Sunday, September 14, 2008

Zaid Minta ISA Dikhususkan Untuk Pengganas, Komunis - BERNAMA

14 September, 2008 15:52 PM

KOTA BAHARU, 14 Sept (Bernama) -- Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hendaklah dikhususkan untuk pengganas, komunis dan pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan secara paksa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.

"Tujuan asal (ISA), digunakan terhadap pengganas bersenjata, orang yang hendak menggulingkan kerajaan secara paksaan...komunis. Jadi, kita perlu tetap dengan itu," katanya.

Zaid berkata negara mempunyai banyak undang-undang yang boleh digunapakai bagi menangani isu-isu seperti ketegangan kaum dan mengancam keselamatan negara.

"Di dalam negara kita ada banyak undang-undang yang boleh digunakan oleh pihak polis untuk menahan mereka tanpa menggunakan ISA.

"Kita ada undang-undang Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan yang boleh menjelaskan kepada rakyat kenapa mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang tanpa menggunakan ISA," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini hari Ahad.

Zaid mengulas penahanan tiga individu di bawah ISA Jumaat lepas - anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok, pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan wartawan wanita Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng.

Bagaimanapun Hoon Cheng dibebaskan semalam.

Zaid juga berkata banyak lagi pendekatan yang boleh digunakan untuk mengurangkan perbezaan kaum atau isu perkauman termasuk melalui sesi dialog dan perbincangan secara aman.

Mengenai pencalonannya untuk bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Baharu, Zaid berkata beliau kesal dengan tindakan bahagian yang membatalkan mesyuarat peringkat cawangan yang mencalonkan dirinya.

"Tapi ianya sudah menjadi syarat jadi saya perlu patuh kepada keputusan bahagian. Saya tidak akan merayu. Sehingga kini saya sudah mendapat 20 pencalonan," katanya.

Jawatan Ketua UMNO bahagian itu dijangka menyaksikan perebutan antara pemangku ketua, Datuk Mohd. Fatmi Salleh dengan Zaid yang merupakan ketua bahagian itu sebelum beliau digantung keanggotaannya selama 18 bulan bermula 1 Jan 2007.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...