Thursday, August 14, 2008

Watak Rendah Diri Arif Shah Disenangi Rakyat - BERNAMA

14 Ogos, 2008 20:30 PM

BUKIT MERTAJAM, 14 Ogos (Bernama) -- Hampir setiap pagi Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Seberang Perai Datuk Arif Shah Omar Shah dan isteri Datin Latifah Asmawi meluangkan masa bersarapan di Medan Selera Seberang Jaya tidak jauh dari rumah mereka di Persiaran Tenggiri dekat sini.

Sejak memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2004, beliau akan menggunakan masa itu untuk berkunjung dari meja ke meja untuk bertanya khabar pengunjung ke tempat itu yang mempunyai pelbagai gerai makanan Melayu, India dan Cina, dan ini memberikan peluang kepada rakyat berurusan dengan beliau tanpa perlu ke pusat khidmatnya.

Dalam poketnya bukan sahaja ada buku nota "555" untuk mencatat sebarang masalah dan aduan rakyat, malah beliau turut membawa cop rasminya.

"Ini merupakan buku hutang saya pada rakyat. Ia murah dan berguna untuk memudahkan saya membuat tindakan susulan terhadap aduan rakyat," katanya kepada pemberita di rumah teres setingkatnya hari Khamis.

Selain isu kerajaan tempatan, masalah yang sering diterimanya ialah mengenai peminjam wang tanpa lesen, yang banyak menimbulkan kesengsaraan penduduk di Seberang Jaya.

"Ada yang patah kaki kerana dipaksa terjun daripada bangunan tinggi kerana tidak bayar hutang, dan ada yang dipaksa pajak bini. Ada kalanya saya terpaksa keluar duit sendiri untuk bantu mangsa Ah Long ini," katanya.

Arif Shah, 51, berkata daripada 10 aduan yang diterima, kadangkala beliau mampu menyelesaikan lapan dan kadang-kadang hanya tiga sahaja.

Selain bersemuka dengan masyarakat setempat di pusat khidmat masyarakatnya di Seberang Jaya dan di Jalan Baru, Perai, beliau juga mempunyai laman web www.arifshah.com bagi masyarakat di kawasan itu menyalurkan masalah mereka.

Saluran ini sehingga kini telah menerima 19,000 aduan sejak ianya diwujudkan pada 2004.

Seorang penduduk Permatang Pauh yang hanya mahu dikenali sebagai Zainuddin berkata pemilihan Arif Shah sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi berhadapan dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini adalah tepat.

"Datuk Arif merupakan pemimpin masyarakat yang sebenar dan sentiasa bergerak membantu masyarakat, tidak kira lapisan. Dia pemimpin yang boleh diterima oleh orang ramai," katanya.

Gan Lee Sheah pula berkata Arif Shah yang dikenali dalam kalangan penduduk Cina sebagai "pek moh", bererti rambut putih dalam bahasa Hokkien berdasarkan warna rambutnya, adalah seorang wakil rakyat yang baik dan juga rapat dengan orang Cina.

Seorang lagi penduduk, Shafawati Ibrahim, yakin walaupun Arif Shah akan berdepan dengan Anwar, beliau mampu memberi cabaran memandangkan beliau orang tempatan dan banyak mengetahui permasalahan setempat.

"Saya harap dia menang dan buat perubahan," katanya.

Kerusi Permatang Pauh dimenangi oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sejak pilihan raya umum 1999 selepas suaminya Anwar disabitkan kesalahan undang-undang.

Bagi seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Rahim, walaupun peluang Arif Shah untuk menang adalah 50-50, tetapi memandangkan bakal calon BN itu banyak bergaul dengan masyarakat dan sering membantu penduduk di situ, "kita harap BN menang".

Malah kemampuan Arif Shah, yang pernah berguru dengan Anwar semasa penasihat PKR itu mengetuai Umno Bahagian Permatang Pauh pada tahun 1980an dan 1990an memberi cabaran, turut dipersetujui oleh Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Shamsul Iskandar berkata Arif Shah berupaya memberi saingan kepada Anwar kerana bukan sahaja beliau berkebolehan berbahasa Mandarin dan Hokkien malah berkemahiran berinteraksi baik dengan masyarakat setempat.

"Masyarakat di sini mengetahui bahawa Arif adalah seorang yang kuat bekerja," katanya.

Disebabkan latar belakangnya belajar di sekolah Cina, Arif Shah juga dikenali sebagai "OCBC" iaitu Orang Cina Bukan Cina.

Anak keempat daripada 10 adik beradik, beliau menerima pendidikan awal di SRJK(C) Hun Lian, Taiping, sebelum berpindah ke SRJK(C) Chong Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu, dan kemudian ke SMJK (C) Chong Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu dan mengakhiri persekolahannya di Chong Hwa High School, Gombak, Kuala Lumpur.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Federal Institut of Technology dalam bidang kejuruteraan awam sebelum mengikuti pengajian dalam bidang bahan binaan di Graber International, California, Amerika Syarikat.

Arif Shah yang terlibat dalam bidang industri pembinaan dan hartanah, selain pembuatan, perkhidmatan dan pengiklanan, dikurniakan empat anak lelaki dan seorang perempuan berumur antara enam dan 27 tahun.

"Kesemua anak saya, saya hantar belajar ke sekolah Cina kerana saya sedar boleh beri faedah dan banyak manfaat," katanya.

Arif Shah berkata beliau amat berhutang budi kepada bapanya yang menghantarnya belajar di Sekolah Cina.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...