Thursday, July 16, 2009

Wabak H1N1 di UiTM 'amat membimbangkan'

Penularan wabak selesema A (H1N1) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu "amat membimbangkan", kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.

Daripada 10 kes yang direkodkan hari ini, semuanya tempatan, sembilan daripadanya daripada kampus cawangan Melaka institusi pengajian tersebut.

"Saya kecewa keadaan di Melaka semakin menular dan telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican untuk meneliti sendiri perkara tersebut," Liow dipetik berkata.

"Kampus UiTM di Melaka mesti dipantau, dan jika perlu, beberapa fakulti mungkin perlu ditutup buat sementara," katanya seperti laporan laman web The Star.

Semalam, lapan lagi mahasiswa disahkan positif diserang virus selesema A (H1N1), semuanya pernah berhubung dengan mereka yang dijangkiti wabak di UiTM Melaka.

Bagaimanapun Dr Mohd Ismail menyifatkan keadaan di situ "terkawal dan Pusat Kesihatan UiTM sedang mengambil langkah kawalan dan pencegahan."

Kelmarin, enam daripada pelajar institusi pengajian itu disahkan positif, sementara beberapa puluh yang lain masih dikuarantin sejak hujung minggu lalu.

Liow waktu itu berkata satu pasukan kakitangan kesihatan dikerahkan ke UiTM untuk membuat saringan terhadap pelajar untuk mengawal penularan dalam komuniti.

Dengan 10 kes terbaru itu, jumlah keseluruhan jangkitan virus A (H1N1) meingkat kepada 835 kes, termasuk 273 kes tempatan.Menurut kenyataan rasmi Dr Mohd Ismail petang ini, daripada 10 kes tersebut, lapan kes menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala dua kes sedang dirawat di hospital, iaitu masing-masing satu kes di Hospital Melaka dan di Hospital Sungai Buloh.

"Tiada kematian akibat influenza A (H1N1) dilaporkan setakat ini," katanya.

"Jumlah pesakit influenza A (H1N1) yang sedang dirawat di hospital seramai 25 orang (atau 3 peratus) manakala sejumlah 105 (13 peratus) menerima rawatan sebagai pesakit luar di rumah.

"Baki 705 (84 peratus) telah sembuh dari jangkitan influenza A (H1N1)."

Tambang teksi, bas sekolah naik

Tambang teksi bagi satu kilometer pertama dinaikkan dari RM2 kepada RM3 mulai 1 Ogos.

Dalam pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz di Kuala Lumpur hari ini, bagi jarak setiap 115 meter, kadarnya adalah 10 sen.

Kadar lama, kenaikan 10 sen untuk setiap 150 meter.

Teksi yang menunggu penumpang pula, kadar terbaru 10 sen untuk setiap 21 saat berbanding dahulu untuk 45 saat.

Caj tambahan 50 peratus bagi perkhidmatan selepas 12 tengah malam masih dikekalkan tetapi ia dihitung sewaktu penumpang turun, bukan sewaktu memasuki teksi.

Selain itu, kadar tambang bas sekolah berhawa dingin dibenarkan naik sehingga 30 peratus bermula tarikh yang sama, katanya.

Di kawasan bandar, kenaikan tambang dari RM21.10 ke RM27.43 bagi satu kilometer, dan dari RM1.55 ke RM2.02 bagi setiap satu kilometer tambahan.

Tambang bas ekspres pula dinaikkan 2 sen bagi setiap kilometer, manakala tambang bas henti-henti di Kuala Lumpur akan dinaikkan 25 sen hingga 70 sen mengikut zon-zon tertentu

Chua Jui Meng akan sertai PKR? - MalaysiaKini

Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Ji Meng dipercayai akan melompat parti untuk menyertai PKR di satu majlis hujung minggu ini.

Chua telah memanggil mesyuarat tergempar MCA Bakri malam ini di mana beliau dijangka melepaskan jawatan ketua bahagian berkenaan.

Difahamkan timbalannya, Sia Ka Tuan, dijangka akan memangku jawatan ketua bahagian berkenaan.

