Monday, September 8, 2008

Saingan sengit jawatan Umno di Kedah - MALAYSIAKINI

Abdul Rahim Sabri | Sep 8, 08 6:38pm

Tinjaun Malaysiakini di lima bahagian Umno di Kedah - Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Jerai dan Sungai Petani - mendapati banyak jawatan utama dipertandingkan dan persaingannya dijangka sengit.

Walaupun tiada pertandingan bagi jawatan ketua dan timbalan bahagian, tetapi sembilan orang dicalonkan untuk jawatan naib ketua.

Kubang Pasu mempunyai 148 cawangan dan setakat ini, 143 cawangan sudah bermesyuarat. Mesyuarat dijangka berakhir 14 September ini.

johari baharumTimbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Johari Baharum mengekalkan jawatan ketua manakala Datuk Ahmad Zaini Japar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam), mengekalkan jawatan timbalan ketua tanpa bertanding.

Sembilan orang dicalonkan untuk jawatan naib naib ketua, tetapi hanya empat sahaja yang layak melepasi kelayakan untuk bertanding.

Penyandangnya, Aman Khan Md Hussien, mendapat 52 pencalonan manakala ketua penerangan bahagian, Zul Fitri Yaakub, yang juga setiausaha sulit Johari, mendapat 29 pencalonan.

Dua lagi ahli jawatankuasa bahagian turut layak bertanding. Mereka ialah Abd Manaf Kechik (29 pencalonan) dan Mohamad Abd Rahim (20).

Setiausaha Umno bahagian, Samsuddin Ahmad berkata perjalanan mesyuarat cawangan berjalan dengan lancar dan tiada sebarang masalah.

Persaingan sengit

Bagaimanapun, lain pula berlaku di Pokok Sena di mana ahli biasa Umno bahagian dicalonkan untuk bertanding jawatan timbalan dan naib ketua bahagian.

Menurut sumber, ketua bahagian, Datuk Ahmad Lebai Sudin menang tanpa bertanding dengan mendapat 146 pencalonan.

Katanya, ini ekoran keputusan pencabarnya yang juga naib ketua bahagian, Datuk Ariffin Man menarik diri untuk bertanding jawatan timbalan ketua bahagian.

Selain Ariffin, dua lagi calon akan bertanding jawatan timbalan. Mereka ialah setiausaha bahagian tersebut, Ramli Yunus dan ahli Umno biasa dari cawangan Kubang Buaya, Said Ali Said Rastam.

Menurut sumber, ketiga-tiga mereka telah melepasi kelayakan untuk bertanding iaitu 23 pencalonan.

Jawatan naib ketua pula bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Calon-calonnya terdiri daripada ahli biasa dari cawangan Taman Shahab, Ikmal Sobat, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Pinang yang juga ahli jawatankuasa bahagian, Che Omar Saad dan bendahari bahagian itu, Mohamad Othman.

Lepasi had kelayakan

Ketiga-tiga calon, kata sumber itu, layak untuk bertanding setelah melepasi had kelayakan sebanyak 15 pencalonan dari cawangan.

Menurutnya, kesemua 154 cawangan di bahagian tersebut telah mengadakan mesyuarat mereka yang berakhir Sabtu lalu.

othmanManakala di Pendang pula, bekas ketua bahagian selama 22 tahun, Datuk Othman Abdul akan mencabar penyandangnya Datuk Md Rozai Shafian.

Menurut sumber, terdapat 188 cawangan di Pendang dan hanya lapan cawangan sahaja yang belum bermesyuarat.

Sumber menganggarkan Rozai mendapat 70 pencalonan manakala Datuk Othman Abdul mendapat 110 pencalonan.

Pertandingan tiga penjuru

Jawatan timbalan ketua bahagian pula bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Mereka terdiri daripada penyandangnya, Shamsuddin Tahir yang mendapat kira-kira 90 pencalonan; setiausaha Umno bahagian, Basiron Said (55 pencalonan) dan bekas ketua Pemuda bahagian, Najmuddin Darus yang mendapat 35 pencalonan.

Menurut sumber, ketiga-tiga calon layak untuk bertanding jawatan tersebut setelah melepasi syarat kelayakan minimum 20 pencalonan.

Pertandingan naib ketua bahagian pula akan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara penyandangnya Abdullah Bahari dan Nor Azam Mohamad.

