Wednesday, October 8, 2008

Pak Lah tidak tanding presiden, letak jawatan PM Mac - MALAYSIAKINI

Muda Mohd Noor & Abdul Rahim Sabri | Oct 8, 08 11:22am

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu Mac depan.

Beliau juga akan melepaskan jawatan perdana menteri dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya pada bulan Mac apabila Datuk Seri Najib Razak dipilih sebagai presiden baru parti itu.

abdullah badawi supporter pwtc 081008Keputusan perdana menteri itu, yang diumumkan dalam taklimat Dewan Tertinggi BN petang ini sudah dijangka sejak keputusan terbaru mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) bulan lepas.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN itu bermula selepas jam 3.30 petang.

Abdullah pada awalnya, dijadual melepaskan jawatan tertinggi Umno dan jawatan perdana menteri pada pertengahan 2010.

Elak Umno, BN berpecah

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut, Abdullah berkata beliau tidak akan mempertahankan jawatan presiden kerana tidak mahu Umno dan BN berpecah.

"Umno dan BN perlu bersatu untuk menghadapi cabaran global yang lebih besar," katanya dalam sidang akhbar yang penuh sesak itu.

Menurut Abdullah, tempoh tamat jawatannya sebagai presiden Umno ialah Mac tahun depan.

Abdullah berkata, beliau akan menyerahkan jawatan perdana menteri selepas Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi presiden Umno.

Perdana menteri juga menegaskan bahawa keputusannya itu adalah muktamad.

"Saya ingin serahkan kepada Datuk Najib supaya Malaysia boleh menghadapi cabaran global, kerana ini bukan masa untuk berbalah sesama sendiri tetapi adalah masa untuk perpaduan, dengan mengutamakan kepentingan negara," katanya.

Pilihanraya umum lalu

Abdullah juga mengakui bahawa beliau "tidak membuat cukup baik dalam pilihanraya umum lalu".

Dalam pilihanraya Mac lalu, BN kembali berkuasa tetapi gagal mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen. BN juga kehilangan empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - kepada barisan pembangkang - Pakatan Rakyat.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, para pemimpin BN menyambut baik Najib sebagai pengganti beliau.

"Apa yang mereka lahirkan itu, adalah pandangan mereka sendiri. Saya fikir saya mendapat sokongan dalam membuat keputusan ini," tambahnya.

Abdullah berkata, beliau akan melaksanakan tiga inisiatif sebelum menyerahkan tugas kepada penggantinya.

Tiga inisiatif itu ialah penubuhan suruhanjaya pelantikan kehakiman, suruhan pencegahan rasuah Malaysia, suruhanjaya aduan khas bagi mengukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

Perpaduan kaum

Mengenai perpaduan kaum, Abdullah berkata, ianya kini berada dalam keadaan yang merosot.

"Saya akan mengadakan konvensyen BN awal tahun depan. Saya serius dan komited untuk mencapai apa yang akan dilaksanakan

"BN masih sebuah kerajaan yang kuat sehingga pilihanraya yang akan datang," tambahnya. Teks lengkap pengumuman PM

Apabila Abdullah bersara pada Mac 2009, beliau menjadi salah seorang perdana menteri yang mentadbir dalam tempoh masa paling singkat - selama lima tahun lima bulan.

Perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, yang meninggal semasa berkhidmat pada tahun 1976, mentadbir selama lima tahun empat bulan.

Manakala perdana menteri ketiga, Tun Hussein Onn, pula meletak jawatan pada 1981 atas sebab-sebab kesihatan, selepas berkhidmat selama lima tahun enam bulan dan digantikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, ada kemungkinan Abdullah akan terus menjadi perdana menteri beberapa bulan lagi, walaupun selepas tamat tempohnya sebagai presiden Umno.

Abdullah, yang mengambil alih kuasa pada 31 Oktober 2003 dari Dr Mahathir, menang besar dalam pilihanraya umum 2004 tetapi kalah teruk Mac lalu dan gagal mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Ketika mengambil alih kuasa, Abdullah mendapat sokongan besar selepas berjanji untuk melaksanakan pembaharuan termasuk menghapuskan rasuah.

Bagaimanapun, Abdullah kemudiannya dilihat sebagai seorang pemimpin yang lemah selepas gagal menangani isu rasuah dan kadar jenayah yang tinggi, sepertimana yang dijanjikannya dalam manifesto pilihanraya BN pada 2004.

