Sunday, January 11, 2009

2 'bom' baru Ezam, Anwar arah urus damai dengan Dr. M - mStar Online

Ahad Januari 11, 2009
Oleh G. MANIMARAN

KUALA TERENGGANU: Bekas 'orang kuat' Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Ezam Mohd Nor malam tadi mendedahkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu pernah memintanya supaya menguruskan langkah berdamai dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak sampai seminggu selepas dipecat.

Malah, Ezam bekas Setiausaha Politik kepada Anwar juga mendedahkan tarikh tepat beliau melihat kandungan enam kotak rahsia yang dikaitkan dengan kononnya bukti gejala rasuah pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) semasa berada dalam kerajaan.

Justeru, beliau turut mencabar Anwar sendiri menjawab pendedahan-pendedahan tersebut sebelum memperincikan kedua-dua perkara itu kelak.

Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 20 September.

"Hari ini (malam tadi) saya mendedahkan dua perkata penting... saya selama ini tidak mahu mendedahkan, memalukan dan menelanjangkan Anwar.

"Saya tidak mendedahkan perkara ini di Permatang Pauh (ketika pilihan raya kecil Ogos lalu ditandingi Anwar).

"Tetapi saya terus dicabar untuk mendedahkan (di mana beradanya enam kotak)... hari ini saya mendedahkan perkara ini," kata beliau ketika berucap di pusat bandar Kuala Terengganu malam tadi.

Mengulas lanjut tentang dua pendedahan itu, Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, selepas berucap mengecam kepimpinan Dr. Mahathir (bekas Perdana Menteri) pada 7 September, Anwar pada hari berikutnya meminta menguruskan langkah berdamai.

"Pada 7 September, Anwar mengkritik dan mengecam Dr. Mahathir, kata macam-macam tentang Dr. Mahathir, tetapi pada hari esok beliau minta saya menguruskan cara untuk berdamai dengan Dr. Mahathir.... macam mana punya pemimpin ini?' katanya.

Ezam menyertai Umno pada Mei lalu.

Ezam sebelum ini juga pernah mendakwa bukti-bukti itu tidak ada pada beliau, sebaliknya disimpan Anwar.

"Kalau ada pada saya, sudah tentu saya telah tunjukkan. Saya konsisten dengan perjuangan membanteras rasuah," katan beliau bulan lalu.

Ezam berkata, ketika masih bersama PKR, beliau pernah menyuarakan kepada Anwar yang juga Penasihat PKR supaya mendedahkan kandungan kotak-kotak itu, tetapi Anwar meminta beliau supaya menunggu.

"Saya tidak setuju. Itu antara sebabnya saya keluar PKR," katanya.

Bulan lalu, Angkatan Muda PKR Terengganu telah mencabar Ezam agar mendedahkan kandungan kotak rasuah itu sewaktu berkempen dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Ketika ditemui selepas ucapannya, Ezam mengakui bahawa beliau telah berusaha untuk menunaikan permintaan Anwar itu.

"Saya telah menghubungi beberapa orang Dr. Mahathir, tetapi saya tunggu biar Anwar menjawab apa yang saya dedahkan ini dulu.

"Yang lain saya akan keluarkan kemudian.... saya cabar Anwar jawab perkara ini dulu, saya tidak mahu orang-orang dia jawab, biar Anwar jawab sendiri," katanya.

Ezam juga berkata, selain berusaha untuk mendamaikan kedua-dua mereka, beliau juga pernah menguruskan usaha damai dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum dibebaskan pada 2004.

Mengenai enam kotak berkenaan, Ezam mengulangi bahawa ia masih berada dalam simpanan Anwar yang kini merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang di Parlimen.

Jelas beliau, menurut Anwar kotak-kotak berkenaan berada di dalam dan di luar negara.

"Ada satu ketika saya pernah bertanya di mana kotak-kotak itu, Anwar memberitahu bahawa jangan takut, ia berada di tempat yang selamat di dalam dan di luar negara," katanya lagi.

Kata Ezam, beliau masih ingat dengan tepat tarikh kali terakhir melihat kotak dan dokumen-dokumen berkenaan.

"Tarikhnya saya dedahkan hari ini iaitu 8 September, hari anak sulung saya lahir... hari isteri saya dimasukkan ke hospital dan saya tidak berada bersamanya.

"Saya tidak ada bersamanya kerana saya diminta menguruskan kotak ini dan usaha damai dengan Dr. Mahathir... ini pengorbanan saya, saya masuk penjara (selama dua tahun) disebabkan mendedahkan soal rasuah," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...