Showing posts with label Harian Metro. Show all posts
Showing posts with label Harian Metro. Show all posts

Monday, August 22, 2011

Kaji mansuh 1 tol



HULU LANGAT: Keluh kesah penduduk di sini dan sekitarnya dibebani dua tol di jajaran Lebuhraya Cheras-Kajang kendalian syarikat konsesi Grand Saga Sdn Bhd mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam kunjungannya ke kawasan kejiranan berkenaan semalam, Najib memberitahu akan mengarah Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor mengkaji kemungkinan memansuhkan satu daripada dua tol itu berikutan membebankan penduduk.

Katanya, tuntutan itu walaupun disuarakan secara terbuka menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz, beliau tidak boleh membuat sebarang pengumuman terus tanpa melalui kajian menyeluruh.


“Sebabkan ini ada implikasi kewangan yang besar saya tidak boleh umum (buat keputusan terus)...kalau terus umum mungkin boleh dapat tepukan hebat (rakyat di sini) barangkali (boleh) runtuh khemah ini.

“Tapi sebagai Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bertanggungjawab, saya perlu mengkaji dulu perkara ini sedalamnya...tunggulah apabila masa sesuai nanti, akan kita umumkan.

“Apapun, saya akan arahkan Menteri Kerja Raya (Shaziman) kaji perkara ini dan bawa ke jemaah menteri untuk dikaji selanjutnya jika boleh kita tangani mengenai masalah tol,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Rakyat Selangor di Dataran Usahawan dan Masjid Hishamuddin Alam Shah Batu 14, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Johan yang juga Ketua Umno Hulu Langat.


Johan ketika berucap menyuarakan beberapa permintaan penduduk yang mahu masalah kesesakan diatasi termasuk isu dua tol di kawasan berkenaan dalam jarak dua kilometer dengan kadar tol sekitar RM2.00.

Beliau juga meminta kerajaan mempertimbangkan menaik taraf Hospital Kajang berusia lebih 100 tahun yang tidak mampu lagi menampung kepadatan penduduk mencecah 1.2 juta orang.

Menjawab itu, Najib berkata, kerajaan akan sentiasa dan terus berusaha melakukan yang terbaik bagi memberi keselesaan serta kesenangan kepada rakyat keseluruhannya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin, anak yatim dan warga emas selain penyampaian komputer riba 1Malaysia serta menyempurnakan pelancaran Dataran Usahawan.

Najib turut solat Isyak dan Tarawih di Masjid Jamek Kampung Pasir Baru, Semenyih, dekat sini.

Wednesday, August 17, 2011

Wajah penyamun simbah asid


BURU...lakaran wajah suspek.
KUALA LUMPUR: Polis kini memburu beberapa suspek dipercayai terbabit dalam dua kes simbah asid berasingan di ibu negara baru-baru ini, namun menafikan suspek individu yang sama menggemparkan negara dengan beberapa kes simbah asid awal tahun ini.

Satu kes berkenaan berlaku pada 26 Julai lalu, menyebabkan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat dirompak RM18,000 milik syarikatnya selepas disimbah cecair selepas keluar tandas di sebuah stesen minyak di Batu 2 1/2, Jalan Sungai Besi, di sini.

Pada 8 Ogos lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun pula melecur pada muka selepas disimbah asid ketika dihampiri tiga lelaki ketika berjalan berseorangan di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dan sehingga kini mangsa masih dirawat di hospital.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, dalam kenyataannya di sini, semalam, berkata berdasarkan siasatan terhadap kedua-dua kejadian berkenaan, polis menafikan sama sekali kes itu kaitan dengan siri kejadian menyimbah cecair sebelum ini.

“Jenis cecair digunakan dalam kes ini berbeza dengan cecair kejadian lalu. Siasatan juga mendapati ciri-ciri suspek berbeza dengan gambaran suspek kes simbah asid sebelum ini. “Polis berusaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, mengesan saksi termasuk menemuduga mangsa bagi tujuan mendapatkan gambaran jrupa bentuk fizikal suspek,” katanya.

Menurutnya, setakat ini polis membuat lakaran wajah seorang suspek rompakan yang menggunakan asid di stesen minyak berkenaan.



“Polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian atau mengenali wajah suspek tampil memberi maklumat dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi terus Rakan Cops melalui 03-21159999,” katanya.

Wednesday, August 10, 2011

Tersangkut tombol pintu


SANDAKAN: Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun terpaksa menahan kesakitan lebih sejam apabila jari telunjuknya tersepit di tombol pintu ketika cuba membuka pintu biliknya untuk bersahur bersama keluarga di Taman Rimba, Jalan Batu 7, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.41 pagi, mangsa Danial Hanif, 7, dipercayai bangun bersahur bersama ahli keluarganya.

Bagaimanapun, ketika cuba membuka pintu bilik, tiba-tiba jari telunjuknya termasuk ke dalam tombol pintu yang dipercayai sudah rosak.

Ahli keluarga mangsa yang terkejut dengan kejadian itu cuba membantu namun gagal membuka tombol besi itu.

Mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent dengan jarinya yang masih tersangkut di tombol besi itu.

Pihak hospital juga gagal mengeluarkan jari kanak-kanak itu dan terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan.


Selepas lebih sejam, akhirnya jari mangsa yang tersepit pada tombol besi berkenaan berjaya dikeluarkan dengan menggunakan pemotong hidraulik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemi Shin Ujin berkata, bomba menerima maklumat daripada hospital mengenai kejadian itu.

Tuesday, February 15, 2011

Konsert Mohsen Namjoo tidak dibenarkan

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mengesahkan bahawa konsert Mohsen Namjoo yang dijadualkan pada Jumaat ini, tidak dibenarkan kerana ia tidak bersesuaian dari segi agama, budaya dan kemasyarakatan pelbagai kaum di negara ini.


Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata permohonan yang diterima daripada pihak penganjur pada Jumaat lalu, ditolak hari ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK Puspal).

Penyanyi kelahiran Iran yang digelar "Bob Dylan" oleh New York Times satu ketika dulu itu juga mendapat banyak tentangan daripada rakyat Malaysia kerana dikatakan menghina Islam dalam lagu-lagunya. -Bernama

Sunday, February 6, 2011

Bas hilang kawalan

TAMPARULI: Kegembiraan 12 pelancong warga Korea selepas berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu terencat apabila dua daripada mereka patah kaki selepas bas pesiaran dinaiki terbabas lalu merempuh lereng bukit di Kilometer 9.5 Ranau-Tamparuli, di sini, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke hotel di Kota Kinabalu selepas turun dari gunung tertinggi di Asia Tenggara itu dengan menaiki sebuah bas bersama dua pemandu dan pemandu pelancong warga tempatan.

Kedua-dua pelancong terbabit yang masing-masing berusia 30 dan 40 tahun patah kaki akibat terhantuk pada kerusi bas, manakala yang lain cedera ringan selepas bas yang dalam perjalanan dari Taman Kinabalu di Kundasang dekat Ranau itu terbabas sebelum melanggar tebing bukit di kiri jalan.


Difahamkan, bas yang bertolak dari bandar raya jam 7 pagi itu terbabas selepas breknya tidak berfungsi ketika menuruni bukit di lokasi kejadian.

Pemandu pelancong, Jas Lezra, 27, berkata dia terkejut apabila menyedari bas dinaikinya seolah-olah terbang dan terhentak dengan kuat.


“Ketika itu saya duduk di depan bersama seorang rakan saya yang juga pemandu pelancong dari Korea. Kami hanya mampu menjerit dan memeluk kerusi, manakala yang lain menjerit meminta tolong.




“Beberapa saat kemudian, bas itu berhenti dan saya melihat rakan saya tersadai di tempat pemandu. Ketika itu saya tidak mampu bergerak kerana tangan kiri saya cedera,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Jas berkata, ketika kejadian, bas dinaikinya tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar tebing bukit, namun mereka bernasib baik kerana tidak bertembung dengan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.


“Kami bersyukur kerana kemalangan ini tidak menyebabkan kematian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Suhaimi Wiro berkata, siasatan awal polis mendapati, bas pesiaran yang membawa 15 penumpang termasuk dua pemandu itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tebing bukit.


“Akibatnya, dua penumpang cedera parah manakala yang lain cedera ringan. Dua yang cedera itu kini dirawat di Pusat Perubatan Sabah (SMC) manakala yang lain menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tuaran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, setakat ini polis belum mengambil keterangan daripada pemandu bas terbabit kerana masih dirawat di hospital.

