Sunday, April 5, 2009

Muhyiddin, Anwar 'memacu' di Bukit Gantang, Khairy juga muncul - mStar

TAIPING: Khairy Jamaluddin yang dipilih Ketua Pemuda Umno, hari ini menafikan andaian bahawa beliau tidak dialu-alukan dengan turun gelanggang berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Sekurang-kurangnya lapan program telah diaturkan untuk dihadiri beliau.

Pukul 10.30 pagi tadi, Ahli Parlimen Rembau itu menyaksikan perlawanan bola sepak pasukan MyTeam menentang DreamTeam di Matang.

Kemudian beliau bermesra dengan peserta-peserta Bengkel Motosikal di pekarangan Bilik Gerakan Induk Pemuda BN.

Selain itu Khairy juga mengadakan pertemuan dengan pengundi-pengundi muda di kawasan Trong.

Dalam pada itu, ketika tinggal dua hari menjelang hari pengundian, parti-parti politik yang bertanding pilihan raya kecil kerusi Bukit Gantang menggunakan cuti mingguan hari ini dengan jadual program berkempen yang agak ketat.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghabiskan masanya di Batang Ai semalam, memulakan kembali tumpuan beliau di kawasan Bukit Gantang sejak tengah hari tadi.

Petang ini, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan masyarakat India di kawasan Simpang dan tiga pertemuan dengan pengundi-pengundi Cina di Simpang dan Kuala Sepetang.

Dalam pada itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga padat dengan programnya yang bermula 9 pagi tadi.

Antara 9 dan 11 pagi tadi, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen mengadakan program bersama Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang bertanding di Bukit Gantang mewakili Pakatan Rakyat.

Ia disusuli dengan dialog dengan warga guru bermula 11 pagi.

Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kemudian menghadiri majlis jamuan rakyat di bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang.

Pada sebelah petang, beliau menghadiri majlis hi-tea di DUN Changkat Jering.

Majlis ceramah perdana juga diaturkan untuk Anwar dengan turut dihadiri beberapa pemimpin PAS dan DAP.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...