Wednesday, October 8, 2008

Mahkamah Larang Media Siar Kandungan Bahan Bukti Kes 'Mata Lebam Anwar' - BERNAMA

08 Oktober, 2008 18:52 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Mahkamah Sesyen yang mendengar perbicaraan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melarang media daripada menyiarkan kandungan bahan bukti berhubung kejadian "mata lebam" yang dialami beliau 10 tahun lepas.

Hakim S.M. Komathy Suppiah mengeluarkan perintah itu atas permohonan pihak pendakwaan. Bahan bukti yang dimaksudkan merupakan laporan akhbar, satu laporan polis dan satu kenyataan berhubung kejadian itu yang berlaku pada 1998.

Terdahulu, dalam hujahnya, Ketua Unit Pendakwaan, Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden berkata penerbitan kandungan bahan bukti berkenaan oleh media akan mencemarkan lagi nama baik Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

"Kandungan bahan bukti itu hanya merupakan desas-desus dan jika mahkamah membenarkan media melaporkannya, maka orang ramai akan mempunyai persepsi atau tanggapan sendiri dan bukan mencari kebenaran di sebalik kisah itu," katanya.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Anwar, Sulaiman Abdullah berkata mahkamah tidak sepatutnya melarang media daripada melaporkan kandungan bahan bukti berkenaan, yang telah dibaca secara terbuka di mahkamah, termasuk afidavit Anwar yang menyokong permohonannya agar kes itu tidak dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Anwar, 60, yang merupakan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun.

Jika sabit kesalahan, ketua pembangkang itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Beliau dikenakan ikat jamin peribadi RM20,000.

Perbicaraan hari ini bertumpu pada kesahihan sijil yang dikemukakan oleh pihak pendakwaaan bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi yang ditandatangani oleh Gani.

Pihak pembela berhujah bahawa sijil itu tidak sah kerana Gani tidak sepatutnya terlibat dalam kes berkenaan memandangkan beliau sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berikutan laporan yang dibuat oleh Anwar, yang menuduh beliau mereka-reka bukti berhubung kejadian mata lebam.

Pada permulaan perbicaraan, Yusof berkata pihak pendakwaan tidak mempunyai afidavit yang memberi penjelasan kenapa Gani menandatangani sijil pemindahan itu. "Kalau saya tidak menerima afidavit Peguam Negara, saya akan hanya berhujah berdasarkan lunas undang-undang," katanya.

Yusof berkata apa yang ada di tangannya ialah afidavit bersumpah oleh Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun.

Mendengar kata-kata itu, Sulaiman mencelah dengan berkata bahawa semalam, Yusof beria-ia berkata beliau akan mengemukakan afidavit Gani dan Idrus.

"Setelah mahkamah meluluskan permohonannya bagi memfailkan afidavit itu, sekarang beliau berkata beliau juga boleh berhujah tanpa afidavit itu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...