Sunday, August 24, 2008

'Penduduk tidak percaya Anwar liwat' - MALAYSIAKINI

Muda Mohd Noor | Aug 24, 08 5:37pm

Beberapa penduduk kawasan Permatang Pauh percaya pertuduhan liwat ditimbulkan dalam kempen semata-mata untuk memastikan calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kalah dalam pilihanraya kecil 26 Ogos.

Pada masa sama mereka juga berpendapat, penurunan harga minyak mulai semalam mempunyai tujuan politik iaitu untuk mendapatkan sokongan pengundi kerusi parlimen itu yang dicabar calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dan seorang lagi calon Hanafi Hamat.

Penduduk Kampung Kepala Bukit di Permatang Pasir, Ishak Yaakub berkata, orang kampung memang tidak percaya dakwaan Anwar liwat kerana sudah tahu budi perangainya.

"Buatlah tuduhan sebanyak manapun kami tidak percaya, orang Permatang Pauh sudah matang. Semakin banyak isu ini diperkata, rakyat semakin meluat.

"Isu ini tidak akan mempengaruhi pengundi di sini. Anwar adalah pemimpin rakyat dan kerana itu kami semua menyokong beliau," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara penduduk Kampung Pelek, Sheikh Hamzah Sheikh Radzi berkata, orang tidak lagi percaya kepada BN menyebabkan apa yang mereka buat orang tidak suka.

Beliau juga berkata, tindakan menurunkan harga minyak sekarang adalah untuk kepentingan politik kerajaan.

"Ini adalah gula-gula politik sahaja untuk mendapat sokongan pengundi Permatang Pauh," katanya.

Saad Ismail dari Kampung Bukit Indera Muda berkata, tuduhan liwat sangat jijik dan sebahagian besar orang Permatang Pauh tidak percaya.

"Mungkin sebahagian sahaja yang percaya tetapi orang Permatang Pauh boleh terima Anwar menjadi perdana menteri," katanya.

Beliau berkata, orang Permatang Pauh kecewa dengan kerajaan BN Pulau Pinang sebelum ini kerana menyebabkan ramai terpaksa berpindah ke Kedah.

Ahmad Jaafar dari kampung yang sama, pula berkata, tidak mungkin Anwar melakukannya dan pengundi Permatang Pauh tidak percaya terhadap tuduhan itu.

Beliau juga setuju bahawa keputusan kerajaan menurunkan harga minyak adalah kerana kempen pilihanraya Permatang Pauh.
inyak

Isu liwat dan serangan peribadi ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tidak menjejaskan sokongan pengundi Permatang Pauh, Selasa ini.

AMK arah Khairy tarik balik kenyataan - MALAYSIAKINI

Aug 24, 08 8:13pm

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar tindakan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menuduh PKR menerima dana dari Amerika Syarikat sebagaimana dilaporkan media hari ini.

khairy jamaluddinSehubungan itu, AMK memberi amaran kepada Khairy supaya menarik balik kenyataan tidak berasas tersebut dalam tempoh 24 jam sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil terhadapnya.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tindakan Khairy itu jelas berniat jahat, bertujuan untuk melengkapkan kempen pembunuhan karakter Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya Kecil Permatang Pauh.

"Sewajarnya bagi Khairy dan Umno lebih menumpukan penghujahan yang berkaitan dasar dan polisi demi kebaikan rakyat, bukan bersikap seperti anjing menyalak bukit, menyerang peribadi calon Pakatan Rakyat sepanjang kempen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

shamsul iskandarShamsul berkata, disebabkan sindrom 'Anwarphobia' yang terlampau, Umno-BN terus memanipulasi media untuk menyerang peribadi Anwar,dan melancarkan propaganda picisan bertujuan untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

"Sokongan rakyat yang menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada Keadilan dan Pakatan Rakyat adalah sesuatu yang normal, kerana perjuangan Keadilan dan Pakatan Rakyat sendiri berdiri di atas naluri rakyat yang mahukan perubahan," tambahnya.

Kehangatan kempen Pakatan Rakyat, katanya, jelas menggambarkan keutuhan perpaduan di kalangan komponen Pakatan Rakyat yang sangat baik.

Shamsul berkata, Khairy juga perlu belajar untuk tidak bersikap seperti 'kera kena belacan', supaya berhujah dengan dalil dan fakta yang sahih, bukan bersikap bacul menyerang peribadi tanpa sebarang kesahihan yang munasabah.

Imam saksi sumpah Saiful kempen untuk Anwar - MSTAR ONLINE

24-08-2008 09:56:50 PM
Oleh G.MANIMARAN


MOHD. Saiful Bukhari Azlan bersalam dengan Ustaz Ramlang Porigi selepas menyempurnakan upacara bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan pada Jumaat lalu.

PERMATANG PAUH: Imam yang menjadi saksi sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan, Ustaz Ramlang Porigi di lihat berkempen bersama-sama calon kerusi Parlimen Permatang Pauh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Perda sebentar tadi.

