Tuesday, January 13, 2009

Bekalan Air Terganggu Ekoran Kemalangan Di Lebuhraya Karak - BERNAMA

13 Januari, 2009 21:32 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kemalangan di KM28 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur pukul 3.30 petang ini yang mengakibatkan tumpahan minyak kelapa sawit, menyebabkan gangguan bekalan air di lapan kawasan utama membabitkan 18,000 pengguna.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan di sini berkata tumpahan minyak kelapa sawit itu mencemarkan sumber air mentah di Loji Rawatan Air Sungai Gombak.

"Syabas telah melakukan pengalihan bekalan air dari sumber yang lain bagi mengurangkan jumlah kawasan gangguan dan sedang giat melakukan kerja-kerja pemulihan bagi mengatasi pencemaran minyak kelapa sawit di muka sauk," kata kenyataan itu.

Antara kawasan yang terbabit ialah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), British Malaysian Institute (BMI), Sekolah Menengah Teknik Gombak, Sekolah Menengah Integrasi Gombak, Tol Lebuhraya Karak, Sekolah Al-Amin Gombak, International Islamic School dan Stesen Minyak BHP Lebuhraya Karak.

Menurut kenyataan itu Syabas telah mengaturkan penghantaran air kecemasan menggunakan lori tangki ke lapan kawasan berkenaan bagi meringankan beban gangguan bekalan air kepada pengguna.

Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, selaku operator loji rawatan air di Sungai Gombak melantik kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di sungai yang tercemar.

Pengguna dinasihatkan menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol 1-800-88-5252 untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...