Menurut sumber itu lagi, terdapat "persaingan rapat" dan "sengit" dalam merebut jawatan ketua wanita bahagian tersebut.

Penyandangnya, Datuk Fatimah Ismail akan dicabar oleh ketua Puterinya, Suraya Yaacob yang juga Adun Sungai Tiang.

Sementara itu tiga orang dicalonkan untuk bertanding jawatan ketua pemuda bahagian. Mereka ialah pemangku ketuanya, Akrom Hamid; bekas setiausaha pemuda bahagian itu, Ramli Abu Bakar, yang merupakan calon 'pilihan', dan ketua cawangan Umno Bendang Raja, Wan Addas Wan Hamid.

Sumber itu berkata, Wan Addas dilihat sebagai calon membawa imej agama untuk memegang jawatan tersebut.

Bagi jawatan ketua puteri pula, Amal Izzah Shamsuddin berjaya mendapat 37 pencalonan berbanding pencabarnya, Sharbana Mat Noh yang mendapat 10 pencalonan.

Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, kedua-dua calon layak untuk bertading bagi jawatan tersebut.

Di Jerai pula penyandang ketua bahagian dan timbalannya tidak mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan bahagian Oktober ini.

badaruddin amiruldinDatuk Badaruddin Amiruldin (foto)dan Datuk Abd Razak Hashim memberi laluan kepada muka baru untuk memimpin Umno bahagian tersebut.

Ketua wanita

Ekoran itu, naib ketua bahagian, Dr Ku Rahman Ku Ismail akan bertanding jawatan ketua bahagian. Beliau akan berhadapan dengan ahli jawatankuasa bahagian, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Menurut setiausaha bahagian, Hassan Darus, kedua-dua calon tersebut mencapat jumlah hampir sama, masing-masing lebih 60 pencalonan.

Bahagian itu mempunyai 148 cawangan dan hanya tinggal empat bahagian lagi yang masih belum bermesyuarat.

Bagi jawatan timbalan ketua pula, Ku Abdul Razak Ku Ismail yang kini merupakan ketua penerangan, akan dicabar oleh bekas ahli jawatankuasa bahagian, Mohd Fadzillah Ali.

Ku Abdul Razak mendapat lebih 60 pencalonan, manakala Mohd Fadzillah mendapat lebih 43 pencalonan.

Menurut Hassan lagi, dua lagi ahli jawatankuasa bahagian turut dicalonkan - Bahador Omar dan Mat Zin Saidin - tetapi mereka tidak mendapat pencalonan yang cukup (23) untuk layak bertanding jawatan tersebut.

Bagi jawatan ketua wanita pula, penyandangnya, Khalijah Arshad akan dicabar oleh ahli jawatankuasa pergerakan itu, Rohani Ismail.

Menurut Hassan, Khalijah mendapat lebih 90 pencalonan manakala Rohani mendapat 30 pencalonan.

Bagi jawatan ketua Pemuda, penyandangnya, Basori Hassan tidak menghadapi jalan sukar apabila menang tanpa bertanding selepas pencabarnya, Mohamed Nor Abu Hassan menarik diri.

Menurut Hassan, begitu juga bagi jawatan ketua puteri di mana Hasfizatulnisah Md Isa turut mengekalkan jawatannya.

Bahagian Sungai Petani


Di Sungai Petani pula, jawatan ketua bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru antara ketua Umno Cawangan Pekan Tikam Batu, Datuk Azizan Abdul Rahman dengan Ali Yahya, iaitu bekas setiausaha politik bekas menteri besar Kedah, Datuk Mahadzir Khalid

mahadzir mohd khirJawatan itu kosong ekoran keputusan Datuk Mahadzir Mohd Khir (foto) yang tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Menurut ahli jawatankuasa bahagian tersebut, Jamaluddin Mahmood, Azizan mendapat lebih 48 pencalonan, manakala Ali mendapat lebih 53 pencalonan.

Bagaimanapun, katanya, seorang lagi calon iaitu ketua cawangan Umno Jalan Petri, Mejar (B) Rahim Saad, tidak mendapat cukup pencalonan.

Jawatan timbalan ketua bahagian pula akan menyaksi pertandingan dua penjuru antara naib ketuanya, Sobri Mahmood yang mendapat lebih 60 pencalonan dengan, pencabarnya yang dikenali 'Datuk Fauzi' yang mendapat lebih 50 pencalonan.

