Sunday, June 8, 2008

30 motor rentung

PETALING JAYA 7 Jun - Lebih 30 buah motosikal rentung dan puluhan yang lain rosak dalam satu kebakaran di ruang letak motosikal di pusat membeli belah Sunway Pyramid di sini malam ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran tersebut daripada pengurusan Sunway Pyramid kira-kira pukul 7.30 petang dan berjaya mengawal keadaan kira-kira pukul 8.15 malam.

"Sebuah jentera bersama seorang pegawai dan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

"Ketika tiba api sedang marak. Anggota bomba terpaksa menggunakan alat pernafasan ekoran asap yang tebal," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Jurucakap itu berkata, punca kebakaran masih belum diketahui dan pihak bomba masih menunggu laporan daripada unit forensik.

Sementara itu, Pengurus Besar Pemasaran Dan Pengurusan Sunway Pyramid, Kevin Tan berkata, kebakaran berlaku di tingkat paling bawah bangunan tersebut iaitu di B3 dan disedari oleh pengawal keselamatan kompleks berkenaan.

Menurutnya, jumlah sebenar motosikal yang musnah akibat kebakaran itu masih belum diketahui dan ia merupakan kejadian pertama di pusat membeli belah tersebut.

"Bagaimanapun kami bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan," jelasnya.

Dalam pada itu, salah seorang pemilik motosikal terlibat, Nik Shahiran Che Ismail, 21, berkata, dia hanya mengetahui kebakaran itu ketika mahu pulang ke rumah kira-kira pukul 9.30 malam.

Seorang lagi pemilik motosikal, Mohd. Rizal Mohd. Ridzuan, 19, berkata, dia bernasib baik kerana kenderaannya tidak terbakar.

"Walaupun tidak rentung, tetapi motosikal saya rosak kerana abu yang melekat pada badan motosikal," jelasnya.

ANTARA puluhan motosikal yang musnah dalam kebakaran di tempat letak motosikal di pusat membeli belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, malam tadi.

utusan online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...