Sunday, June 7, 2009

Belum Ada Keputusan Berhubung Kedudukan Murugiah, Kata Najib

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau masih belum membuat keputusan berhubung kedudukan Senator T. Murugiah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Najib berkata beliau akan berbincang dengan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M.Kayveas di samping berpandukan cadangan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum memutuskan mengenai kedudukan bekas anggota Majlis Tertinggi PPP itu dalam Kabinet.

Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-56 PPP di sini hari ini, Najib berkata beliau akan membuat keputusan itu apabila tiba masanya dengan panduan daripada interpretasi ROS berhubung isu PPP.

"Seperti yang anda maklum, kedudukan Datuk Murugiah dalam kerajaan adalah hak mutlak Perdana Menteri.

"Bagaimanapun, kami sedar bahawa kami beroperasi berdasarkan sistem parti. Jadi, biarlah saya menyelesaikan dulu kedudukan beliau terutama sekali dalam PPP.

"Saya tahu beliau telah pun dipecat tetapi ia perlu diteliti oleh ROS sama ada pemecatan itu dilakukan mengikut prosedur. Susulan daripada itu saya akan membuat keputusan," kata Najib.

Kayveas dan Murugiah terbabit dalam pertelingkahan sengit untuk kepimpinan parti selepas Murugiah "dilantik" Presiden PPP dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti itu yang diadakan di Putrajaya pada 24 Mei. EGM itu bagaimanapun dianggap tidak sah oleh Kayveas.

Khamis lepas, ROS berkata Kayveas adalah Presiden PPP yang sah buat masa ini sementara menunggu siasatan ke atas pihak berkepentingan dalam PPP.

Mengenai Murugiah, Najib berkata beliau (Murugiah) bukanlah seorang yang menentang Barisan Nasional (BN), sebaliknya amat menyokong dasar dan kepimpinan BN dan jika ROS mendapati struktur semasa PPP sebagai tidak sah, maka beliau akan menjadikan pandangan itu sebagai panduan.

Pada sidang akhbar sama, Kayveas menyatakan PPP tidak lagi akan menggunakan perkataan 'kaum' bagi menunjukkan lelaki dan wanita daripada kalangan kaum yang berbeza kerana percaya ia boleh mewujudkan rintangan antara masyarakat di Malaysia.

"PPP akan berhenti menggunakan perkataan kaum. Parti ini tidak akan dikenali sebagai parti pelbagai kaum atau parti bukan berasaskan kaum. Ia akan dikenali sebagai Parti Untuk Semua Rakyat Malaysia. Kami menggesa kerajaan supaya tidak menggunakan perkataan kaum bagi membezakan rakyat Malaysia dalam apa jua bentuk," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai pandangan Kayveas itu, Najib berkata: "Apa-apa pandangan parti komponen kita bawa ke Kabinet. Memang kita ada pemikiran untuk melihat semula tetapi ada juga bentuk yang perlu bagi peruntukan kaum ada juga yang tidak perlu."

Mengenai isu Ambalat, yang diperbesar-besarkan oleh media Indonesia dengan mendakwa tentera laut Malaysia dilihat berada di perairan yang kaya dengan minyak dan gas itu, Najib berkata tiada perkembangan terbaru berhubung isu itu dan ia masih dalam perbincangan.

"Ini satu isu yang rumit, sebab itulah kita masih berunding dengan Indonesia. Ia memakan masa, bukan mudah untuk selesaikan isu Ambalat," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...