Sunday, March 20, 2011

Akhirnya Taib lakar perubahan kepimpinan di S'wak

Buat pertama kalinya selepas sekian lama, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud akhirnya melakarkan jadual dan perancangan awal sebelum beliau menyerahkan pentadbiran kepada kepimpinan baru.

Tampaknya beliau mungkin akan berbuat demikian dalam tempoh dua setengah tahun dari sekarang selepas mengumumkan semalam yang beliau akan mengetuai BN Sarawak dalam pilihan raya negeri ke-10 dan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Balingian buat kali
terakhir.

Taib pertama kali melahirkan hasratnya untuk meletakkan jawatan pada 2006 tetapi ia tidak direalisasikan dan beliau terpaksa menangguhkannya.

Beliau tidak menjelaskan secara panjang lebar akan sebabnya ketika itu tetapi pemerhati politik mendapati Taib secara tidak langsung memberikan sedikit gambaran mengenai perkara itu dalam ucapannya pada program "Senada Sejiwa" di Serian semalam.

Taib berkata beliau akan terus menerajui negeri bagi memastikan "pemimpin baru" boleh dikenal pasti dan beliau akan berundur apabila beliau berpuas hati yang pemimpin baru boleh bekerjasama dengan baik.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan mana-mana penganti yang berpotensi.

"Saya fikr beliau mahu memastikan penggantinya dan orang di sekeliling pemimpin terpilih itu tidak bercakaran antara satu sama lain; bahawa mereka boleh bekerja sebagai satu pasukan dan menjaga kedudukan BN di negeri ini," menurut seorang pemerhati politik.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian percaya Taib akan melepaskan jawatannya dalam satu atau dua tahun akan datang.

"Jika beliau berundur sekarang, ia mungkin mencetuskan perebutan kuasa dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tunggak gabungan parti pemerintah negeri.

"Beliau perlu membimbing seseorang untuk mengambil alih. Beliau mungkin telahpun membimbing orang berkenaan tetapi atas sebab yang hanya diketahui oleh beliau sendir, beliau telah menangguhkan (peralihan)," katanya.

Daripada perspektif strategi politik, Dr Sivamurugan berkata adalah tidak bijak untuk Taib berundur sebelum pilihan raya atau sejurus selepasnya kerana persoalan siapa bakal menjadi ketua menteri akan menjadi tumpuan berbanding usaha memenangi dan mengekalkan kuasa pada pilihan raya.

"Isu ini lebih rumit. Ia bukan mengenai siapa yang patut jadi ketua menteri. Di Sarawak, ia lebih kepada siapa yang akan menggantikan beliau sebagai
presiden PBB dan sebab itu kenapa ia tidak boleh dilakukan dalam waktu singkat," katanya.

Bukan sesuatu yang mengejutkan sekiranya proses peralihan itu akan mengambil masa lebih lama, kemungkinan sehingga pertengahan penggal akan datang bagi membolehkan pengganti berpotensi dipilih daripada kalangan pemimpin kanan parti.

Taib, 75, yang berkata beliau serius mencari pemimpin untuk menerajui parti, akan membubarkan Dewan Undangan Negeri pada Isnin, lima hari sebelum genap 30 tahun beliau menjadi ketua menteri.

Taib telah menjadi presiden PBB dan ketua menteri sejak 26 Mac, 1981.

Sebelum ini, Taib menamakan tiga pengganti berpotensi - Tan Sri Adenan Satem, Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Haji Openg dan Datuk Seri Effendi Norwawi. 

Namun keadaan berubah mengikut peredaran masa.

Tumpuan sekarang ialah kepada barisan pemimpin kanan masa kini - Timbalan Presiden I Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Presiden II Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Naib Presiden Kanan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. 

Orang dalam parti menyatakan oleh kerana Taib sering menyatakan yang beliau dan Jabu sudah "tua", fokus kini terarah kepada Abang Johari dan Awang Tengah. 

