Monday, August 25, 2008

Ramlan Porigi

Anwar calon pilihan untuk menang - MALAYSIAKINI

Muda Mohd Noor | Aug 25, 08 4:09pm

Berdasarkan perkembangan terakhir, penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menang besar dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, esok.

Tidak mustahil majoriti yang diperolehi oleh bekas timbalan perdana menteri itu lebih besar daripada yang diperolehi oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Dr Wan Azizah, yang melepaskan kerusi itu untuk suaminya 31 Julai lalu, mendapat 13,388 undi dengan mengalahkan calon BN Datuk Pirdaus Ismail.

Menurut tinjauan Malaysiakini sepanjang kempen ini sejak 16 Ogos, jentera kempen PKR sangat tersusun dan komited, mereka boleh bekerja siang malam tanpa mengira waktu.

Setiap pelusuk Permatang Pauh terdapat bilik gerakan PKR, malah ada dua atau tiga bilik gerakan di satu kampung.

Petugas-petugas pilihanraya PKR nampak begitu bangga membahagikan risalah perkembangan terbaru pilihanraya kerusi parlimen itu kepada orang ramai.

Isu liwat yang dimainkan oleh BN dalam kempen-kempen mereka juga dijangka tidak berkesan ekoran kejayaan PKR mendapatkan imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi menjelaskan isu itu kepada pengundi mulai malam tadi.

Ramlang muncul di tiga majlis anjuran pembangkang untuk menjelaskan kehadirannya di majlis sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan, 15 Ogos lalu.

Permatang Pauh sememangnya kubu kuat PKR dan ia seolah-olah menjadi kerusi tradisi keluarga Anwar.

Anwar dipilih ahli parlimen Permatang Pauh selama 17 tahun sejak 1982, manakala Dr Wan Azizah mengambil alihnya sejak 1999 setelah suaminya dipenjarakan selama enam tahun mulai 1998.

Malah bapanya Datuk Ibrahim Abdul Rahman pernah menjadi ahli parlimen Permatang Pauh (dulu dikenali Seberang Tengah) selama satu penggal mulai 1969.

Malah pemimpin Umno termasuk timbalan presiden Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Ketua Pemudanya Datuk Seri Hishammuddin Hussein sendiri mengakui Permatang Pauh merupakan kubu kuat PKR.

Sangat sukar membayangkan kerusi Permatang Pauh gagal dipertahankan di tangan Anwar esok, khususnya tiada seorangpun tokoh BN sepopularnya untuk memberikan cabaran.

Tinjauan di program-program Anwar menunjukkan ribuan orang hadir bukan sahaja di kalangan penyokong pembangkang tetapi juga dipercayai pengundi atas pagar.

Dalam satu majlis di Tenggiri, Seberang Jaya, ribuan hadir mendengar ceramah walaupun kira-kira 100 meter itu ada majlis ceramah Najib dan naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Meskipun jentera BN turut dibantu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sukar untuk calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah mencapai kemenangan.

Keputusan sama ada Anwar atau Arif Shah yang akan menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh bagaimanapun bukan semata-mata ditentukan oleh kekuatan jentera dan kempen pilihanraya parti masing-masing.

Kemenangan salah seorang daripada dua calon besar itu hak 58,459 pengundi berdaftar.

Selain mereka, ia turut dimeriahkan oleh calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Hamat.

Mufti Wilayah Persekutuan: Kredibiliti Ramlang diragui, akui sumpah Saiful sah - MSTAR ONLINE

25-08-2008 05:52:00 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh sangsi dengan kredibiliti imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi yang tampil membuat pengakuan bahawa sumpah yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah tidak sah.

Menurut beliau, mana-mana individu yang ingin mengeluarkan sebarang fatwa atau hukum dalam Islam perlu mendalami ilmu yang terkandung dalam kitab-kitab Feqah bagi memperkukuhkan hujah mengenai sesuatu perkara.

"Saya sangsi sama ada beliau boleh baca kitab (Feqah) atau tidak. Apabila kita mengeluarkan fatwa yang berkaitan dengan soal hukum, kita seolah-olah bercakap bagi pihak Allah.

"Jadi kita perlu bercakap dengan ilmu dan sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa merujuk sebarang kitab yang berkaitan maka akan menerima siksaan dari Allah di neraka," katanya dalam sidang media di Pusat Islam di sini hari ini.