Jawatan naib ketua bahagian pula bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru. Kesemua calonnya adalah terdiri daripada ahli jawatankuasa bahagaian.

Mereka ialah Idrus Ismail, Datuk Firdaus Mohd Zakaria, Yusof Lazim dan dan Jaafar Mat Ali.

Menurut Jamaluddin, hanya enam daripada 130 cawangan di bahagian itu yang belum tersebut bermesyuarat.

Chua Jui Meng tanding presiden MCA - MALAYSIAKINI

Sep 8, 08 4:16pm

Bekas naib presiden MCA Datuk Chua Jui Meng bersedia mencabar Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat, yang juga Naib Presiden MCA, dalam perebutan jawatan Presiden MCA pada pemilihan parti, dijadual pada 18 Oktober depan.

chua jui meng 010605Bekas menteri kesihatan itu dijangka mengumumkan keputusan untuk bertanding dalam masa dua tiga hari ini.

Pertandingan merebut jawatan presiden ini adalah kali kedua bagi Chua selepas tewas kepada Datuk Seri Ong Ka Ting dalam cubaan pertama dalam pemilihan parti 2005.

"Ya, beliau telah menetapkan fikiran mengenai jawatan yang ingin ditandinginya. Beliau akan mengumumkanya sebelum konvensyen Kedah (yang dijadualkan Jumaat ini di Alor Star)," kata seorang pembantunya kepada Bernama hari ini.

Pada 15 April lalu, Chua yang tidak menolak kemungkinan bertanding jawatan utama dalam pemilihan MCA tahun ini bagaimanapun mengakui sukar baginya untuk kembali aktif ke dalam dunia politik.

Ahli politik berusia 64 tahun itu berjaya mengekalkan jawatan pengerusi Bahagian Bakri dalam pemilihan bahagian pada Julai.

Chua, yang terlibat dalam dunia politik selama 40 tahun, kemungkinannya akan menawarkan diri sebagai "calon perpaduan" bagi menyatupadukan ahli parti, yang kini dikatakan terbahagi kepada dua kem -- satu yang memihak kepada Presiden sekarang, Ong, dan satu lagi kem yang menyokong bekas presiden Tun Dr Ling Liong Sik.

Dalam pemilihan parti 2005, Chua kalah kepada Ong dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 696 undi. Chua mendapat 819 undi manakala Ong, yang bertanding pertama kali memperoleh 1,515 undi.

Bagaimanapun, dalam pemilihan kali ini, Ong tidak akan mempertahankan jawatannya atas alasan bertangunggjawab sepenuhnya dengan prestasi buruk parti itu pada pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Sehingga kini, hanya Tee Keat mengumumkan keputusan untuk bertanding jawatan nombor satu parti itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden MCA, selepas mesyuarat Majlis Presiden MCA esok.

49 anggota BN-BBC ke Taiwan, 'cuti' dipendekkan hanya 8 hari - MSTAR ONLINE

08-09-2008 04:55:29 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK dan NURUL AIN MOHD HUSSAIN

PETALING JAYA: Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN-BBC) memulakan lawatan sambil belajar ke Taiwan petang ini - program 'bercuti' yang mencuri perhatian banyak pihak sejak pertengahan minggu lalu, - tetapi hanya melibatkan 49 anggotanya.

Mereka terdiri daripada Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang masing-masing sepuluh orang dan bakinya dari Semenanjung.

Daripada jumlah itu, 41 wakil rakyat berlepas hari ini manakala yang lain esok termasuk Pengerusi BN-BBC, Datuk Seri Tiong King Sing.

Rombongan hari ini menaiki pesawat China Airlines and Cathy Pacific masing-masing pukul 2.20 petang dan 1.45 petang.

Antara Ahli Parlimen yang menyertai program itu ialah Datuk Ismail Kasim (Arau), Datuk Paduka Abu Bakar Taib (Langkawi), Datuk Mohd Jidin Shafee (Setiu), Mohd Nor Othman (Hulu Terengganu), Matulidi Jusoh (Dungun), Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Lee Chee Leong (Kampar), Mohamad Shahrum Osman (Lipis), Ismail Haji Mohamed Said (Kuala Krau), Datuk Md Sirat Abu (Bukit Katil), Datuk Baharum Mohamad (Sekijang), Chua Tee Yong (Labis), Dr Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat), Liang Teck Meng (Simpang Renggam), Datuk Halimah Mohd Sadique (Tenggara), Tan Ah Eng (Gelang Patah), Datuk Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Datuk Wira Ahmad Hamzah (Jasin), Datuk Ismail Haji Abdul Muttalib (Maran) dan Abdul Rahman Bakri (Sabak Bernam).

