Showing posts with label Olimpik. Show all posts
Showing posts with label Olimpik. Show all posts

Monday, August 18, 2008

Azizulhasni gagal ke separuh akhir 200 meter - UTUSAN ONLINE

18/08/2008 6:55pm

BEIJING 18 Ogos - Pelumba negara, Mohd. Azizulhasni Awang gagal ke separuh akhir acara berbasikal 200 meter pecut Sukan Olimpik Beijing setelah tewas kepada pelumba Great Britain, Chris Hoy pada pusingan suku akhir hari ini.

Azizulhasni, 20 yang juga juara Asia, tewas kepada Hoy yang mencatatkan masa 10.302 saat dalam perlumbaan kedua setelah turut tewas sebelumnya di Velodrom Laoshan.

Bagaimanapun anak jati Dungun, Terengganu itu akan bertanding dalam perlumbaan merebut tempat kelima hingga kelapan esok.

- Utusan

Sunday, August 17, 2008

Chong Wei gagal raih pingat emas - UTUSANON;INE

17/08/2008 9:40pm

BEIJING 17 Ogos - Harapan negara untuk memenangi pingat emas pertama berkubur selepas Lee Chong Wei tewas straight set kepada pemain tuan rumah, Lin Dan 21-12, 21-8 dalam perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik.

Chong Wei hanya berjaya meraih pingat perak selepas tidak mampu memberi tentangan kepada pemain nombor satu dunia itu yang begitu bersemangat beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Azizulhasni layak ke suku akhir tetapi tempuh laluan sukar. - UTUSAN ONLINE

17/08/2008 7:55pm

BEIJING, 17 Ogos — Pelumba basikal negara Azizulhasni Awang berjaya mengharungi perlumbaan sengit untuk layak ke suku akhir dalam terakhirnya acara pecut Sukan Olimpik Beijing.

Tetapi pelumba berusia 20 tahun itu berdepan dengan laluan sukar esok di mana dia dijadualkan menentang Chris Hoy dari Britain pemenang pingat emas dalam acara Keirin semalam.

Jika Azizulhasni tidak berjaya melakukan kejutan dia akan berlumba pula untuk penentuan tempat kelima hingga keempat. - Bernama

Friday, August 15, 2008

Trio Berbasikal Negara Atasi Rekod Kebangsaan, Tempat Ke-7 Pecut Berpasukan - BERNAMA

15 Ogos, 2008 23:04 PM

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 15 Ogos (Bernama) -- Trio berbasikal negara Azizul Hasni Awang, Josiah Ng dan Rizal Tisin hari ini berjaya memengatasi rekod kebangsaan semasa bersaing dalam pusingan kelayakan pecut berpasukan di Velodrome Laoshan hari ini.

Pasukan itu berjaya membuat catatan masa 44.725s untuk memadamkan rekod kebangsaan sebelum ini 45.511s, dan menduduki tempat ketujuh paling pantas di antara lapan pasukan yang layak bagi pusingan pertama.

Bagaimanapun mereka ditumpaskan dalam pusingan pertama oleh Perancis, yang merupakan pasukan kedua terpantas dalam kelayakan. Pasukan negara membuat catatan masa 44.822, manakala Perancis, pemenang pingat perak, membuat catatan 43.656s.

Britain memperolehi pingat emas dengan catatan 43.128s.

Terdahulu sebelum perlumbaan Azizul berkata trek Laoshan kelihatan amat sesuai bagi mereka memecahkan rekod kebangsaan.

Beliau bersama Josiah akan kembali ke velodrome itu sekali lagi esok bagi acara keirin, di mana Josiah pernah menduduki tempat ke enam pada Sukan Olimpik Athen sebelum ini.

-- BERNAMA

Chong Wei Pastikan Pingat Olimpik Keempat Malaysia - BERNAMA

15 Ogos, 2008 21:56 PM

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 15 Ogos (Bernama) -- Lee Chong Wei memastikan pingat Olimpik keempat buat Malaysia apabila berjaya menangani tekanan, untuk layak ke perlawanan akhir perseorangan lelaki saingan badminton setelah menundukkan pemain Korea Selatan Lee Hyun-Il 21-18, 13-21, 21-13.

