Friday, August 15, 2008

Saiful Mengangkat Sumpah Di Masjid Wilayah Persekutuan - BERNAMA

15 Ogos, 2008 21:35 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Mohd Saiful Bukhari Azlan, hari ini mengangkat sumpah mengikut syariat Islam bahawa beliau bercakap benar atas dakwaannya diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini.

Beliau yang ditemani oleh bapanya mengangkat sumpah mubahalah itu yang disaksikan imam masjid tersebut serta 30 orang daripada wakil media dan anggota keluarga pada kira-kira 6.15 petang.

Upacara itu berlangsung selama 15 minit.

Saiful, bekas pembantu peribadi Anwar, sebelum ini berjanji melakukan sumpah mubahalah bagi menyokong dakwaannya terhadap bekas majikannya itu. Saiful, yang berbaju Melayu coklat sambil menghadap kiblat, melafazkan sumpahnya dengan memegang Al-Quran di tangan kanannya dan berpandukan teks sumpah di tangan kirinya.

"Saya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan nama Allah saya bersumpah saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam dubur saya.

"Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah S.W.T dan sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat, wallahullam."

Pada 7 Ogos lepas, Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap Mohd Saiful pada 26 Jun lepas di unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara di sini.

Anwar mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...