Friday, May 30, 2008

Penduduk Bandar Mahkota Cheras Boleh Guna Jalan Pintas Sehingga Mahkamah Buat Keputusan

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Penduduk Bandar Mahkota Cheras boleh menggunakan jalan pintas menuju ke persimpangan Bandar Tun Hussein Onn di Lebuh Raya Cheras-Kajang sehingga mahkamah memutuskan mengenai tembok penghadang yang dibina oleh syarikat konsesi lebuh raya itu Grand Saga Sdn Bhd (Grand Saga), kata Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed.

Beliau berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat kabinet pagi tadi untuk kebaikan semua pihak.

"Selepas mahkamah membuat keputusan pihak kementerian akan melihat semula dan membuat semakan sekiranya keputusan yang dibuat itu boleh menjejaskan penduduk," katanya kepada pemberita ketika melawat jalan pintas yang mencetuskan kekecohan itu, Jumaat.

Pada 12 Mei lalu Mahkamah Tinggi menolak permohonan penduduk Bandar Mahkota Cheras bagi mendapatkan perintah injunksi menghalang Grand Saga membina semula tembok penghadang di persimpangan jalan Bandar Mahkota Cheras. Difahamkan kes tersebut akan disebut semula pada 25 Jun depan.

Mohd Zin berharap perkara itu akan dapat diselesaikan melalui proses perundangan dan meminta penduduk supaya bersabar dan mematuhi undang-undang.

"Beri saya masa..saya akan fikirkan cara untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Mohd Zin berkata Grand Saga juga telah bersetuju untuk tidak membina semula tembok penghadang itu sehingga kes mahkamah selesai.

Beliau berkata sehingga keputusan mahkamah dibuat, Grand Saga boleh menuntut ganti rugi daripada kerajaan mengikut perjanjian konsesi sehingga boleh menjangkau RM9,000 sehari (RM270,000 sebulan atau lebih RM3.5 juta setahun).

Justeru, katanya sebarang keputusan mengenai isu itu perlu mengikut arahan kabinet kerana ia melibatkan kos yang tinggi dengan tempoh konsesi yang panjang iaitu selama 20 tahun.

Grand Saga dan penduduk Bandar Mahkota Cheras terlibat dengan pertelagahan apabila Jawatankuasa Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras memecahkan tembok konkrit yang dibina oleh Grand Saga di persimpangan jalan Bandar Mahkota Cheras.

Tembok itu dibina bagi menghalang kemasukan terus trafik dari Bandar Mahkota Cheras ke Persimpangan Bandar Tun Hussein Onn, Lebuh Raya Cheras-Kajang, yang mahu mengelak daripada membayar tol di Plaza Tol Batu 11, Cheras.

Selepas tembok asal dipecahkan pada 21 April lalu, Grand Saga telah membinanya semula sebanyak dua kali, namun kedua-duanya dipecahkan semula oleh penduduk setempat.

Ketegangan terus berlaku sehingga tercetus insiden terbaru Selasa lepas apabila penduduk bergaduh dengan sekumpulan lelaki yang cuba menghalang tembok itu dirobohkan untuk kali ketiga sehingga menyebabkan beberapa orang cedera termasuk seorang jurugambar sebuah akhbar.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...