh mahkamah yang sama pada 31 Oktober tahun lalu tanpa dipanggil membela diri.

Kepada soalan Tun Abdul Majid adakah dia menerima upah atas perkhidmatan nasihat tersebut, Azilah berkata: "Tiada"

Tun Abdul Majid: "Bagaimana dengan perbelanjaan minyak kereta untuk meronda? Kamu guna perbelanjaan sendiri?"

Azilah: "Takkan itupun nak berkira?"

Tun Abdul Majid: "Jadi tiada upah?"

Azilah: "Tiada."

Tun Abdul Majid: "Jadi itu macam amal jariah sahajalah? Waktu itu bulan puasa kan?"

Kenyataan Tun Abdul Majid itu membuatkan semua orang yang berada di dalam mahkamah tertawa.

Azilah turut menafikan dia pernah memberitahu Abdul Razak bahawa dia boleh menyelesaikan masalah ugutan itu kerana pernah membunuh lebih daripada enam orang sebelum ini.

Azilah mengakui bahawa dia dan Sirul Azhar telah berada di Hotel Malaya pada sebelah petang 18 Okt 2006 (sepertimana rakaman cctv di Hotel Malaya) dan berlegar-legar di hadapan bilik 512 (bilik Altantuya) tetapi dia tidak mengetuk pintu kerana beranggapan akan menganggu privasi orang lain.

"Saya tidak mahu menganggu privasi orang kerana jika saya ketuk tapi tersilap orang, orang marah kita balik, kita kena hormat orang, lagipun bukan masalah kita, kita tolong sahaja," katanya.

Kepada soalan Tun Abul Majid mengapa dia tidak menelefon sahaja Altantuya (untuk beri nasihat), Azilah berkata:"Saya tak terfikir pulak."

Kenyataan Azilah itu ditempelak Tun Abdul Majid dengan berkata: "Kamu dengan "misi" hendak menasihati, tak nak ganggu privasi dan hormat orang, boleh kamu tak terfikir hendak telefon dulu?."

Azilah hanya menjawab: "Tidak terlintas pulak."

Terdahulu Azilah memberitahu dia langsung tidak tahu siapa nama perempuan dan lelaki Cina yang dimaksudkan oleh Abdul Razak dan dia bertindak mencari wanita itu hanya berdasarkan alamat hotel yang diberikan.

Tun Abdul Majid: "Jika kamu tidak tahu nama mereka bagaimana kamu hendak menasihati mereka?"

Azilah: "Boleh. Kita boleh panggil dia "hello brother" bagi lelaki, "hello sister" bagi perempuan."

Mengenai hubungannya dengan Sirul Azhar, Azilah berkata dia mula mengenali tertuduh kedua itu ketika bersama-sama berkhidmat dalam UTK empat tahun lalu dan dia sememangnya mempercayai Sirul Azhar untuk membantu dalam menyelesaikan masalah Abdul Razak.

Hari ini Azilah sekali lagi menegaskan bahawa tindakkannya membantu Abdul Razak adalah atas arahan DSP Musa Safri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin disambung Isnin.

Kepala babi diletak di surau UM - MalaysiaKini

Abdul Rahim Sabri | Jan 16, 09 10:28am

Pelajar Universiti Malaya (UM) gempar awal pagi ini apabila kepala babi yang dibelah dua, ditemui diletakkan di atas bendera parti politik pembangkang, di dalam surau Akademi Pengajian Islam, UM di ibu negara.

Malaysiakini difahamkan bahawa kepala babi itu ditemui oleh salah seorang pelajar pro-Mahasiswa - Mohd Azlan Zainal - yang pergi ke surau tersebut, untuk menunaikan solat Subuh.

pig head in UMSebelum itu, Mohd Azlan dan seorang lagi rakannya - Ahmad Shahir Md Shah - bertugas mengawal poster dan kain rentang kumpulan tersebut di sekitar kawasan berkenaan.

Ketika itu, katanya, terdapat beberapa orang pelajar yang tidur di dalam surau berkenaan tetapi tidak menyedari kepala babi tersebut diletakkan di situ.

Sebaik sahaja ternampak kepala babi yang diletak di atas bendera parti PAS, Mohd Azlan terus menghubungi pihak keselamatan Universiti Malaya dan pihak polis Brickfields untuk memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Bagaimanapun, ketika ditemui wartawan, Mohd Azlan berkata beliau tidak percayai perbuatan itu dilakukan oleh mahasiswa di situ.

Sebaliknya, beliau mengesyaki ada pihak-pihak lain yang mahu mengganggu-gugat dan mahu memecahkan perpaduan mahasiswa.

universiti malaya um pig head carcass found in surau mosque pc 160109 09Mohd Azlan berkata, pensyarah undang-undang Akademi Pengajian Islam, UM, Dr Ruzman Mohd Noor datang pada kira-kira jam 6 pagi.

"Dr Ruzman juga mengesyaki ada orang tertentu yang melakukan perbuatan tersebut," katanya.

Sebelum ini, mantan exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM sesi yang lalu, Mohd Hilman Nordin memberitahu Malaysiakini,kepala babi itu diletakkan di atas bendera parti PAS.

Juga terdapat tulisan PMI,PRO-M dan PAS pada bendera tersebut.

Di telinga babi terdapat tulisan nombor 872.

Katanya, pada kira-kira jam 7.30 pagi, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM, Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin, datang ke surau tersebut, selepas dimaklum mengenai kejadian tersebut.

Mohd Hilman berkata, Dr Mohd Amin kemudiannya menasihatkan para pelajar supaya bersurai dan ke kuliah masing-masing.

Menurutnya lagi, kepala babi tersebut dilihat dimasukkan ke dalam kereta polis yang datang ke situ.

Sementara itu, Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) mengadakan satu sidang akhbar pada jam 2.30 petang untuk mengecam perbuatan tersebut.

universiti malaya um pig head carcass found in surau mosque pc 160109 02Sidang akhbar tersebut akan diadakan di depan surau terbabit.

Kampus UM kini hangat dengan kempen pilihanraya kampus yang menyaksikan pertembungan calon-calon kumpulan pro-Aspirasi dan pro-Mahasiswa. Pilihanraya kampus UM dijadual 19 Januari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua PMIUM, Mohamad Haafizuddin Abi Rerah berkata, pada jam 8 pagi, pasukan forensik polis tiba di surau tersebut untuk menjalankan siasatan serta untuk mengesan cap jari.

"Kejadian itu mungkin berlaku antara jam 4 hingga 5 pagi tadi. Pada waktu itu, difahamkan terdapat beberapa aktivis pro-Mahasiswa sedang tidur di situ kerana keletihan berkempen. Mereka tidak sedar kejadian itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mohamad berkata, kepala babi itu diletak di bahagian pintu surau yang jarang digunakan, dan terlindung di belakang sebatang tiang surau.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...