Wednesday, April 14, 2010

Isa Samad - Bibi Sharliza selamat dinikahkan

SEREMBAN 14 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd. Isa Samad selamat diijabkabulkan dengan bekas Setiausaha Puteri UMNO, Bibi Sharliza Mohd. Khalid dengan sekali akad pada pukul 3.30 petang tadi. - Utusan

Khairy: Penduduk Hulu S'gor mahu calon muda

Pengerusi pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak mengetahui golongan mana yang masih inginkan timbalan presiden MIC, Datuk G Palanivel sebagai calon di pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Beliau bagaimanapun mengakui wujudnya satu golongan dalam MIC di kawasan itu yang mengugut untuk memboikot pilihan raya tersebut sekiranya Palanivel tidak diletakkan sebagai calon.

BN dijadual mengumumkan calonnya pada jam 4 petang esok bagi pertandingan pada 25 April ini, namun hampir separuh daripada ketua-ketua cawangan MIC kawasan itu hari ini secara terbuka menyatakan sokongan kepada Palanivel.

Ada yang membayangkan untuk memulaukan pilihan raya tersebut sekiranya cadangan untuk mencalonkan Palanivel itu ditolak oleh BN.

Menurut Khairy, berdasarkan maklum balas yang diterima, masyarakat di kawasan itu mahukan calon daripada golongan muda MIC dan bukannya Palanivel (bawah) seperti yang ditekan oleh golongan berkenaan.

Katanya, keputusan daripada pemimpin BN mengenai penentuan calon parti itu perlulah dihormati.

"Ugut-mengugut ini bukanlah satu perkara sihat," kata Khairy ketika ditemui Malaysiakini di lobi parlimen hari ini.

Beliau juga mendakwa tidak mengetahui kononnya ada kumpulan yang masih menyokong Palanivel sebagai calon.

"Saya tidak tahu. Saya tidak tahu. Yang saya boleh jawab,sebagai pengerusi pemuda BN, feedback yang saya terima, inginkan kepada calon muda.

"Kemahuan mereka adalah untuk calon MIC dan perdana menteri telah jawab akan diberikan calon MIC.

"Jadi saya tidak tahu apa masalahnya (lagi). Mungkin ini sebahagian atau keseluruhan daripada parti MIC saya tidak tahu tapi akhirnya kita kena lihat keputusan yang akan dibuat.

"Saya dah turun dah dapat banyak feedback dan nampak gayanya hendak kepada calon tempatan. Orang muda hendak kepada calon muda," katanya.

Sokong Palanivel, MIC tolak calon 'pintu belakang'

Ketua 18 bahagian MIC di Selangor hari ini tampil mendesak pucuk pimpinan BN supaya mengesahkan pemilihan Datuk G Palanivel sebagai calon pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor, sepertimana yang diperakukan oleh presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat MIC di ibunegara, wakil kumpulan tersebut, A Saktivel yang juga ketua MIC Puchong, berkata kesefakatan BN menyatakan bahawa pengerusi BN mesti menerima siapa sahaja calon yang dipilih oleh pemimpin parti komponennya.

MIC mempunyai 22 bahagian di Selangor. Palanivel, yang juga ketua MIC bahagian Hulu Selangor, tidak hadir.

Saktivel yang juga anggota jawatankuasa kerja pusat MIC berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana calon yang tidak dipilih oleh presiden parti, diletak bertanding.

Timbalan pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan calon BN esok.

Selain Palanivel, satu lagi nama yang disebut-sebut disokong oleh Umno untuk dicalonkan bertanding di Hulu Selangor ialah timbalan ketua Pemuda MIC, V Mugilan.

Difahamkan sewaktu mesyuarat jawatankuasa pengurusan BN Isnin lalu, para pemimpin MIC telah menyuara bantahan mereka dan bertegas supaya Palanivel yang juga timbalan presiden MIC, dicalonkan bertanding di Hulu Selangor.

Difahamkan juga, timbul kebimbangan sekirannya berlaku sebaliknya, ia akan menjadi ikutan di mana Umno sebagai parti tunggak BN, akan terus campurtangan dalam halehwal parti komponen yang lain.

Tolak calon pintu belakang

Saktivel berkata, sidang akhbar hari ini diadakan ekoran khabar angin yang semakin kuat bahawa Palanivel mungkin tidak dicalonkan.

