Thursday, February 5, 2009

ADUN Pangkor MB Perak baru - mStar Online

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Subang sebentar tadi.

Beliau berkata Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah memperkenan pemilihan Zambry sebagai Menteri Besar.

Upacara mengangkat sumpah Menteri Besar baru itu akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 3.30 petang, esok.

Upacara mengangkat sumpah Exco pula akan diadakan pada 10 Feb pukul 10 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Dalam pada itu, Setiausaha Umno Negeri Perak, Datuk Ramly Zahari ketika dihubungi mengucapkan tahniah diatas perlantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

"Tahniah kepada ADUN Pangkor, kami (Umno Perak) menyambut baik keputusan yang dibuat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang juga mendapat perkenan Sultan Perak berhubung lantikan itu," katanya.

Beliau berharap semua pihak sama-sama berganding bahu mentadbir Perak dengan baik demi kepentingan rakyat.

"Selepas ini semua pihak kena bekerja keras untuk memastikan pembangunan untuk rakyat dilaksanakan dengan segera.

"Tambahan pula keadaan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak ketika ini hampir sama sewaktu Pakatan Rakyat dahulu kerana kelebihan majoriti yang kecil.

"Jadi tumpuan kepada pembangunan serta kebajikan rakyat harus diutamakan bagi memastikan Perak terus kekal mentadbir Perak," katanya.

Bagaimanapun petang tadi, Zamry ketika duhubungi memaklumkan calon bagi Menteri Besar baru masih belum diputuskan.

"Setakat sekarang kita belum putuskan siapa calonnya dan saya fikir paling cepat kemungkinan esok pagi untuk Menteri Besar baru angkat sumpah," katanya.

Kedah waspada, Adun PKR diawasi rapi

Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri | Feb 5, 09 8:52pm

Di saat kerajaan Perak di ambang kejatuhannya, Pakatan Rakyat di Kedah pula kini menjadi sasaran seterusnya BN susulan terdapat beberapa wakil rakyat gabungan tersebut didakwa "berisiko tinggi" untuk melompat parti.

Malaysiakini difahamkan bahawa wakil-wakil rakyat terbabit kini diletakkan dalam pengawasan ketat kepemimpinan Kedah dan Pakatan Rakyat.

Dalam keadaan berwaspada, pergerakan mereka kini difahamkan dipantau rapi kerana wujud dakwaan mereka sedang dijadikan sasaran terbaru untuk ditarik melompat menyertai BN.

jamaluddin mat radzi and osman jailu perak pkrUsaha sejak tahun lepas dipergiatkan kembali minggu lalu, serentak dengan usaha memujuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan DAP di Perak.

Difahamkan, usaha ini turut melibatkan sebuah jabatan kerajaan.

Projek BN ini berkaitan usaha menumbangkan satu demi satu kerajaan negeri pimpinan gabungan pembangkang itu, bermula di Perak yang kini hanya menunggu saat rasmi kejatuhannya.

Pakatan Rakyat memerintah Kedah dengan kelebihan lapan kerusi - 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, manakala BN pula 14 kerusi.

Kerusi milik Pakatan itu terdiri daripada 16 kerusi PAS, lima kerusi PKR dan satu kerusi DAP.

Susulan usaha menarik wakil-wakil rakyat PKR di Kedah semakin rancak, exco kerajaan Kedah V Arumugam membuat laporan polis awal minggu ini dengan dakwaan beliau, keluarganya dan pegawainya diugut.

Adun PKR Bukit Selambau itu juga mendakwa ada pihak menawarkan sejumlah wang tetapi enggan mendedahkan jumlahnya dan pihak terbabit.

Menang atas tiket bebas pada pilihanraya umum lalu, Arumugam kemudiannya menyertai PKR sebelum dilantik pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Malam tadi, sebuah stesen televisyen mendedahkan kisah peribadi beliau - dipercayai satu strategi menekan beliau selepas membuat aduan polis tersebut.