Manakala dari Sabah dan Sarawak pula ialah Datuk Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Dr Makin @ Makcus Mojigoh (Putatan), Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin (Papar), Datuk Ir. Edmund Chong Ket Wah (Batu Sapi), Datuk Chua Soon Bui (Tawau), Datuk Juslie Ajirol (Libaran), Salleh Kalbi (Silam), Datuk Sapawi Haji Amat Wasali (Sipitang), Raime Unggi (Tenom), Nancy Haji Shukri (Batang Sadong), Masir Anak Kujat (Sri Aman), William @ Nyallau Anak Badak (Lubok Antu), Ding Kuong Hiing (Sarikei), Datuk Richard Riot Anak Jaem (Serian), Ago Anak Dagang (Kanowit), Datuk Seri Tiong King Sing (Bintulu), Hasbi Habibollah (Limbang), Henry Sum Agong (Lawas) dan Norah Abdul Rahman (Tanjong Manis).

Ia dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi BN-BBC yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang ditemui di KLIA, Sepang pagi tadi.

Sebelum ini, BN-BBC yang mempunyai 78 anggota telah merancang untuk mengadakan lawatan selama 12 hari bermula semalam.

Malah, sebelum ini ini program tersebut banyak dikaitkan dengan 'usaha menghalang' sasaran pembangkang membentuk kerajaan persekutuan menjelang 16 September ini.

"Mereka yang tidak pergi ada komitmen lain. Lawatan ini tiada kaitan dengan sasaran Pakatan 16 September ataupun ura-ura melompat parti.

"Hanya lawatan sambil belajar bagi mendalami bidang pertanian. Masanya adalah secara kebetulan, lawatan ini sudah dirancang tiga bulan yang lalu," kata beliau kepada wartawan di KLIA.

Semalam, Tiong berkata, pihaknya memutuskan untuk memilih Taiwan, bukannya China disebabkan kesuntukan masa.

“Memang pada asalnya kami hendak melawat China tapi kerana masa tidak cukup untuk menguruskan visa, kami mengambil keputusan untuk ke Taiwan,” kata beliau kepada mStar Online.

Jelasnya, disebabkan umat Islam sedang menjalani ibadah puasa dan akan menyambut Aidilfitri awal bulan depan, maka tempoh lawatan itu dipendekkan menjadi lapan hari.

Bagaimanapun jelas Tiong, mereka akan tetap ke China dalam lawatan akan datang, kemungkinan selepas berakhirnya sesi sidang Dewan Rakyat semasa.

Hanya dua ahli Parlimen termasuk Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin mengadakan lawatan kerja ke beberapa negara Eropah mulai semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri telah menafikan lawatan sambil belajar BN-BBC itu ada kaitan dengan strategi BN menghalang usaha Pakatan Rakyat yang mahu menubuhkan kerajaan persekutuan.

Sementara itu semalam Bung Mokhtar menjelaskan kepada mStar Online bahawa: "kita akan ke sana (Taiwan) tengah hari esok, selama lapan hari."

Terdapat segelintir ahli Parlimen pula tidak dapat menyertai lawatan itu kerana menunaikan umrah dan akan mengikut lawatan kerja menteri ke luar negara, jelas beliau.

Bung Moktar berkata, beliau dan Tiong sendiri akan turut serta dalam lawatan itu yang bertujuan untuk meneroka teknologi pertanian dan perindustrian.

Tambah beliau, semua anggota yang menyertai lawatan tersebut akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pukul 11 pagi ini.

Program kelab itu akan diuruskan oleh Pejabat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei, kata beliau.

Ditanya sama ada lawatan itu ditaja oleh mana-mana pihak, Bung Moktar berkata, semua perbelanjaan ditanggung sendiri oleh mereka.

Minggu lalu, timbul desas-desus ahli-ahli Parlimen BN akan mula 'bercuti' di luar negara mulai Isnin ini sehingga minggu ketiga September - tempoh yang dianggap sebagai kritikal menjelang pembentukan kerajaan baru.