Pemain berusia 26 tahun itu kemudian memeluk jurulatihnya Misbun Sidek kerana terlalu gembira dapat menamatkan kemarau pingat buat negara selama 12 tahun.

Chong Wei, pilihan kedua, akan bertemu sama ada pilihan utama Lin Dan dari China atau seorang lagu pemain China, Chen Jin bagi merebut pingat emas malam Ahad ini.

Pada set pertama, Chong Wei kelihatan seperti yakin tidak menghadapi masalah untuk layak ke perlawanan akhir setelah menang 21-18 berikutan lawannya banyak melakukan kesilapan.

Bagaimanapun, pada set kedua beliau kehilangan 10 mata untuk membolehkan Hyun-Il mendahului 16-6 dan kemudian menang 21-3 bagi memaksa perlawanan berlanjutan ke set ketiga.

Pada set ketiga, Chong Wei tidak mengulangi kesilapan yang sama apabila mendahului 15-10 sebelum menang 21-13.

" Perlawanan akhir itu adalah perjuangan untuk Malaysia. Kemenangan ini untuk saya dan jurulatih saya yang bekerja keras melatih saya," kata Chong Wei selepas berakhirnya saingan sejam itu di gimnasium Beijing University of Technology.

Chong Wei, yang menjadi pemain perseorangan pertama Malaysia layak ke perlawanan akhir Sukan Olimpik, boleh mencapai imbuhan tertinggi dalam sejarah sukan negara jika merangkul emas, yang pertama buat Malaysia selepas hanya satu perak dan dua gangsa dari Sukan Olimpik, semuanya daripada sukan badminton.

Ini berikutan pengumuman kerajaan bahawa pemenang pingat emas akan diberikan ganjaran RM1 juta.

" Kemenangan malam ini mengurangkan tekanan saya kerana akhirnya saya dapat juga pingat.

Ini adalah kemenangan terhebat saya kerana ini adalah Olimpik dan untuk perlawanan akhir, saya akan kekal fokus, katanya.

Beliau mengakui mempunyai masa tidur kurang enam jam kerana bimbangkan pertemuan malam ini.

" Pada set kedua, saya gagal menandingi kepantasannya. (Pada set ketiga) saya yakin dan selepas masing-masing mengutip mata demi mata, kami mula beraksi di jaring dan beliau banyak buat silap," kata Chong Wei, yang melakukan dua smash untuk memperoleh mata kemenangan.

Hyun-Il dianggap antara pemain paling sukar untuk ditewaskan.

Beliau menundukkan pemain China Bao Chunlai, pilihan ketiga, pada suku akhir untuk bertemu Chong Wei.

Kali terakhir Malaysia membawa pulang pingat Olimpik adalah pada 1996, satu perak menerusi pasangan beregu lelaki Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock serta gangsa menerusi pemain perseorangan lelaki Rashid Sidek.

-- BERNAMA

Wednesday, August 13, 2008

Yi Ting Catat Rekod Baru Kebangsaan - BERNAMA

13 Ogos, 2008 21:13 PM

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 13 Ogos (Bernama) -- Perenang Malaysia Siow Yi Ting mencatatkan rekod baru kebangsaan dalam acara 200m kuak dada wanita saingan Sukan Olimpik di sini hari ini.

Beliau memenangi saringannya malam ini dengan masa 2:27.80s untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri 2:29.21s, menjadi perenang kedua negara mencatatkan rekod baru kebangsaan selepas Daniel Bego dalam acara 200m gaya bebas lelaki.

Masa Yi Ting adalah yang ke-19 terpantas daripada 40 perenang. Perenang terakhir yang layak ke separuh akhir acara itu adalah Jeong Darae dari Korea Selatan dengan masa 2:27.28s.

Dua hari lepas, Yi Ting mencatatkan masa terbaik tahun ini dalam acara 200m rampaian perseorangan dengan catatan 2:17.11s. Beliau merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 2:16.92s.

-- BERNAMA

Banyak Lakukan Kesilapan, Cabaran Olimpik Mew Choo Berakhir - BERNAMA

13 Ogos, 2008 21:03 PM

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 13 Ogos (Bernama) -- Pemain perseorangan wanita Malaysia Wong Mew Choo gagal meneruskan saingannya pada Sukan Olimpik di sini setelah melakukan banyak kesilapan ketika tunduk 7-21, 27-29 kepada pilihan ketiga Lu Lan dari China pada perlawanan suku akhir hari ini.