Tiga Adun PKR yang didakwa menjadi sasaran BN: Tan Wei Xu (Bakar Arang), Mohd Rahzi Salleh (Lunas) dan Lim See Nee (Kulim).

Seorang lagi Adun Sidam, Tan Chow Kang dikatakan "tidak goncang" walaupun selepas usaha memujuknya melompat kepada BN.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Lim menafikan beberapa Adun PKR dikuarantin di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Azizan Razak untuk mengelak mereka berpindah parti.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan usaha melobi mereka agar menyertai BN.

Susulan perkembangan itu khususnya kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, sidang mesyuarat tergempar semua Adun dan ahli parlimen Kedah dijadualkan jam 4 petang ini.

mahfuz omar utusan malaysia lawsuit 231208 01Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (foto kiri) berkata mesyuarat tadi bertujuan memberikan taklimat terkini perkembangan krisis rampasan kuasa BN di Perak kepada semua wakil rakyat Pakatan di Kedah.

Tambahnya, usaha BN memindahkan sokongan Adun-Adun Pakatan di Kedah kepada BN tidak berjaya.

Ahli parlimen PKR Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Adun PAS Bukit Lada, Ahmad Izzat Shauki turut menafikan wujud usaha mengkuarantin wakil-wakil rakyat PKR.

Dihubungi berasingan hari ini, kedua-duanya menjelaskan semua exco kerajaan PKR berada di majlis perasmian daerah baru Pokok Sena di pejabat daerah jam 10 pagi tadi.

parliament briefing 030408 johari abdulJohari (foto kanan) menambah, memang wujud usaha yang konsisten dan tidak pernah berhenti untuk memancing keluar wakil-wakil rakyat PKR di negeri itu seperti pendedahan Arumugam.

Usaha itu dalam tiga bentuk - ugutan, tawaran jawatan dan sogokan material, katanya lagi.

Memandangkan keadaan itu, kata Johari, semua Adun PKR sentiasa berhubung dengan pemimpin-pemimpin parti dan menafikan mereka ingin meninggalkan parti itu.

Ketua Angkatan Muda PKR Kedah, Saiful Izham Ramli mengesahkan PKR sentiasa memantau wakil-wakil rakyat mereka.

Selain di Kedah, Malaysiakini difahamkan beberapa lagi Adun PKR di Selangor sedang dipantau rapi susulan kebimbangan akan berlaku lompat parti.

Nizar perjelas sebab tidak letak jawatan MB

Feb 5, 09 6:38pm

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah mengutus surat kepada Sultan Azlan Shah menjelaskan sebab-sebab mengapa beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai menteri besar Perak.

perak cm mb mohamad nizar jamaluddinSurat tersebut adalah reaksi kepada titah baginda yang tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak serta Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.

Manakala Setiausaha kerajaan negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan Mohamad Nizar dan semua anggota exconya mengosongkan pejabat mereka dengan segera.

Berikut adalah kandungan penuh surat Mohammad Nizar kepada baginda Sultan:

5 Februari 2009

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah Paduka Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Assalamualaikum

Ampuan Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafa'kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Suhanahu Wata'ala, mudah-mudahan Duli Yang Maha mulia Tuanku sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.

Ampuan Tuanku,


MERAFA' SEMBAH MEMAKLUMKAN PERKEMBANGAN TERKINI DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Warkah yang tidak sepertinya ini sebagai pengganti diri patik untuk menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengenai isu kedudukan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Patik merafa' sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Mah Mulia Tuanku pada pagi ini. Patik memohon izin untuk menyembahkan beberapa perkara:

1. Artikel XVl (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council". Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.

2. Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah sama iaitu 28 orang. Adalah kurang tepat andaian Barisan Nasional mempunyai majoriti. YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak telah memutuskan bahaw Adun bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bukan lagi Adun. YB Yang Dipertua Dewan Undangan

Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak juga telah memfailkan satu permohonan untuk satu perisytiharan bahawa ketiga-tiga Adun berkenaan bukannya Adun untuk kawasan-kawasan tersebut, di Mahkamah Tinggi pada pagi ini. Sewajarnya kita menunggu keputusan mahkamah dalam kes tersebut.

