Sunday, August 24, 2008

Kabinet Putuskan Harga Minyak Dikaji Setiap 15 Hari - BERNAMA

23 Ogos, 2008 22:14 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Kabinet dalam mesyuaratnya semalam memutuskan supaya harga minyak dikaji setiap 15 hari berbanding tempoh sebulan seperti yang diputuskan sebelum ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata mekanisme itu akan mengambil kira harga minyak global dalam tempoh 15 hari.

"Tetapi kita ada satu jaminan di mana apabila terdapat peningkatan (harga minyak global), harga maksimum bagi tahun ini adalah RM2.70, lebih daripada itu kerajaan beri subsidi.

"Kalau ada pengurangan selanjutnya, kerajaan akan umum pelarasan setiap 15 hari mengikut harga minyak mentah global," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvokesyen ke-7 Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Dewan MCA hari ini.

Semalam, Abdullah mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel antara 8 sen dan 22 sen bermula hari ini.

Harga runcit petrol RON97 dikurangkan sebanyak 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter manakala harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...