Thursday, July 24, 2008

Kajian Kadar Tol Dalam Peringkat Akhir, Kata Mohd Zin

24 Julai, 2008 00:44 AM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya kini dalam proses akhir untuk mengemaskinikan segala data mengenai kajian menyeluruh tentang terma perjanjian sedia ada dengan syarikan konsesi tol bagi mengurangkan atau memansuhkan kadar tol di seluruh negara.

"Kita dalam peringkat mutakhir mengemaskinikan segala data dan kita telah buat beberapa opsyen serta satu unjuran trafik yang baru yang berasaskan kepada kapasiti infrastruktur yang sedia ada.

"Kita juga kaji apakah kalau kita bagi pengurangan tol, apakah nilai syarikat konsesi tanggung untuk hari ini dan apakah nilai tanggungan pada masa depan," kata Menterinya Datuk Ir Mohd Zin Mohamed dalam wawancara 60 Minit Bersama Menteri yang disiarkan di RTM 1 Rabu malam.

Kementerian katanya telah menubuhkan satu jawatankuasa khas, Jawatankuasa Kajian Kadar Tol yang diketuai oleh pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan menjemput pakar akademik, pakar perunding serta firma yang berpengalaman tentang perjanjian konsesi untuk mengkaji dan menilai semula terma sedia ada.

Katanya beliau akan membentangkan kepada jemaah menteri hasil kajian itu dalam waktu terdekat sebelum keputusan muktamad dibuat.

Mohd Zin berkata kajian itu meliputi data trafik pada sesebuah lebuh raya dan juga bagaimana kutipan itu digunakan oleh pihak konsesi.

"Mana-mana perjanjian konsesi yang sedia ada saya menilai semula supaya mana-mana terma yang boleh dirunding semula kita akan ambil peluang supaya akhirnya pihak konsesi akan berdaya maju, rakyat akan mendapat keuntungan dan kerajaan tak tanggung bebanan terhadap infrastruktur ini," katanya.

Beliau berkata tumpuan kajian juga diberikan kepada pengguna yang bergantung kepada laluan lebuhraya bertol di kawasan bandar.

Mengenai pemberian 10 peratus daripada semua kontrak melebihi RM10 juta kepada kontraktor Kelas F, Mohd Zin mahukan polisi itu diteruskan supaya kontraktor itu terus meletakkan pembinaan sebagai karier dan bukan kerja sebagai sampingan.

"Tugas utama kita di kementerian yang berurusan dengan kontraktor ialah kita mahu mereka ini berjaya di tapak pembinaan walaupun menghadapi pelbagai tekanan.

"Sebagaimana Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sektor pembinaan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)" katanya.

Beliau berkata dalam Kajian Separuh Penggal RMK-9 itu industri pembinaan menyumbang 5.21 peratus daripada 6.1 peratus KDNK.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...