Chua, 64, bekas menteri kesihatan dan seorang peguam, mengetuai bahagian Bakri sejak 23 tahun yang lalu.

Beliau bertanding jawatan timbalan presiden MCA tetapi tewaskan kepada Datuk Seri Ong Ka Ting pada 2005 dan Datuk Seri Ong Tee Keat pada 2008.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menggunakan kemasukan Jui Meng ke dalam PKR untuk meningkatkan sokongan kepada gabungan pembangkang yang kini berdepan dengan krisis dalaman dan kebangkitan semula BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, ketika ditemui di mahkamah yang mendengar kes liwat terhadapnya, Anwar enggan mengulas mengenai perkara itu.

Katanya, terpulang kepada Chua untuk membuat pengumuman mengenainya.

Difahamkan, PKR bercadang mengadakan satu majlis Sabtu ini untuk "mengalu-alukan" kemasukan Chua menyertai parti itu.

Tuesday, July 14, 2009

Enam parah, 22 cedera ringan dalam kemalangan bas

SEBUAH bas RapidKL merempuh penghadang jalan lalu terjunam ke atas laluan motosikal yang menghala ke arah Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur sebentar tadi

KUALA LUMPUR: Sebuah bas RapidKL yang membawa 28 penumpang dari Shah Alam menuju ke Kuala Lumpur terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di susur keluar Jalan Pantai Baru dekat Lebuhraya Persekutuan di sini hari ini menyebabkan enam penumpang cedera parah.

Kejadian pada kirakira pukul 1.30 tengah hari itu mengakibatkan dua penumpang lelaki dan empat penumpang wanita cedera parah, manakala 22 penumpang yang lain bersama pemandu bas itu mengalami kecederaan ringan.

Kejadian berlaku apabila bas itu dikatakan hilang kawalan selepas sebuah kereta tiba-tiba memotong ke kiri laluannya menyebabkan bas itu melanggar pembahagi jalan sebelum jatuh ke laluan motosikal pada ketinggian lima meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Norizan Abu Bakar berkata semua penumpang dan juga pemandu bas itu yang terdiri daripada 16 lelaki dan 12 wanita, dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini untuk rawatan.

"Kami terima panggilan lima minit selepas kejadian dan apabila sampai kami lihat orang ramai sedang mengeluarkan mangsa dari bas itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata 10 anggota dari Balai Bomba Pantai dengan satu jentera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dan mereka mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan semua mangsa.

"Tiada motosikal melalui laluan itu ketika kejadian kerana laluan motosikal itu ditutup," katanya sambil berkata punca kejadian sedang disiasat.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata enam yang cedera parah dalam kejadian itu kini menerima rawatan di PPUM.

"Dua lelaki itu dimasukkan ke unit rawatan rapi, tiga wanita ditempatkan di bilik rawatan lanjut, dan seorang lagi wanita berada di bilik rawatan susulan," katanya ketika ditemui di PPUM.

Beliau berkata dua buah ambulans dari PPUM dan sebuah dari Persatuan Bulan Sabit Merah dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dan kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan.

Seorang penumpang yang ditemui, Juriah Salleh, 37, berkata sebuah kereta tibatiba memintas bas menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan terhempas di laluan motosikal.

Juriah yang duduk di bahagian tengah bas berkata semua penumpang terperosok ke bahagian hadapan bas semasa bas itu menjunam dan terhempas ke laluan motosikal.

Katanya beliau bersyukur kerana hanya mengalami cedera ringan.

Seorang lagi penumpang, Khain Waun Nai, 37, warga Myanmar berkata semasa di dalam bas beliau berada di tempat duduk belakang manakala isterinya Yu Yu Khaing, 30, di bahagian depan bas.

"Tiba-tiba bas hilang kawalan dan masuk ke laluan motosikal. Saya bangun tengok isteri saya sudah pengsan dan berbuih mulut," katanya.

