Wednesday, June 25, 2008

RM1 juta nilai pingat emas Olimpik

Oleh Meor Hisham Zulkifli

WANG tunai RM1 juta menjadi taruhan terbaru kerajaan dalam usaha membakar semangat atlit negara meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik di Beijing Ogos ini selain daripada bayaran pencen berjumlah RM5,000 sebulan sepanjang hayat.

Pengumuman kenaikan Skim Hadiah Kecemerlangan Sukan Olimpik itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan di bangunan Parlimen, semalam.

"Olimpik adalah kejohanan yang paling unggul dan kerajaan berpendapat perlu diletakkan satu ganjaran tinggi agar dapat membakar semangat atlit untuk meraih pingat emas.

"Kita berharap ia akan memberi kesan yang positif dan kita kena tunggu serta lihat bagaimana hasilnya nanti. Kita merasakan jumlah ini adalah wajar kerana atlit perlu berusaha keras dan untuk menang emas, atlit terpaksa mengeluarkan belanja besar," katanya.


Najib turut mengumumkan pemenang pingat perak akan menerima ganjaran RM300,000 manakala gangsa RM100,000 bagi individu dan bagi acara berpasukan yang meraih emas, hadiah RM150,000 dijanjikan untuk setiap pemain.

"Selain itu, kerajaan turut bersetuju untuk menaikkan pencen bulanan kepada atlit yang meraih pingat di Sukan Olimpik untuk sepanjang hayat mereka iaitu RM5,000 untuk emas, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000," katanya.

Pengumuman ini bermakna lima atlit yang sudah meraih pingat di Olimpik Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock (perak)serta Rashid Sidek, Razif Sidek dan Jalani Sidek (gangsa), bakal menerima kenaikan pencen mereka bermula hujung bulan ini.

Najib turut menekankan bahawa kerajaan kini menuntut supaya kekuatan mental atlit turut diberikan penekanan dalam persediaan atlit negara kerana mendapati kelemahan itu menjadi punca atlit negara tewas dalam saingan peringkat tinggi.

"Kita menegaskan supaya selain daripada tumpuan kepada latihan secara sistematik dan komprehensif, latihan turut memberi fokus kepada kekuatan mental kerana faktor inilah yang membeza antara pasukan dan individu yang menang.

"Kita melihat sudah ada atlit negara yang mencecah ke taraf dunia tetapi yang membezakan kita dengan lawan adalah kerana kekuatan mental kita tidak dalam keadaan boleh menjamin kejayaan dalam saingan yang begitu sengit," katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob, berkata imbuhan ini dilihat mampu membakar semangat atlit negara untuk meraih pingat di Olimpik selain dapat menarik minat lebih ramai atlit muda berusaha lebih keras.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong dan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, turut menganggap langkah itu yang disifatkan sebagai mengiktiraf atlit negara.

INFO

Kenaikan Imbuhan Olimpik

Individu
Emas: RM1 Juta (RM160,000)
Perak: RM300,000 (RM80,000)
Gangsa: RM100,000 (RM40,000)

Berpasukan (lebih daripada enam)
Emas: RM150,000 setiap seorang
Perak: RM40,000 setiap seorang
Gangsa: RM20,000 setiap seorang

Berpasukan kurang daripada enam atlit berkongsi ganjaran seperti individu

Bayaran pencen

Emas: RM 5,000
Perak: RM 3,000
Gangsa: RM 2,000

  • Sepanjang hayat bermula selepas menang pingat
  • No comments:

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...