Friday, September 19, 2008

Teresa Kok Dibebaskan Daripada Penahanan ISA - BERNAMA

19 September, 2008 15:20 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini setelah ditahan lapan hari lepas.

"Saya gembira sebab telah dibebaskan dan saya okay," kata Setiausaha Penyelaras DAP itu kepada pemberita ketika dibebaskan di Balai Polis Jalan Travers di sini pada 1.30 tengah hari tadi.

"Saya tidak tahu kenapa saya dibebaskan hari ini seperti mana juga saya tidak tahu kenapa saya ditahan".

Antara yang berada di balai polis itu ketika pembebasannya ialah ibunya Poh Seh Kwon dan bapanya Kok Kim Tong serta peguam N.Sankara Nair.

Kok, yang juga anggota exco kerajaan negeri Selangor, adalah antara tiga orang yang ditahan mengikut ISA pada Jumaat lepas. Dua lagi ialah penulis blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng.

Tan telah dibebaskan Sabtu lepas.

Kok ditahan mengikut Seksyen 73 (1) ISA 1960 kerana didakwa mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh Kok semasa siasatan dijalankan.

"Tiada lagi sebab untuk meneruskan penahanan lanjut dan (polis) memutuskan untuk membebaskan beliau hari ini," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...