Ceramah yang diadakan di masjid itu turut dihadiri oleh Anwar.

Mstar Online difahamkan Ramlang berada bersama rombongan PKR sejak jam 4 petang tadi.

Beliau dijadualkan akan mengaku serta membuat pendedahan mengenai upacara sumpah yang disaksikannya di pentas ceramah PKR.

Dalam ceramahnya di masjid Perda sebentar tadi, imam tersebut mengaku prosedur upacara sumpah laknat yang dibuat oleh Saiful adalah salah.

Jelasnya, beliau telah dipaksa untuk menjadi saksi dalam majlis angkat sumpah tersebut.

Turut sama beliau dalam ceramahnya adalah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Difahamkan beliau dalam perjalanan untuk memberi ceramah di Masjid Timah Kg Belah 2, Seberang Jaya dan diakhiri dengan ceramah di Padang Penanti.

Ini merupakan kali pertama beliau muncul dikhalayak ramai selepas kali terakhir beliau dilihat menjadi saksi sumpah laknat Saiful di Masjid Wilayah Persekutuan pada15 Ogos lalu.

Beliau menjadi kontroversi apabila timbulnya risalah edaran yang mempertikaikannya sebagai ahli Pemuda Umno dengan nombor keahlian 03405843 disebarkan dengan meluas ketika ini.

Risalah itu menyebut beliau merupakan ahli Umno Cawangan Seri Macang dalam Bahagian Bukit Mertajam.

Peti undi Ramlang ialah Penanti dalam bahagian Permatang Pauh.

Kandungan risalah itu menyebut: "Akhirnya tembelang orang yang bernama Ramlang Porigi, yang dikatakan imam yang menjadi saksi sumpah mubahalah Saiful terdedah juga.

"Beliau adalah ahli Pemuda Umno Cawangan Seri Machang dalam Bahagian Bukit Mertajam dengan kod keahlian 03405843.

"Tidak menghairankan kepada semua ini, bagaimana pantas "imam" ini memperakui mubahalah yang dilakukan oleh Saiful, sekalipun mubahalah itu diragui oleh banyak pihak sebagai tidak mengikuti kaedah Islam."

Ketika dihubungi mStar Online tiga hari yang lalu, Ramlang berkata beliau merupakan imam yang sah dan bertauliah.

Beliau tidak menafikan bahawa dirinya merupakan seorang ahli Umno yang berdftar sebagai seorang pegundi di Permatang Pauh.

"Ya, saya ahli Umno dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di bawah Parlimen Permatang Pauh," katanya.

Ibrahim Ali Minta Ezam Dan Nallakaruppan Buat Laporan Polis - BERNAMA

24 Ogos, 2008 17:22 PM

KOTA BAHARU, 24 Ogos (Bernama) -- Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata dua bekas orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Ezam Mohd Nor dan Datuk S. Nallakaruppan perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan yang dibuat mereka semasa berkempen pada pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Beliau berkata dakwaan yang dibuat oleh Mohamad Ezam dan Nallakaruppan itu adalah serius dan perlu dibuktikan melalui siasatan oleh pihak berkuasa dan diputuskan oleh mahkamah.

"Jika tidak benar Anwar perlu menyaman kedua-dua bekas orang kanannya bagi membersihkan namanya," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Mohamad Ezam sebelum ini mendakwa Anwar pernah memberikan projek bernilai RM15 bilion kepada 15 rakannya dengan setiap seorang menerima RM1 bilion manakala Nallakarupan mendakwa bekas timbalan perdana menteri itu telah menerima wang sebanyak RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian, Magnum Corporation Bhd.

Ibrahim berkata kedua-dua mereka mesti membuktikan dakwaan itu dengan membuat laporan kepada polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Saya sangat terkejut dengan dakwaan itu dan saya minta mereka berdua buat laporan dan biar pihak berkuasa menyiasat kesahihannya," katanya.

Pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh pada Selasa ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat.

-- BERNAMA

Selasa Ini Cuti Umum Di Pulau Pinang - BERNAMA

24 Ogos, 2008 15:54 PM

BUKIT MERTAJAM, 24 Ogos (Bernama) -- Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mengisytiharkan Selasa ini sebagai cuti umum di negeri ini bagi memudahkan semua pemilih berdaftar keluar mengundi pada pilihan raya kecil Permatang Pauh pada hari berkenaan.

"Semua pengundi digesa keluar menjalankan tanggungjawab mereka mengundi (dalam pilihan raya kecil ini)", katanya dalam kenyataan.

Kerajaan negeri juga meminta semua majikan kilang membantu pekerja mereka di Permatang Pauh menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Lim berkata keputusan kerajaan negeri mengumumkan Selasa ini sebagai cuti umum bagi "memastikan keadilan kepada semua calon".