Beliau yang hanya mengalami kecederaan di tangan kiri bersyukur kerana terselamat manakala isterinya hanya mengalami lebam di mata kiri. BERNAMA

PAS menang nyawa-nyawa ikan

Keputusan rasmi Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah, seorang pemborong ikan, menang dengan majoriti "nyawa-nyawa ikan" sebanyak 65 undi.

PAS mendapat 5,348 undi sementara calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 5,283 undi.

Monday, July 13, 2009

Komen negatif Najib: Pengacara ntv7 kena tukar - MalaysiaKini

Semuanya berpunca daripada kenyataan salah seorang tetamu jemputan dalam programnya - Point of View - di ntv7 yang memberi pemeringkatan 'C' atau 'D' terhadap prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi 100 hari pentadbirannya.

Ekoran itu, pengacaranya, Florence Looi menerima surat amaran dan terus ditukar ke meja berita stesen swasta tersebut.

Looi didakwa telah melanggar dasar redaksi pengarangnya, kata sumber-sumber ntv7.

Dua tetamu jemputan program tersebut - yang dipancarkan pada 5 Julai lalu - ialah penulis Syed Akhbar Ali dan editor perunding, Leslie Lau dari Malaysian Insider. Lau yang memberi pemeringkatan 'C' atau 'D' bagi pentadbiran Najib.

Sumber-sumber itu berkata, Looi selepas itu diberitahu secara lisan bahawa dia tidak seharusnya meminta mereka memberi pemeringkatan terhadap prestasi Najib,

Oleh kerana Looi merupakan pengacara yang juga penerbit program tersebut, maka hanya dia seorang sahaja yang diberi surat amaran tersebut.

Looi, yang merupakan editor tugasan, kemudiannya telah ditugaskan untuk membuat liputan berita, atas alasan kekurangan petugas di meja berita.

Insiden tersebut mungkin 'menguburkan' program 'Point of View', yang baru tamat musim keduanya. Sehingga ini, belum ada pengumuman sama ada program itu akan dilanjutkan ke musim ketiganya.

Bagaimanapun, sumber-sumber itu percaya, sekiranya program itu diteruskan, ia akan dikendalikan oleh pengaracara baru.

Ketika dihubungi, Looi enggan mengulas mengenainya dan usaha untuk menghubungi pihak pengurusannya juga belum berhasil.

Ntv7 adalah salah sebuah daripada empat stesen TV swasta milik syarikat gergasi media - Media Prima Bhd - yang ada kaitan dengan Umno. Tiga lagi stesen miliknya ialah TV3, 8TV dan tv9.

Begitu juga dengan berita mengenai banglo mewah milik bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo di Shah Alam di mana ianya hanya sempat disiarkan dalam berita Mandarin jam 5.30 petang di ntv7.

Selepas itu, berita itu tidak lagi disiarkan oleh buletin berita di stesen lain milik Media Prima.

'Hanya satu pandangan'

Sementara itu, pengarah eksekutif Pusat Kewartawan Bebas, V Gayathry membidas ntv7 kerana mengamalkan saringan kendiri.

“Komen oleh tetamu jemputan mengenai pretasi (Najib) bukanlah sesuatu yang kritikal, tetapi hanya satu pandangan,” katanya.

Menurutnya, Looi dihukum kerana bertanyakan satu soalan penting ketika semua orang lain membuat penilaian tentang prestasi Najib.

“Program tersebut telah memberi ruang yang baik untuk perbincangan (dan Looi menjalankan tugasnya dengan baik),” tegasnya.

Menurut Gayathry lagi, ketika Najib dilantik perdana menteri, Media Prima telah mengeluarkan arahan kepada empat stesen TV miliknya itu supaya tidak menyebut nama penganalisis politik - Abdul Razak Baginda - ketika melaporkan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Razak merupakan teman karib Najib.

"Kita ingin bertanya sama ada menjadi dasar Najib di mana mereka yang ditempatkan di stesen TV, mengamalkan saringan kendiri,” tambah Gayathri.

Program 'Point of View' disiarkan jam 6 petang hari Ahad. Tetamu jemputannya membincangkan tajuk-tajuk panas seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dasar penukaran bahasa, pendidikan bahasa ibunda, tanggungjawab pihak polis dan yang terbaru, skandal PKFZ.