Setelah tewas mudah set pertama, Mew Choo dilihat mampu memenangi set kedua tetapi beliau sembilan kali gagal menamatkan set itu.

Perlawanan set kedua pada mulanya agak seimbang tetapi Mew Choo kemudian kembali mendapat keyakinan untuk mendahului 14-9 dan selepas itu pada kedudukan 20-14, beliau banyak melakukan kesilapan dan kesempatan itu diambil oleh Lan untuk menang 29-27 dan layak ke separuh akhir.

Perlawanan set kedua itu mencatatkan mata tertinggi sehingga kini pada Sukan Olimpik di sini.

"Lu Lan memang bersedia sepenuhnya dan saya tidak dapat mencari kelemahannya sewaktu set pertama. Saya cuba menyerang kiri dan kanan tetapi dia sentiasa bersedia. Tangan saya macam tak dengar cakap dan Lu Lan bertambah yakin dan saya buat banyak, banyak kesilapan," kata Mew Choo yang jelas sugul dengan kekalahan itu.

Pemain berusia 25 tahun itu merupakan pemain wanita Malaysia pertama yang beraksi pada Sukan Olimpik dan sebelum ini pernah menewaskan Lan dua kali daripada lima pertemuan.

Dalam satu lagi perlawanan suku akhir perseorangan wanita pagi tadi, pemain Indonesia Maria Kristin Yulianti dipaksa bekerja keras pada set pertama sebelum menang 28-26 ke atas pemain India Saina Nehwal dan kemudian layak ke separuh akhir untuk bertemu juara bertahan Zhang Ning dari China.

Pasangan beregu lelaki Malaysia Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong akan turun beraksi pada perlawanan suku akhir malam ini menentang pilihan utama dan juara dunia Markis Kido dan Hendra Setiawan dari Indonesia.

-- BERNAMA

Tuesday, August 12, 2008

Kien Keat-Boon Heong benam beregu Jepun - BERNAMA

2/08/2008 8:38pm

BEIJING – Beregu emas negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong memulakan kempen Sukan Olimpik dengan aksi meyakinkan apabila mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Jepun, Shintaro Ikeda-Shuichi Sakamoto, sebentar tadi.

Pasangan muda negara itu hanya mengambil masa 31 minit untuk menang 21-12, 21-16, sekali menebus dua kekalahan mereka kepada Shintaro-Shuichi pada Kejohanan Dunia (Ogos, 2007) dan Seluruh England (Februari).

Meskipun melepasi halangan pertama, Kien Keat-Boon Heong bakal berdepan laluan berduri di suku akhir esok apabila menentang pemenang di antara juara dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia atau beregu nombor dua China, Guo Zhendong-Xie Zhongbo. – Utusan

KOO KIEN KEAT - TAN BOON HEONG (MAS) kln Ikeda Shintaro - Sakamoto Shuichi (JPN) 21-12 , 21-16

Saturday, August 9, 2008

Pemanah Malaysia Berjaya Ke Suku Akhir Olimpik - BERNAMA

09 Ogos, 2008 20:07 PM

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 9 Ogos (Bernama) -- Trio pemanah Malaysia, Wan Khalmizam Abd Aziz, Cheng Chu Sian dan Muhd Marbawi Sulaiman berjaya mara ke peringkat suku akhir bagi merebut emas acara berpasukan pada Isnin selepas memecahkan rekod kebangsaan dan menduduki tempat ketiga acara menentukan kedudukan hari ini.

Pasukan negara, yang berada di tempat keempat kedudukan dunia, memperoleh sejumlah 1,993 mata, hanya empat mata kurang daripada Ukraine yang berada di tempat kedua manakala juara bertahan Korea Selatan menguasai dengan mata 2,015.

Malaysia dan Ukraine berada di senarai bawah undian kalah mati dan dijangka bertembung antara satu sama lain jika kedua-duanya melepasi lapan saingan terakhir.

Bagi membolehkan pemanah Malaysia yang pertama kali beraksi pada Sukan Olimpik menempah tiket ke separuh akhir, mereka mesti mengalahkan sama ada Itali atau Kanada, yang akan bertembung satu sama lain dalam pusingan pertama.

