Sunday, July 26, 2009

Yasmin Ahmad Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Pengarah filem dan iklan terkenal Yasmin Ahmad meninggal dunia kira-kira 11.25 Sabtu malam.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan yang berada di Hospital Pakar Damansara ketika dihubungi Bernama.

Yasmin, 51, rebah ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, ibu pejabat stesen televisyen TV3, pada Khamis dan dikejarkan ke hospital berkenaan.

Beliau dilaporkan mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak.

-- BERNAMA

Bekas Naib Presiden MIC S.S. Subramaniam sertai PKR

KUALA LUMPUR 25 Julai — Bekas naib presiden MIC Datuk S.S Subramaniam hari ini menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) .

Keputusan itu dibuat tepat seminggu selepas bekas naib presiden MCA Datuk Chua Jui Meng memutuskan untuk melompat ke parti yang sama.

Semasa mengesahkan perkara itu hari ini, Subramaniam berkata beliau menyertai PKR demi perpaduan kerana parti itu menyatukan semua bangsa di negara ini.

“Saya rasa ini parti untuk masa depan, Saya menyertai parti ini atas kerelaan sendiri,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Subramaniam turut menafikan dakwaan bahawa beliau menyertai PKR kerana ditawarkan kedudukan tertentu dalam parti.

“Saya tidak dijanjikan sebarang jawatan (dalam PKR). Saya menyertainya sebagai anggota biasa,” katanya.

Semasa dalam MIC, Subramaniam beberapa kali menjadi tumpuan kerana beliau banyak kali menentang presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu, menyebabkannya digugurkan daripada jawatan naib presiden pada 1994, untuk memberi laluan kepada pengantinya yang mempunyai nama serupa dengannya iaitu Dr S. Subramaniam.

Beliau merupakan bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan anggota Parlimen Segamat.

— BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...