Ampuan Tuanku,


Atas alasan di atas dan berdasarkan prinsip demnokrasi dan Raja Berperlembagaaan, Patik dengan ini merafa' sembah memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang dikehendaki mereka.

Ampuan Tuanku,


Patik dengan ini merafa' sembah bahawa pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara meminta patik untuk tidak meletak jawatan sehingga krisis perlembagaan ini diputuskan oleh Mahkamah atau Dewan Undangan Negeri Perak.

Ampuan Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan seluruh kerabab Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagian yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal 'Alamin

Ampun Tuanku,


Patik dengan segala hormat takzimnya; bagi pihak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat

YAB Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan

Speaker ke mahkamah, mohon kerusi 3 Adun diisytihar kosong

Feb 5, 09 11:04am

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menfailkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh pagi ini, untuk mengisytiharkan tiga kerusi anggotanya - yang dianggap meletakkan jawatan - telah kosong.

perak deputy speaker sivakumar and osman and jamaluddinV Sivakumar berkata beliau telah menerima surat peletakan jawatan ketiga-tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan DAP itu.

Jamaluddin Mohd Radzi (wakil rakyat Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) didakwa menyerahkan surat peletakan jawatan mereka hujung minggu lalu.

Mereka berdua bagaimanapun menafikannya dan mendorong Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak surat peletakan jawatan tersebut.

Suruhanjaya itu juga berpendapat kerusi kedua-duanya tidak kosong dan pilihanraya kecil tidak boleh diadakan.

Adun Jelapang dan juga bekas timbalan speaker DUN Hee Yit Foong didakwa menyerahkan suratnya semalam, tidak lama selepas mengisytiharkan keluar DAP.

Dalam satu kenyataan bersamanya dengan exco kanan negeri Datuk Ngeh Koo Ham, Sivakumar berkata permohonannya untuk memaksa SPR mengiktiraf tiga kerusi itu telah kosong dan memanggil satu pilihanraya kecil.

"Kerajaan negeri juga telah mengiktiraf bahawa mereka (bertiga) bukan lagi wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing," kata Sivakumar dan Ngeh.

"BN tidak boleh mendakwa ia mempunyai majoriti di DUN kerana Pakatan Rakyat masih mempunyai 28 Adun seperti juga BN yang memiliki 28 Adun.

"Kedudukan tiga lagi wakil rakyat itu kini harus diputuskan di mahkamah."

Mereka berkata lagi, dalam keadaan politik tidak menentu saat ini, Speaker dan kerajaan Perak menyokong cadangan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin untuk membubarkan DUN.

Sivakumar dan Ngeh berharap Sultan Perak memperkenan cadangan tersebut.

Perhimpunan besar sokong MB Perak - Malaysia Kini

Abdul Rahim Sabri | Feb 5, 09

Satu perhimpunan penyokong dan ahli Pakatan Rakyat akan diadakan di kediaman menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin malam ini untuk menyatakan sokongan penuh kepadanya dalam menghadapi situasi tidak menentu politik negeri itu.

anwar ibrahimKetua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perhimpunan itu juga bertujuan untuk memberi penjelasan secara terus kepada rakyat berhubung isu-isu yang sedang berlaku.

"Kamu (BN) bercakap tentang demokrasi, tetapi kamu tidak berani untuk berhadapan dengan rakyat.

"Kamu kalah di Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan kamu takut untuk kalah lagi," katanya dalam sidang akhbar, sejurus selepas mempengerusikan satu mesyuarat biro politik di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi.

Hadir sama ialah Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, timbalannya Dr Syed Husin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa BN Perak cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menyokongnya secara terbuka.

Timbalan perdana menteri berkata, dua bekas Adun PKR yang kini sebagai wakil bebas - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) - telah bersetuju menyokong pembentukan kerajaan BN itu.