Itali menduduki tempat keenam dalam kedudukan hari ini dengan pungutan mata 1,986 sementara Kanada berada di tempat ke-11 dengan 1,954 mata.

"Kami telah mensasarkan tempat ketiga hingga keenam bagi mengelakkan berada dalam senarai kedudukan yang sama dengan Korea dan pemanah kita melakukannya dengan baik apabila memecahkan rekod kebangsaan," kata jurulatih negara Lee Jae Hyung, seorang rakyat Korea, yang jelas berpuashati dengan pencapaian anak didiknya.

Dalam pusingan menentukan kedudukan, Wan Khalmizam melakukan pencapaian yang terbaik apabila menduduki tempat kelima individu terbaik dengan pungutan mata 674, yang tanpa disedarinya telah turut memecahkan rekod individu kebangsaan 672 mata.

"Saya pun tak pernah buat macam ini, biasanya bawah 670," kata pemanah kelahiran Kelantan yang akan genap berusia 22 tahun pada 21 Ogos ini.

Chu Sian dan Muhd Marbawi menamatkan saingan dengan masing-masing memperoleh 660 dan 659 bagi kedudukan ke-26 dan ke-27.

Sementara dalam persaingan menentukan kedudukan ditentukan atas 72 panahan, pertandingan berpasukan yang kesemuanya diadakan pada Isnin akan menyaksikan setiap pasukan memanah dengan 24 anak panah.

Pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir akan bertembung merebut pingat gangsa.

-- BERNAMA

Azizulhasni ketuai perarakan kontinjen Malaysia - UTUSAN

08/08/2008 11:15pm


Kontijen Olimpik Malaysia diketuai Azizulhasni Awang bergerak masuk kedalam Stadium Nasional Sarang Burung Beijing ketika acara pembukaan Sukan Olimpik, sebentar tadi


BEIJING – Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang mengetuai perarakan masuk kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan Sukan Olimpik 2008 yang berlangsung di Stadium Sarang Burung di sini, semalam.

Atlet kelahiran Terengganu berusia 20 tahun itu yang segak berpakaian baju Melayu berwarna kuning diberi penghormatan untuk membawa Jalur Gemilang pada temasya sukan terbesar di dunia itu.

Seramai 33 atlet dan pegawai Malaysia terlibat dalam perarakan itu termasuk ketua kontinjen, Datuk Ho Koh Chye.

Kontinjen negara masuk ke dalam stadium sebagai kontinjen yang ke-10 selepas kontinjen Madagascar.

Sebanyak 204 negara terbabit pada acara pembukaan yang penuh warna warni dan meriah itu.

Friday, August 8, 2008

Brunei tersingkir daripada Olimpik - UTUSAN

08/08/2008 9:15pm

BEIJING - Brunei disingkirkan daripada Sukan Olimpik selepas gagal mendaftarkan sebarang atlet bertanding dalam mana-mana acara, umum Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) malam ini.

“Ia sesuatu yang amat memalukan dan menyedihkan kepada atlet kerana tidak dapat bertanding disebabkan pasukan mereka tidak mendaftarkan nama mereka,’’ kata jurucakap IOC, Emmanuelle Moreau dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Moreau, IOC memberi tempoh hingga tengah hari tadi untuk negara itu mendaftarkan nama atlet mereka, namun ia tidak muncul.

Dua atlet yang sebelum ini dijadual membawa cabaran Brunei di Olimpik Beijing adalah perenang 15 tahun, Maria Grace Koh dan atlet lontar peluru, Mohd. Yazid Yatimi Yusof.

Dengan keputusan terbaru ini bermakna hanya 204 buah negara akan mengambil bahagian pada Temasya yang dibuka secara rasmi malam ini, dan akan berlangsung sehingga 24 Ogos.

Sultan Hassanal Bolkiah menjadi salah seorang tetamu diraja yang dijemput menghadiri majlis pembukaan Sukan Olimpik bersama dengan Presiden Amerika Syarikat, George W Bush dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy. - Reuters

Friday, July 25, 2008

Agong Serah Jalur Gemilang Kepada Kontinjen Ke Beijing

25 Julai, 2008 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Menjelang Sukan Olimpik di Beijing pada 8 Ogos ini, kontinjen negara hari ini menerima suntikan semangat dalam pemburuan pingat emas pertama negara pada temasya sukan tersebut apabila Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyerahkan Jalur Gemilang kepada pasukan Malaysia.

