Tuesday, February 15, 2011

SYABAS saman Khalid, MP

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menyaman Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua ekoran kenyataan mereka terhadap konsesi itu.

Menurut Khalid, setelah menerima dokumen saman itu, mereka memberikan arahan kepada peguam masing-masing untuk menyediakan pembelaan.

Beliau diwakili Edmund Bon dan Tony pula diawakili peguam Gobind Singh Deo.

Bagaimanapun, kata tambah Khalid, saman itu tidak mengubah pendirian mereka terhadap isu Tabung Budi yang menjadi pertikaian.

"SYABAS tidak mempunyai hak untuk meminta penguna-penguna menyerah dana kepada SYABAS kerana dana tersebut diberi oleh kerajaan negeri melalui program pemberian 20 meter padu air percuma," katanya.

Dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Khalid berkata, tindakan SYABAS menyaman ketika proses rundingan pengambilalihan syarikat konsesi air belum selesai, menimbulkan beberapa persoalan berkenaan niatnya.

Sementara itu, menteri besar juga berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan pegawal selia air menulis surat kepada SYABAS untuk memastikan bahawa segala biayaan guaman dalam saman ini dibayar oleh individu yang terlibat dan bukan oleh syarikat.

Katanya,syarikat tidak perlu dibelengu oleh bayaran guaman untuk kes yang jelas tidak ada kena mengena dengan fungsi SYABAS sebagai pembekal air bersih kepada rakyat Selangor.

Selangor minta Pusat tarik balik lesen konsesi Syabas

SHAH ALAM 15 Feb. - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata, kerajaan Persekutuan perlu menarik balik lesen konsesi pembekalan air di Selangor oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) kerana syarikat itu didakwa melanggar perjanjian konsesi.

Beliau berkata, Pengawal Selia Air Selangor iaitu Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Datuk Nordin Sulaiman telah menulis surat kepada kerajaan Persekutuan dan Syabas bahawa tindakan syarikat itu mengutip balik kos 20 meter padu air yang disubsidi oleh kerajaan negeri kepada rakyatnya untuk Tabung Budi adalah menyalahi perjanjian konsesi.

"Jadi ini (tarik balik konsesi pembekalan air) telah ditulis surat oleh Pengawal Selia Air, kita masih menunggu jawapan daripada kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - Bernama

DUN Sarawak tidak akan dibubarkan minggu ini - Taib

KOTA SAMARAHAN 15 Feb. - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan dibubarkan minggu ini untuk memberi laluan bagi pilihan raya negeri.

Taib, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata, adalah tidak benar yang beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng Jumaat ini untuk mendapatkan kebenaran bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 71 kerusi, yang penggalnya tamat Julai ini.

"Saya tidak tahu. Orang-orang ini boleh mereka-reka berita mengikut sesuka hati mereka tetapi saya tidak dapat sahkan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan dan perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dalam satu portal berita semalam yang memetik satu sumber di Astana Sarawak yang menyatakan telah dihubungi Pejabat Ketua Menteri pada minggu lepas untuk menetapkan 18 Februari sebagai tarikh perjumpaan dengan ketua negeri bagi tujuan itu. - Bernama

Bekas pemain bola sepak Kelantan meninggal

KOTA BHARU - Bekas penyerang Johor FC dan Kelantan, Sairozi Daud, 32, meninggal dunia di hospital pakar di sini kira-kira pukul 9.30 pagi semalam setelah menderita penyakit barah tengkuk sejak setahun lalu.

Allahyarham yang lebih mesra dengan panggilan 'Abe' di kalangan rakan-rakan meninggalkan isteri, Aisyah Norehan Azhari, 25.
Semasa arwah menghembuskan nafas terakhir, isteri dan kedua-dua orang tuanya ada di sisi.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Pangkal Nering Timur, Machang untuk dikebumikan selepas solat zuhur.

Utusan Malaysia 14 Disember tahun lalu melaporkan penderitaan dialami pemain tersebut yang menghidap penyakit barah tengkuk.
Penyakit dihidapinya mula dikesan awal Februari tahun lalu dan menjalani pembedahan di hospital pakar di Johor.

Selain itu, Allahyarham Sairozi menerima tujuh kali rawatan kemoterapi selain 36 kali radioterapi di hospital tersebut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui, semalam merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Menurut Annuar, pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar buat bola sepak Kelantan.

"Arwah merupakan bekas pemain cukup dedikasi, pernah mengharumkan nama Kelantan suatu ketika dahulu," katanya.

Sairozi memulakan kerjayanya selaku pemain bola sepak Kelantan apabila membantu negeri ini memenangi kejuaraan Piala Emas Raja-Raja pada 2004.
Setahun kemudian, beliau membantu Kelantan muncul juara Piala FAM sebelum diangkat beraksi dalam Liga Perdana tahun berikutnya.

Pada 2007, beliau bersama-sama seorang lagi pemain, Azlan Ismail mengambil keputusan berhijrah ke Perlis sebelum ke Gurun, Kedah bermain bersama kelab Kuala Muda NAZA dalam Liga Perdana.

Musim 2009 menyaksikan beliau sekali lagi berhijrah ke Johor serta membantu negeri tersebut layak beraksi dalam Liga Super sebelum menamatkan perjalanan bola sepaknya bersama Johor FC.

Konsert Mohsen Namjoo tidak dibenarkan

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mengesahkan bahawa konsert Mohsen Namjoo yang dijadualkan pada Jumaat ini, tidak dibenarkan kerana ia tidak bersesuaian dari segi agama, budaya dan kemasyarakatan pelbagai kaum di negara ini.


Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata permohonan yang diterima daripada pihak penganjur pada Jumaat lalu, ditolak hari ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK Puspal).

Penyanyi kelahiran Iran yang digelar "Bob Dylan" oleh New York Times satu ketika dulu itu juga mendapat banyak tentangan daripada rakyat Malaysia kerana dikatakan menghina Islam dalam lagu-lagunya. -Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...