Sementara itu, ketika mesyuarat Dewan Tertinggi BN berlangsung, sekumpulan penyokong Abdullah berhimpun di luar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Mereka membawa kain rentang yang menggesa Abdullah untuk terus memegang jawatan berkenaan sehingga 2010 seperti dijadual pada mulanya.

Kain rentang tersebut berbunyi: 'Hormati peralihan kuasa, elak perpecahan lagi', dan 'Pak Lah, teruskan perjuangan'.

Mereka turut melaungkan 'Hidup Pak Lah' dan 'Pak Lah presiden, Najib timbalan'.

Perebutan 'luar biasa' jawatan tinggi Umno - MALAYSIAKINI

Muda Mohd Noor | Oct 8, 08 12:27pm

Pergerakan Pemuda Umno Johor menganggap pemilihan pucuk pimpinan Mac depan sebagai sesuatu yang unik kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah pemilihan parti itu.

"Sukar untuk saya mengulas perkara tersebut tetapi saya berharap ianya membawa kebaikan kepada parti," kata Ketua Pemuda Umno Johor, Razali Ibrahim.

Menurutnya, dalam pemlihan kali ini, begitu ramai pemimpin yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan utama Umno.

Malah, katanya, yang lebih menarik lagi, ada kalangan pemimpin yang tidak disangka akan bertanding, turut tampil menawarkan diri.

Beliau tidak mahu menyebut nama-nama pemimpin yang dimaksudnya itu kerana tidak mahu menjejaskan peluang mereka nanti.

Bagaimanapun, katanya, beliau percaya mereka pasti tahu peranan masing-masing untuk menjadikan Umno lebih baik.

Manakala timbalan ketua perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Kamaruddin Ambok turut mengulas mengenai minat ramai pemimpin Umno untuk bertanding kali ini.

Mesti ukur kewibawaan

"Dahulu, ketika Datuk Najib Razak mengumumkan bertanding timbalan presiden Umno, tiada seorangpun yang mahu bertanding.

"Tetapi sebaliknya, kali ini mereka berlumba-lumba mahu bertanding," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

"Masa kempen yang panjang juga satu masalah kerana calon akan berkempen habis-habisan untuk mendapatkan sokongan," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan kebimbangannya kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku, termasuk perpecahan dalam parti.

Katanya, apa gunanya memegang jawatan tinggi tetapi mereka tidak boleh menyatukan Umno dan orang Melayu.

Beliau berkata, pemimpin yang mahu bertanding sepatutnya mengukur kewibawaan masing-masing sama ada layak atau tidak untuk bertanding.

Sementara itu, timbalan ketua bahagian Umno Kangar, Datuk Hashim Suboh berkata, tindakan Ketua bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed bertanding, menggambarkan Umno kini dalam keadaan kritikal.

Ramai tawar diri

Beliau yang juga ketua penerangan Umno Perlis berkata, penyakit Umno telah mencapai tahap yang cukup kronik.

"Sekarang ada orang yang menganggap mereka tidak perlu lagi mengambil kira dan memberi perhatian terhadap kepimpinan Umno," katanya.

Menurutnya, ini dapat dilihat apabila orang yang tidak mempunyai jawatan yang sepatutnya dalam parti, turut menawarkan bertanding jawatan utama Umno.

Menjelang mesyuarat bahagian-bahagian Umno yang dijadual bermula esok, semakin ramai pemimpin yang menawarkan diri untuk bertanding.

Ketua Umno bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah awal-awal lagi menawarkan ciri untuk bertanding jawatan presiden. Pada 2004, Ku Li turut menawarkan diri bertanding jawatan tersebut tetapi tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.

Calon presiden memerlukan 30 peratus atau 58 pencalonan, timbalan presiden (20% atau 38 pencalonan), naib presiden (10% atau 19 pencalonan) dan Majlis Tertinggi (5% atau 10 pencalonan).

Manakala presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula dijangka mengumumkan hari ini sam ada akan mempertahankan jawatan atau tidak.

Jika Abdullah tidak mempertahankan jawatan, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dijangka bertanding jawatan tersebut.

Muhyiddin tanding timbalan?


Ekoran kekosongan untuk jawatan timbalan presiden, naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin berkemungkinan besar akan bertanding jawatan jawatan timbalan presiden Umno.