Bagaimanapun Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN-BBC menafikan cuti itu - yang dikenali sebgaai lawatan sambil belajar ke luar negara - ada kaitan dengan sasaran Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan pada 16 September ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya komen mengenai kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang beliau akan menemui ahli BN-BBC selepas mereka pulang bercuti daripada lawatan sambil belajar itu, Bung Mokhtar berkata:

“Benda ini hanya omong kosong. Anwar suka buat gempar saja. Selama ini pun kita tidak ke mana-mana.”

Jelasnya, dalam sejarah Malaysia belum ada kerajaan yang dibentuk dengan membeli ahli Parlimen dari parti yang memerintah.

“Dalam perlembagaan sudah termaktub perkara bentuk kerajaan ini kena gunakan cara yang betul bukan suka-suka,” katanya.

Penyokong Anwar Diminta Tidak Timbulkan Kekecohan Di Mahkamah - BERNAMA

08 September, 2008 18:58 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Polis menasihatkan orang ramai terutama penyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak menimbulkan kekecohan di Mahkamah Jalan Duta, Rabu ini berikutan sebutan semula kesnya yang dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata polis tetap akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan meningkatkan kawalan keselamatan dan trafik di kawasan sekitar Mahkamah Jalan Duta.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas bilangan anggota keselamatan yang akan berkawal di mahkamah itu nanti.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak polis," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 7 Ogos lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap tuduhan meliwat Mohamad Saiful Bukhari.

Anwar didakwa melakukan perbuatan itu pada 26 Jun lepas di sebuah unit kondominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara. Beliau didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Hakim S.M. Komathi Suppiah membenarkan Anwar dibebaskan dengan jaminan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin dan menetapkan kes itu didengar semula Rabu ini.

-- BERNAMA

Mahkamah Tinggi KK Isytihar Kemenangan Kurup Di Pensiangan Batal Dan Tidak Sah - BERNAMA

08 September, 2008 17:14 PM

KOTA KINABALU, 8 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup di kawasan Pensiangan pada pilihan raya umum 8 Mac lepas sebagai batal dan tidak sah.

Semasa menyampaikan penghakiman penting itu, Hakim David Wong Dak Wah memutuskan penolakan terhadap kertas pencalonan pempetisyen dari Parti Keadilan Rakyat Danny Anthony Andipai adalah salah dan melanggar hak perlembagaan petisyen untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu dan undang-undang bertulis berkaitan pengendalian pilihan raya itu.

Dalam penghakiman 36 muka surat, Wong berkata keputusan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Sabah menerima kertas pencalonan Andipai adalah muktamad dan tidak boleh ditolak oleh Pegawai Pilihan Raya, Bubudan OT Majalu, atas alasan tidak terdapat sebarang bantahan semasa tempoh bantahan.

Timbalan Pengarah itu telah melaksanakan bidang kuasanya seperti diperuntukkan undang-undang dalam membuat keputusan itu, kata Hakim yang turut memutuskan keputusan Bubudan untuk membenarkan bantahan itu merupakan keputusan yang salah.

"Saya mendapati aspek tertentu dalam perbuatan responden kedua (Bubudan) merisaukan dan apabila dilihat secara keseluruhannya, saya hanya dapat merumuskan bahawa keputusan itu pastinya bukan satu keputusan yang akan dibuat oleh tribunal yang munasabah," katanya.

Beliau membuat pemerhatian itu semasa membenarkan petisyen Andipai untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum bagi kerusi Pensiangan yang dimenangi tanpa bertanding oleh Kurup pada hari penamaan calon pada 24 Feb.

Andipai menamakan Kurup dan Bubudan sebagai responden. Penghakiman itu sepatutnya dibuat pada 17 Sept tetapi dipercepatkan ke hari ini.

Menggariskan apa yang berlaku pada hari penamaan calon, Wong berkata Andipai tiba di pusat penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Nabawan pada kira-kira 9.35 pagi untuk memfailkan kertas pencalonannya bagi kerusi itu.

Selepas membayar deposit sebanyak RM15,000, beliau menunggu gilirannya tetapi apabila beliau cuba menyerahkan kertas pencalonannya, Bubudan enggan menerimanya atas alasan beliau lambat menyerahkannya.