'Situasi tidak menentu'

Kata Najib, begitu juga dengan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang keluar DAP hari ini dan turut menjadi wakil rakyat bebas.

Manakala Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.

Mengulas lanjut mengenainya, Anwar berkata, PKR dan Pakatan berpandangan bahawa "kita harus tunduk kepada kehendak rakyat".

"Kita mesti bertegas dalam isu ini, kembalikan kuasa kepada rakyat, terutama dalam situasi yang tidak menentu di Perak.

"Cara mengugut, membeli dan melarikan Adun tidak boleh dipertahankan," tegasnya.

nasarudin hashimDitanya mengenai kemasukan Nasarudin ke dalam PKR, Anwar berkata: "Dia datang dengan rela, saya tak jemput dia, dia datang sendiri ke rumah saya dengan isterinya. Dia bersetuju untuk bersama PKR.

"Dia tengok BN telah rosak. Umno sudah hilang idealisme perjuangan dan rosak sebagai sebuah parti," katanya.

'Kembali kepada rakyat'


Menurut Anwar lagi, Nasarudin turut menyatakan bahawa beliau telah hilang keyakinan terhadap Najib.

Mengenai kenyataan Najib bahawa BN sudah mampu memerintah Perak, Anwar membidas timbalan perdana menteri itu sebagai tidak bertanggungjawab.

pkr permatang pc 230808 perak exco jamaluddin and osmanAnwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh menyifatkan alasan Jamaluddin dan Osman bahawa mereka bercuti sakit adalah sebagai satu pembohongan.

"Kenapa tidak memberitahu keluarga, pimpinan parti, menteri besar atau Speaker. Kamu adalah exco, orang di jalanan pun tahu itu tanggungjawab awak," katanya.

Sehubungan itu, Anwar menggesa BN supaya kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baru daripada mereka.

"Serahkan kepada rakyat, biar rakyat tentukan, sekiranya BN berhak memerintah, maka biarkanlah.

"Tapi saya yakin, kita akan mendapat majoriti yang lebih besar," tegas Anwar.

Kenyataan penuh Sultan Perak - MalaysiaKini

Feb 5, 09 5:15pm

Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang
ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.

KENYATAAN MEDIA PEJABAT DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

"Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM
Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

Wednesday, February 4, 2009

Sultan Perak akan buat keputusan esok - Siasah Daily

Siasah Daily

8.00 malam


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin memaklumkan, Sultan Perak dijangka akan membuat keputusan berhubung dengan permohonan beliau untuk membubarkan Dun Perak besok.

Beliau berkata, Sultan Perak meminta tempoh untuk membuat keputusan permohoan itu untuk membolehkan baginda membuat rujukan terhadap beberapa perkara.

Nizar memberitahu perkara ini kepada pemberita yang menyerbu beliau selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pimpinan PAS, Exco dan Adun Pakatan Rakyat Perak di Pejabat Perhubungan PAS Perak dekat sini.

Menurut Nizar, pertemuan itu berjalan dengan baik sekali dan beliau amat terharu dengan cara Sultan Perak mengendalikan hal ini.

"Saya amat terharu apabila di hujung pertemuan itu apabila Baginda Sultan berkata kepada saya dengan membaca satu potong ayat Al Quran," katanya.

Ayat itu yang bermaksud "Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar."

Saya sekadar dikambing hitam, kata Sirul

Feb 4, 09 1:49pm

Tertuduh kedua kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa dia adalah sekadar "kambing hitam yang harus dikorbankan" untuk melindungi rancangan dan niat mereka yang tidak berada dalam mahkamah ini untuk menghadapi pertuduhan.

"Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam," kata Koperal Sirul Azhar Umar dengan nada suara yang sebak ketika memberi keterangan membela diri.

Sirul Azhar, 37, dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman, turut menyentap perasaan mereka yang berada dalam mahkamah dengan merayu agar tidak dijatuhkan hukuman mati, lapor Bernama

"Saya merayu kepada mahkamah yang kini berada di dalam kedudukan dan mempunyai kuasa untuk menentukan hidup dan mati saya, agar tidak menghukum saya sekaligus menyempurnakan perencanaan mereka terhadap saya," katanya sambil dilihat mengesat linangan air mata.