Semalam, Ramlang tampil membuat pengakuan di Permatang Pauh bahawa sumpah yang dilakukan Mohd Saiful tidak sah dan beliau 'dipaksa' untuk menjadi saksi dalam upacara tersebut.

Ramlang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam dengan gred perkhidmatan S17.

Beliau ditempatkan di Masjid Wilayah Persekutuan sebagai imam, jurunikah dan ketua amil.

Bagaimanapun Wan Zahidi menolak dakwaan tersebut dan mengakui sumpah laknat yang dilakukan Mohd Saiful itu adalah sah mengikut hukum Islam.

"Kenyataan beliau yang mengatakan bahawa sumpah itu perlu dilakukan setelah selesai proses mahkamah adalah tidak betul.

"Ini tiada kaitan dengan mahkamah kerana sumpah yang dilakukan Mohd Saiful ialah atas pilihan beliau sendri tanpa arahan mana-mana pihak," katanya.

Tambah beliau, sumpah terbahagi kepada dua iaitu sumpah dalam perbicaraan di mahkamah dan yang kedua ialah di luar perbicaraan mahkamah.

"Sumpah sah dilakukan oleh mana-mana individu dengan pilihannya sendiri manakala perkara yang digunakan untuk bersumpah ialah hanya dengan menyebut nama Allah," katanya.

Namun jelas beliau, berdasarkan kitab Hasyiah I'anah al-Talibin juga ada menyebut mengenai pemberatan atau perkara tambahan yang boleh dilakukan semasa bersumpah iaiatu dari segi masa dan tempat.

"Berdasarkan kitab ini, ada menyebut kita boleh bersumpah selepas Solat Asar pada hari Jumaat, di dalam masjid disisi mimbar atau meriba al-Quran dan meletakkan tangan diatasnya," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau sumpah yang dilakukan oleh Mohd Saiful bukan sumpah mubahalah kerana sumpah itu memerlukan persetujuan kedua-dua pihak.

Ditanya mengenai kenyataan Ramlang yang mendakwa bahawa kehadiran beliau semasa Mohd Saiful bersumpah adalah atas 'arahan pihak atasan', beliau berkata perkara itu adalah sesuatu yang normal.

"Kebetulan dia bertugas pada hari itu jadi tidak mustahil pegawai atasan masjid mengarahkan beliau untuk turut sama dalam upacara tersebut bagi membuat laporan mengenai apa yang berlaku. Itu perkara biasa." katanya.

Wan Zahidi turut melahirkan kembimbangannya mengenai situasi sekarang seolah-olah sumpah boleh dilakukan dengan sesuka hati tanpa memikirkan kesannya.

"Saya juga bimbang dengan tindakan imam tersebut (Ramlang) yang mengatakan sumpah itu tidak sah dan tidak mengikut syarak.

"Masyarakat akan keliru dengan kenyataan beliau itu. Saya berharap perkara seumpama ini tidak dipolitikkan untuk kepentingan peribadi," katanya.

Imam saksi sumpah Saiful mohon maaf depan Tuan Guru Nik Aziz - HARAKAHDAILY

Mohd Sabri Said | Foto Nasir Sudin
Mon | Aug 25, 08 | 9:18:03 am MYT

PERMATANG PAUH, 25 Ogos (Hrkh) - Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kehadirannya secara tidak sengaja dalam majlis sumpah Saiful Bukhari Azlan 15 Ogos lepas menimbulkan banyak fitnah.

Katanya, beliau langsung tidak terbabit dengan pengaturan sumpah tersebut, sebaliknya diajak menghadiri suatu majlis yang telah diaturkan pihak tertentu secara tidak dirancang.

Beliau yang dijemput memberikan penerangan sempena Solat Hajat Perdana bersama Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Aziz Nik Mat di Masjid Bandar Perda malam tadi mendedahkan, kehadiran beliau di situ secara kebetulan menikahkan orang bukanya mengatur program jahat tersebut.

"Saya bukan Imam besar di situ saya cuma imam biasa sahaja. Imam besarnya ialah Haji Abdul Malek Saleh. Di televisyen mengatakan saya Iman Besar di situ salah sama sekali kerana kehadiran saya di situ untuk menikahkan pasangan pengantin.

