Thursday, July 24, 2008

Adnan setuju kos senggara Perdana V6 lebih mahal berbanding Mercedes

Utusan Online
24/07/2008 5:48pm

KUANTAN 24 Julai — Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said bahawa kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif adalah lebih mahal daripada Mercedes.

Memberi contoh kereta Mercedes yang digunanya sejak era Menteri Besar terdahulu, Tun Khalil Yaakob iaitu sejak berbelas tahun lepas, Adnan berkata kos penyenggaraan kereta itu untuk tahun lepas ialah RM42,000.

Beliau berkata sebaliknya ada antara kos penyenggaraan Proton Perdana yang diguna anggota exco kerajaan negeri sejak beberapa tahun lepas mencecah RM57,500 setahun.

“Dari segi hakikatnya Menteri Besar Terengganu betul apabila menyatakan kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif lebih tinggi daripada Mercedes,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan cek kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Seramai 41 pelajar UiTM dalam jurusan Perancang Bandar menjalankan kajian mengenai perancangan pelan tempatan bagi daerah Lipis sejak Januari lepas dan kajian itu akan dilakukan dalam tempoh 2008-2020.

Adnan berkata dari sudut praktikal memang sukar menggunakan kereta yang mempunyai kuasa enjin rendah terutama bagi perjalanan ke destinasi yang jauh.

Beliau bagaimanapun mengambil langkah tidak menyokong mahupun menentang keputusan pembelian 14 kereta Mercedes E200 kerajaan negeri Terengganu itu.

“Segala keputusan yang hendak dibuat pada masa kini sepatutnya mengambil kira situasi semasa dan kehendak rakyat. Sekarang rakyat lebih suka macam saya (Menteri Besar) naik kereta Kancil atau motosikal pun boleh (jika ke lokasi dekat),” katanya. Beliau menegaskan kerajaan negeri Pahang akan mengambil keputusan untuk mengikut arahan dan keputusan yang ditetapkan kerajaan pusat berhubung pemakaian kereta nasional walaupun ia boleh dipertikai.

Mengenai tindakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman yang bertindak memasuki Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adnan berkata itu hak bekas wakil rakyat berkenaan.

— BERNAMA


Pelik tul.... mahal-mahal kan kos selanggaraan kereta tok-tok menteri ni. Setahun RM42K, maknanya purata dalam sebulan RM3,500 dibelanjakan hanya tuk selenggara kereta. Tiap-tiap bulan ke fully servis?? mentang-mentanglah duit kerajaan, suka hati jer nak hantar servis sama macam tu sekali punya kos. Sedar sikit, duit kerajaan tu bukannyer duit BN, tu duit hasil kutipan cukai, termasuklah dari duit aku yang tiap-tiap bulan kena potong cukai.

Aku yang ada waja ni pun purata kos servis sebulan tak lebih RM200.

"Ubah Gaya Hidup" --- dari Perdana ubah ke Mercedes.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...