"Apa yang jelas, mengurangkan jumlah pengundi daripada keluar mengundi akan menjejaskan keputusan pilihan raya kecil ini kerana ia mungkin dilihat memberi kelebihan kepada satu parti berbanding yang lain," katanya.

Pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat.

Kawasan itu mempunyai 58,459 pemilih berdaftar.

-- BERNAMA

Kabinet Putuskan Harga Minyak Dikaji Setiap 15 Hari - BERNAMA

23 Ogos, 2008 22:14 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Kabinet dalam mesyuaratnya semalam memutuskan supaya harga minyak dikaji setiap 15 hari berbanding tempoh sebulan seperti yang diputuskan sebelum ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata mekanisme itu akan mengambil kira harga minyak global dalam tempoh 15 hari.

"Tetapi kita ada satu jaminan di mana apabila terdapat peningkatan (harga minyak global), harga maksimum bagi tahun ini adalah RM2.70, lebih daripada itu kerajaan beri subsidi.

"Kalau ada pengurangan selanjutnya, kerajaan akan umum pelarasan setiap 15 hari mengikut harga minyak mentah global," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvokesyen ke-7 Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Dewan MCA hari ini.

Semalam, Abdullah mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel antara 8 sen dan 22 sen bermula hari ini.

Harga runcit petrol RON97 dikurangkan sebanyak 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter manakala harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.

-- BERNAMA

Kes Nurin Tidak Akan Ditutup Meskipun Bapanya Saman Polis - BERNAMA

23 Ogos, 2008 17:02 PM

PETALING JAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Polis tidak akan sesekali menghentikan siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin malahan akan terus memburu pembunuh kanak-kanak malang itu biarpun bapa kanak-kanak itu, Jazimin Abdul Jalil memfailkan saman terhadap pasukan polis.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar menegaskan polis tidak akan menutup kes pembunuhan tersebut hanya kerana berhadapan dengan kes saman itu bahkan masih mengumpul bukti-bukti bagi mengesan penjenayah terbabit.

"Tanggungjawab pihak polis untuk mengesan penjenayah akan tetap diteruskan. Itu hak beliau untuk saman sekiranya berasakan kami bersalah.. sekiranya beliau tetap tidak berpuas hati.

"Apa yang saya boleh katakan, seluruh pasukan polis termasuk pegawai-pegawai saya sudah dan akan terus melakukan yang terbaik dalam mengesan pembunuh Nurin justeru tidak benarlah sekiranya polis dikatakan menghentikan siasatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar pencegahan jenayah sempena Bulan Pencegahan Jenayah di sini Sabtu.

Beliau tidak menafikan timbul sedikit perasaan kecewa atas tindakan Jazimin memfailkan saman terhadap pasukan polis tetapi beliau menganggapnya sebagai asam garam dalam menjalankan tugas sebagai ketua polis.

"Saya sedikit kecewa tetapi ini tidak akan sesekali melemahkan semangat kami, kes saman menyaman saya lihat sebagai asam garam. Kalau kita nak fikirkan sangat pasal saman itu, nanti kerja lain pula yang tidak terbuat," katanya.

Ditanya mengenai penyebaran gambar autopsi Nurin, Khalid berkata polis sudah mengenalpasti individu yang terlibat tetapi enggan mengulas lanjut berikutan ia bukan di bawah bidang kuasa beliau.

"Kes berkenaan kini diambil alih Ibu Pejabat Polis Kontinjen Bukit Aman dan ia kini terpulang kepada pegawai polis berkaitan (yang menyiasat kes itu) untuk mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Jazimin, 34, memfailkan dua saman terhadap polis dan kerajaan Malaysia pada Khamis lepas berhubung penyebaran gambar autopsi anaknya melalui internet dan pernyataan fitnah kononnya beliau kehilangan Nurin kerana terlibat dengan ceti haram, 'Ah Long'.

Pekerja di syarikat keselamatan itu memfailkan saman kecuaian dan saman fitnah di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur dan menamakan Khalid selain Ketua Polis Negara, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Rabu lepas genap setahun kehilangan Nurin yang berlaku semasa kanak-kanak itu keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, sebelum mayatnya dijumpai pada 17 Sept tahun lepas di dalam beg sukan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, selepas 27 hari kehilangannya.

Khalid berkata pihaknya turut berharap supaya Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 dapat diluluskan segera bagi memudahkan tangkapan penjenayah dilakukan terutamanya bagi kes jenayah yang sukar dikesan seperti rogol, rompakan bersenjata dan bunuh.

Sementara itu, beliau menasihatkan pemilik-pemilik premis perniagaan agar memasang kamera litar tertutup (CCTV) yang bermutu tinggi agar apabila sesuatu kejadian jenayah berlaku, suspek mudah dikenalpasti.

"Banyak premis terutamanya kedai emas memasang CCTV yang kualitinya rendah justeru rakaman imej menjadi kurang jelas dan ini menyukarkan kerja untuk mengecam suspek apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini," katanya.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...