Friday, February 27, 2009

MB S'gor gali lagi 'kesalahan' Khir - MalaysiaKini

Jimadie Shah Othman | Feb 26, 09 6:01pm

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini menggali satu persatu 'kesalahan' menteri besar terdahulu Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Kali ini, Dr Mohd Khir didakwa mendapat faedah dan imbuhan selaku pengerusi PNSB sebelum itu – termasuk kemudahan kereta berjenama Toyota Harrier, bersama pemandu – tetapi perkara itu didakwa gagal diisytiharkan kepada Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN).

“Sekumpulan penasihat lantikan Perbadanan Menteri Besar (MBI) kini sedang melakukan penilaian terhadap prestasi PNSB. Dalam proses tersebut, didapati pengerusi sebelum ini, Dr Mohd Khir pernah diberikan kereta Toyota Harrier pada tahun 2005 dan disediakan seorang pemandu pada tahun 2006.

“Beliau menggunakan kesemua faedah sehingga bersara selaku pengerusi PNSB pada Mac 2008. Walau bagaimanapun, tiada kemudahan ini yang dinyatakan dalam borang taksiran (EA) yang diserahkan oleh PNSB sebelum ini,” kata kenyataan sekretariat akhbar pejabat menteri besar Selangor hari ini.

Kenyataan itu juga mendakwa, PNSB turut menanggung penggunaan petrol dan penyenggaraan kereta Toyota tersebut.

“Sehubungan itu, MBI hari ini mengarahkan PNSB menyerahkan senarai lengkap faedah dan kemudahan yang diberikan kepada kalangan pekerjanya pada tahun-tahun lepas kepada LHDN,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, Abdul Khalid, yang juga pengerusi MBI dan PNSB berpendapat, langkah tersebut dilakukan bagi memastikan GLC Selangor tidak mengingkari undang-undang supaya membayar cukai pendapatan.

Implikasi kewangan

Pejabat menteri besar juga mendedahkan, selama beberapa tahun, PNSB memberikan kemudahan kepada kakitangannya – termasuk pengerusi dan ahli lembaga pengarah – dalam bentuk barangan atau wang tunai, atau dua bentuk pemberian tersebut.

Kemudahan itu termasuk kereta dan pemandu serta percutian dalam dan luar negara, tambah kenyataan itu.

“Menteri besar menyedari keprihatinan kakitangan PNSB terhadap implikasi kewangan akibat pengurusannya gagal mengisyhtiharkan pendapatan dalam borang EA.

“Beliau meminta kakitangan PNSB bersabar sementara menunggu tindakan LHDN mengenakan tambahan cukai bagi individu yang berkaitan,” kata kenyataan tersebut.

Semalam, Abdul Khalid berkata, lembaga pengarah PNSB sekarang mendapati terdapat kepincangan dalam pembelian hartanah 'Al Marwa Tower Makkah' di bawah nama menteri besar ketika itu, Dr Mohd Khir - yang dibangkitkan oleh auditor luar.

Abdul Khalid juga mendakwa pembelian 12 unit pangsapuri itu melibatkan transaksi RM25 juta, sedangkan lembaga pengarah didakwa hanya meluluskan kira-kira RM8 juta untuk membeli lima unit tersebut.

Angkatan Muda PKR petang semalam – diringi seekor lembu – turut memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPRM) di Shah Alam di samping menyerahkan semula 20 aduan lama terhadap Dr Mohd Khir yang didakwa tidak disiasat secara profesional oleh suruhanjaya itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...