Mereka berkata pada mesyuarat parti enam bulan lepas, Taib melahirkan harapannya untuk melihat Abang Johari dan Awang Tengah saling bekerjasama.

"Saya fikir Taib perlukan lebih banyak masa kerana beliau mahu kedua-dua pemimpin ini membuktikan yang mereka boleh bekerja sebagai satu pasukan sebelum seorang daripada mereka dipilih sebagai pengganti, memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar," menurut seorang lagi orang dalam parti.

Dalam sejarah PBB, tiada siapa pernah mencabar presiden parti.

Pada 1998, Adenan dan Abang Johari saling bersaing bagi merebut jawatan timbalan presiden, yang diperuntukkan untuk kaumMelayu/Melanau.

Abang Johari menang berikutan mendapat sokongan padu daripada anggota Dayak disebalik hakikat Adenan mendapat sokongan Taib pada waktu itu.

Adenan, yang tewas, kemudiannya dilantik oleh Taib sebagai naib presiden kanan parti.

Tujuh tahun kemudian, Adenan sekali lagi mencabar Abang Johari, tetapi persidangan perwakilan ditangguhkan apabila dilaporkan ada penyokong Adenan didakwa dikesan mempunyai dua cawangan di kira-kira 40 kawasan.

Orang dalam parti itu berkata Taib, sebagai ahli politik veteran, diketahui tidak suka kepada sesiapa yang cuba mendesak beliau meletakkan jawatan bagi membolehkan peralihan kepimpinan negeri.

Beliau akhirnya pasti akan berundur tetapi beliau mahu melakukannya mengikut rentaknya sendiri, katanya. "Anda tidak boleh paksa beliau kerana beliau tahu bagaimana untuk membalas balik, sepertimana yang beliau telah lakukan di masa lalu. Beberapa pemimpin politik yang bercita-cita tinggi cuba memaksanya berundur tetapi akhirnya mereka sendiri yang dipinggirkan dalam politik."


Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengadakan pilihan raya negeri itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran dewan.

Sejak pembentukan Malaysia pada 1963, Sarawak telah mengadakan sembilan pilihan raya negeri -- pada 1969-1970, 1974, 1979, 1983, 1987, 1991, 1996, 2001 dan 2006.

Pilihan raya pertama Sarawak ialah selepas pembentukan Malaysia, yang diadakan secara berperingkat dari 10 Mei 1969 hingga 7 Jun 1969 kerana sistem pengangkutan dan komunikasi pada masa itu belum sempurna.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan serentak dengan Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri yang lain kecuali Kelantan, pada 20 Mac 1969 dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 April, 1969.

Bagaimanapun, akibat rusuhan kaum yang berlaku di Semenanjung Malaysia pada 13 Mei tahun itu yang diikuti dengan pengisytiharan darurat, pilihan raya itu ditangguhkan sehingga 1970.

Apabila penangguhan itu dikuatkuasakan, pilihan raya di sembilan daripada 48 kawasan di Sarawak telah bermula tetapi semuanya masih belum selesai.

Pilihan raya negeri dan Parlimen disambung semula pada 6 Jun, 1970 dan selesai pada 4 Julai, 1970.

Sepanjang pilihan raya itu, satu tragedi berlaku di Sarikei pada 29 Jun, 1970 apabila pengganas komunis membunuh tiga pegawai pengurus pilihan raya yang dalam perjalanan pulang selepas pengundian selesai di sebuah pusat pengundian.

Di luar sebuah lagi pusat pengundian di Bahagian yang sama, sebutir bom ranjau meletup tetapi tiada yang cedera.

Disebalik semua kejadian itu, 80 peratus daripada 332,373 pemilih berdaftar di Sarawak telah keluar mengundi, jumlah yang tinggi berbanding dengan peratusan pengundian di negeri-negeri lain.