Sejak Najib mengambil alih kuasa, pegawan tinggi media yang ada kaitan dengan mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah diganti.

Mereka yang berkhidmat sewaktu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik semula menerajui media, sehingga mencetuskan persepsi akan mewujudkan suasana media yang lebih banyak sekatan.

Bekas pengarang kumpulan New Straits Times, Datuk Ahmad Talib kini dilantik sebagai pengarah eksekutif berita dan operasi jabatan pengarang di Media Prima, serta sebagai pengarah ksekutif (jabatan pengarang) di New Straits Times Press.

Bekas pengarang kumpulan Berita Harian, Datuk Manja Ismail dilantik sebagai pengarang kumpulan NTV7, 8TV, TV9 dan rangkaian radio, bagi membantu Ahmad.

Nik Aziz isytihar esok cuti umum

Kelantan mengisytiharkan esok sebagai cuti umum bagi semua penjawat awam yang bekerja di negeri itu selepas mengambil kira kepentingan umum, memandangkan pilihanraya kecil DUN Manek Urai.
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hari mengundi yang ditetapkan esok boleh menimbulkan banyak kesulitan kepada pengundi kerana ia diadakan pada hari bekerja, lapor Bernama.

"Saya isytihar esok 14 Julai (Selasa) sebagai cuti umum bagi seluruh negeri Kelantan, diambil atas sebab 'cuti peristiwa'.

"Dalam semangat prodemokrasi, kami mesti mengutamakan kepentingan rakyat dan mendahulukan pencapaian," Nik Aziz dipetik berkata.

Pilihanraya kecil kerusi DUN itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50.

Ia diadakan susulan kematian ADUN PAS Ismail Yaakob pada 22 Mei
lepas.

Bercakap di sidang akhbar di pejabatnya di Kota Bharu hari ini, Nik Abdul Aziz berkata cuti semasa pilihan raya kecil bukanlah perkara baru, malah pernah dilaksanakan kerajaan Pulau Pinang semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ogos lalu.

"Saya tidak tahu mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan hari mengundi pada hari bekerja, sepatutnya (diadakan pada) hari cuti mingguan dan cuti sekolah," katanya seperti dilaporkan.

Menurut agensi berita itu lagi, beliau seterusnya menasihatkan pengundi kawasan DUN Manek Urai supaya beramai-ramai keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab itu "sebagai satu
ibadah".

Tambahnya, beliau bersyukur orang ramai kini semakin matang berpolitik apabila tidak berlaku sebarang kejadian tidak ingini sepanjang kempen pilihanraya kecil tersebut sehingga ini.

Saturday, July 11, 2009

Polis jejaki 6 lelaki termasuk Datuk disyaki Ah Long

KUALA LUMPUR: Polis sedang berusaha menjejaki enam lelaki termasuk seorang berpangkat Datuk, disyaki anggota satu kumpulan Ah Long, yang bukan sahaja mempunyai rangkaian dalam negara tetapi juga di beberapa negara jiran lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, kesemua lelaki terbabit berumur lingkungan 30 hingga 56 tahun dan dipercayai berada di Malaysia.

"Kumpulan terbabit merupakan 'kepala' bagi beberapa geng Ah Long yang lain termasuk di negara jiran.

"Bertindak atas laporan itu satu pasukan khas telah dibentuk dengan kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman bagi mengesan serta menumpaskan kumpulan itu hingga ke peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan dan Konvokesyen Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) hari ini.

Beliau berkata selain menggembleng tenaga di peringkat PDRM, polis turut berganding bahu bersama beberapa agensi berkaitan termasuk Kerajaan Tempatan bagi mengesan kumpulan itu.

"Polis turut menyiasat sama ada kumpulan ini berselindung di sebalik kegiatan asal mereka dengan menjalankan perniagaan lain bagi mengaburi mata polis," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut pertanyaan sama ada anggota kumpulan Ah Long itu terdiri daripada ahli politik.

