Wednesday, March 11, 2009

Sritharan calon PKR di Bukit Selambau? - MalaysiaKini

Mar 11, 09 7:52pm

Ahli jawatankuasa PKR Kedah, S Sritharan disebut-sebut sebagai calon paling popular untuk mewakili PKR dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Beliau antara empat calon yang telah disenarai pendek untuk ditimbang oleh pucuk pimpinan PKR pusat.

Pemilihan Sritharan dijangka diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat ini.

Manakala akhbar China Press pula melaporkan bahawa Sritharan telahpun dihubungi ibupejabat PKR memintanya untuk membuat persiapan.

Akhbar itu memetik sumber-sumber sebagai berkata, Sritharan dilihat sebagai calon yang paling layak bertanding di situ.

Ini kerana beliau adalah seorang yang peramah, mesra rakyat serta berkhidmat dengan cemerlang sebagai ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).

Sumber-sumber itu berkata, setiap kali menerima aduan, Sritharan segera turun memberi khidmat kepada rakyat.

Beliau yang berusia 45 tahun menyertai PKR pada November 2007, sudah berumahtangga serta mempunyai dua orang anak perempuan.

Sudah diramalkan

Malah, banyak pihak yang sebelum inipun telah meramalkan beliau akan dipilih sebagai calon PKR untuk bertanding dalam piliharanraya kecil Bukit Selambau.

Selain Sritharan, beberapa nama lain yang turut menawar diri ialah Dr Krishnamurthy (Ketua Penerangan PKR Sungai Petani), K Masilamani (AJK PKR Merbok), B Kalai Vanar (Ketua PKR Jerai) dan N Gobalakrishnan (ahli Parlimen Padang Serai).

Tiga lagi yang menawar diri ialah seorang pemimpin daripada Hindraf, iaitu RS Thanenthiran. Dua lagi ialah R Muniandi dan Manogaran - kedua-duanya ahli jawatankuasa bahagian Merbok.

DUN Bukit Selambau kosong berikut peletakkan jawatan V Arumugam sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan exco Kedah.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu, V Arumugam yang bertanding atas tiket bebas menang dengan majoriti 2,362 undi.

Beliau mendapat 13,225 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, S Krishnan yang mendapat 10,863 undi.

Manakala kertas pencalonan calon PKR, Saiful Izham Ramli ditolak atas sebab-sebab teknikal.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...