Sejumlah 221 calon bertanding di 48 kerusi negeri di Sarawak, dengan Perikatan Sarawak yang dianggotai Parti Bumiputera Sarawak (BUMIPUTERA) dan Persatuan Cina Sarawak (SCA) bertanding di 33 kerusi.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bertanding di 40 kerusi, Parti Pesaka Sarawak (Pesaka) 35, dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) 47, dengan 66 calon Bebas turut bersaing.

SUPP kemudiannya menyertai Perikatan Sarawak, membolehkan gabungan itu menguasai 27 daripada 48 kerusi dalam Majlis Negeri dan membentuk kerajaan.

Pilihan raya negeri yang kedua diadakan dari 24 April hingga 14 September 1974, serentak dengan pilihan raya Parlimen selepas Dewan Undangan Negeri dan semua Dewan Undangan Negeri yang lain dan Parlimen dibubarkan pada 31 Julai, 1974.

Bagaimanapun, pilihan raya negeri yang ketiga hanya diadakan pada 1979, setahun selepas pilihan raya umum 1978, buat pertama kalinya 
pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum diadakan berasingan.

Pilihan raya negeri yang keempat diadakan 18 bulan sebelum berakhirnya penggal Ketua Menteri yang baru Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang memegang jawatan itu pada 26 Mac 1981. Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 18 November 1983, penamaan calon diadakan pada 8 Dis dan pengundian pada 28 dan 29 Disember.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan pada 13 Mac 1987 bagi diadakan pilihan raya negeri yang kelima selepas sekumpulan wakil rakyat yang diketuai bapa saudara Taib dan ketua menteri terdahulu Tun Rahman Yaakub memberontak terhadap Ketua Menteri yang peristiwa itu dikenali sebagai "Ming Court Affair".

Mereka termasuk beberapa anggota PBB yang kemudiannya membentuk kumpulan "Maju Group" manakala Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) 

mengumumkan keluar daripada BN negeri tetapi kekal sebagai komponen BN di peringkat pusat.

Dalam pilihan raya yang diadakan pada 15 dan 16 April, Taib mengetuai BN negeri dengan memenangi 28 daripada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri. Kemudiannya lapan wakil rakyat PBDS menyertai BN, memberikannya majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri.

Pilihan raya negeri yang keenam pada 1991 juga berlangsung selama dua hari, pada 28 dan 29 September, manakala pilihan raya negeri yang ketujuh diadakan pada 7 dan 8 September 1996.

Bagaimanapun pilihan raya negeri yang kelapan berlangsung dalam satu hari sahaja pada 27 September 2001 berikutan pembangunan pesat infrastruktur dan komunikasi. Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 3 September manakala penamaan calon diadakan pada 18 September 2001.

Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei 2006 selepas dewan dibubarkan pada 24 April dan penamaan calon pada 9 Mei.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dianggap sebagai badan pengubal undang-undang tertua di Malaysia kerana ia diwujudkan selepas mesyuarat julung kali yang pertama di Bintulu pada 8 September 1867.

Majlis Am Sarawak yang pertama dengan 21 anggota diketuai Raja Charles Brooke yang dianggotai enam pegawainya dan 16 pemimpin 
masyarakat tempatan. Pada 1903, Majlis Aam dinamakan sebagai Majlis Negeri. 

Pada 1941, anak lelaki Brooke, Vyner, mewujudkan perlembagaan bertulis yang dikenali sebagai "Constitution Order in Council" sempena 
sambutan ulang tahun ke-100 pemerintahan Brooke di Sarawak.

Berikutan itu, keanggotaan Majlis Negri ditambah kepada 24. Bagaimanapun, Ketua Setiausaha telah dilantik untuk mempengerusikan Majlis Negri dan bukannya Vyner Brookes (dalam peranannya sebagai Raja), pada 1963, keanggotaan Majlis Negri ditingkatkan kepada 42. Sejak itu, keanggotaannya telah meningkat secara berperingkat kepada 48 pada 1968, 56 pada 1989, 62 pada 1996 dan 71 pada 2006. Pada 1976, Majlis Negri diberi nama baru iaitu Dewan Undangan Negeri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...