Tuesday, October 7, 2008

Kes Liwat Anwar: Pendakwaan Mohon Semakan - BERNAMA

07 Oktober, 2008 19:03 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Pihak pendakwaan dalam kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen menolak bantahan awalnya berhubung kesahihan sijil pemindahan.

Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden ketika ditanya media berkata pihak pendakwaan telah mengemukakan surat kepada hakim Mahkamah Tinggi memaklumkan perkara itu pada 2 petang tadi.

Bagaimanapun, Mohamed Yusof berkata mahkamah belum menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan semakan tersebut.

Pagi tadi, Hakim Mahkamah Sesyen S.M.Komathy Suppiah memutuskan bahawa beliau mempunyai budi bicara untuk mendengar hujahan berhubung bantahan pembelaan yang mempersoalkan kesahihan sijil yang dikemukakan oleh pendakwaan untuk memindahkan kes liwat terhadap Anwar ke Mahkamah Tinggi.

Komathy menolak bantahan awal pendakwaan yang berhujah bahawa mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar bantahan pembelaan berhubung kesahihan sijil pemindahan.

Pendakwaan telah berhujah bahawa adalah mandatori bagi Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 418A (3) Kanun Prosedur Jenayah untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi sebaik sahaja sijil pindah dikeluarkan oleh pendakwaan.

Pembelaan telah membantah permohonan pendakwaan yang mahu kes Anwar itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan menyatakan sijil pemindahan itu tidak sah kerana ia ditandatangani Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang sedang disiasat oleh Badan Pencengah Rasuah berikutan satu laporan polis yang dibuat oleh Anwar.

Laporan polis itu ialah berhubung dakwaan memalsukan keterangan dalam kejadian "mata hitam" Anwar pada 1998.

Anwar, 60, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...