Adik perempuan dan abang saudaranya yang turut berada di galeri awam dilihat turut menangis.

Sirul Azhar mula membacakan nota kenyataan pembelaannya setebal 15 muka surat mulai jam 9.40 pagi, dengan menjelaskan mengenai pertemuannya dengan tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, 33, pada 18 Oktober 2006 di Central Market untuk mencari Hotel Malaya setelah dia selesai bertugas.

"Saya bertanya kepada Azilah apakah tujuan mencari Hotel Malaya dan apakah tujuan untuk ke Damansara (ke rumah Abdul Razak Abdullah Baginda, tertuduh ketiga yang telah dibebaskan dan dilepaskan sebelum ini)?. Azilah memberitahu saya beliau ada kerja yang hendak dilaksanakan dan meminta saya mengikutinya sahaja.

"Dalam perjalanan ke Damansara, Azilah ada menceritakan kepada saya bahawa DSP Musa Safri telah memberitahu beliau hal seorang kawan DSP Musa yang sedang menghadapi masalah perempuan.

"Azilah mengarahkan saya untuk memandu ke rumah kawan DSP Musa yang dimaksudkan di Bukit Damansara. Menurut Azilah kawan DSP Musa adalah seorang berjawatan tinggi, seorang ahli perniagaan dan seorang yang berada.

"Bagaimanapun, Azilah tidak mendedahkan kepada saya identiti kawan DSP Musa itu," katanya.

Sirul Azhar berkata bahawa sepanjang perjalanan, Azilah juga menceritakan bahawa seorang perempuan dan seorang lelaki yang dipercayai abang kepada perempuan tersebut, kedua-duanya berbangsa Cina, telah mengganggu dan membuat kecoh di hadapan rumah kawan DSP Musa.

Menurut Azilah lagi perempuan itu adalah kekasih lama kawan DSP Musa tersebut, katanya.

Sirul Azhar berkata persetujuan untuk membuat rondaan di kawasan rumah Abdul Razak adalah sebagai bantuan kerana beliau mengenali Musa yang merupakan pegawai atasannya dan ia juga adalah arahan daripada Azilah yang juga pegawai atasannya.

Dia turut mengakui telah pergi ke Hotel Malaya (tempat penginapan Altantuya) bersama Azilah pada hari tersebut untuk menemui wanita Mongolia itu tetapi tidak berjaya kerana Azilah tidak tahu yang mana satu biliknya.

Sirul Azhar berkata bahawa pada 19 Oktober 2006, Azilah menelefonnya pada jam 8.45 malam memintanya datang ke rumah Abdul Razak bagi memberi bantuan sokongan sekiranya lelaki dan perempuan Cina yang membuat kecoh itu bertindak ganas.

Katanya, setiba di kediaman tersebut (dengan berjalan kaki kerana kenderaan diletakkan di simpang jalan), dia melihat Azilah sedang bercakap dengan seorang perempuan Cina dan seorang lelaki India, dan apabila Azilah ternampak, dia membuat isyarat tangan supaya Sirul Azhar masuk ke dalam sebuah kereta Wira Aeroback berwarna merah.

"Tidak lama selepas itu saya nampak perempuan Cina itu berjalan menuju ke kereta sambil diikuti Azilah dan lelaki India itu. Perempuan Cina tersebut terus membuka pintu penumpang belakang dan memasukinya," kata Sirul Azhar.

Katanya selepas itu kereta yang dipandu Azilah terus menuju ke simpang tiga dan dia meminta Azilah menurunkannya di situ untuk mengambil kereta.

Azilah kemudiannya mengekori kenderaan Sirul Azhar dan ketika berhenti di sebuah perhentian bas, dia berjumpa dengan Azilah dan dimaklumkan bahawa perempuan Cina itu menunjukkan perilaku dan respon yang baik setelah dinasihati supaya tidak terus membuat kacau di rumah Abdul Razak.