Ini berdasarkan laporan bahawa banyak bahagian Umno yang mahu gandingan Najib dan Muhyiddin menggantikan Abdullah ekoran kekalahan teruk Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Malah, ramai yang berpendapat bahawa Muhyiddin yang banyak berusaha untuk mempercepatkan tarikh peralihan kuasa dari Abdullah kepada Najib, yang sebelum ini dijadualkan pada 2010.

Bagaimanapun, Muhyiddin sehingga hari ini belum membuat keputusan sama ada bertanding jawatan timbalan presiden atau kekal mempertahankan jawatan naib presiden Umno.

Mengikut laporan, Muhyiddin dan ketua penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib akan mengumumkan jawatan yang akan ditandinginya selepas Abdullah membuat keputusan.

Namun, tiga pemimpin Umno lain telah mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan timbalan presiden jika berlaku kekosongan dalam pemilihan parti kali ini..

Mereka ialah Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Nur Jazlan.

Jawatan naib presiden


Bagi jawatan naib presiden pula, beberapa pemimpin telah menyatakan kesediaan untuk bertanding dan yang terbaru ialah ketua badan perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sebelum ini, bekas naib presiden, Tan Sri Isa Samad; bekas ketua Pemuda, Tan Sri Rahim Thamby Chik; menteri dalam negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohd Khalid Nordin; menteri luar, Datuk Seri Rais Yatim; ketua menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman; timbalan ketua perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah mengumumkan kesediaan mereka bertanding jawatan naib presiden Umno.

Isa merupakan penyandang jawatan naib presiden sebelum digantung selama sepenggal atau tiga tahun kerana terbabit dengan politik wang dalam pemilihan 2004. Dua lagi naib presiden ialah Mohd Ali dan Muhyiddin.

Manakala antara pemimpin terawal yang menawarkan diri untuk bertanding ahli majlis tertinggi (MT) Umno ialah bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Yang lain termasuklah ketua Umno bahagian Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar, ketua Umno bahagian Hulu Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang, ketua Umno bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin dan timbalan menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharom.

Jawatan ketua Pemuda pula menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan naib ketua sekarang Khairy Jamaluddin; exco Datuk Mukhriz Tun Mahathir; bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan timbalan ketua perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Tan Sri Rafidah Aziz dijangka tidak dicabar untuk jawatan ketua Wanita setelah beliau mengumumkan akan menyerahkan jawatan tersebut kepada timbalan ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun tahun depan.

Bagi jawatan ketua Puteri empat pemimpin - naib ketua, Rosnah Abdul Rashid Shirlin; ketua Puteri Wilayah Persekutuan, Datin Ismalina Ismail; ketua Puteri Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin dan setiausaha pergerakan itu, Bibi Sharliza Mohd Khalid telah menawarkan diri bertanding jawatan itu.

Pak Lah berundur Mac, tidak pertahan jawatan Presiden Umno - MSTAR ONLINE

Rabu Oktober 8, 2008

TERIMA KASIH... Abdullah Ahmad Badawi melambai ke arah wakil-wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang berkumpul di pintu masuk utama kediaman rasmi beliau di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini bagi menyatakan sokongan mereka kepada beliau. Lebih 30 orang yang mewaklili pelbagai NGO Melayu berkumpul seawal pukul 7 pagi sambil memegang poster. Antara NGO Melayu yang hadir ialah Pertubuhan Alumni Kelab-kelab UMNO Luar Negara, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) dan Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti (PERKIB). -fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Presiden Umno Mac depan, sekali gus dijangka membuka luas gelanggang persaingan pemilihan parti kali ini.

Abdullah akan melepaskan kedua-dua jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno pada Mac depan.

Dengan keputusan Abdullah, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sudah pasti akan dicalonkan merebut jawatan Presiden.

ABDULLAH Ahmad Badawi mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur. Di sebelah kanan beliau ialah timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak. - foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

Malam tadi, bekas Naib Presiden Umno dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberitahu wartawan di Kuantan bahawa beliau bersedia untuk bertanding jawatan Presiden jika dicalonkan.

Persidangan perwakilan bahagian Umno bermula esok dan akan membuat pencalonan untuk jawatan-jawatan induk parti.

Pendirian Abdullah itu selari dengan pelan peralihan kuasa antara beliau dengan timbalannya.

