Thursday, October 23, 2008

Rombakan Kabinet Ekoran Perubahan Kepimpinan MCA, Kata Abdullah - BERNAMA

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 23 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan Kabinet ekoran perubahan pucuk pimpinan dalam MCA.

Perdana Menteri berkata beliau akan menemui Presiden MCA yang baru dipilih Datuk Ong Tee Keat untuk meneliti cadangan yang dikemukakan parti itu.

"Jika beliau ingin melakukan perubahan, beliau perlu memaklumkan kepada saya terlebih dahulu. Apabila saya kembali ke tanah air, beliau boleh menemui saya," katanya kepada wartawan Malaysia selepas merasmikan pejabat perwakilan Khazanah Nasional Beijing, pada Khamis.

Abdullah berada di ibu negara China untuk menghadiri Mesyuarat Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) ketujuh yang bermula esok. Beliau dijadual pulang ke Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pada pemilihan MCA hujung minggu lepas, bekas menteri kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang meletak jawatan selepas klip video skandal seksnya tersebar, memenangi jawatan Timbalan Presiden setelah menewaskan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Dr Chua tidak bertanding pada pilihan raya umum Mac lepas.

Dua lagi Timbalan Menteri dari MCA yang tewas dalam pemilihan parti kali ini adalah Timbalan Menteri Perumahan Datuk Chor Chee Heung dan Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan Teng Boon Soon.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...