Thursday, August 7, 2008

Anwar Mengaku Tidak Bersalah Pertuduhan Liwat Saiful, Dibebas Dengan Bon Peribadi - BERNAMA

07 Ogos, 2008 15:59 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dibebaskan dengan jaminan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin setelah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang lazimnya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Ketika mebenarkan ikat jamin itu, Hakim S. M. Komathy Suppiah berkata undang-undang menetapkan bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya dan bahawa ikat jamin dikenakan bagi menentukan kehadiran orang itu.

"Saya tidak fikir Anwar akan menghilangkan diri. Jadi, saya akan membenarkan anda dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin," katanya.

Terdahulu, Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun yang mengetuai pasukan pendakwaan, tidak membantah jika mahkamah membenarkan ikat jamin tetapi meminta jumlah ikat jamin ditetapkan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa Anwar diserahkan kepada mahkamah.

Beliau berkata pertuduhan yang dihadapi oleh Anwar adalah serius dan tidak boleh diikat jamin, tetapi mengikut undang-undang, mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan ikat jamin.

Sulaiman Abdullah, yang mengetuai sekumpulan peguam Anwar, memohon hakim menggunakan budi bicaranya mengikut Seksyen 388 (2) Kanun Acara Jenayah untuk membebaskan anak guamnya itu dengan bon peribadi tanpa mengenakan jumlah yang ditetapkan.

Beliau juga berkata Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan ada kemudian beliau dipilih.

"Dengan perkhidmatannya yang lama kepada negara dan kedudukannya dalam masyarakat serta kerjasama yang beliau berikan kepada polis dan pihak berkuasa semasa siasatan dakwaan liwat ini, Anwar tidak mungkin menghilangkan diri," kata Sulaiman.

Beliau juga berkata Anwar sedia menyerahkan pasportnya kepada mahkamah tetapi akan memohon mendapatkannya buat sementara jika beliau perlu pergi ke luar negara.

Sebelum membuat keputusannya mengenai ikat jamin, Komathy bertanyakan kepada DSP Jude Pereira, Ketua Siasatan Jenayah Brickfields, sama ada Anwar telah memberikan kerjasama penuh kepada polis semasa siasatan, dan dijawab : "Ya."

Anwar yang berusia 61 tahun Ahad ini dan bakal bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini, dituduh meliwat Mohamad Saiful, 23, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lepas di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini.

Beliau dituduh melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap Mohamad Saiful.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu, Anwar menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.

Selepas jurubahasa Mahkamah Sesyen membacakan pertuduhan terhadapnya dan bertanya sama ada beliau (Anwar) mengaku bersalah atau tidak, Anwar berkata: "Itu fitnah, berniat jahat dan khianat. Saya tidak bersalah."

Di pihak pendakwaan, Idrus dibantu Ketua Unit Pendakwaan Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Hanafiah Zakaria dan Timbalan Pendakwa Raya Shamsul Sulaiman manakala Anwar dibela sembilan peguam terdiri Sulaiman, R.Sivarasa, Leela Jeyamani Jesuthasan, S. N. Nair, Edmund Bon Tai Soon, Saiful Izham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Beebi Koya dan Mohd Radzlan Jalaludin.

Bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Majlis Peguam ialah Rajpal Singh dan George Varughese manakala peguam Zamri Idrus pula mewakili Mohamad Saiful.

Sementara, International Federation for Human Rights, Forum Asia and Human Rights Watch diwakili peguam A. Sahadeva, Chan Weng Keng, Ann Chuah Siew Fan and Seira Sache.

Proses pertuduhan itu berjalan lancar walaupun ramai penyokong Anwar berkumpul di perkarangan mahkamah menunggu ketibaannya 25 minit sebelum mahkamah bersidang pada pukul 10.11 pagi dan berakhir pukul 10.35 pagi.

Anwar hadir untuk menghadapi pertuduhan dengan ditemani isterinya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak mereka Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai.

Turut bersamanya ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Ketua Penerangan PKR Tian Chua, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akil, Pengerusi DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas prosiding pertuduhan selesai, Anwar berkata beliau menandatangani bon itu.

"Ia tidak libatkan sumber kewangan, dana...dan pasport saya juga masih kekal dengan saya," katanya sebelum meninggalkan kawasan Kompleks Mahkamah di Jalan Duta pada pukul 11.37 pagi.

S. N. Nair, seorang daripada sembilan peguam bela Anwar, berkata Hakim Komathy telah menggunakan budi bicara secara adil dan tanpa gentar untuk membenarkan anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin.

Polis memulakan siasatan kes ini setelah Mohd Saiful membuat laporan pada 28 Jun lepas dengan mendakwa beliau diliwat oleh Anwar.

Anwar, yang menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai satu konspirasi politik, ditahan polis pada 16 Julai lepas di hadapan rumahnya di Bukit Segambut dan dibebaskan dengan jaminan polis sehari selepas keterangannya diambil.

Beliau telah disepina oleh polis semalam untuk hadir di mahkamah hari ini untuk menghadapi tuduhan meliwat itu.

Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi tuduhan liwat. Dalam kes pertama pada 1998, beliau dituduh meliwat Azizan Abu Bakar, pemandu isterinya.

Beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi terhadap pertuduhan tersebut dan dihukum penjara selama sembilan tahun tetapi dibebaskan pada September 2004 selepas hampir enam tahun dipenjarakan, setelah Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan 2-1, mengetepikan sabit liwat dan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...