Mohd Bakri berkata polis masih belum dapat mengenalpasti jika kumpulan itu mempunyai kaitan dengan satu lagi kumpulan Ah Long, dikenali sebagai Kristal 9 yang terlibat mengurung, mendera dan merantai leher serta kaki tiga lelaki gagal membayar hutang di sebuah rumah kedai di kawasan Perindustrian Bukit Serdang, 27 Mei lepas.

"Kita tidak menolak kemungkinan kumpulan-kumpulan Ah Long yang ada mengenali antara satu sama lain, tetapi kita belum dapat pastikan sama ada mereka terlibat dalam kes mengurang tiga lelaki terbabit atau tidak," kata beliau.

Katanya polis akan terus menjalankannya operasi secara bersepadu bagi mengekang kekerasan serta jenayah yang sering ditimbulkan oleh geng Ah Long. "Kita akan tanganinya secara total," tegas Mohd Bakri.

Beliau meminta orang ramai yang pernah diugut oleh geng-geng Ah Long supaya tampil memberi maklumat kepada polis dan memberi jaminan bahawa polis akan mengambil langkah sepatutnya untuk memastikan keselamatan mereka tidak terancam.

"Kita dapat laporan ada individu yang pernah diugut dan diancam oleh genggeng Ah Long, namun apabila pihak polis mahu mengambil keterangan dari mangsa, mereka pula menolak dan enggan bekerjasama. Jika keadaan ini berlaku bagaimana kami mahu bawa geng-geng Ah Long ini ke muka pengadilan," katanya. BERNAMA

Nasha akui dihalang ke Manek Urai - MalaysiaKini

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa mengakui terdapat halangan daripada badan perhubungan PAS Kelantan terhadapnya daripada berkempen di Manek Urai sebelum ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bachok itu berkata, andaian yang dibuat terhadapnya tidak tepat dan beliau diminta pimpinan tertinggi PAS supaya turun padang.

"Memang ada keputusan daripada perhubungan negeri demikian. Dan saya akur kepada keputusan tersebut.

nasharuddin nik aziz manek urai 110709 nasha pc"Tetapi selepas kita melihat kepada keadaan dan suasana, sebagaimana disebut Tok Guru (Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat) dan juga presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sendiri - setelah berada di lapangan - mengatakan bahawa andaian itu banyak yang tidak tepat.

"Jadi, saya diminta presiden dan Tok Guru supaya turun ke Manek Urai," katanya ketika ditemui pemberita selepas solat Dhuha bersama Nik Aziz di Kampung Perial pagi tadi.

Hadir sama dalam program itu, calon PAS Mohd Fauzi Abdullah atau Abe Uji.

Ia merupakan program pertama Nasharuddin setelah ketidakhadirannya di Manek Urai, termasuk pada hari penamaan calon Ahad minggu lalu.

"Kehilangannya" itu telah menimbulkan pelbagai andaiaan, terutama sekali apabila beliau sebelum ini ditegur Nik Aziz berhubung isu kerajaan perpaduan.

Mengulas lanjut, Nasharuddin mengesahkan bahawa beliau sakit dan mendapatkan rawatan di hospital sebelum ini, seperti dilaporkan media.

Ditanya sama ada beliau merupakan "mangsa persepsi", Nasharudin berkata beliau akan menjelaskan perkara itu, bersama isu-isu lain selepas pilihanraya kecil Manek Urai 14 Julai ini.

Katanya, beliau mengambil sikap tidak memberikan respons kepada media sebelum ini kerana mendakwa "media Malaysia tidak bebas untuk melaporkan".

Ditanya tentang jangkaan isu yang akan dimainkan BN, beliau berkata: "Saya lihat mereka (BN) tidak ada isu."

Beliau juga enggan menjawab soalan mengenai pendiriannya sekarang berhubung isu kerajaan perpaduan.

Kadar tol turun 20 peratus

11/07/2009 11:55am

KUALA LUMPUR 11 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penurunan kadar tol sebanyak 20 peratus bagi pengguna lebuh raya yang kerap menggunakan kemudahan tersebut.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau berucap pada majlis meraikan 100 hari pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...