Pada istiadat yang berlangsung di Istana Negara di sini, Tuanku Mizan menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara, Datuk Ho Koh Chye pada majlis yang turut dihadiri oleh 22 atlet kebangsaan yang layak ke temasya sukan tersebut.

"Kontinjen Malaysia sangat bertuah kerana dalam dunia, jarang sekali ketua negara sanggup meluangkan masa untuk bertemu atlet terutama atlet yang akan bertanding pada Sukan Olimpik," kata Ho kepada pemberita di sini Jumaat.

Ditanya apakan titah Tuanku Mizan ketika menyerahkan Jalur Gemilang kepadanya, Ho berkata," Tuanku bertitah, selamat berjaya."

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada majlis itu berkata seramai 33 atlet dan 29 pegawai akan ke temasya di Beijing yang berlangsung sehingga 24 Ogos, untuk bertanding dalam 29 acara melalui sembilan jenis sukan.

"Walaupun harapan meraih emas pertama Malaysia dalam sejarah temasya tersebut terletak pada sukan badminton, memanah dan berbasikal, namun sukan lain yang turut layak ke Bejing juga berpotensi untuk menyumbang pingat," katanya.

Penyertaan kontinjen negara juga mencatat sejarah sebagai kontinjen terbesar negara ke temasya tersebut sejak Malaysia mula menyertai temasya edisi 1956 di Melbourne, Australia, katanya.

-- BERNAMA

Thursday, July 17, 2008

Liputan menyeluruh Olimpik Beijing 2008

Petikan: Harian Metro
Oleh Harris Adam

sukan@hmetro.com.my

ASTRO, penaja bagi skuad Olimpik Malaysia 2008, akan membawa liputan menyeluruh dan komprehensif sepanjang Sukan Olimpik 2008 berlangsung di Beijing, dari 8 hingga 24 Ogos ini.

Bagaimanapun, 11 saluran interaktifnya akan menyiarkan program mengenai temasya sukan terbesar dunia itu mulai 27 Julai ini hingga 26 Ogos bermula saluran Astro Supersports (saluran 816 hingga 826) dengan pelanggan pakej Dynasty boleh terus mengikuti perkembangan pertandingan itu dalam bahasa Kantonis di saluran TVB Olympic (saluran 318).

Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Rohana Rozhan, berkata berbekalkan slogan Stadium Astro iaitu ‘Best Seat Is In Your House’, stesen televisyen berbayar itu akan memastikan pelanggan menikmati segala liputan secara langsung yang membabitkan 45 jenis sukan dengan dianggarkan lebih daripada 3,000 jam ke udara melalui 11 saluran interaktif itu.

“Setakat ini, Astro menaja kontinjen Malaysia ke acara sukan berprestij di persada antarabangsa seperti Sukan Komanwel, Asia dan yang terbaru Sukan Olimpik sejak 2004. Untuk meneruskan tradisi ini, Astro amat berbesar hati apabila dapat memanjangkan sokongan padu kami kepada skuad Olimpik negara pula,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Zulkples Embong, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tunku Imran Tunku Jaafar serta atlit yang layak ke Olimpik.
“Majlis Olimpik Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Astro kerana sudi menaja pasukan Olimpik Malaysia. Melalui usaha Astro dalam membawakan temasya sukan terunggul Olimpik ini terus kepada rakyat Malaysia, sudah cukup membuktikan komitmen mereka yang sentiasa bersama dalam memajukan pembangunan dunia sukan negara,” kata Tunku Imran.

Sementara itu, Zolkples turut memuji Astro kerana dapat meluaskan usaha sama dengan TVB (Hong Kong) serta usaha gigih pihak produksi dalam memberi liputan secara langsung Sukan Olimpik dalam bahasa Kantonis khas buat pelanggan berbahasa Cina.

Penaja penyiar sukan Olimpik ialah Maxis manakala Panasonic dan Ogawa menjadi penaja bersama penyiar dengan Spritzer menjadi penyokong penyiar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...