Andipai berhujah bahawa ia bukan kesalahannya tetapi Bubudan dan kakitangannya dan selepas gagal menyakinkan Bubudan, beliau berkata akan membuat laporan polis.

Bagaimanapun, semasa perbincangan sedang berlangsung, seorang daripada penolong pegawai pilihan raya, Osman Aganduk, mendapatkan nasihat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri yang memberikan arahan supaya menerima kertas pencalonan itu.

Wong berkata arahan itu yang diberikan oleh timbalan pengarah SPR Sabah, disampaikan kepada Bubudan yang kemudian menerima kertas pencalonan Andipai dengan masa diterima disahkan pada 10.25 pagi.

Bantahan ditutup pada 11 pagi dan pada kira-kira 1.25 tengah hari, Bubudan mengumumkan Kurup menang tanpa bertanding dan mengisytiharkan pemilihan beliau atas alasan kertas pencalonan Andipai dan seorang calon Bebas, Saineh Usau, diserahkan selepas pukul 10 pagi.

Hakim itu berkata beliau mendapati sukar dipercayai yang Bubudan tidak tahu seperti didakwanya, bahawa kupon yang mempunyai nombor diberikan kepada para calon pada hari berkenaan.

"Jika apa yang dikatakannya itu benar, ini hanya mencerminkan kelemahan dirinya selaku peagwai pilihan raya yang bertanggungjawab penuh di pusat penamaan calon," katanya.

Peguam yang mewakili Andipai, Ansari Abdullah, yang juga Ketua PKR Sabah berkata beliau gembira kerana "keadilan terlaksana".

"Ia bukan cara yang bermoral dalam mengendalikan pilihan raya. Calon kami datang pada 9.35 pagi dan kertasnya ditolak disebalik nasihat Suruhanjaya Pilihan Raya."

Ditanya sama ada Andipai akan diberi keutamaan untuk bertanding di kawasan itu sekiranya diadakan pilihan raya kecil, Ansari berkata pucuk pimpinan parti akan membuat keputusan muktamad mengenai perkara itu.

Kurup, yang juga Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah dan presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen beliau.

Bagaimanapun peguam yang mewakilinya Alex Decena, berkata Kurup akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

-- BERNAMA

49 Anggota Parlimen BN Berlepas Ke Taiwan Untuk Lawatan Sambil Belajar - BERNAMA

08 September, 2008 15:14 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Seramai 49 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) berlepas ke Taiwan hari ini bagi melakukan lawatan sambil belajar mengenai teknologi pertanian yang diamalkan di negara kepulauan itu.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Bung Mokhtar Radin berkata selain beliau sendiri, anggota rombongan terdiri daripada Pengerusi BNBBC Datuk Seri Tiong King Sing, 10 anggota Parlimen Sabah, 12 anggota Parlimen Sarawak dan selebihnya dari Semenanjung.

"Kami dijangka pulang ke Malaysia pada 17 atau 18 Sept ini," katanya ketika dihubungi Bernama sejurus sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang di sini.

Ditanya mengapa Taiwan menjadi destinasi pilihan, Bung Mokhtar berkata, mereka berminat untuk menerokai teknologi baru bidang pertanian yang diamalkan di negara itu.

"Selain itu, ia dipilih kerana berdekatan dengan Malaysia," katanya sambil menambah bahawa segala perbelanjaan ditanggung sendiri oleh anggota Parlimen yang terlibat.

Bung Mokhtar berkata, mereka berhasrat untuk mengadaptasikan segala pengetahuan yang diperoleh di Taiwan untuk membangunkan industri pertanian di kawasan Parlimen masing-masing.

Katanya pihak berkuasa negara itu juga telah menyatakan persetujuan untuk membantu urusan lawatan ke tapak-tapak industri pertanian moden di sana.

Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Taiwan.

Bung Mokhtar juga menafikan tanggapan sesetengah pihak kononnya lawatan itu ada kaitan dengan usaha menghalang Pakatan Rakyat daripada menubuhkan kerajaan persekutuan pada 16 Sept ini

Malahan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Jumaat lepas menjelaskan bahawa program lawatan itu tidak perlu dikaitkan dengan penubuhan kerajaan oleh Pakatan Rakyat.

"Kalau mereka nak pergi, biarlah mereka pergi, apa nak hubung kaitkan dengan September 16. Mereka bukannya orang yang nak melompat daripada BN," kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...