Wednesday, August 13, 2008

Banyak Lakukan Kesilapan, Cabaran Olimpik Mew Choo Berakhir - BERNAMA

13 Ogos, 2008 21:03 PM

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 13 Ogos (Bernama) -- Pemain perseorangan wanita Malaysia Wong Mew Choo gagal meneruskan saingannya pada Sukan Olimpik di sini setelah melakukan banyak kesilapan ketika tunduk 7-21, 27-29 kepada pilihan ketiga Lu Lan dari China pada perlawanan suku akhir hari ini.

Setelah tewas mudah set pertama, Mew Choo dilihat mampu memenangi set kedua tetapi beliau sembilan kali gagal menamatkan set itu.

Perlawanan set kedua pada mulanya agak seimbang tetapi Mew Choo kemudian kembali mendapat keyakinan untuk mendahului 14-9 dan selepas itu pada kedudukan 20-14, beliau banyak melakukan kesilapan dan kesempatan itu diambil oleh Lan untuk menang 29-27 dan layak ke separuh akhir.

Perlawanan set kedua itu mencatatkan mata tertinggi sehingga kini pada Sukan Olimpik di sini.

"Lu Lan memang bersedia sepenuhnya dan saya tidak dapat mencari kelemahannya sewaktu set pertama. Saya cuba menyerang kiri dan kanan tetapi dia sentiasa bersedia. Tangan saya macam tak dengar cakap dan Lu Lan bertambah yakin dan saya buat banyak, banyak kesilapan," kata Mew Choo yang jelas sugul dengan kekalahan itu.

Pemain berusia 25 tahun itu merupakan pemain wanita Malaysia pertama yang beraksi pada Sukan Olimpik dan sebelum ini pernah menewaskan Lan dua kali daripada lima pertemuan.

Dalam satu lagi perlawanan suku akhir perseorangan wanita pagi tadi, pemain Indonesia Maria Kristin Yulianti dipaksa bekerja keras pada set pertama sebelum menang 28-26 ke atas pemain India Saina Nehwal dan kemudian layak ke separuh akhir untuk bertemu juara bertahan Zhang Ning dari China.

Pasangan beregu lelaki Malaysia Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong akan turun beraksi pada perlawanan suku akhir malam ini menentang pilihan utama dan juara dunia Markis Kido dan Hendra Setiawan dari Indonesia.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...