"Saya memberitahu Azilah bahawa memandangkan keadaan adalah terkawal dan saya tidak mempunyai apa-apa peranan lagi saya ingin pulang ke rumah. Azilah kata okay. Selepas itu saya meneruskan pemanduan dari Jalan Damansara membelok ke kompleks kerajaan Jalan Duta.

"Sebelum membelok menghala ke NKVE (New Klang Valley Expressway), saya telah menghubungi Azilah melalui telefon untuk bertanyakan sama ada saya perlu membuat rondaan di kawasan rumah kawan DSP Musa pada keesokan harinya memandangkan Azilah akan bertugas di Putrajaya.

"Menurut Azilah dia telahpun menasihati perempuan Cina tersebut dan perempuan itu bersetuju untuk tidak mengganggu atau membuat kecoh di hadapan rumah kawan DSP Musa lagi. Azilah memberitahu bahawa saya tidak perlu membuat rondaan keesokan harinya," katanya.

Sirul Azhar berkata dia tiba di rumah pada jam 10 malam dan keluar semula pada jam 12 tengah malam menghala ke plaza tol Kota Damansara menuju ke plaza tol Jalan Duta dan seterusnya ke Kampung Baru Kuala Lumpur untuk bersahur.

Dalam perbicaraan lalu, pihak pendakwaan telah mengemukakan laluan-laluan tersebut sebagai laluan alternatif untuk Azilah dan Sirul Azhar membawa Altantuya ke Puncak Alam dari rumah Abdul Razak.

Keterangan Azilah ketika membela diri juga tidak menyatakan Sirul Azhar bertindak pulang ke rumah sebaliknya Sirul Azhar dikatakan telah mengikutinya hingga ke Bukit Aman dan bersetuju menghantar Altantuya ke hotel pada malam tersebut.

Sirul Azhar dan Azilah sedang dibicarakan pada peringkat pembelaan terhadap tuduhan membunuh Altantuya, 28, di satu kawasan antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Sebelum ini, mereka dibicarakan bersama Abdul Razak, 48, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC), yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya. Pada 31 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin memerintahkan agar Abdul Razak, yang juga penganalisis politik, dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat.

Dalam keterangannya hari ini Sirul Azhar berkata bahawa sebelum berlepas ke Pakistan pada 31 Oktober 2006 untuk satu tugasan liputan keselamatan perdana menteri, dia telah meninggalkan kenderaan, iaitu sebuah jip, di tempat letak kereta perkarangan Bukit Aman dan meninggalkan kunci kepada seorang bernama Sarjan Rosli.

"Sebelum berlepas ke Pakistan, saya telah mengemas kenderaan saya dan menyusun rapi barangan di dalamnya termasuklah sepasang selipar berwarna merah yang saya sisipkan dengan rapi di tepi kotak plastik yang besar di bahagian belakang kenderaan," katanya.

Bagaimanapun katanya selipar yang ditunjukkan sebagai eksibit (mempunyai tompokan darah Altantuya) bukanlah miliknya dan tidak sama dengan yang sebelum ini kerana warna berbeza dan saiz tidak sesuai dengan kakinya.

Mengimbas bagaimana dia dibawa ke tempat kejadian, Sirul Azhar berkata ASP Tonny Lunggan (pegawai penyiasat kes itu) telah mengarahkan beberapa orang pegawai polis yang turut membawa kamera video ke satu kawasan pada 6 Nov 2006 tetapi berada di situ sekejap sahaja kerana hari hampir senja.

Sirul Azhar berkata bahawa pada esokannya, ASP Zulkarnain telah memintanya membuat pengakuan dengan berkata "...macam inilah Sirul, kalau kau setuju, engkau ikut aku, kau camkan barang-barang itu, kau pegang dan tunjuk ke arah barang itu sambil jurugambar ambil gambar, aku boleh tolong engkau dan hal ini kita tidak bawa ke mahkamah."

