Saturday, August 30, 2008

Dilema imam Ramlang: 'Saya tidak kempen, cuma jelaskan isu sumpah' - MSTAR ONLINE

30-08-2008 02:03:48 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi yang menjadi saksi angkat sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan yang didakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengejutkan banyak pihak ketika kempen pilihan raya Permatang Pauh minggu lalu menjelaskan dia masih lagi imam masjid berkenaan.

"Hingga kini, Insya-Allah saya masih lagi imam di Masjid Wilayah Persekutuan," katanya kepada mStar Online semalam.

Ramlang memberitahu, beliau tidak menerima sebarang surat tunjuk sebab atau arahan daripada pihak pentadbiran berhubung kedudukan jawatannya sekarang.

"Tidak, tidak terima apa-apa surat pun. Mengapa pula saya nak dikenakan tindakan sedangkan saya tidak melakukan kesalahan," katanya.

Beliau yang kini sedang bercuti selama seminggu bermula Isnin lalu akan kembali bertugas seperti biasa Selasa ini.

Rabu lalu Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, kemungkinan Ramlang boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana terlibat dengan kempen pilihan raya Permatang Pauh.

Bagaimanapun jelas beliau, kehadirannya di Permatang Pauh, yang dikatakan 'berkempen' untuk Anwar, adalah bertujuan menjelaskan kepada masyarakat mengenai perkara sebenar serta tidak mahu orang ramai salah anggap tentang kehadirannya semasa Mohd Saiful bersumpah.

"Saya bukan berkempen. Saya hanya mahu beri penjelasan sebenar. Satu patah perkataan pun saya tak sebut mengenai kempen.

"Saya tidak kata pun kepada mereka di sana supaya undi mana-mana calon," katanya yang enggan menyatakan di mana beliau berada sekarang.

Beliau yang dihubungi hari ini juga enggan menyatakan di mana beliau berada bimbang keselamatannya terancam.

Ramlang berkata, beliau hadir ke 'pentas' Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah atas kehendak sendiri tanpa didorong oleh sesiapa mahupun untuk kepentingan peribadi.

Anwar bertanding atas tiket PKR dan menang Selasa lalu.

Jelasnya lagi 'kebetulan' PKR menyediakan platform serta memberi ruang kepadanya untuk membuat penjelasan berhubung perkara ini.

Ditanya mengapa tidak menggunakan saluran lain untuk membuat penjelasan, beliau berkata pihak lain mungkin susah menerima penjelasannya itu.

"Saya tak pilih Barisan Nasional (BN) sebab saya tahu penjelasan saya tidak akan diterima.

"Cuba anda fikir, jika saya ada pilihan iaitu sama ada BN, kenyataan media atau PKR... mana satu saluran yang orang nak dengar dan percaya?"

Diminta penjelasan mengapa beliau tidak memilih PAS untuk tujuan itu kerana PAS sememangnya memperjuangkan Islam, beliau berketa: "Sebab PAS tak jemput saya dan tak beri peluang kepada saya,".

Ramlang juga menyatakan kehadirannya semasa Mohd Saiful bersumpah laknat pada 15 Ogos lalu adalah secara kebetulan kerana beliau bertugas pada hari tersebut.

"Kebetulan saya bertugas, jadi pihak atasan mengarahkan saya untuk mendengar sahaja, bukan untuk mengatur.

"Saya tegur sewaktu dia (Mohd Saiful) tersalah sebut perkataan Watallahi sebab terlalu jelas kesalahannya, yang lain-lain saya dengar sahaja," katanya.

Bagaimanapun beliau kesal kerana ramai pihak yang menuduhnya bersekongkol dengan pihak-pihak tertentu.

Diminta mengulas mengenai 'arahan pihak atasan' seperti yang dimaksudkannya sebelum ini, beliau berkata dalam hal ini ia perlu difikirkan secara logik akal.

"Ini kena fikir logik. Masjid Wilayah Persekutuan adalah di bawah kerajaan negeri, jika kita ingin melakukan sesuatu di dalam masjid, perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dari pihak atasan.

"Sepatutnya imam besarlah... tapi dia tidak ada kerana mengerjakan umrah. Jadi anda fikirlah masjid ini di bawah pentadbiran siapa? Siapa lagi yang boleh memberi kebenaran?" katanya yang enggan menyebut siapakah pihak yang dimaksudkannya itu.

Selangor Tetapkan Ketua Kampung Tidak Pegang Jawatan Dalam Parti Poltik - BERNAMA

30 Ogos, 2008 17:01 PM

SHAH ALAM, 30 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Selangor hari ini menetapkan semua ketua kampung tidak memegang sebarang jawatan dalam parti politik bagi memastikan perkhidmatan mereka tiada unsur pilih kasih atau mementingkan kelompok tertentu yang berkepentingan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan demikian ketika menyampaikan surat pelantikan 366 ketua kampung yang baru pada satu majlis di sini hari ini.

Ditanya sama ada terdapat ketua kampung yang dilantik semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dikekalkan dalam senarai baru ketua kampung itu, Abdul Khalid menjawab: "Kami ada memanggil ketua kampung yang dipilih oleh kerajaan negeri sebelum ini, tetapi kita mahu mereka tandatangani perjanjian untuk menentukan mereka tidak memberi perkhidmatan hanya kepada parti tertentu tetapi kepada semua orang.

"Mereka juga mesti memberi keutamaan kepada semua orang dalam masyarakat tetapi mereka enggan dan mereka tidak tandatangani perjanjian. Bila mereka tidak tandatangani, kami tidak pertimbangkan. Kesemua 368 mereka enggan tandatangan".

Dengan pelantikan hari ini, isu pelantikan ketua kampung di Selangor yang sebelum ini kerajaan Pakatan Rakyat dakwa mendapat campurtangan kerajaan persekutuan, akhirnya selesai berikutan seramai 366 ketua kampung daripada 368 kampung di negeri itu dilantik secara rasmi mengikut daerah.

Bagi daerah Sabak Bernam seramai 79 ketua kampung dilantik diikuti Kuala Selangor (55), Gombak (35), Kuala Langat (34), Klang (33), Hulu Selangor (33), Petaling (19) dan Sepang (19).

Bagaimanapun, dua kampung di Hulu Langat iaitu Kampung Seri Jambu dan Kampung Sungai Batu masih tidak mempunyai ketua kampung kerana pencalonan masih belum diberikan kepada kerajaan negeri untuk proses temuduga.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Abdul Khalid berkata semua ketua kampung yang dilantik akan melalui tempoh percubaan selama enam bulan untuk disemak dan dinilai oleh pejabat daerah sebelum dihantar untuk tapisan keselamatan kepada pihak polis.

Kerajaan negeri akan membayar elaun sebanyak RM450 sebulan kepada semua ketua kampung berkenaan.

Mengenai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang dilantik oleh kerajaan persekutuan, Abdul Khalid sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak mengiktiraf kewujudan JKKKP itu.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...