Wednesday, July 23, 2008

Eja tuntut gedung kain bayar ganti rugi RM240,000

Harian Metro


KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Eja atau Siti Sharizah Saifuddin mendakwa reputasi dan periuk nasinya tercemar selepas sebuah gedung kain terkenal melanggar perjanjian berhubung penggunaan wajahnya dalam borang peraduan mereka.

Eja, 36, (plaintif) ketika memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Sivil di sini, semalam, berkata, sekitar Jun 2005, Gulati’s Exclusive Sdn Bhd (defendan) membuat perjanjian untuk menggunakan gambarnya yang bersaiz kecil di borang peraduan ‘Guess Who and Win’.

Katanya, persetujuan antara kedua-dua pihak itu ialah wajahnya hanya akan digunakan di borang itu dan beliau akan diberi ganjaran belian kredit dan jahitan dengan tukang jahit di syarikat defendan bernilai RM1,500.

“Sekitar Ogos 2005, saya dimaklumkan rakan dan saudara bahawa wajah saya diiklankan di poster, kain rentang, risalah dan dipamerkan di jalan raya, dan siaran televisyen sedangkan mereka tidak pernah berbincang dengan saya berhubung perkara itu.

“Saya menerusi pengurus cuba mendapatkan penjelasan dan defendan melalui surat bertarikh 7 Ogos 2005 mengaku ada menggunakan wajah saya tanpa persetujuan serta sebagai pampasan meningkatkan nilai kredit belian RM3,000,” katanya.

Eja berkata, keadaan itu menyebabkan reputasinya tercemar dan terpaksa melepaskan peluang pekerjaan lain memandangkan iklan yang dikeluarkan itu seolah-olah beliau adalah jurucakap atau duta bagi gedung itu.

“Saya dimaklumkan ia hanya untuk borang peraduan, jika tahu mereka akan menggunakan lebih dari itu, saya akan meminta bayaran setimpal dengan kerja peragaan yang saya lakukan. Mereka hanya menaikkan kredit belian dan saya tidak setuju dengan perkara itu.

“Ia menutup periuk nasi saya sedangkan saya tidak mendapat apa-apa kebaikan daripada pekerjaan saya lakukan itu. Kebiasaannya bagi kerja iklan komersial televisyen, poster, papan tanda dan yang lain saya akan mendapat bayaran antara RM15,000 hingga RM40,000 dan itu adalah jumlah minimum,” katanya.

Eja yang juga pengacara dan peragawati, menuntut ganti rugi RM240,000 daripada Gulati’s kerana mendakwa syarikat itu melanggar perjanjian lisan antara mereka.

Menjawab soalan peguam Rejinder Singh yang mewakili Gulatis, beliau mengakui tidak membuat perjanjian bertulis kerana ia dibuat atas dasar seorang rakannya yang bernama Yamin yang bekerja di situ dan hanya gambar kecil digunakan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...