Abdullah membuat pengumuman itu selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato' Onn petang tadi.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pula akan membuat pengumuman lusa sama ada bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Ali Rustam yang juga Ketua Menteri Melaka sudah mengumumkan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Juga termasuk dalam senarai mereka yang berminat ialah Ketua Umno Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Bekas Naib Presiden Tan Sri Muhammad Muhd. Taib akan mengadakan sidang akhbar esok untuk menyatakan pendirian beliau manakala seorang lagi bekas Naib Presiden, Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad mahu melihat keadaan sebelum menyatakan pendiriannya.

Abdullah mengetuai Umno sejak Oktobet 2003 selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Beliau, Presiden Umno yang keenam menang tanpa dicabar pada pemilihan 2004.

Abdullah merupakan Perdana Menteri kelima Malaysia.

Ketika membacakan teks kenyataan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BN, Abdullah berkata:

"Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

"Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung yang akan datang. Saya tidak mahu melihat Umno dan Barisan Nasional berpecah belah.

"Umno dan Barisan Nasional perlu bersatu dan kukuh bagi menangani cabaran-cabaran global, agar kita berjaya menjadi sebuah negara yang maju – sebuah negara yang menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua."

Jelas Abdullah, beliau mempunyai beberapa inisiatif yang perlu dilaksanakan sebelum berundur Mac depan.

Terdahulu, Menara Dato' Onn yang menempatkan Ibu Pejabat Umno menjadi tumpuan dengan kawasan pekarangan premis itu sudah sesak dengan orang ramai yang menanti pendirian Abdullah.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN bermula pukul 3.45 petang dan berlangsung lebih sejam.

Penyokong-penyokong Abdullah berkumpul di pekarangan Menara Dato' Onn dengan membawa sepanduk tertera mesej "Hormati Peralihan Kuasa, Elakkan Perpecahan Lagi" sambil melaungkan "Hidup Pak Lah".

Najib tiba pukul 3.25 petang.

Abdullah tiba 10 minit kemudian untuk mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, yang disusuli dengan laungan "Hidup Pak Lah" dan "Pak Lah Presiden, Najib Timbalan".

[BERITA TERDAHULU]

KUALA LUMPUR: Mempertahankan jawatan Presiden parti ataupun tidak?

Persoalan ini terus bermain di fikiran kebanyakan pihak termasuk di dalam dan luar negara manakala Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mengumumkan pendirian sama ada mempertahankan jawatan Presiden Umno atau sebaliknya menjelang pukul 5 petang ini.

Ketika Abdullah disebut-sebut akan mengumumkan hari ini sama ada akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan Mac depan, lebih 30 orang daripada beberapa NGO Melayu berhimpun di luar perkarangan kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya untuk meminta beliau terus menerajui Umno sehingga 2010.

Mereka yang hadir sejak 7 pagi tadi membawa poster Abdullah dan melambailambai tangan ke arah beliau semasa Perdana Menteri keluar dari Seri Perdana pada 9.45 pagi untuk menghadiri mesyuarat Kabinet.

Antara NGO yang hadir ialah Pertubuhan Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) dan Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti (PERKIB).

Timbalan Presiden Pertubuhan Alumni Kelabkelab Umno Luar Negara Datuk Mohd Rais Zainuddin berkata Abdullah perlu mempertahankan jawatannya sehingga tempoh peralihan kuasa pada Jun 2010.

Beliau berkata langkah itu bagi mengelak berlakunya pertandingan bagi jawatan tertinggi parti itu kerana ini boleh menjejaskan kedudukan Umno pada masa depan.

Di sebalik itu, pelbagai spekulasi terus muncul dengan sesetengah pihak masih yakin Abdullah akan mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan Mac depan.

Mereka beranggapan sedemikian dengan melihat perkembangan terkini dalam Umno dan negara.

Kelmarin Umno Bahagian Kuala Kedah mengumumkan bahawa pihaknya akan mencalonkan Abdullah untuk kekal sebagai Presiden parti.

Badan Perhubungan Kelantan juga mengumumkan pihaknya akan menyokong Abdullah jika beliau berhasrat untuk mempertahankan kedudukannya.

Pada Khamis lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Tun Musa Hitam berkata, beliau percaya bahawa langkah menunda Perhimpunan Agung Tahunan dan pemilihan sehingga tahun depan merupakan petanda kemungkinan Abdullah tidak akan mempertahankan kedudukannya.

Dalam pada itu, Majlis Tertinggi BN akan mengadakan mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pukul 3.30 petang ini.

Kelmarin Perdana Menteri berkata, beliau akan mengumumkan pendiriannya sama ada semalam ataupun hari ini.

Semalam beliau tidak mengumumkannya.

