Friday, September 12, 2008

Ramlang saksi sumpah Saiful bukan lagi imam Masjid Wilayah - MSTAR ONLINE

11-09-2008 06:56:25 PM
Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN dan LEE YAN XIU

PETALING JAYA: Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi yang menjadi saksi sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan bulan lalu telah ditukarkan ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkuat kuasa kelmarin.

Menurut peguam Ramlang, Ahmad Nizam Hamid, surat pertukaran tersebut diterima oleh anak guamnya kelmarin .

"Anak guam saya menerima surat tersebut 9 September," katanya kepada mStar Online hari ini.

Jelasnya, Ramlang sudah tidak lagi bergelar imam kerana beliau telah ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Jakim di Putrajaya.

Ahmad berkata, anak guamnya itu agak kecewa dengan pertukaran tersebut.

"Anak guam saya kecewa dengan pertukaran ini. Saya rasa beliau tidak wajar ditukarkan ke Jakim hanya kerana beliau menyuarakan kenyataan untuk menegakkan kebenaran," katanya.

Ramlang ketika dihubungi turut mengesahkan perkara tersebut.

"Ya memang betul saya sudah ditukarkan ke Jakim pada 9 September lalu," katanya.

Ketika ditanya sama ada pertukarannya ke Jakim merupakan satu bentuk tindakan yang dikenakan ke atasnya, Ramlang berkata:

"Saya tidak tahu. Saya hanya menurut perintah dan menerima apa yang ditetapkan."

Sebelum ini, Ramlang yang memegang jawatan sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam telah muncul semasa kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 24 Ogos lalu dengan menyatakan sumpah yang dilakukan oleh Saiful tidak sah.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Ramlang masih menjadi imam, Ahmad berkata:

"Beliau sudah tidak lagi menjadi imam kerana diberi tugas menguruskan hal-hal berkaitan pentadbiran."

Tambah beliau, surat pertukaran Ramlang ke Jakim ditandatangani oleh pengarah bahagian berkenaan, Abdul Murat Abdul Wahab.

Bagaimanapun menurut Ahmad, status dan jawatan Ramlang kekal gred S17.

Ditanya sama ada anak guamnya itu sudah menerima apa-apa surat tindakan disiplin terhadapnya, Ahmad berkata:

"Setakat ini belum ada sebarang tindakan yang dikenakan ke atas Ramlang. Pihak kami pun tidak menerima sebarang surat dari mana-mana pihak."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...