Friday, July 25, 2008

Rogol ganti masak-masak

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Fauzi Abdullah
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Jika selama ini main ‘masak-masak atau main kahwin-kahwin’ begitu sinonim dengan kanak-kanak, namun pengakuan tiga murid sekolah rendah yang terjebak dalam permainan ‘main rogol-rogol’ sangat menggemparkan.

‘Permainan’ yang bertitik tolak daripada ketagihan menonton VCD lucah itu mendorong kanak-kanak bawah umur terbabit ghairah mencuba melakukan hubungan seks walaupun sesama saudara terdekat.

Lebih memeranjatkan apabila murid sekolah rendah seawal usia 10 tahun itu tergamak menjadikan adik perempuan serta kakak dan adik saudara sebagai bahan eksperimen melakukan perbuatan terlarang terbabit.

Perkara itu didedahkan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Sahabat Insan dan Iman Malaysia, Ahmadi Baharudin, yang memberikan kaunseling kepada sekumpulan murid sekolah rendah yang dihantar untuk pemulihan akhlak dan akidah di sebuah pusat dakwah di Banting, Selangor, baru-baru ini.

Dalam temu bual pada sesi kaunseling itu, katanya, tiga murid lelaki, masing-masing berusia 11 tahun dan seorang berumur 10 tahun, membuat pengakuan jujur mengenai keterlanjuran mereka melakukan zina akibat terangsang selepas menonton VCD lucah.

Katanya, seorang daripada murid terbabit yang dikenali sebagai Amir, 11, mendakwa gagal mengawal nafsu sebelum mencabul kehormatan adik kandung sendiri berusia enam tahun.

“Amir yang berasal dari pinggir ibu kota mendakwa kerap menonton VCD lucah yang akhirnya mendorong dia menjadikan adik kandung sendiri sebagai mangsa pemuas nafsu.

“Saya diberitahu ketika kejadian, Amir menonton VCD lucah bersama rakan di rumah ketika ibu dan bapa keluar bekerja,” katanya.

Akibat tidak dapat mengawal gelojak nafsu, Amir menarik adiknya masuk ke bilik sebaik rakan beredar.

“Adiknya yang berusia enam tahun tidak mampu berbuat apa-apa berikutan si abang lebih ‘pandai’ akibat terpengaruh dengan perbuatan dalam VCD lucah. Malah, dia memberitahu, perbuatan terbabit sekadar ‘main rogol-rogol’ saja,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan tidak bermoral kanak-kanak terbabit hanya diketahui ibu bapanya selepas adik perempuan mengadu mengenai perlakuan jijik si abang.

“Amir memberitahu dia dipukul teruk dan tidak dibenar keluar rumah serta bergaul dengan rakan hingga dihantar ke pusat itu untuk mendapat bimbingan,” katanya.

Ahmadi berkata, Amir mendakwa mudah mendapatkan VCD lucah daripada rakan selain membelinya di pasar malam berhampiran dengan menggunakan wang saku pemberian ibu bapa.

Seorang murid yang dikenali sebagai Ashraf, 10, pula mengaku melakukan perbuatan ‘main rogol-rogol’ itu bersama kakak saudaranya yang berusia 12 tahun dan puncanya juga sama iaitu pengaruh VCD lucah.

“Ashraf memberitahu, ketika kejadian dia dan kakak saudaranya menonton VCD lucah bersama selama dua jam sebelum kanak-kanak perempuan itu mengajaknya ke bilik,” katanya.

Selepas itu, katanya, mereka melakukan aksi sama seperti dalam VCD berkenaan selama lima minit sebelum dilihat bapa tiri Ashraf yang pulang ke rumah.

Seorang lagi murid berusia 11 tahun dikenali sebagai Kamal terjebak dengan aktiviti ‘main rogol-rogol’ bersama adik saudaranya.

Kanak-kanak berkenaan yang tinggal di ibu negara mendakwa terpengaruh melakukan seks selepas menonton VCD lucah yang dipinjam daripada rakan.