Pada 26 Oktober lalu Presiden Umno itu berkata beliau akan mengumumkan mengenai keputusannya untuk mempertahankan jawatannya itu sebelum 9 Oktober iaitu sebelum bermulanya persidangan peringkat bahagian.

Sementara itu, Rabu lalu, Perdana Menteri berkata beliau akan memberi penjelasan kepada ketua parti komponen BN mengenai pelan peralihan kuasa antara beliau dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Kenyataan media penuh Pak Lah terajui negara hingga Mac

KENYATAAN MEDIA DATUK SERI ABDULLAH SELEPAS MEMPENGERUSIKAN MESYUARAT DEWAN TERTINGGI BN DI KUALA LUMPUR DAN MENGUMUMKAN TIDAK PERTAHAN JAWATAN PRESIDEN

SAYA telah berkhidmat kepada negara lebih dari 45 tahun. Saya telah berkhidmat sebagai penjawat awam dan juga sebagai seorang wakil rakyat.

Saya telah bertugas sebagai ahli pentadbiran sehingga, Alhamdulillah, saya berpeluang untuk memegang jawatan yang tertinggi di dalam kerajaan. Saya telah melihat Malaysia melangkah maju dari sebuah negara yang miskin kepada sebuah negara yang moden dan disegani.

Walaupun prestasi pencapaian negara adalah membanggakan, saya percaya bahawa negara kita berada di sebuah persimpangan. Kita perlu berani membuat perubahan, kita perlu mempercepatkan evolusi dan proses pematangan.

Sekiranya kita gagal membuat perubahan tersebut, segala pencapaian kita selama lebih 50 tahun mungkin tergadai. Dalam menghadapi perubahan dan transformasi ini, rakyat perlu berdiri teguh dan bersatu hati.

Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat. Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung yang akan datang. Saya tidak mahu melihat Umno dan Barisan Nasional berpecah belah. Umno dan Barisan Nasional perlu bersatu dan kukuh bagi menangani cabaran-cabaran global, agar kita berjaya menjadi sebuah negara yang maju – sebuah negara yang menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua.

Tempoh saya sebagai Presiden Umno akan tamat pada bulan Mac 2009. Namun, ada beberapa inisiatif yang saya ingin laksanakan sebelum saya menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada bakal pengganti saya.

Inisiatif-inisiatif ini adalah penting untuk membolehkan negara kita terus melangkah maju. Inisiatif-inisiatif ini akan memperbaiki daya saing negara dan membolehkan Malaysia mengharungi cabaran-cabaran luaran yang pasti mendatang. Saya menyeru seluruh rakyat agar bersatu bersama saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.

Pertama, institusi negara perlu diperkukuhkan:

- Badan kehakiman perlu memperkukuhkan kedudukan dan kredibilitinya di mata rakyat. Saya akan membawa rang undang-undang ke Parlimen bagi menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Suruhanjaya ini akan diberi mandat untuk mencadangkan pelantikan para hakim dengan cara yang telus.

- Negara juga memerlukan sebuah institusi yang dapat memerangi gejala rasuah dengan efektif. Oleh itu, saya juga akan membawa rang undang-undang ke parlimen untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang akan mempunyai kuasa penyelidikan dan penguatkuasaan yang lebih besar berbanding kuasa yang sedia ada pada Badan Pencegah Rasuah.

- Saya juga akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

Kedua, saya telah begitu kerap dan sering menegaskan bahawa kekayaan dan hasil kemakmuran negara perlu diagihkan secara lebih adil ke serata negara. Ketika membentangkan Bajet 2009 yang lalu,saya telah menjelaskan tentang komitmen Kerajaan untuk memperkukuh dan memperluaskan Jaringan Keselamatan Sosial. Kita akan meningkatkan usaha bagi memastikan perlaksanaan inisiatif ini dapat disegerakan bagi membantu rakyat Malaysia yang miskin dan memerlukan, tanpa mengira latar belakang, kaum atau agama. Saya juga akan bekerja keras untuk memastikan manfaat yang jelas akan dapat mula dinikmati di Iskandar, dan juga koridor-koridor pembangunan yang lain di serata negara.