Selepas itu tanpa bertanya apa-apa, Sirul Azhar berkata dia telah mengikuti beberapa anggota polis ke rumahnya dan di situ (rumah) dia melihat ASP Zulkarnain membuka pintu menerusi kunci yang mana sebelum itu dia telahpun menyerahkannya kepada ACP Mastor Mohd Ariff (pegawai atasan UTK) sewaktu di Pakistan.

Bagaimanapun, Sirul Azhar berkata kunci yang ditunjukkan di mahkamah bukanlah kunci rumahnya yang sebenar kerana ia masih berkilat sedangkan kunci miliknya telah lusuh dan banyak.

Katanya, ketika di rumah, dia telah dipaksa memegang jaket dan menunjuk arah barang-barang milik Altantuya untuk dirakam gambarnya dan sewaktu keadaan itu berlaku dia tidak dibacakan apa-apa 'amaran' oleh mana-mana pegawai polis.

"Sebelum saya mengakhiri kenyataan ini, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah mengenali mangsa dalam kes ini dan tidak pernah mempunyai sebarang urusan peribadi mahupun sebaliknya dengan beliau.

"Saya juga tidak mengenali Abdul Razak dan tidak mempunyai sebarang urusan dengan beliau sebelum kes ini. Saya merayu kepada mahkamah ini untuk mengambil kira bahawa sepanjang perbicaraan ini, saya telah mengikuti prosiding ini dan menyaksikan bagaimana beberapa saksi penting pendakwaan terutamanya saksi dari
D9 IPK (siasatan jenayah berat) yang mereka-reka cerita, tidak bercakap benar dan sentiasa berubah-ubah cerita mereka bila disoal balas.

"Saya melihat keadaan ini dengan keperihatinan kerana bagi saya tindakan mereka ini semata-mata bertujuan untuk mendapatkan sabitan terhadap saya," katanya.

Selesai sahaja Sirul Azhar memberi keterangan, peguam Hasnal Redzua Merican yang mewakilinya, menyatakan bahawa pihaknya tidak akan memanggil saksi lain dan menutup kes pembelaan.

Hakim Mohd Zaki menetapkan 16 dan 17 Feb ini untuk semua pihak mengemukakan penghujahan sebelum beliau membuat keputusan.

BN bakal bentuk k'jaan baru Perak - MalaysiaKini

Jimadie Shah Othman | Feb 4, 09 5:06pm

Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa BN Perak cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menyokongnya secara terbuka hari ini.

Timbalan perdana menteri berkata, dua bekas Adun PKR - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah bersetuju menyokong pembentukan kerajaan BN itu.

najib announce new bn perak state govt 040209 07Begitu juga dengan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang keluar DAP hari ini. Ketiga-tiganya kini sebagai wakil rakyat bebas.

Manakala Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.

Najib berkata, Jamaluddin, Osman dan Hee menyatakan perkara itu kepadanya semalam.

"Dan hari ini Datuk Nasarudin berjumpa dengan saya dan menyatakan ingin kembali (ke pangkuan Umno)," katanya dalam sidang akhbar khas di pejabatnya di Putrajaya.

Keempat-empat mereka turut hadir di sidang akhbar tersebut.

Najib menambah, Jamaluddin, Osman dan Hee telah memaklumkan melalui surat kepada Sultan Perak bahawa mereka telah meninggalkan parti masing-masing.

najib announce new bn perak state govt 040209 08Menurutnya, keempat-empat mereka telah memberikan mandat dan akujanji untuk mencalonkan wakil rakyat BN sebagai nama menteri besar baru menggantikan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin.

Katanya, keempat-empat mereka telah memaklumkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V Sivakumar, PKR dan DAP bahawa mereka bukan lagi ahli parti-parti tersebut.

Najib berkata, berdasarkan Fasal 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, menteri besar - apabila hilang keyakinan dan majoriti - dan barisan exconya harus meletakkan jawatan.

Katanya, beliau akan menghadap Sultan Azlan Shah secepat mungkin bagi memaklumkan penubuhan kerajaan baru BN.

