Tuesday, October 21, 2008

Laporan Polis Dibuat Desak Kertas Siasatan Kes Pembunuhan Altantuya Dibuka Semula - BERNAMA

21 Oktober, 2008 19:52 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Ketua Pemuda Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) Badrul Hisham Shaharin hari ini mengetuai sekumpulan lima orang dari "Sekretariat Anak Muda Malaysia" (SAMM) membuat aduan polis terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Badrul yang menjadi jurucakap bagi kumpulan itu berkata mereka meminta polis membuka semula kertas siasatan kes pembunuhan wanita Mongolia itu dan menyiasat dakwaan mereka bahawa Najib menyalahguna kuasa dan kedudukannya dalam kes berkenaan.

Najib, yang menjadi sasaran pelbagai tuduhan sejak muncul sebagai calon tunggal jawatan presiden Umno, sebelum ini telah menafikan beliau mempunyai apa-apa hubungan dengan wanita tersebut.

Kumpulan itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini kira-kira 1.30 tengah hari.

Kumpulan itu juga mendakwa mereka menyerahkan kepada polis dokumen 21 muka surat bagi menyokong dakwaan bahawa Najib terlibat dalam rasuah pembelian kelengkapan tentera.

"Kami meminta polis menyiasat penglibatan Najib dalam pembelian dan perolehan Eurocopter semasa menjadi Menteri Pertahanan yang dilihat banyak wang kerajaan dilaburkan," katanya.

Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) telah menyiasat pembelian helikopter buatan Perancis-Jerman itu untuk menggantikan helikopter Sikorsky berusia lebih 30 tahun yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia, berikutan pelbagai tuduhan kononnya berlaku rasuah.

Pelbagai pihak, dalam masa yang sama, telah menyatakan sokongan terhadap pembelian helikopter serbaguna jarak jauh itu walaupun harganya lebih mahal berbanding beberapa model lain kerana ia bermutu tinggi dan berteknologi lebih canggih.

Badrul berkata sekretariat berkenaan juga akan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) selewat-lewatnya esok.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamed Zulkarnain Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan laporan telah dibuat dan polis, katanya, akan menjalankan siasatan.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...