Sehubungan itu, katanya, mereka tidak mahu seseorang itu dicalonkan bertanding di situ mengikut 'pintu belakang'.

Ini, katanya, adalah mengenai soal maruah parti.

Saktivel kemudiannya mengemukakan salinan surat beranak Mugilan dan mendakwa timbalan ketua pemuda MIC itu bukan 'anak tempatan' kerana dokumen itu menyatakan dia dilahirkan di Pantai Remis, Perak.

Sebaliknya, kata Saktivel, Palanivel sudah menetapkan di Hulu Selangor sejak 18 lalu.

CD rampas kuasa: Kekanda Sultan buat laporan polis

Kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Tengku Yahya Petra hari ini membuat laporan polis berhubung satu kandungan cekera padat (CD) yang didakwa mengandungi cubaan rampasan kuasa terhadap kedudukan dan jawatan Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Tengku Merjan membuat laporan itu di Ibupejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Kuala Lumpur kira-kira jam 2.30 petang.

Antara lain, Tengku Merjan dalam laporannya menyatakan beliau telah mendapat satu salinan CD perbincangan tertutup antara pengelola istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad dan peguam Datuk Sukri Mohamed yang menunjukkan terdapat satu perancangan untuk menghasut, mengugat serta mencampuri urusan istana Kelantan.

Tengku Merjan dalam kenyataannya berkata perjumpaan sulit dan tertutup antara Halim dan Sukri di sebuah hotel di Kota Bharu adalah berniat jahat dengan tujuan menghasut wartawan dan masyarakat untuk menghina sultan Kelantan.

Mereka katanya telah membocorkan maklumat sulit mengenai kesihatan sultan Kelantan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran empunya diri dengan tujuan menjatuhkan maruah dan kredebiliti sultan.

Tengku Merjan berkata mereka juga telah memberi fakta yang salah mengenai
kesihatan sultan Kelantan dan mencampuri urusan peribadi Tuanku dengan membuat kenyataan yang boleh mempengaruhi masyarakat berhubung penceraian sultan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang ACP Abdul Jalil Hassan ketika ditemui mengesahkan menerima laporan tersebut.

Katanya, beliau akan menghantar laporan itu kepada IPD Kota Baharu kerana kes itu berlaku di Kota Bharu.

- Bernama

Sibu: DAP wakili Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat akan diwakili oleh calon DAP pada pilihan raya kecil kawasan parlimen Sibu yang bakal diadakan, kata ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, satu mesyuarat khas akan diadakan dengan barisan pemimpin DAP kawasan tersebut pada 18 April untuk membincangkan rangka kerjasama dengan PAS dan PKR bagi memenangi kerusi berkenaan.

"Kita akan letakkan hanya satu calon daripada DAP untuk tunjukkan muafakat kita," katanya kepada pemberita di pejabat ketua pembangkang di parlimen hari ini.

Beliau juga menepis tanggapan bahawa berlakunya 'pertengkaran' di kalangan pemimpin DAP dan PKR di Sarawak.

"Tidak ada pertengkaran, mereka hanya bertukar pandangan secara secara kekeluargaan. Cuma bezanya bertukar pandangan itu secara terbuka di media. Kita sudah nasihatkan untuk bertukar pandangan dalam mesyuarat.

"Saya mahu yakinkan rakan-rakan kita, dalam kes ini DAP di Sarawak akan tegas, semua pemimpin yang mewakili PKR, saya percaya dalam semangat persahabatan kita juga, akan sokong calon DAP.

"Tidak ada kompromi dalam memastikan disiplin yang efektif untuk meamastikan kemenangan selesa untuk calon kita," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan penasihat DAP Lim Kit Siang.

Tambahnya lagi, Pakatan bagaimanapun belum menetapkan calon untuk kerusi berkenaan memandangkan tarikh pemilihan itu juga masih belum ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Mungkin (SPR) akan tunda (pilihan raya) sehingga dua bulan," katanya.

Kerusi parlimen Sibu kosong berikutan kematian Datuk Robert Lau yang juga adalah timbalan menteri pengangkutan pada 9 April lalu, akibat barah.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dijadualkan bermesyuarat pada Jumaat ini bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil dan juga penamaan calon.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Dia mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media.

Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...