Thursday, August 4, 2011

Keratan anggota badan manusia ditemui


KUALA LUMPUR 4 Ogos - Badan manusia yang dikerat kepada beberapa bahagian dijumpai dalam dua beg plastik di Blok Charyssa, Pangsapuri Astaria di Taman Kosas, Ampang dekat sini semalam.

Beg plastik yang mengandungi keratan tangan dan kaki itu ditemui di atas siling tandas sebuah unit pangsapuri yang tidak dihuni sejak 10 tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata, polis bergegas ke pangsapuri berkenaan selepas menerima aduan penduduk yang menemui kaki kiri manusia di anjung pangsapuri itu pada pukul 2 petang.

"Bahagian badan manusia itu dipercayai dipotong dengan objek tajam sebelum dibungkus dengan plastik,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut di pangsapuri itu, polis dengan dibantu Unit Patalogi Hospital Ampang menemui usus dan perut manusia dalam mangkuk tandas dalam unit itu.
Polis menemui bahagian lain tubuh manusia yang telah dipotong di atas siling bilik air berkenaan, katanya.

Amiruddin berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa, yang dipercayai dibunuh kira-kira seminggu lepas. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...