Pengakuan jujur ketiga-tiga murid terbabit yang dirakamkan menggunakan perakam video dianggap gejala sosial memeranjatkan berikutan membabitkan kanak-kanak belum baligh.

Wednesday, July 23, 2008

Hanya bertuala putih

Harian Metro
Oleh Mohd Sabran Md Sani

sab@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah, semalam, tertuduh dalam kes khalwat membabitkan bekas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Zulkifli Othman, dilihat hanya bertuala putih sebaik bilik hotelnya diserbu sambil termenung.

Saksi pendakwaan keempat (SP4), Pegawai Penguat kuasa Agama Jawi, Norhafiza Tohalus, 24, berkata selain tertuduh, seorang wanita yang dipercayai pasangannya hanya dibaluti sehelai selimut sambil berbaring diatas sebuah katil bujang ketika serbuan dilakukan.

Bagaimanapun usaha untuk mengejutkan wanita itu terpaksa dilakukan sebanyak tiga kali berikutan kegagalannya untuk bangun dan dia ‘menggenyeh-genyehkan’ mata sebaik dikejutkan Penolong Pengarah Risikan Jawi, Nik Azlan Nik Man.

Dalam operasi kira-kira jam 3 pagi 4 Ogos tahun lalu, Norhafiza yang ditugaskan untuk menyita barang kes dan melakar pelan tempat kejadian mengakui menyita sehelai baju dalam berwarna hitam milik wanita itu yang dijumpai di atas meja solek.

Eja tuntut gedung kain bayar ganti rugi RM240,000

Harian Metro


KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Eja atau Siti Sharizah Saifuddin mendakwa reputasi dan periuk nasinya tercemar selepas sebuah gedung kain terkenal melanggar perjanjian berhubung penggunaan wajahnya dalam borang peraduan mereka.

Eja, 36, (plaintif) ketika memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Sivil di sini, semalam, berkata, sekitar Jun 2005, Gulati’s Exclusive Sdn Bhd (defendan) membuat perjanjian untuk menggunakan gambarnya yang bersaiz kecil di borang peraduan ‘Guess Who and Win’.

Katanya, persetujuan antara kedua-dua pihak itu ialah wajahnya hanya akan digunakan di borang itu dan beliau akan diberi ganjaran belian kredit dan jahitan dengan tukang jahit di syarikat defendan bernilai RM1,500.

“Sekitar Ogos 2005, saya dimaklumkan rakan dan saudara bahawa wajah saya diiklankan di poster, kain rentang, risalah dan dipamerkan di jalan raya, dan siaran televisyen sedangkan mereka tidak pernah berbincang dengan saya berhubung perkara itu.

“Saya menerusi pengurus cuba mendapatkan penjelasan dan defendan melalui surat bertarikh 7 Ogos 2005 mengaku ada menggunakan wajah saya tanpa persetujuan serta sebagai pampasan meningkatkan nilai kredit belian RM3,000,” katanya.

Eja berkata, keadaan itu menyebabkan reputasinya tercemar dan terpaksa melepaskan peluang pekerjaan lain memandangkan iklan yang dikeluarkan itu seolah-olah beliau adalah jurucakap atau duta bagi gedung itu.

“Saya dimaklumkan ia hanya untuk borang peraduan, jika tahu mereka akan menggunakan lebih dari itu, saya akan meminta bayaran setimpal dengan kerja peragaan yang saya lakukan. Mereka hanya menaikkan kredit belian dan saya tidak setuju dengan perkara itu.

“Ia menutup periuk nasi saya sedangkan saya tidak mendapat apa-apa kebaikan daripada pekerjaan saya lakukan itu. Kebiasaannya bagi kerja iklan komersial televisyen, poster, papan tanda dan yang lain saya akan mendapat bayaran antara RM15,000 hingga RM40,000 dan itu adalah jumlah minimum,” katanya.

Eja yang juga pengacara dan peragawati, menuntut ganti rugi RM240,000 daripada Gulati’s kerana mendakwa syarikat itu melanggar perjanjian lisan antara mereka.

Menjawab soalan peguam Rejinder Singh yang mewakili Gulatis, beliau mengakui tidak membuat perjanjian bertulis kerana ia dibuat atas dasar seorang rakannya yang bernama Yamin yang bekerja di situ dan hanya gambar kecil digunakan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...