Wednesday, October 22, 2008

Zahidi sah tarik diri tanding Ketua Pemuda, akan umum di Astro malam ini -MSTAR ONLINE


PETALING JAYA
: Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin hari ini mengesahkan beliau menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.

Zahidi berkata, beliau telah bermesyuarat dengan Badan Perhubungan Umno Perlis semalam dan mereka telah bersetuju dengan hasratnya untuk menarik diri.

"Selain itu, Perhubungan Negeri juga turut mencadangkan nama saya selain Datuk Seri Shahidan Kassim untuk bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan Mac depan," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Zahidi berkata, setakat ini, beliau telah menerima tiga pencalonan untuk merebut jawatan dalam MT namun enggan mendedahkan Bahagian-bahagian yang mencalonkannya.

Ketika ditanya sama ada penarikan dirinya berikutan persetujuan Badan Perhubungan Umno negeri untuk mencadangkan namanya bertanding jawatan ahli MT, Zahidi berkata, ia tiada kaitan.

"Kita di Perlis ni kecil sahaja. Hanya ada tiga bahagian jadi tak bolehlah nak (bertanding) jawatan-jawatan tinggi.

"Saya perlu tumpukan kepada Bahagian saya juga jadi jika mahu bertanding (di peringkat pusat) buat masa ini, jawatan yang paling baik adalah MT," katanya.

Zahidi berkata, beliau akan membuat pengumuman rasmi berhubung penarikan dirinya itu dalam wawancara khas bersama Astro Awani malam ini.

Zahidi sebelum ini hanya memperolehi satu pencalonan iaitu daripada bahagiannya untuk merebut jawatan Ketua Pemuda.

Dengan penarikan diri Zahidi, saingan merebut kerusi Ketua Pemuda kini tertumpu kepada tiga calon iaitu Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir yang kini merupakan satu-satunya calon yang telah melepasi kuota dengan 63 pencalonan; Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dengan 36 pencalonan dan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo dengan 27 pencalonan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...