ImageBila sudah upacara angkat nikah tiba-tiba saya diajak ke program sumpah Saiful untuk menjadi saksi mendengar jika sekiranya tersilap perkataan terutamanya kalimah bahasa Arab, " ujarnya di hadapan ribuan jemaah.

Menurutnya, pada pukul 6.05 petang semasa menunggu tiba-tiba Saiful datang dengan beberapa orang dan terus membaca sumpah laknatnya.

Semasa membaca lafaz sumpah itu beliau beberapa kali tersalah lafazkanya termasuk tarikh kejadian.

Beliau juga hairan kenapa tiba-tiba sahaja Saiful bersumpah sedangkan lafaz sumpah sepatutnya diadakah oleh kedua-dua pihak terutamanya orang yang kena tuduh bukan yang menuduh.

"Sepatutnya sebarang program yang bakal di adakan di masjid ini mesti mendapat kebenaran dulu daripada saya atau pegawai masjid yang lain, Bukan boleh buat program sewenang-wenangnya, " katanya.

ImageJelas beliau lagi, jika difikirkan dengan keadaan umur dan fizikal Anwar mustahil beliau boleh lakukan perbuatan terkutuk itu kerana ia memerlukan kekuatan tambahan kejadian itu berlaku bukan suka sama suka.

Beliau juga memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana hadir dalam program berkenaan dan berharap pengakuannya malam ini mengakhiri tangapan buruk terhadapnya sepertimana yang tersiar dalam media dan internet.

Beliau juga berpendapat bahawa sumpah laknat yang dilafazkan oleh Saiful Bukhari Azlan merupakan sumpah laknat untuk dirinya sendiri, bukan untuk Anwar Ibrahim.

Solat hajat perdana itu diimamkan oleh Tuan Guru Haji Saleh dari Sik, Kedah manakala hadir memberikan ucapan ringkas ialah bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Mohd HashimYahya, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Mohd Daud Iraqi, Timbalan Ketua MenteriPulau Pinang, Mohamad Fairus Khairudin dan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat. - mr_

Sindin Keluar PBS, Mungkin Sertai PKR - BERNAMA

25 Ogos, 2008 18:56 PM

KOTA KINABALU, 25 Ogos (Bernama) -- Ketua Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Kiulu, Sindin Ranggangon, yang mencadangkan supaya presiden PBS Datuk Seri Josepah Pairin Kitingan melepaskan jawatan, telah keluar dari parti itu dan bercadang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Semasa mengumumkan keputusan itu, Sindin berkata PBS Bahagian Kiulu juga telah dibubarkan semalam dan majoriti penyandang jawatan dalam bahagian itu turut meletakkan jawatan masing-masing.

Baru-baru ini, Sindin diberikan surat tunjuk sebab kerana menggesa Pairin berundur kerana menyifatkan pemimpin politik veteran Sabah itu tidak lagi mampu memimpin parti.

"Ianya keputusan majoriti. Kami hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pairin. Kami berasa Pairin hanya mengambil berat terhadap kroninya di Kiulu dan membelakangkan kepentingan penyokong kuat yang berjuang selama ini untuk parti," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

"Mungkin kita tidak penting dan sebab itu Pairin tidak menghargai perjuangan dan sumbangan kami kepada parti.

Sejak kami rasa kami dipinggirkan dan suara kami tidak kedengaran...kami tidak mempunyai pilihan kecuali meneruskan perjuangan kami untuk penduduk Kiulu di medan yang berlainan," katanya.

Berikutan pembubaran bahagian itu, Sindin berkata sejumlah 3,000 ahli parti dari bahagian itu mempunyai pilihan sama ada untuk berehat dari politik atau menyertai parti lain termasuk Pakatan Rakyat.

"Kami membiarkan mereka untuk membuat keputusan. Dalam kes ini, saya menimbang secara serius untuk menyertai PKR," katanya, sambil menambah "dalam politik tiada sesiapa yang kuat atau lemah selama-lamanya."

Pada 14 Ogos lepas, Jawatankuasa Disiplin PBS telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Sindin kerana menggesa Pairin menyerahkan kepimpinan parti itu kepada pemimpin yang lebih berkaliber.

Sebaliknya, Sindin mencadangkan timbalan presiden PBS Datuk Dr Maximus Ongkili mengambil alih kepimpinan parti yang disifatkan sebagai lebih layak dan berkaliber.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...