Ditanya tarikh beliau akan ke istana, Najib berkata, ia bergantung kepada perkenan baginda.

najib announce new bn perak state govt 040209 12Najib juga menafikan wujud paksaan atau penggunaan wang untuk membeli wakil-wakil rakyat itu dalam proses pembentukan kerajaan baru.

Ditanya pertuduhan rasuah yang dihadapi oleh Jamaluddin dan Osman, timbalan perdana menteri enggan mengulas dengan berkata "ia adalah isu yang berbeza".

Ditanya sekiranya Sultan bersetuju membubarkan DUN Perak seperti yang diminta oleh Pakatan Rakyat, Najib berkata, kuasa mutlak di tangan baginda.

"Apa-apa perkara, itu akan diputuskan oleh Sultan," katanya.

Ditanya bagaimana BN hendak membentuk kerajaan memandangkan tiga daripada Adun yang menyokong parti sebagai wakil-wakil rakyat bebas, Najib berkata, mereka adalah "Adun bebas yang menyokong BN".

Katanya lagi, apabila undian dijalankan di DUN nanti, BN yang mempunyai 28 kerusi akan mendapat sokongan tiga Adun bebas terbabit.

Pakatan Rakyat kini mempunyai 28 kerusi.

Bagaimanapun, Speaker DUN tidak boleh mengundi, jadi Pakatan hanya mempunyai 27 kerusi.

Mengulas isu moral melompat parti, Najib berkata: "Kita tidak mulakan, siapa yang bercakap pada 16 September".

Ditanya tentang negeri lain yang mungkin diambil alih BN, Najib enggan mengulas dan berkata "itu cerita lain".

Ditanya bilakah beliau mula berbincang dengan Adun-adun berkenaan untuk meninggalkan PKR dan DAP, Najib berkata, beliau tidak perlu memberitahu "sama ada pagi, petang atau malam".

MB gagal bubar DUN Perak - MalaysiaKini

Feb 4, 09

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak belum dibubarkan selepas menteri besar menghadap Sultan petang ini walaupun kerajaan Pakatan Rakyat itu ingin memanggil pilihanraya negeri secara mengejut.

Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menghabiskan masa hampir dua jam di istana berusaha menghadap Sultan Azlan Shah untuk memaklumkan keputusan itu selepas empat wakil rakyat kerajaan negeri itu berpaling tadah.

Selain tiga bekas Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) PKR dan DAP keluar parti masing-masing, wakil rakyat Bota, Datuk Nasharuddin Hashim - menyertai PKR selama 10 hari - kembali menyokong parti asalnya.

Mohamad Nizar kelihatan masuk Istana Kinta di Ipoh jam 3.50 petang untuk menghadap Sultan Perak selepas mengumumkan kerajaan pimpinannya ingin membubarkan DUN dan berharap baginda memperkenan keputusan tersebut.

Desas-desus tentang pembubaran DUN itu sejak menjelang tengah hari berakhir dengan kenyataan menteri besar "terserah kepada tuanku" sewaktu keluar istana jam 5.35 petang.

Beberapa pemimpin kanan PAS dan wakil-wakil rakyat Pakatan yang dihubungi Malaysiakini sejak bermula desas-desus ini enggan memberi sebarang ulasan buat masa sekarang.

Adun Jelapang dan juga Timbalan Speaker DUN Hee Yit Foong meninggalkan gabungan tersebut pagi ini.

Jamaluddin Mohd Radzi (wakil rakyat Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) keluar parti beberapa hari ini lalu - memulakan pergolakan politik di negeri itu yang kelihatan berakhir dengan pembentukan kerajaan baru BN.

Dengan tindakan empat Adun itu, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak kini tinggal 28 daripada 59 kerusi DUN.

Tiga bekas Adun kerajaan campuran itu kini menjadi wakil rakyat bebas dan menyatakan sokongan kepada BN, membolehkan parti itu merampas tampuk kerajaan dengan majoriti tipis tiga kerusi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...