Ketiga, saya ingin melihat kerajaan dan Barisan Nasional memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan sebuah Negara yang bersatu dan harmoni. Hakikatnya, kita telah sama-sama melihat bahawa keharmonian hubungan antara kaum dan agama semakin merosot dan terhakis. Pelbagai isu telah dibangkitkan yang berupaya meretak dan menghancurkan perpaduan yang telah kita jalin sekian lama, yang kita banggakan selama ini. Isu-isu ini perlu kita depani dengan bijak dan matang, melalui dialog; tangani isu-isu ini secara konstruktif dan adil; bagi memastikan rakyat dapat memahami isu-isu ini dengan jelas, tanpa sebarang keraguan; dan berikan fokus kepada aspek-aspek yang menyatukan kita dan bukannya aspek-aspek yang makin memecah-belahkan kita semua. Bagi tujuan ini, saya akan mengadakan Konvensyen Barisan Nasional pada awal tahun depan. Ini sememangnya satu usaha jangka panjang yang saya harap dapat saya mulakan dan akan terus saya berikan sumbangan bagi memastikan kejayaannya.

Saya serius dan komited untuk mencapai segala misi yang saya gagaskan, dan saya yakin bakal pengganti saya akan meneruskan usaha-usaha ini.

Saya ingin menyerahkan kepada bakal pengganti saya, Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu untuk berhadapan dengan sebarang cabaran ekonomi global; Malaysia yang tidak mengira atau memandang miskin atau kaya, tua atau muda, di bandar atau di desa, utara atau selatan, apatah lagi kaum atau agama; melainkan peraduan dan keharmonian.

Ini bukan masanya untuk kita berbalah sesama sendiri atau untuk kita berpolitik secara sempit.

Ini adalah masa untuk memperkukuhkan peraduan dan kerjasama antara kita Ini adalah masa untuk kita meletakkan kepentingan negara di hadapan, mengatasi segalanya.

Mahkamah Larang Media Siar Kandungan Bahan Bukti Kes 'Mata Lebam Anwar' - BERNAMA

08 Oktober, 2008 18:52 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Mahkamah Sesyen yang mendengar perbicaraan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melarang media daripada menyiarkan kandungan bahan bukti berhubung kejadian "mata lebam" yang dialami beliau 10 tahun lepas.

Hakim S.M. Komathy Suppiah mengeluarkan perintah itu atas permohonan pihak pendakwaan. Bahan bukti yang dimaksudkan merupakan laporan akhbar, satu laporan polis dan satu kenyataan berhubung kejadian itu yang berlaku pada 1998.

Terdahulu, dalam hujahnya, Ketua Unit Pendakwaan, Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden berkata penerbitan kandungan bahan bukti berkenaan oleh media akan mencemarkan lagi nama baik Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

"Kandungan bahan bukti itu hanya merupakan desas-desus dan jika mahkamah membenarkan media melaporkannya, maka orang ramai akan mempunyai persepsi atau tanggapan sendiri dan bukan mencari kebenaran di sebalik kisah itu," katanya.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Anwar, Sulaiman Abdullah berkata mahkamah tidak sepatutnya melarang media daripada melaporkan kandungan bahan bukti berkenaan, yang telah dibaca secara terbuka di mahkamah, termasuk afidavit Anwar yang menyokong permohonannya agar kes itu tidak dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Anwar, 60, yang merupakan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun.

Jika sabit kesalahan, ketua pembangkang itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Beliau dikenakan ikat jamin peribadi RM20,000.

Perbicaraan hari ini bertumpu pada kesahihan sijil yang dikemukakan oleh pihak pendakwaaan bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi yang ditandatangani oleh Gani.

Pihak pembela berhujah bahawa sijil itu tidak sah kerana Gani tidak sepatutnya terlibat dalam kes berkenaan memandangkan beliau sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berikutan laporan yang dibuat oleh Anwar, yang menuduh beliau mereka-reka bukti berhubung kejadian mata lebam.

Pada permulaan perbicaraan, Yusof berkata pihak pendakwaan tidak mempunyai afidavit yang memberi penjelasan kenapa Gani menandatangani sijil pemindahan itu. "Kalau saya tidak menerima afidavit Peguam Negara, saya akan hanya berhujah berdasarkan lunas undang-undang," katanya.

Yusof berkata apa yang ada di tangannya ialah afidavit bersumpah oleh Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun.

Mendengar kata-kata itu, Sulaiman mencelah dengan berkata bahawa semalam, Yusof beria-ia berkata beliau akan mengemukakan afidavit Gani dan Idrus.

"Setelah mahkamah meluluskan permohonannya bagi memfailkan afidavit itu, sekarang beliau berkata beliau juga boleh berhujah tanpa afidavit itu," katanya.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...