Sunday, August 17, 2008

UMNO cawangan KB buat laporan BPR dakwa pencalonan Zaid Ibrahim disabotaj - UTUSAN ONLINE

17/08/2008 5:30pm

KOTA BAHARU 17 Ogos — Ketua UMNO Cawangan Pulau Kapas dalam bahagian Kota Baharu hari ini membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan berlakunya sabotaj untuk menyekat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim daripada dicalonkan untuk bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian itu.

Yaakob Mamat yang membuat laporan di Pejabat BPR di sini petang ini mendakwa ada pihak cuba menghalang mesyuarat cawangan daripada dijalankan jika cawangan tersebut menyokong Zaid yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Baharu.

“Mereka menggunakan taktik samseng, membayar wang kepada ahli mesyuarat cawangan serta memberikan wang kepada pemerhati mesyuarat cawangan bagi memastikan mesyuarat cawangan itu tidak sah kerana tidak menepati syarat,” katanya di sini hari ini.

Jawatan Ketua UMNO bahagian itu dijangka menyaksikan perebutan antara pemangku ketua, Datuk Mohd. Fatmi Salleh dengan Zaid yang merupakan ketua bahagian itu sebelum beliau digantung keanggotaannya selama 18 bulan bermula 1 Jan 2007.

Yaakob yang juga Pengerusi Pemantau Bebas Persidangan UMNO Bahagian Kota Baharu, berkata laporan BPR itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat perkara itu.

Sehubungan itu, beliau meminta Majlis Tertinggi UMNO dan BPR memantau mesyuarat cawangan dalam bahagian Kota Baharu bagi memastikan mesyuarat itu berjalan secara demokrasi dalam pemilihan Ketua Bahagiannya.

Beliau berkata, sebanyak 116 cawangan UMNO dalam Bahagian Kota Baharu dan daripada jumlah itu 91 cawangan telah bersidang.

Katanya, Zaid telah menerima 19 pencalonan dan beliau memerlukan lima lagi pencalonan daripada 25 cawangan UMNO yang belum bersidang.

“Mohd. Fatmi telah mempunyai pencalonan yang cukup untuk membolehkan beliau bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Baharu,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...